Khamis

Pengantin Putih I

Benedection Recessional

(untuk abang Peter & Kak Jo)


Sambutlah jantung hati mu, abang

yang manis bibirnya gebu merah

hatinya putih subur penuh cinta

semanis kuntum cinta kalian

bersatulah kalian dalam damai

hingga alam berlari ke akhir garisan


Lihatlah pengantin mu abang

gemalai langkah santunnya

ke altar bukti janji sejati kalian

rambutnya wangi licin disanggul rapi

dibibirnya tersunggil senyum termanis

menzahir gempitanya hati sukacita

menyahut seru cinta yang kuasa


Lihat abang, putih gaun itu sesuci hatinya

yang girang menyahut tika dilamar mu

alam pun tenang berirama syahdu

merahmati naungan hari penyatuan mu

roh bapa kan sebak lalu menangis

bersyukur melihat abang jadi insan


Tataplah mata hati janji ikrar mu abang

jangan disiakan pengantin suci mu

dakaplah dia tika kau gembira

peluklah dia tika kau berduka

rindukan kasihnya bila jauh


Kasihilah dia sesungguhnya

siramilah indah kasih beradik kita

pada rumah mu yang tercipta

sempurnakan amanah itu

bila sang ayah serahkan dia

bebas dari kebergantungan

dapat ke dalam tangan mu

bersumpah mati abadi bersama

di benedictions recessional semulia ini

untuk kalian kenang akan manisnya

untuk kalian rayakan ulangtahunnya

di hayat-hayat seterusnya..


Pena Alam

Kudat-Kota Belud, march 2009

Rabu

gedung hati I




katakan maaf
kerna maaf itu manis
bila sedar tersasar
tika sesal tersedar

kadang hari itu
susila mencium cemar
lalu hati mu berkotak
lumpuh dalam denyut
jadi kau merangkak
mengejar matahari
yang makin laju
mencumbu senja

katakan maaf
kerna maaf itu suci
akui kau juga insan
bertali dosa jadi lupa
memetik aura bulan
mengemas bintang
lalu malam jadi kelam

katakan maaf
berikanlah maaf
lalu maafkan diri
bebaskan senyum
lepaskan lafaz lelah
cintailah segala cinta


Pena Alam
KualaLumpur
29 Julai, 2009

Ahad

kita berpuisi..

hai!

Mari menulis puisi. Bukan senang menulis puisi. Puisi adalah karya istimewa. Puisi adalah nyanyian dalam hati yang datang lalu berlari laju dalam aliran darah mu, membawa bersama letusan-letusan neuron tulus dari buah ilham yang datang tak mengira masa dan ketika lalu menghentam lembut serebrum akal mu, impaknya dashyat! lalu kita zahirkan ia ke jari-jemari kita, maka terciptalah bahasa-bahasa puitis tersusun mengalir dari bait ke bait, baris ke baris , dalam sebuah rangkuman erti yang mendalam. Puisi itu misteri. Puisi itu seharusnya misteri. Tak kisah apa peraturannya, yang penting puisi itu asli. Tulin. Paling mustahak, ia datang dari hati. Sebab apa yang datang dari hati sampai ke hati. Tulislah puisi. Kalau hati mu pandai bernyanyi, lagukanlah ia. Bagi Pa'al puisi yang cantik dan lembut adalah puisi yang tak menggunakan perkataan 'dan'.. puisi akan tampak keras dan pincang dengan perkataan itu. Selamat berpuisi!

Pena Alam
BH Kota Kinabalu
19 Julai, 2009

Rabu

warkah buat bapa..



Pak,
julai tiba lagi
dalam sepi
dalam rindu
tanpa dikau


mendung itu

enam belas tahun lalu

masih bebas datang

lalu bebas pergi
bersemboyan
bersyair pilu
di lubuk rasa

pak,
pergi mu masih pagi
tinggal embun kering
seraya titis airmata
jatuh di pilar nisan mu
pada tiap julai datang

sejak pergi mu
aku jadi menghitung
warna-warna sang pelangi
yang tak sempat kau ertikan
satu persatu adanya

sejak kau pergi
aku mula menghitung
jejak langkah kita
yang tertinggal jauh
dalam rasa duka
dalam sukacita
dalam keterasingan

pak,
dapat kiranya kau lihat
dari tingkap syurga itu
bahwa kami patuh
walau kadang jatuh
kami bangkit bangga
bagai wira antenom
menangkis sumpit alam

pak,
ku bawa semangat mu
dalam damai dewasa ku
dalam tiap helai waktu
sedalam laut, seluas langit
cinta padamu tak bisa diukur
sampai selamanya


