Ahad

The greatest view...




Lautan ku...di sini ku temui pemandangan terindah! Tanpa segan, aku menyapa putihnya pasir mu..lincahnya alam murani mu, menari-nari tarian arus, sekejap perlahan, sebentar gagah bergulung-gulung, membuat ku lapang berterbangan , tanpa resah, tiada gelisah, tiada graviti...di sini hanya aku dan nafas ku, familiar buddies dan sekalian warga lautan yang ramah dan manis-manis... bercanda dalam grandiosenya ujana alam lautan...





Sipadan Island
"I have seen other places like sipadan 45 years ago, but now, no more. we have found again an untouched piece of art..a jewel" Jacques Cousteau








Dive site....barracuda point, drop off & south point, 25m, sipadan island..

Selasa

Ke hadapan atuk











Ke hadapan atuk,

Nenda kami,

Sugul
melayari sepi
antara nilai malam
serta siang-siangnya

Tak sekalipun berharga lagi
kerinduan ini menghukumnya
hingga semua kata-kata pun lenyap
berumbilah pepohon kesunyian 
melarat menyucuk gembur ulu hatinya
cinta suburnya kini disentap ke langit
makmur melukis potret nostalgianya
dalam senandung awan tengkujuh

Hari itu,
Nenda terbaring..tersungkur
menggeleng enggan bangun

Tahukan engkau Tuk? 
jauh di pelupuk matanya kelmarin, 
bisik ini meruntun jiwa kami jadi nestapa ;

Belahan jiwaku,
tahukah kau?
aku yang di sini
hanya ingin engkau
melihat, memegang jasadmu!

Entah mengapa, tuk 
di mimpiku semalam 
dalam siluet rembulan kuning
beratus-ratus burung bambu
menarik tali bintang-bintang 
jadi sejambak bunga langit
yang kau hulurkan pada nenda
seraya itu alam mula menangis 
mendengar syahdu lafaz cintamu
turun jadi embun menggerimis
menimpa menyapaku terjaga


Pena Alam
kota kinabalu
hari selasa
18012011

Isnin

Maaf















Maafkan aku
kerana tak baca
isi dalam matamu
kata di sentuhmu
kerana ada saatnya
aku pun bebal
aku jadi bebal

Hanya kerana
aku, mungkin
lebih mengenal 
diriku sendiri


Pena Alam
kk, 16062011;2206

Matahari dan niat-niat riangnya












Tiga puluh empat kali
T'lahku selak kelopak matahari
seperti hari ini

Tatkala kutoleh ke belakang
terlihat aku berdiri penuh hemat
terlihat aku berdiri penuh goyah
terlihat aku berdiri tersungkur
terlihat aku berdiri terjatuh luka
terlihat aku berdiri, berdiri saja
terlihat aku berdiri berlari lelah
terlihat aku berdiri hidup mati
terlihat aku berdiri tanpa rasa
terlihat aku berdiri girang riang
terlihat aku berdiri menjadi aku
terlihat aku melihat lihat diriku

Sebanyak tiga puluh empat kali
aku menjadi aku menjadi aku
dihumban, terhempas, terlepas
segalanya yang bisa kusentuh
segalanya yang dapat kurasai
segalanya jadi mozek-mozek
seorang aku yang seperti ini

Setiap langkah itu cerita perjuangan
yang benar, di mana jatuh bangunnya
terlihat di bawah bayang serakan cahayanya
dari jambangan bunga sinar lembayung matahari
ketika kuselak kelopak indahnya satu persatu
setelah kulihat niat-niat riangnya, buatku.


Pena Alam
Kota Kinabalu
28062011;1034

dekati aku tuhan


dekati aku tuhan
setinta setitik insan 
pemburu kasih ilahi
sekujurku derita sepi
maha terkecil diri ini
digugah berat resah
ampunkan aku 
dekati aku

bermula jauh dulu
kini tetap kurindu
esok aku terus menunggu
kasih cintaMu Rabbi
menyubur hatiku
menghalus jiwaku
tulus, murni 

dalam dakapan 
redhaMu.

pa'al & ummu anas
kk-jb
2441,180410

( Seperti kata kak ummu, puisi ini adalah ilham yang tercetus daripada oleh dua hati, dua diri..yang jauh ribuan batu antara dua daratan merentasi laut luas. Tidak pernah bersua wajah, hanya hati tertaut dalam kasih Ilahi...begitu takdir ketentuan Allah. Moga sentiasa segar dalam dakapan redha Ilahi..terima kasih kak ummu! )

Cerita Burung Merbuk, Helang dan seorang pelukis

Kalau diberi pilihan untuk bertukar menjadi binatang, saya memilih untuk menjadi burung helang. Pernah saya katakan pada seorang sahabat rapat, dia seorang manusia yang paling bersahaja di alam semesta ini. Kali pertama saya menaiki keretanya sewaktu mula-mula berkenalan dengannya sebelas tahun lalu, kami menaiki van putihnya. Katanya, van putih itu telah banyak meragut nyawa, bukan nyawa manusia tetapi nyawa selipar jepun mereka yang pernah menaiki van putihnya itu.

