Jumaat

Salam Aidilfitri

Selamat Hari Raya Aidilfitri.

Jangan lupa dapatkan Berita Harian sempena Aidilfitri untuk membaca coretan kenangan Hari raya saya ya.

Maaf juga dipinta daripada saya kerana puisi-puisi di dalam Teratak Pa'al ini sedang dikemaskini dan boleh dibaca semula setelah selesai semuanya.

Semoga bergembira di Aidilfitri, jangan lupa pada mereka yang susah dan semoga persahabatan berkekalan.

Maaf, zahir batin.

Daripada Pa'al sekeluarga.

Khamis

Hadiah Sastera Sabah 2010 / 2011


Asalamualaikum, Salam Ramadan dan selamat sejahtera.

Pertama sekali, syukur kepada Allah kerana limpahan rezekiNya buat saya dan keluarga.

Seperti puisi Kupu-Kupu Laut yang telah mendapat HSS 2008/2009, puisi saya yang mendapat HSS 2010/11 kali ini juga mempunyai cerita tersendiri. Puisi 'Di Kaki Hujan' merupakan puisi yang saya tulis di dalam linangan air mata dan hati yang sebak, betul-betul pada hari hujan yang sangat kuat. Pagi itu, saya menerima berita daripada seorang sahabat rapat sewaktu saya bekerja di utara dua tahun lalu, bahawa anak sulungnya telah kembali ke pangkuan ilahi kerana komplikasi penyakit. Sedih saya bukan sekadar menumpang kesedihannya, tetapi saya turut merasakan hiba pemergian anak sahabat saya yang bernama Rayyan sampai ke ulu-ulu hati. Rayyan adalah anak lelaki yang sangat baik, sangat kami sayangi kerana seperti Daniella, anak sulung perempuan saya, Rayyan adalah anak kurang upaya, Cerebral Palsy seperti Daniella. Mereka sama-sama meninggal dunia setelah dikirim dan dipinjamkan Tuhan untuk menyerikan hidup kami selama beberapa tahun.

Setelah pemergian Rayyan, saya sedari bahawa sebenarnya saya tidak pernah mengambil gambar bersamanya. Saya tercari-cari di manakah agaknya foto kami bersama, jawapannya tetap tiada. Setelah bertanya pada hati, saya pejamkan mata dan di sana saya telah melihat Rayyan, malahan anak saya, kami bersama-sama suatu waktu dahulu, wajahnya sangat jelas dan terang. Saya malah dapat mendengar suara riang tawa ke dua anak itu yang tidak pernah pun kami dengar semasa hayat mereka. Saya tahu, saya tidak perlu mencari foto di atas tapak tangan kerana wajah anak itu ada di hati saya dan potret itu akan kekal selamanya di dalam hidup saya.

Anak-anak kurang upaya seperti Daniella dan Rayyan tidak dapat berbicara, hanya menangis ketika mereka inginkan perhatian. Insan lain mungkin melihat mereka sebagai anak yang tidak sempurna, namun bagi kami mereka adalah anak-anak yang paling sempurna dan tidak ada cacat celanya. Seorang kawan baik saya selalu berkata, kita melihat ahli-ahli syurga apabila melihat mereka dan anak-anak seperti Rayyan dan Daniella. Insyaalah.

Terima kasih kepada Utusan Borneo, kerana menyiarkan puisi 'Di Kaki Hujan'. Saya tujukan penghargaan ke atas puisi ini di dalam HSS 2010/11 ini khas untuk anak-anak Cerebral Palsy di mana juga mereka berada. Teristimewa buat anak saya Daniella dan juga anak sahabat saya, Rayyan. Al-Fatihah.

Syukur, alhamdulilah.


Wasalam,

Pa'al


Di kaki Hujan
Pena Alam




Di kaki hujan
langit merenungku
bening pun merayap
menangisi cakerawalaku
dengan berai-berai titisnya

Lewat deru dingin angin
aku kehilanganmu
dalam rinai hujan
yang baru luruh

Lalu,
di kaki hujan itu
airmata serta sesalku
menderu jadi satu

Tulus wajah itu
dalam rekah senyum
hilang jadi nostalgia
seperti kabus kelam

Kini,
hanya nisanmu
tenang untuk kutatapi
pabila hati menggesek biola rindu
pabila desah memikul resah

Berteman bunga hutan
berkasih dicit-dicit unggas
serta redup belantara

Kuakui,
bahwa aku tak pernah memiliki potretmu, rayyan

Pun kerana satu sebab,
potretmu nan damai bertumbuh segar
menghijau di sini, di daerah hati ini

Tuhan, kasihanilah anak itu!


Pena Alam
pa'al untuk rayyan
16 Julai, 2010
Utusan Borneo

with so much love for ratna, jais, adik, nadia, lulung, aiman... and the rest of the mourning world.







Puisi Kemerdekaan buat Pak Samad dan negaraku Malaysia : 'Tatkala aku ingin menulis tentang hari merdeka'...( sila klik pic Pak Samad)

Sayangi Alam!

Sayangi Alam!
Orang Utan juga diancam kepupusan ..

Sahabat lautan, sahabat kita ..penyu, tahukah anda penyu adalah haiwan yg diancam kepupusan? Penyu juga adalah haiwan yg diwartakan sbg spesies yg dilindungi kerajaan. Jadi adalah menjadi suatu kesalahan bg anda utk memelihara penyu di dalam akuarium, membunuhnya atau mengambil telurnya.. dan tahukah anda, penyu hanya akan bertelur semula selepas 3 atau 4 tahun selepas bertelur, maknanya jika anda makan telurnya, anda sama seperti pembunuh yg telah menelan segenerasi kehidupan sang penyu sama ada anda sedar atau tidak, setuju ataupun tidak..