Pena Alam
Kota Kinabalu
15 Julai, 2009

rrbasutan 1 sept 1945 - 27 julai 1993

(Utusan Borneo, Ahad, 25 Julai 2009)

Isnin

sebiji bola dengan gigi paling besar..

.
.
..
.oh.
..ibu..
...dalam girang...
...berlari daku dalam riang...
...lalu dari mata ku melihat ke mata mu ...
....mengharap senyum senang terukir di bibir ......
.....mengharap kasih mu mendakap daku di rangkul.....
.....lalu membelai rambut halus ku, mencium dahi sayang......
.......membuat dikau tersayu terharu tertitis airmata tersyukur......
....bila suara molek manja ku bertutur kasih asuh mu kali pertama....

di sini
hari
ini
oh
ibu
ini
bo
la
d
e
n
g
an
gigi
paling
besar
:-)
.
.
.
.
Pena Alam
Kota Kinabalu
14 Julai, 2009


monolog malam isnin..

bagaimana aku harus menulis
kalau di dua tangan ku ada dua batu besar?


pena alam
13 julai 2009
kota kinabalu

Khamis

kisah Mabul, Sipadan dan Pena Alam

Siapa tak mengenali Sipadan? Mungkin ada yang belum pernah menjejakkan kaki ke Pulau Sipadan, walau pun orang Sabah sendiri. Rasanya, walaupun orang Semporna sendiri pun ramai lagi yang belum pernah ke Sipadan. Walau begitu, rasanya kebanyakkan warga Sabah tahu kewujudan Sipadan walau pun belum pernah lagi ke situ. Saya juga, sebelum menjejakkan kaki ke Sipadan pernah dengar tentangnya, dan rasa kagum dengan cerita-cerita menakjubkan tentang Sipadan daripada cerita orang lain. 'Sipadan yang seperti 'cendawan' dan 'Sipadan yang cantik unik', 'lautan sipadan yang magik' dan sebagainya. Pada masa itu langsung tidak terfikir bahawa satu hari nanti Pa'al akan jadi 'pemuja lautan' dengan menjadi penyelam scuba.

Pulau Mabul terletak hanya dua puluh minit dari Sipadan dengan menggunakan bot laju atau lebih kurang empat puluh lima minit perjalanan dengan bot laju dari pekan Semporna. Saya ada sedikit pengalaman bekerja di sebuah pusat peranginan yang terletak di Pulau Mabul untuk dikongsikan bersama anda. Pusat peranginan itu sangat unik. Asalnya ia merupakan sebuah pelantar minyak yang hodoh, namun telah diubahsuai sehingga menjadi sebuah pusat peranginan yang selesa dan serba lengkap dengan fasiliti sebuah pusat peranginan terutamanya untuk percutian scuba, enam tiangnya tersembul dari dasar laut sedalam 18 meter bersamaan 60 kaki dan terletak hanya lebih kurang tiga minit perjalanan bot laju dari pantai Pulau Mabul. Ia merupakan satu-satunya 'offshore resort' di kawasan tersebut. Sebelum bekerja di situ, saya tidak minat dengan cerita-cerita lautan, membayangkan lautan itu berbau hanyir, penuh ikan-ikan yang akan dimakan oleh sekalian manusia, tidak lebih daripada itu.