Dia mengandaikan sudah ada lebih daripada 30 pasang selipar jepun berbagai warna telah terbang melayang sendiri dari dalam van itu,  menyebabkan kawan-kawan yang menumpang van putihnya terpaksa berjalan dengan sebelah selipar sahaja apabila turun, gara-gara tidak sedar sebelah selipar mereka telah menghilang ke atas jalan yang sesak di KK dan serata Kampungnya di Darau.

Semua selipar itu hilang, tinggal sejarah dan dia tidak menafikan jika ada juga yang cepat tersedar, berjaya meminta dia berhenti di tepi jalan untuk mengambil sebelah selipar mereka yang ketinggalan di atas jalan raya. Sempat dipungut. Kesemua selipar itu sebenarnya hilang melalui celah lubang sebesar kepala budak tujuh tahun  yang terdapat di tengah-tengah van putihnya.

Sewaktu mula-mula melihat isi vannya, rahang saya hampir jatuh ke atas jalan raya di tempat letak kereta sebuah  hotel di mana saya bekerja sebagai Koordinator Bahagian Komunikasi, ya sebelas tahun yang lalu juga. Pada ketika itu, hotel itu sedang mengadakan pameran lukisan cat airnya secara solo di sana. Saya tidak sama sekali menyangka dia adalah pelukis kepada berkeping-keping bingkai lukisan indah yang disusun di dalam van putihnya. Semenjak itu kami menjadi sahabat, bukan kerana lukisannya sahaja, tapi kerana dia juga mempunyai hati dan budi bahasa seindah lukisannya. Di suatu hari, sebelum dia sibuk menyiapkan lukisannya untuk pameran ke Jepun dan beberapa pameran lukisan antarabangsa yang lain, dia diam sahaja mendengar saya menyebut-nyebut tentang burung helang.

Kelmarin, kami di pejabat membuat latihan dalaman, seperti kebiasaannya di setiap bulan. Kebetulan, speaker kami memberikan tajuk latihan tentang Grid Kelakuan. Salah satu cara untuk mengenal diri sendiri dan teman-teman dengan mengandalkan burung-burung seperti Helang, Merak, Burung Hantu dan Merbuk sebagai cara untuk memprofail personaliti dan karekteristik kelakuan masing-masing. Saya memiliki gabungan karektor burung merbuk dan merak. Dan dalam banyak perkara, saya sangat setuju dengan kenyataan yang kononnya manusia yang tergolong di sini sangat baik dalam teamwork, menghargai persahabatan dan mempunyai nilai-nilai kemanusiaan yang sangat tinggi. Sungguhpun begitu, saya sedikit kecewa kerana saya berharap karekteristik helang itu adalah karekteristik saya. Oleh kerana keputusan saya adalah +4 dan 0, maka nilai 0 bagi profail extra personaliti mungkin ada sikit-sikit menyangkut pada helang, pada saya. hahaha.. Apapun, kita tahu diri. Grid kelakuan itu sangat seronok dibuat sambil bersantai-santai. Ok, saya memang sangat sukakan helang. Teringat lagu Noa - Eye in the Sky.

Pada suatu hari di bulan Jun, sahabat pelukis saya yang baik hati itu datang bersama keretanya, bukan dengan van putihnya (itu cerita sebelas tahun yang lalu). Ketika berbual-bual di dalam keretanya saya sempat curi-curi menjentik beberapa ekor semut merah dan mengagah seekor cicak kecil yang ramah, datang entah dari mana di dalam keretanya yang juga bersahaja seperti tuannya. Sahabat saya sedang sibuk perlahan-lahan bercerita tentang lukisan terbarunya yang sebesar pintu. Sebelum pulang, dia membuka bonetnya, besi-besi pintu bonet belakangnya berkeriut seperti anak-anak menguap baru bangun tidur dan kemudian berdentum ditutup. Harus ditutup kuat begitu, kata dia. Kereta lama, katanya lagi. Saya tidak kisah kerana saya tahu sahabat ini sememangnya senantiasa bersahaja. 

Sahabat itu menghulurkan sesuatu kepada saya. Ia adalah sebuah karya lukisannya. Saya melonjak terlalu gembira. Berkali-kali saya ucapkan terima kasih padanya. Dia telah menghadiahkan saya sebuah lukisan Burung Helang yang sedang terapung untuk mendarat di sebuah pokok kayu yang sangat tinggi di atas langit, awan-awan di sekeliling kelihatan berarak, hidup. Sebelum menghidupkan enjin, sahabat saya tersenyum bersahaja dan berseloroh, katanya ; Ta, maaf lukisan itu tidak siap. Saya terpinga-pinga namun tidak kisahlah, saya sangat sukakan lukisan itu.

Saya melambai sahabat saya yang memandu sehingga pandangan saya pada nombor platnya yang patah, hilang dari pandangan. Saya memandang lukisan pemberiannya dengan rasa penuh bangga, pemberian lukisan yang kononnya tidak siap darinya, seorang introvert kelas pertama yang tidak pernah sedetikpun tidak bersahaja itu. Seorang sahabat baik yang tidak pernah menyusahkan hati. Saya terfikir, kalau saya ceritakan kepadanya tentang cerita merbuk dan merak, apakah pula reaksinya. Saya tersenyum saja. Apapun, Terima kasih, Mus!


pa'al

Estranged.



