Sabtu

Catatan Pena Alam ..sebuah lakaran kenangan 2010












Kesusteraan melayu. Itulah dunia kecintaan pa'al sejak mengenalnya pada tahun 1993, di tingkatan empat Sekolah Menengah Kebangsaan Tenom. Pertama kali pa'al menulis cerpen adalah pada tahun yang sama, iaitu dengan menyambung sebuah cerita yang dimulakan dengan satu perenggan, sewaktu ujian bulanan. Hasilnya, sebuah cerpen yang mendapat markah yang membuat pa'al berada di kayangan, di awang-awangan. Namun kemahiran menulis sebuah cerita pendek mati begitu saja, mungkin kerana pada waktu itu akses untuk menyertai Bengkel-bengkel penulisan memang susah, di daerah kelahiran pa'al waktu itu tidak ada bengkel seumpama itu diadakan untuk menggilap bakat2 seperti sekarang. Pa'al hanya membaca cerpen,  novel dan puisi, megaguminya tanpa pernah mencuba untuk menulisnya sendiri. Namun mungkin kerana minat yang sangat mendalam terhadap dunia puisi, pa'al telah cuba-cuba menulisnya. Cubaan demi cubaan. Sejak itu, pa'al mula menulis puisi, puisi demi puisi... pa'al masih ingat puisi pertama yang tersiar di Utusan Borneo bertajuk 'Hijau Mendulong' pada tahun 1995.

Hijau Mendulong mengisahkan keterujaan Pa'al pada sebuah ekspedisi menerokai hutan dara di bukit Mendulong, Sipitang. Ekspedisi remaja yang  disertai pa'al. Puisi pendek itu pa'al tulis setulus hati dan akhirnya dikeluarkan di dada akhbar. Waktu itu karya-karya sangat susah dihantar ke surat khabar, susah kerana perlu hantar melalui pos, kena ke pejabat pos, perlu cari mesin taip atau komputer ( yang memang sukar didapati) untuk ditaip kemas-kemas, mematuhi jarak langkau dan sebagainya. Itulah satu-satunya puisi yang pernah keluar di surat khabar pada zaman remaja pa'al.Terima kasih abang Nad. Bersyukur pa'al kerana sempat menghadiri PPS 95 di SMK Bingkor itu, kalau tidak sudah tentu sastera dan pa'al akan berkubur ditelan masa.

Tahun 2009, pa'al kembali menulis! Setelah melalui zaman kehilangan diri dalam dunia Sastera, pa'al kembali menggoyangkan pena di atas kertas. Apapun cabarannya dahulu, kini Pa'al mengorak pena ini makin jauh lembaran ke lembaran. Setiap lembaran yang pa'al selak ada cerita tersendiri dan ada insan-insan yang senantiasa mendorong dan menjadi sumber inspirasi pa'al. Tidak kira siapa pun mereka, yang pasti mereka istimewa dan ibarat telah diutuskan Tuhan untuk menjadi malaikat-malaikat kecil dan berkembang jadi bunga-bunga sumber ilham buat pa'al. Terimakasih  untuk memori tahun 2010 yang lalu.

Seperti watak Helda (di dalam Cerpen Mutiara pa'al) yang berdiri penuh gelora jiwa, di hadapan sebuah Pusat Pemulihan Dalam Komuniti yang merenung awan di langit sedangkan resah gundah di dalam jiwanya menyuruhnya pulang bernestapa di rumah sepanjang hayat; dia akhirnya dicabar dengan sebuah mesej di dalam telefon bimbitnya- yang ditaip sendiri berbunyi- Masuk ke dalam! atau balik meratap di rumah!....seperti kata Shakespeare 'to be or not to be'; Dia mencabar diri. To be or not to be? Pa'al sendiri telah mencabar diri dengan menulis 'Pertama dan Prometheus' pada bulan Januari 2010 yang lalu. Mendorong diri untuk menulis - memilih untuk menulis walau apa pun halangannya. Melarat-larat cerita pertemuan pa'al dengan dewa Prometheus yang kononnya menjadikan manusia dan secara senyap-senyap telah memberikan api dari syurga kepada manusia itu. Siapa Prometheus itu? Dia sebenarnya adalah ilham Mary Shelley untuk menulis Frankenstein, novel tunggalnya yang masih relevan dibaca sehingga ke hari ini.



Hebat! Pa'al megagumi Mary. Namun cerita 'pertama dan prometheus' itu sebenarnya adalah cabaran pa'al kepada diri sendiri agar jangan berpuas hati dengan hanya satu karya. Teruskan lagi selagi ada hayat dikandung badan. Pa'al mencabar diri sendiri untuk menulis, meredah, memboloskan diri, membelah rimba kesibukan kerjaya yang menuntut masa dan tenaga. Sama seperti Helda yang akhirnya masuk 'ke dalam' dan mengatasi benteng kemanusiaan yang dibinakannya sendiri kerana masa silam yang penuh derita. Ya Allah, terima kasih! ...Alhamdulilah.