Berada dikelilingi sekalian teman-teman yang menggilai sukan air scuba diving ini, memberi motivasi yang kuat untuk saya menjadi salah seorang daripada mereka. Akhirnya saya menjadi wanita pertama dan termuda di pusat peranginan itu yang pertama mendapat lesen menyelam scuba. Lesen pertama 'PADI Open Water diver yang membenarkan anda menyelam pada kedalaman 18m / 60 ft pada waktu siang sahaja. PADI adalah singkatan kepada Proffesional Association of Diving Instructor. Beberapa bulan selepas itu, saya teruskan minat scuba dengan mengambil lesen PADI Advanced Open Water diver, yang mana dengan adanya lesen ini saya bolehlah menyelam pada kedalaman sehingga 40m / 100ft dan bonusnya..boleh menyelam pada sebelah malam (night divie)! Agak lama memegang lesen AOW ini sebelum ke peringkat seterusnya. Saya memang mencintai lautan sejak pertama kali mencuba-cuba peralatan scuba dan merasa thrill menyelam scuba ini melalui 'discover scuba' yang dijalankan secara percuma oleh pusat peranginan di mana saya bekerja waktu itu. Selepas itu, saya tidak lagi menoleh ke belakang untuk menyesal kerana 'terjebak' dalam sukan ini. Ia menjadi kegilaan dan telah menjadi dunia si Pa'al ..Kita temui kedamaian hakiki di sini, di dasar lautan! Saya budak kampung yang hanya mengenal sungai, kini telah dapat menghayati dunia bawah lautan yang indah dan tenang, menghormati keupayaan diri dan paling penting jadi seseorang yang sangat menghargai alam dan lautan serta segala isinya.




Pulau Mabul sebenarnya tak kurang hebatnya berbanding Sipadan. Baru-baru ini, Pulau Mabul mula terkenal dengan jolokan 'the best muck diving' di dunia. Di sini, kecekapan menyelam sangat penting kerana kita perlu cekap berenang menggunakan fins, jika tidak, tahap penglihatan akan dikaburi pasir akibat kayuhan fins yang tidak terkawal daripada kaki anda. Terumbu karang di sini kurang menyerlah berbanding Sipadan kerana aktiviti pengeboman ikan oleh nelayan di sini telah memusnahkan kawasan terumbu karang yang asli. Sehingga kini, tumpuan menyelam scuba di Pulau Mabul adalah untuk melihat haiwan-haiwan laut mikro, seperti Blue Ring Octopus yang hebat (boleh membunuh), flamboyant cuttlefish, Kuda Laut( yang paling Pa'al suka!), Frog fishes yang comel dan pandai bertukar-tukar warna, berbagai jenis scorpionfish, Clown Fish, moray eel, snake eels, ikan-ikan gobi yang melihat-lihat dari tingkap terumbu, Rhobust Ghospipefish, nudibranch ( Saya amat suka dengan sea slugs ini !) 


Bercakap tentang moray eel, ingatan saya singgah pada dua ekor moray eel yang kami gelarkan 'Elvis' dan 'Priscilla' yang tinggal di bawah tukun tiruan di dasar laut di mana terletaknya enam tiang pusat peranginan di mana saya bekerja itu. Kedua-duanya merupakan eel yang sangat besar! kepala Elvis sahaja sebesar baldi, manakala Priscilla agak kecil sedikit. Saya masih ingat bagaimana excitednya kami turun ke dasar laut resort kami itu semata-mata untuk bertemu Elvis dan Priscilla untuk memberi mereka makan. Keduanya, terutama Elvis agak 'jinak' dan sudah biasa dengan kehadiran para penyelam scuba di sana. Apabila kawan saya seorang Divemaster mengetuk besi yang dilonggokkan di mana Elvis tinggal, dia akan menyembul keluarkan kepalanya yang sangat besar dengan mulut yang terkumat-kamit. Kami yang gembira, akan memberinya makan sepotong-demi sepotong ikan sehinggalah dia bosan dan masuk kembali ke dalam tukun. Saya masih ingat, beberapa kali melihat Elvis keluar dari sarangnya, terdiam kami demi melihat bahawa dia sangat besar dan panjang! Kerana sebelum ini, saya cuma terjumpa beberapa moray eel yang kecil-kecil sahaja. Yang paling menyentuh hati adalah, kami pernah juga melihat Elvis dan Priscilla keluar berenang berdua, romantik betul ikan belut laut berdua ini, dan mereka kelihatan seperti sedang menari dengan pakaian yang melayang-layang ditiup angin, sangat cantik. Elvis berwarna coklat kuning dan berbintik sedikit.