Selain meminati buku, duduk menulis buku, menyimpan impian~berangan-angan suatu hari nanti akan menulis best seller konon (hahaha)~ sebagai hobi dan pekerjaan sambilan, saya juga sangat meminati dan sangat sensitif dengan muzik. Muzik banyak mempengaruhi hidup saya, tulisan saya ditulis dengan iringan muzik, muzik bukan sahaja apa sahaja yang dapat didengari telinga kita tetapi juga apa yang dapat menyentuh hati dan jiwa. Kecenderungan menulis mungkin kerana dahulunya saya adalah nerd yang juga ulat~ ulat buku.

Dulu-dulu orang akan kata siapa yang minat buku, buku, buku, buku saja dia ialah ulat buku. Tidak kisahlah, kan. Ulat buku is Cool apa! Ulat buku hari ini adalah ulat buku yang bijak~ kerana ia tidak makan buku, tapi membaca buku dan membuat buku kemudian menjual buku dan di akhirnya, melihat buku akaun yang juga buku bagi si ulat buku! Hahaha, i'm rhyming. Ya betul, buat buku boleh menambahkan pendapatan. OK, pasal bermimpi, tidak ada salahnya bermimpi kerana menurut si keriting 'bermimpilah, kerana Tuhan akan memeluk mimpi-mimpi itu'. Berkat usaha insyaalah tidak ada yang mustahil, bukan? 
Berbalik kepada cerita muzik, saya adalah peminat dan penyokong lagu-lagu indie (indipendent), indie ok, bukan Hindi. Saya tidak sangat dengar lagu-lagu yang dimainkan stesyen radio terkenal dan meletup-letup. Saya lebih suka mendengar siaran lagu di XFM (xfm hebat juga apa! Xfm sokong antipemerdagangan manusia dengan aktif-tahniah!), di sini lagu-lagu Malaysia hebat-hebat yang baru release dimainkan berulang-kali. Biasanya, stesyen radio lain akan siarkan lagu-lagu yang sudah jadi 'basi' di xfm, kerana xfm telah mainkan lagu-lagu tu awal-awal. Macam Yuna dulu. Macam adik saya, Guba juga, hehehe. Slowly-slowly bah.

Yang ini single terbaru dari Estranged, sebuah band dari Sabah yang lagu-lagunya memang rocking. Yang ini bertajuk Borneo, menggunakan latar tempat di Sabah. Saya sangat suka video ini sangat bertenaga seperti susunan muzik dan lagunya. Ini adalah elemen citra tempatan yang terdapat di dalam karya (muzik) yang sangat bagus dicontohi oleh mana-mana penyanyi Sabah kita, be original~we show who we are, what a wonderful place Sabah is and the most important thing lagu dan lirik kamu mestilah berkualiti dan sebagus lagu Estranged ini. Bukan lagu yang berbau 'sekadar untuk keluar TV saja'. Zaman itu harus berlalu dengan segera, i mean segera!

Ok, saya akui apabila mendengar lagu ini pada mulanya, saya sendiri tidak dapat menangkap liriknya~setelah mengamatinya kemudian, saya bertambah rasa pelik! hehehe, kerana liriknya memang pelik. Saya cuba terjemahkan lirik ini ke bahasa Enggeris dan memang lebih bererti! Lagu ini kalau dinyanyikan dalam bahasa Enggeris pun akan sama hebatnya. Mungkin pihak Estranged mempunyai target pendengar-pendengar berbahasa melayu, mungkin? I dont know if lirik ini dapat menjamin Estranged untuk menang di AJL tahun ini, namun saya doakan yang terbaik buat mereka, kerana mereka (Estranged) memang unik, tersendiri dan ada citarasa muzik yang hebat! Kalau tidak percaya sila klik chanel Youtube mereka ~ estrangedband. Good music. Mereka pernah menjuarai Anugerah Juara lagu suatu ketika dulu dengan lagu 'Itu kamu'.


Seperti Video ini, berciri sejagat tapi berlatar tempatan. Di dalam sessi pembentangan kertas kerja saya di Persidangan Penulis Muda Sabah yang lepas, saya ambil tajuk ini, citra tempatan di dalam karya penulis muda. Walaupun anda menggilai Mario Vargas Llosa, Robin Cook, Andrea Hirata, Seno Gumira Ajidarma atau sesiapapun, jadilah diri anda selalu. Saya tidak akan mengeritingkan rambut hanya kerana saya peminat tegar si keriting Andrea, saya menggilai tulisannya namun saya akan menjadikan dia inspirasi saya untuk menulis, bukan menulis sepertinya, seperti tulisannya.