27hb Disember, 2010 ..tahun lalu, semangat Pa'al disuntik, digoncang-goncangkan daripada ketiduran yang dasyhat..kealpaan ini telah direnjis air sesegar aliran air gunung puncak Kinabalu dengan anugerah Hadiah Sastera Sabah bagi karya-karya tahun 2008/ 2009. Alhamdulilah, syukur kepada Allah SWT. Tiada kata yang dapat mengungkapkan kesyukuran Pa'al pada kurniaan ilahi ini. Berganda anugerah-Mu ya Allah.



Cerpen Mutiara itu, Pa'al tulis dalam deraian airmata demi mengenangkan kisah hidup sendiri yang lebih kurang ceritanya. Manakala, Puisi Kupu-kupu Laut itu adalah bingkisan Pa'al sebagai seorang penyelam skuba yang meluahkan rasa pada keindahan alam buana bawah lautan yang sebenarnya terlalu sukar digambarkan melalui kata-kata. Ketenangan dan keindahan dunia bawah lautan adalah obsesi pa'al yang tidak akan dapat diambil atau dipertaruhkan oleh sesiapapun. Berada di bawah lautan, berkesempatan duduk di atas lantai lautan luas yang putih bersih bermanikan butir-butir pepasir memutih yang dihiasi tarian-tarian gemalai arus lautan dan segala isinya yang berwarna-warni merupakan sebuah anugerah daripada Allah kepada pa'al ..kerana dapat melihatnya dan menghayatinya secara langsung. Oh lautan! aku cintakanmu.

Mudah-mudahan tahun 2011 menjanjikan kecemerlangan, ilham menulis yang lebih banyak, kesihatan yang baik, kesejahteraan, kebahagiaan dalam kesederhanaan yang pa'al dambakan dalam kehidupan dan di dalam dunia kecintaan pa'al - bersastera..Perjuangan harus diteruskan walau apa pun halangannya.2010, Thanks for the memories and for sure, Life must go on.

Salam Sayang,










Pena Alam
Kota Kinabalu
1 Januari, 2011
Hari Sabtu


5 ulasan:

  1. syabas sahabatku...walau jauh darimu.doaku agar kau sukses dan berada di mercu kejayaan. teruskan pjuanganmu melakar seni dan btari tinta.aku senitasa myokongmu sahabatku.

    BalasPadam
  2. Karya-karya Pa'al baik cerpen mahupun puisi mempunyai kekuatan tersendiri yang diadun daripada pengalaman pahit dan manis meliputi kehidupan di desa terpencil, penerokaan dasar laut, lembah gunung yang berbalam, di kota dan tatkala kehilangan insan teristimewa. teruskan berkarya, saya dapat mengesan bakat Pa'al ketika bersama menjadi peserta Pertemuan Penulis Sabah pertengahan 1995 di SMK Bingkor, Keningau

    BalasPadam
  3. Mas7664 alias Mas, trimakasih...mari bah menulis balik. jgn sia2kan bakatmu, zanna

    BalasPadam
  4. Abg Azrone...

    pa'al setitik tinta kecil yg mengagumi dunia sastera,pa'al tak akan pernah sekali-kali melupakan jasa dan budi abg azrone & abg Naddin sejak Pertemuan Penulis Sabah PPS 95 itu...

    mari teruskan perjuangan !

    BalasPadam
  5. saya juga sangat berminat untuk menulis.. saya sangat menyenangi sastera dan jiwa penulisan melayu.. moga hasrat saya tercapai..

    BalasPadam


Puisi Kemerdekaan buat Pak Samad dan negaraku Malaysia : 'Tatkala aku ingin menulis tentang hari merdeka'...( sila klik pic Pak Samad)

Sayangi Alam!

Sayangi Alam!
Orang Utan juga diancam kepupusan ..

Sahabat lautan, sahabat kita ..penyu, tahukah anda penyu adalah haiwan yg diancam kepupusan? Penyu juga adalah haiwan yg diwartakan sbg spesies yg dilindungi kerajaan. Jadi adalah menjadi suatu kesalahan bg anda utk memelihara penyu di dalam akuarium, membunuhnya atau mengambil telurnya.. dan tahukah anda, penyu hanya akan bertelur semula selepas 3 atau 4 tahun selepas bertelur, maknanya jika anda makan telurnya, anda sama seperti pembunuh yg telah menelan segenerasi kehidupan sang penyu sama ada anda sedar atau tidak, setuju ataupun tidak..