Pertama kali menjejakkan kaki ke pulau Sipadan adalah beberapa minggu selepas bekerja di pulau Mabul, sebelum saya jadi penyelam scuba. Kenangan yang tak akan pernah dilupakan adalah selepas saya qualified sebagai OW diver, saya melakukan selaman sebenar yang pertama di Pulau Sipadan. Lokasinya adalah di Barracuda Point. Pertama kali membuka mata di bawah air, dengan panorama alam bawah lautannya yang cukup membuat saya terdiam, terkagum. Biru, luas, sejuk.... dan semuanya sangat mengharukan. Arus air yang agak kuat pada masa itu telah membuat kami seakan terbang di angkasa tanpa graviti, dan arus kuat ini telah menjemput beribu-ribu ikan barracuda dan jacks dalam kawanannya datang berenang-renang dan bermain dengan arus air yang deras gagah itu, betul-betul di atas kepala kami. Mereka membuat formasi membulat dan tak menghiraukan kami yang ada di situ, seakan sudah biasa dengan manusia. Terasa seperti mahu saja menangis kegembiraan, terharu bila tengok ikan-ikan sebesar-besarnya itu lalu-lalang depan mata begitu saja, buat pertama kalinya. Ada juga terselit penyu hijau( green turtle) yang sebesar meja bulat berlalu dengan maha selamba di depan mata kami. Bayangkan..

Di atas pulau Sipadan itu sendiri pada ketika itu cukup 'meriah' dengan kehadiran chalet-chalet pusat-pusat peranginan. Pada hari ini, chalet-chalet itu sudah dipindahkan ke Pulau Mabul dan di pekan Semporna atas arahan kerajaan Malaysia yang ingin memelihara keaslian dan keindahan Pulau Sipadan untuk tatapan generasi depan. Tindakan bijak ini dilakukan sangat mendapat sambutan sangat baik daripada banyak penyelam skuba seperti saya! Saya tidak ingat, adakah keputusan ini diambil setelah Malaysia menang perbicaraan 'ala2' perebutan pulau Sipadan ini (melawan Indonesia) yang dijalankan Mahkamah Antarabangsa. Sebagai pencinta alam semulajadi saya sangat bersyukur dengan keputusan memindahkan semua pusat penyelam yang hanya merosakkan keindahan dan 'moral' Pulau Sipadan ini pada jangka masa panjang.


Kini, yang tinggal di atas pulau Sipadan hanyalah, pondok penguatkuasa yang menjaga pulau tersebut. Berbalik kepada cerita Pulau Sipadan, pada masa dahulu, di sepanjang pantai Pulau Sipadan, kita boleh singgah minum di bar-bar yang dibuka kepada para pelancong yang menginap di pusat peranginan tersebut. Pulau Sipadan pada dasarnya, di atas, agak biasa-biasa dan kecil sahaja, dalam 20 minit kita boleh menghabiskan satu pusingan dengan berjalan kaki, kalau berlari boleh buat pusingan dalam 15 minit sahaja, hehe. Kadang-kadang kita akan terserempak dengan umang-umang yang meminjam cengkerang tumpang bersaiz sangat besar, sedang menebuk buah kelapa di atas pokok kelapa, 




Apa yang membuat Sipadan sangat magik bagi saya adalah bukan kerana suasana pulaunya yang sama seperti mana-mana pulau peranginan di dunia ini, namun magisnya adalah kerana dunia bawah lautannya yang dipenuhi pelbagai jenis haiwan marin dalam berbagai jenis, spesies, saiz dan bentuk. Di sini kita berpeluang melihat penyu jantan dan betina, seperti yang saya katakan tadi, ada yang sebesar meja bulat kedai kopi dan ada juga penyu kurang upaya, kerana hilang sebelah kaki dan ada yang bahagian cengkerangnya kelihatan seperti dikelar kerana terkena kipas enjin bot dan sebagainya.


Kadang-kadang pula, dalam kawanan ikan barracuda atau jack, kita dapat lihat ada ikan tersebut yang berenang dengan mata kail dan tali pancing (tangsi) menyangkut di bibirnyanya! Di sini, macam-macam ada. Paling seronok dapat melihat ikan jerung dalam berbagai jenis, seperti White Tip Shark, Leopard Sharks, Grey Reef dan kalau bertuah dapat bertemu Hammerhead yang hebat! Kalau anda bernasib baik juga, akan terlihat Manta Rays yang kelihatan seperti drakula dengan warna putih hitam mengerbang sayapnya, dalam kawanan. Si Pa'al belum pernah sebertuah ini dengan Manta. Mungkin suatu hari...