Apa-apapun, dalam karya, Sifu Azmah Nordin selalu ingatkan ~ supaya gigih terus, kerana yang membezakan penulis adalah usaha, selebihnya dalam jumlah sedikit iaitu 1% adalah bakat. Pesan Pena Alam pula, jangan lupa kuatkan karya dengan ciri sejagat yang bercitra tempatan, kalau anda mahu lah. kalau tidak, menulislah sesuka hati anda, hasilnya doakan dan laksanakan ia yang terbaik. Menulis itu juga merupakan suatu ibadah, bukan. OK, sila klik play untuk dengar lagu ini kerana ianya AWESOME! Apapun, terpulang untuk anda nilai. Saya sokong Estranged. Go on guys! Saya juga sangat hargai bilamana, Estranged berkongsi bersama penonton video menikmati bunyi ombak mendebur batu puncak di mana letaknya hujung dunia di utara bagi Kepulauan Borneo ini - Music went dead, then the sounds of silence crawling in for like few seconds! Great job guys.
( Jangan lupa klik stop player auto di 'senandung daerah pa'al' terlebih dahulu, k)
Estranged - Borneo
Ku buka pintu dan pilih di mana
Ku termenung dan rasa senang saja
Kebaruan itu dikira banyak
Dan yang lama selalu ditinggalkan

Kenyataan ku minat sama kamu
Kedatangan kau dipijak selalu
Teringinkan, tersungguh bosan
Tidak mau lagi ku takut
Warna warna ditelan senja
Dibawah bayu aku satu
Oh,apabila ku hidup salah
Ku minta sama, sama kamu
Disini penuh yang rosak dan hancur
Diisikan minyak dan dilacur
Disana ada yang indah bergema
Terkandung padat terbina kuasa
Teringinkan, tersungguh bosan
Tidak mahu lagi ku rayu
Bercakar keluar dan jatuh senyap
Aku lebih tua
Salam,
Pa'al
KK, 1537; 20102011

Zee Avi - The Book Of Morris Johnson



Lagu yg sangat artistik, saya suka. The Book Of Morris Johnson daripada Zee Avi, orang Miri ni. Good job! p/s : untuk dengar lagu ini, anda kena berhentikan player 'senandung daerah pa'al dulu, k'

The Book Of Morris Johnson ( lirik)

The turtle moves slowly and is happy with his pace of life
The flamingo walks with elegant grace -- she knows she's one of a kind

If you can't stop, at least smile as you go by
If you can't stop, at least smile as you go by
Sometimes, you just gotta know how to feel

The happy crab danced on the beach to a calypso beat
The happy marlin jumps for the pure joy of being alive

If you can't stop, at least smile as you go by
If you can't stop, at least smile as you go by
Sometimes, you just gotta know how to feel

The gator grinned as he dreamed of his next meal
Every good fisherman has a pelican watching over him

If you can't stop, at least smile as you go by
If you can't stop, at least smile as you go by
Sometimes, you just gotta know how to feel


(Sebagai manusia biasa dan kebetulan seorang penyelam skuba, saya sangat sayangkan penyu dan banyak menulis tentang kehidupan penyu dalam puisi-puisi saya, Saya berkhayal-khayal dan berharap En. Ku Seman dari Berita Minggu akan menyiarkan puisi-puisi alam saya suatu hari nanti.. hehe.. masih mengharap.. heee)

Trimakasih yaa..

pa'al

Kawan yang membosankan

Saya adalah kawan yang membosankan. Percaya atau tidak, terpulang, kata kawan rapat saya di suatu hari ketika kami sama-sama sedang mengunyah dim sum di sebuah kopitiam. Kami berpandangan dan akhirnya ketawa kami pecah bersama-sama kerana kami tahu, kami memang kawan yang membosankan satu dengan yang lain. Maksudnya, dia membosankan saya dan saya juga sangat membosankan dia. apa yang menyatukan kami di sana adalah kebosanan. 

Manusia memang patut keluar daripada belenggu kebosanan walaupun itu bermakna dia harus membuang masa (sedikit atau banyak) daripada sesuatu yang sangat sangat penting, seperti kerja, dateline dan sebagainya. Di dalam alam persekitaran serba menduga segalanya sekarang ini, kita harus! Harus cuba mencari sesuatu yang sekurang-kurangnya menyegarkan jiwa dan tubuh badan walaupun sebentar cuma dan kembali 'beraksi' untuk hidup setelah anda segar semula. Kebosanan termasuklah stress, kemurungan, belenggu trauma, apa saja yang negatif ~ u name it! Mungkin 'penyegar' itu datangnya dari sesuatu benda, seseorang~ seperti kawan?  atau mungkin datangnya dari sebuah tempat yang tidak membosankan. 


Itupun kalau anda bercadang untuk hidup lebih lama dengan sihat, cergas dan kuat! Kalau tidak, duduklah setempat dan menjadi murung. Pendek kata, kita, walau apapun sebab dan akibatnya harus bertindak segera demi hidup yang lebih baik, untuk orang-orang tersayang yang mengharapkan kita dan paling penting- demi hidup yang tidak membosankan. Tempat bagi menghilangkan kebosanan itu pula sangat subjektif. Di gunung, rimba, danau, mungkin tempat yang damai bagi kamu tapi ia adalah tempat yang menakutkan dan terlalu sunyi bagi sebilangan orang dan begitulah sebaliknya.


Balik kampung, mengejar ayam itik, duduk di tepi sungai sambil melihat kerbau berkubang yang dipijak bangau di belakangnya, memungut buah rambutan masak dari pokoknya atau menyapu daun-daun kering di halaman rumah datuk nenek, menebas lalang, memancing ikan di tali air yang berair keruh, memanjat pokok kelapa, bertandang ke rumah jiran, kawan.. menangkap belalang di padang rumput kerbau, melepak di warung kopi tepi jalan sambil menghirup kopi mendidih dengan pisang goreng rangup, memetik pucuk paku pakis atau lembiding di belukar belakang rumah datuk nenek, menggegarkan 'orang-orang' untuk menghalau pipit di sawah padi domestik (haha) dan macam-macam lagi... semua itu adalah eskapism untuk kita melarikan diri dari kebosanan. Sekurang-kurangnya itu cadangan silly yang dapat saya fikirkan ketika ini.

Sejak akhir-akhir ini, saya memikirkan kebosanan bukanlah sesuatu yang sangat teruk. Semakin kita memikirkan kebosanan, semakin kebosanan itu membosankan kita. Seperti 'masalah', kebosanan yang datang membuat kita berfikir dan bertindak dengan lebih kreatif. Sebagai penulis, saya perlu mengalami kebosanan itu. Kerana untuk menulis tentang kebosanan yang pure, saya harus berada di sana ~ dalam kebosanan yang melampau, sehingga nanti yang membaca terasa kebosanan itu sampai benar ke hatinya! Ah, ketika menulis catatan ini pun saya sudah berbunga-bunga bosan. Kebetulan cuaca di luar sangat redup, awan gelap dan matahari yang silau tidak muncul. Cuaca mendung dan hujan sudah berlarutan beberapa hari di Kota Kinabalu. Ini sangat membosankan saya, kerana tidak dapat meneruskan eskapism kepada kebosanan saya!


Berbalik kepada saya dan kawan saya. Ya, kami memang membosankan satu dengan yang lain. Walaupun saya tidak tahu sejauh mana kebosanan kawan baik merangkap kakak kandung kepada saya ini, saya rasa saya cukup membosankan dia. Dan dia sememangnya membosankan saya sejak saya lahir kerana muka dia saja yang saya lihat dan sehingga ke saat ini kami terlalu sering berjumpa (hahahaha).Dia tidak akan marah, saya tahu, kerana dia sudah bosan dengan gurauan saya (agaknya). Kami memang suka menghabiskan kehidupan yang dikatakan membosankan oleh wanita-wanita urban di sini pada aktiviti kami berdua, pada masa sekarang, pada masa akan datang dan sebelum ini iaitu ~ berlari berpuluh-puluh kilometer, berenang di lautan lepas, menyelam skuba, mendaki bukit, mendaki gunung, meneroka belantara jualan-jualan murah, bundle (hahaha), berjalan kaki atau memberi makan kepada ikan-ikan kenyang yang tidak lapar di Taman Tun Fuad atau menanam pokok kedondong, Avokado dan mangga serta cili padi di dalam pasu (di dalam rumah) bersama ibu kami dan anak-anak saya. Semua itu mungkin membosankan bagi banyak orang, tapi bak kata orang putih ~ who cares? What is best for you, its not necessarily best for anybody else.. vice versa.

Sejak akhir-akhir ini juga saya sering memikirkan sebuah cadangan rancangan yang paling membosankan bagi sebilangan kawan saya yang tidak sukakan cabaran fizikal; iaitu sebuah cadangan yang pernah diutarakan oleh seorang kawan lain, iaitu mengembara di *Salt Trail Sabah (bermula di Kg. Tikolod, Tambunan dan berakhir di Kg. Inobong, Penampang ~ feel free to google) bersama-sama kawan dan kawan-kawan 'membosankan' yang sama gila dengan saya. Selebihnya, masa saya perlu dihabiskan dengan aktiviti paling membosankan (orang lain) iaitu duduk berjam-jam tanpa gangguan, di hadapan komputer, menulis.

Saya harap saya dapat membosankan kebosanan anda dengan catatan pendek yang sebenarnya, saya rasa, tidaklah membosankan sangat ini, hahaha. Apapun, please try to be happy guys, live life to the fullest, boredom is just another phase of life.. ya ya yaa... 


Sekian,
Pa'al

*Crocker Range Salt Trail Trekking* :  Difficulty Rating: 4/5- This is quite physical trekking, 8 hours each day, where camping is involved camps are set up and cooking done by your guide and porter (unless you feel like helping).

This industrious jungle trek takes a step back in time. Following an old bridal route which connects Dusun villages that are not accessible by road, the 34 km path dissects the Crocker Range National Park. The Dusun are part of the largest ethnic group in Sabah and are known as the Italian artists of the East for their elegant traditional dances, passion for love, and fondness of alcohol, in particular the traditionally brewed rice wine.
Dipetik dari laman :  http://www.discoverborneo.com/offthebeatentrack/trekking-salt-trail-sabah.php

Pusara terindah..

bunga-bunga hutan di pusara Daniella




































































Tak pernah setiap detik pun aku tak mengenangmu. Tak pernah setiap hari berlalu pun aku tak mengingatimu, dalam doa, dalam damai kenangan kita. Di sini lah destinasi kami saban minggu. Mengujungi mu. Bersenandung bersama helus angin yang menuip-niup hati kami yang sayu. Hati kami pasrah, tabah dan tak mampu menangis lagi. 


Namun terkadang airmata itu tak mampu ditahan demi kerinduan yang tak mungkin akan pernah ditebus sampai nyawa tak lagi bersama jasad ini. Hijau rumput menghiasi hamparan permaidani di sekitar rumah perbaringan mu ini, menyejukkan mata-mata kami yang selalu digenangi airmata pilu. 