Kalau dipandang dari sudut keratan rentas geografinya, Sipadan kelihatan seperti cendawan. Kalau anda berenang atau sedang menyelam scuba, manalah anda nampak bentuknya dari kejauhan, seperti kata-kata kebanyakkan orang. Di bahagian perairan yang cetek, kita sangat bertuah kerana sekiranya anda cuma mahu ingin snokerling sahaja pun, anda sudah boleh melihat ikan jerung yang manis sedang berenang-renang riang!


Setiap ceruk perairan sekitar Pulau ini telah 'ditandakan' dengan nama-nama khas. Dalam dunia selam scuba ini dinamakan 'dive site'. Antara Dive site yang terkenal di Sipadan termasuklah Drop Off, Barracuda Point, Turtle Cavern, South Points, Hanging Garden, di samping beberapa site lain seperti Lobster Lair ( yang kami gelarkan Lobster Liar, hehehe, kerana kecewa bila tak jumpa pun Lobster di sana ketika menyelam), Coral Garden, Whitetip Avenue, Turtle Patch, Staghorn Crest dan Sipadan Midreef.

Turtle cavern atau gua penyu melengkapkan keajaiban alam bawah lautan Pulau Sipadan ini. Terletak 18 m dari permukaan laut, gua bawah laut yang gelap ini hanya memuatkan lorong kecil untuk menelusurinya. Juga merupakan destinasi terakhir pengembaraan hidup seekor penyu laut yang datang ke sini untuk mati. Para penyelam scuba menggelarkan gua ini moseleum bagi sang penyu. Namun begitu, dipercayai juga, bahawa penyu-penyu ini berkemungkinan sesat dan tak menjumpai jalan keluar dari gua ini, lalu mereka mati di sini. Di dalamnya banyak rangka-rangka penyu. Saya belum pernah menyelam ke dalam gua ini lagi, kerana perlu mendapatkan lesen untuk melakukan cavern dive. Di dalam Setiap aktiviti selam scuba, anda harus mendapatkan lesen terlebih dahulu. Lesen tersebut adalah lesen seumur hidup, kecuali jika anda memilih untuk menjadi proffesional diver, menyelam sebagai kerjaya dan punca pendapatan, maka anda harus memperbaharui lesen anda setiap tahun.

Sebelum berhenti kerja dan bertukar angin ke bidang perhotelan pula, saya sempat mengambil Kursus Rescue Diver dan sebelum itu mengambil lesen sebagai Nitrox Diver. Kursus Rescue Diver adalah sangat menarik dan mencabar sekali! Nanti saya ceritakan lagi pengalaman Pa'al sebagai Rescue Diver pula di post yang akan datang. Ini merupakan pengalaman peribadi saya di dalam dunia Scuba dan sekiranya teman-teman ada sebarang pertanyaan tentang scuba, silalah tanya, susah-susah google saja la info tu!

Thanks!

Pa'al
Kota Kinabalu
10 Julai,2009

Puisi Kemerdekaan buat Pak Samad dan negaraku Malaysia : 'Tatkala aku ingin menulis tentang hari merdeka'...( sila klik pic Pak Samad)

Sayangi Alam!

Sayangi Alam!
Orang Utan juga diancam kepupusan ..

Sahabat lautan, sahabat kita ..penyu, tahukah anda penyu adalah haiwan yg diancam kepupusan? Penyu juga adalah haiwan yg diwartakan sbg spesies yg dilindungi kerajaan. Jadi adalah menjadi suatu kesalahan bg anda utk memelihara penyu di dalam akuarium, membunuhnya atau mengambil telurnya.. dan tahukah anda, penyu hanya akan bertelur semula selepas 3 atau 4 tahun selepas bertelur, maknanya jika anda makan telurnya, anda sama seperti pembunuh yg telah menelan segenerasi kehidupan sang penyu sama ada anda sedar atau tidak, setuju ataupun tidak..