Pusara mu tenang damai, setenang nafas mu waktu kau menghembusnya di hadapan mata ku, buat kali penghabisan. Aduhai anak, betapa kejamnya perpisahan ini. Pusara mu tempat ku bermenung, menyesali diri, berdoa dan bersujud memohon padaNya, lantas berdiam diri, kaku dan terkadang melayan tangis sendirian, di dalam hati. 


Di sini aku dan adik-adik mu berlari berkejaran, mengusik kupu-kupu pagi, menghayati indahnya pepohon liar dan bunga-bunga hutan, menangkap matahari yang datang menyusur di celahan dedaunan dan menyimpannya dalam balang memori, untuk kami rindukan di hari-hari mendatang, agar kami bisa lagi kembali ke sini, menemui mu, anak, dalam damai panorama rumah mu ini. 


Sungguh kau anak yang tak pernah meminta apa-apa selain kasih. Demi Tuhan yang maha kuasa dalam segala sesuatu..tak pernah sedikit pun aku menyesali akan kelahiran mu. Kau sesuci semulia kewujudan mu, menyedarkan aku yang alpa, akan keinsanan sebenar, keinsafan yang maha ikhlas, kasih sayang tak memilih kudrat, semua ciptaanNya walau ditakdirkan tak sempurna, meminta ku jangan pernah menyesal walau sekelumit kerana kau anugerahNya yang teristimewa. Terima kasih anak, moga kau tenang di sana, di alammu..kami rindu pada mu, terlalu merindukan mu.




Pa'al

..dan daun-daun menutupi pusara mu











Nak,
berdiri di sini
merenung nesan
duka pun melepuh
menghiris parut
yang baru tumbuh
yang mula sembuh

Nestapa itu datang lagi
menjengah relung dada
mendesir merangkum
dalam elus angin sepi
nan menyisir daun-daun
menutup pusara sepi mu

Nak,
masih menitis
air mata hati
patah jiwa pilu
rindu pun merunduk
seakan tak yakin
kau sudah pergi
bertanya-tanya
mengapa sekeras itu
hati kudus kecil mu
ingin bertemu tuhan?


Pena Alam
pusara daniella
9 mei 09

Pagar



Bebaskan, ayuh leburkan
kelu dingin, yang mengarca
di jiwa, di sugul menunggul
kerana kita bukan tunggul

Kita mampu membalut luka
walau dijerut berkali-kali duka
perih, bertukar ganti, terlalu biasa
namun perlukah derita terus bercerita?

siksa tak perlu terlalu banyak menampar
bumi ini saujana luas indah buat kita, ia terhampar
kita, tak perlu tunduk, bersimpuh sampai terlantar
buktikan kita siapa, bukan bertindak kerana dicabar
maruah, semangat, jati diri jangan sekali dicalar


Ayuh! Bebaskan, leburkan!
kelu dingin, yang mengarca
di jiwa, di sugul menunggul
kerana kita bukan sekali-kali tunggul.



Pa'al
kk, 31102011

Sebuah rumah tak bertingkap













Ada keterharuan
menyusup ke liang-liang rasa
setelah genap lilitan angin keras
dua tahun menggumal bumbung
rumah kami yang tidak bertingkap

Ada rasa-rasa ketakpercayaan
menjemput airmata, menitis dalam haru
melihat kaca serta bingkai bersemayam
jelita dipapar dinding kayu serata rumah
gagah mempotret landskap Tuhan di hadapan

Teratak miskin, tak mampu bertingkap
Linang-linang hujan, pernah merembes
masuk membasah kirai lantai jadi busuk
esoknya, kami kalut menggulung nasib
menjemur sarau, menyerah pada matahari
berharap langit menabur hangat sampai malam
kalau bukan menciritkan hujan jurai berjurai
dari perada gemawannya yang keriting

Rumah, hentian jiwa di manapun kita adanya
Rezeki, datang, lalu pergi sesuka hatinya
kita lapang, bersyukur, sepenuh hatinya.


Pa'al
kk, 11:38; 21102011

Hujan












Hujan
bermain alam
menyuci langit
melulurkan bumi

seluruh alam
ikut mendung
bersamanya

Lepaskan kering
dari dalam dirimu
kerana kemarau angin
cuma nestapa  singkat
yang kan diubatkan
musim-musim hujan
yang diturunkan langit
buat kita, penuh pasti


Pa'al
kota hujan
04072011;0727

Ke Pusara Daniella

2008; Craig Wilhem Randavi, 3 sedang meletakkan lilin atas pusara kakaknya Daniella..
Ke Pusara Daniella
( Sebuah puisi untuk puteriku Rory Daniella )


Perjalanan ini terasa amat panjang
Hati pun kian remuk
Sebak meneman dada yang lara
Sunyi jadi kebiasaan yang hidup
Menghias birai-birai hari tanpa dia
Tawa sekadar mengubat bibir kelu
Tiada sebibit rasa untuk berkata apa

Angin di luar tingkap menderu laju
Seiring nafas kami yang sayu
Merindu dikau anak yang dikasihi
Sebegitu pantas masa bersamamu
Belum ku lihat dirimu berkata
Belum sampai hajat di hati
Melihat usia mu menginjak dewasa
Belum kesampaian anganku
Melihat kau memijak altar
Dengan rona manis pipimu
Waktu kau bertemu cinta

Takdir pahit ini teramat kejam
Menusuk ke jiwa manusia paling terdalam
Tatkala aku menyiram tubuhmu yang kaku
Dengan mandian terakhir dalam deraian air mata
Tatkala aku menyarung tubuh kecilmu
Dengan gaun pengantin putih mu yang suci
Tatkala aku menyarung sepasang sepatu putih
Pada kedua kaki mu yang tak pernah memijak bumi
Tatkala aku mengoles denai pipimu yang dingin
Dalam deraian tangis pada hati yang berkecaian
Tatkala aku menyisir rambutmu yang halus
Tatkala aku mengucup dahi mu yang damai
Tatkala melihat jasadmu diangkat masuk
Ke dalam perbaringan mu yang terakhir

Kecewa hati putus harapan
Sesal ini berpanjang-panjangan
Hidupmu penuh derita banyak
Sejak lahir hingga ke hembusan nafas terakhir

Semalam malam aku termimpikan
Dikau berlari girang bersama malaikat-malaikat syurga
Tiada lagi perit tusukan dikulitmu yang akrab tika hayatmu
Tiada lagi sempit nafas mengganggu tidur malammu
Tiada lagi maha derita takdir nan melingkar nasib dirimu

Hati ini pilu anakku
Entah bila terubatkan..
Mungkin sampai jiwa ini bersemadi
Hijau alam ibarat kasih kami
Mengisi rongga dada yang butuh nafas

Pusara ini daerah ratapan zahir batin
Buat ditangis melepas derita rindu
Pada nisan yang kaku
Pada kenangan yang syahdu, pada hibanya sendu

Selamat tinggal Daniella, anak ibu yang manis
Damailah dikau di sana, bersama Tuhan yang Agung
Cinta kami tak pernah kurang walau di mana pun kau kini

my lovely princess, the late Rory Daniella, Cerebral Palsy
12 Nov, 2003 - 12 Sept, 2008


Pena Alam
12 Sept, 2008  
Hari Jumaat , 5:00 am

Sabtu

Catatan Pena Alam ..sebuah lakaran kenangan 2010












Kesusteraan melayu. Itulah dunia kecintaan pa'al sejak mengenalnya pada tahun 1993, di tingkatan empat Sekolah Menengah Kebangsaan Tenom. Pertama kali pa'al menulis cerpen adalah pada tahun yang sama, iaitu dengan menyambung sebuah cerita yang dimulakan dengan satu perenggan, sewaktu ujian bulanan. Hasilnya, sebuah cerpen yang mendapat markah yang membuat pa'al berada di kayangan, di awang-awangan. Namun kemahiran menulis sebuah cerita pendek mati begitu saja, mungkin kerana pada waktu itu akses untuk menyertai Bengkel-bengkel penulisan memang susah, di daerah kelahiran pa'al waktu itu tidak ada bengkel seumpama itu diadakan untuk menggilap bakat2 seperti sekarang. Pa'al hanya membaca cerpen,  novel dan puisi, megaguminya tanpa pernah mencuba untuk menulisnya sendiri. Namun mungkin kerana minat yang sangat mendalam terhadap dunia puisi, pa'al telah cuba-cuba menulisnya. Cubaan demi cubaan. Sejak itu, pa'al mula menulis puisi, puisi demi puisi... pa'al masih ingat puisi pertama yang tersiar di Utusan Borneo bertajuk 'Hijau Mendulong' pada tahun 1995.

Hijau Mendulong mengisahkan keterujaan Pa'al pada sebuah ekspedisi menerokai hutan dara di bukit Mendulong, Sipitang. Ekspedisi remaja yang  disertai pa'al. Puisi pendek itu pa'al tulis setulus hati dan akhirnya dikeluarkan di dada akhbar. Waktu itu karya-karya sangat susah dihantar ke surat khabar, susah kerana perlu hantar melalui pos, kena ke pejabat pos, perlu cari mesin taip atau komputer ( yang memang sukar didapati) untuk ditaip kemas-kemas, mematuhi jarak langkau dan sebagainya. Itulah satu-satunya puisi yang pernah keluar di surat khabar pada zaman remaja pa'al.Terima kasih abang Nad. Bersyukur pa'al kerana sempat menghadiri PPS 95 di SMK Bingkor itu, kalau tidak sudah tentu sastera dan pa'al akan berkubur ditelan masa.

Tahun 2009, pa'al kembali menulis! Setelah melalui zaman kehilangan diri dalam dunia Sastera, pa'al kembali menggoyangkan pena di atas kertas. Apapun cabarannya dahulu, kini Pa'al mengorak pena ini makin jauh lembaran ke lembaran. Setiap lembaran yang pa'al selak ada cerita tersendiri dan ada insan-insan yang senantiasa mendorong dan menjadi sumber inspirasi pa'al. Tidak kira siapa pun mereka, yang pasti mereka istimewa dan ibarat telah diutuskan Tuhan untuk menjadi malaikat-malaikat kecil dan berkembang jadi bunga-bunga sumber ilham buat pa'al. Terimakasih  untuk memori tahun 2010 yang lalu.

Seperti watak Helda (di dalam Cerpen Mutiara pa'al) yang berdiri penuh gelora jiwa, di hadapan sebuah Pusat Pemulihan Dalam Komuniti yang merenung awan di langit sedangkan resah gundah di dalam jiwanya menyuruhnya pulang bernestapa di rumah sepanjang hayat; dia akhirnya dicabar dengan sebuah mesej di dalam telefon bimbitnya- yang ditaip sendiri berbunyi- Masuk ke dalam! atau balik meratap di rumah!....seperti kata Shakespeare 'to be or not to be'; Dia mencabar diri. To be or not to be? Pa'al sendiri telah mencabar diri dengan menulis 'Pertama dan Prometheus' pada bulan Januari 2010 yang lalu. Mendorong diri untuk menulis - memilih untuk menulis walau apa pun halangannya. Melarat-larat cerita pertemuan pa'al dengan dewa Prometheus yang kononnya menjadikan manusia dan secara senyap-senyap telah memberikan api dari syurga kepada manusia itu. Siapa Prometheus itu? Dia sebenarnya adalah ilham Mary Shelley untuk menulis Frankenstein, novel tunggalnya yang masih relevan dibaca sehingga ke hari ini.



Hebat! Pa'al megagumi Mary. Namun cerita 'pertama dan prometheus' itu sebenarnya adalah cabaran pa'al kepada diri sendiri agar jangan berpuas hati dengan hanya satu karya. Teruskan lagi selagi ada hayat dikandung badan. Pa'al mencabar diri sendiri untuk menulis, meredah, memboloskan diri, membelah rimba kesibukan kerjaya yang menuntut masa dan tenaga. Sama seperti Helda yang akhirnya masuk 'ke dalam' dan mengatasi benteng kemanusiaan yang dibinakannya sendiri kerana masa silam yang penuh derita. Ya Allah, terima kasih! ...Alhamdulilah.

27hb Disember, 2010 ..tahun lalu, semangat Pa'al disuntik, digoncang-goncangkan daripada ketiduran yang dasyhat..kealpaan ini telah direnjis air sesegar aliran air gunung puncak Kinabalu dengan anugerah Hadiah Sastera Sabah bagi karya-karya tahun 2008/ 2009. Alhamdulilah, syukur kepada Allah SWT. Tiada kata yang dapat mengungkapkan kesyukuran Pa'al pada kurniaan ilahi ini. Berganda anugerah-Mu ya Allah.



Cerpen Mutiara itu, Pa'al tulis dalam deraian airmata demi mengenangkan kisah hidup sendiri yang lebih kurang ceritanya. Manakala, Puisi Kupu-kupu Laut itu adalah bingkisan Pa'al sebagai seorang penyelam skuba yang meluahkan rasa pada keindahan alam buana bawah lautan yang sebenarnya terlalu sukar digambarkan melalui kata-kata. Ketenangan dan keindahan dunia bawah lautan adalah obsesi pa'al yang tidak akan dapat diambil atau dipertaruhkan oleh sesiapapun. Berada di bawah lautan, berkesempatan duduk di atas lantai lautan luas yang putih bersih bermanikan butir-butir pepasir memutih yang dihiasi tarian-tarian gemalai arus lautan dan segala isinya yang berwarna-warni merupakan sebuah anugerah daripada Allah kepada pa'al ..kerana dapat melihatnya dan menghayatinya secara langsung. Oh lautan! aku cintakanmu.

Mudah-mudahan tahun 2011 menjanjikan kecemerlangan, ilham menulis yang lebih banyak, kesihatan yang baik, kesejahteraan, kebahagiaan dalam kesederhanaan yang pa'al dambakan dalam kehidupan dan di dalam dunia kecintaan pa'al - bersastera..Perjuangan harus diteruskan walau apa pun halangannya.2010, Thanks for the memories and for sure, Life must go on.

Salam Sayang,










Pena Alam
Kota Kinabalu
1 Januari, 2011
Hari Sabtu


Rabu

Hutan Konkrit : Aku dan seekor kucing hitam













Di jendelaku
di jendelanya

Ada kami
yang sama menuang kosong
sekelumit rasa, luas hidup ini
dalam cangkir lisan terkunci
waktu kuntum hari memekar

Kucing kecil warna hitam
aku terkecil mewarna ilham

Di jendela jauhari
kami merenung pagi
dalam buih-buih kabut
yang mula mengangkasa


Pena Alam
Kota Kinabalu
rpkwkk ; 151210; 0952

Puisi Kemerdekaan buat Pak Samad dan negaraku Malaysia : 'Tatkala aku ingin menulis tentang hari merdeka'...( sila klik pic Pak Samad)

Sayangi Alam!

Sayangi Alam!
Orang Utan juga diancam kepupusan ..

Sahabat lautan, sahabat kita ..penyu, tahukah anda penyu adalah haiwan yg diancam kepupusan? Penyu juga adalah haiwan yg diwartakan sbg spesies yg dilindungi kerajaan. Jadi adalah menjadi suatu kesalahan bg anda utk memelihara penyu di dalam akuarium, membunuhnya atau mengambil telurnya.. dan tahukah anda, penyu hanya akan bertelur semula selepas 3 atau 4 tahun selepas bertelur, maknanya jika anda makan telurnya, anda sama seperti pembunuh yg telah menelan segenerasi kehidupan sang penyu sama ada anda sedar atau tidak, setuju ataupun tidak..