Selasa

cinta takkan mati

biar
pohon-pohon rebah
tanah-tanah jadi rekah
laut sungai bergelora
tanahair tak lagi bahagia
kita harus berpegangan jari
menyentuh hati ke hati
kerna cinta itu takkan pernah mati

pa'al
dalam cinta alam kedamaian
kk,1334, 131009

cerita kami dan gula-gula kacang di bawah lembayung kota bulan

aku : lihat itu, bulan. bulat,kan?
trudy : iya mak.
aku : di mana agaknya matahari itu sekarang, ya?
trudy : matahari sedang tidur dalam pesawat yang terbang waktu malam.
aku : iya?
trudy : ya, mak. ( aku tersenyum, geli hati)
tiba-tiba lelem menunjukkan gula-gula kacangnya ke arah bulan.
lelem : funny moon.
aku : hehe.. why funny, lelem?
lelem diam saja, sambil tersenyum melihat bulan. gula-gula kacang bertangkai itu dimasukkan ke dalam mulutnya semula.
trudy : mak, lihat, ada bintang.
aku : iya. banyak, kan?
trudy : emm. ( dia mengangguk)

kami pun terus duduk-duduk, bertiga. memandang bulan dan seluruh bintang-bintangnya. Aku pula terus duduk mendakap dua bintang-bintang hati ku yang bersinar terlalu indah di dalam cakrawala dihidupku, tiada tandingannya. Tiada apa yang dapat memisahkan kasih kami. Tiba-tiba teringatkan Rory, aku memeluk erat kedua-dua trudy dan lelem. Mereka masih dengan gula-gula kacang yang manis, bersamaku merenung bintang, di bawah lembayung bulan. Malam yang cantik, malam yang berbulan. Malam boleh datang dan berlalu tanpa kehadiran bintang-bintang, tapi apalah ertinya hidup ini tanpa bintang-bintang yang mekar menghias laman nurani di hati kita, walau siapa pun bintang itu, hargailah dia sebelum terlambat.

pa'al
kota bulan
kk, 06102009

bunga hutan






















Duhai bunga hatiku
bagai baru semalam
dikau berada dipelukku

Bagai hanya sedetik
putikmu berderai ke bumi
bercambah jadi bunga hutan

Takkan kuhabiskan kenangan ini
walau pinggir-pinggir hutan tak lagi menjemputku




Pena Alam
mengenang rory
kk, penghujung september 09

Sabtu

tertinggi

aku rerumput perdu
mendongak-dongak hingga pilu hulu tengkuk ku
melihat wibawamu dalam sinar mimbar malam

syukurku kembang jadi bunga-bunga waktu
bila dapat disaluti dingin embunanmu
yang datang dari atas cebis-cebis fikirmu
yang putih mulia dipagari awan gemawan

siapalah aku, sang pujangga tak bernama
sama hijau di rimba jutaan menghijau tak kau hirau
sedang kau rupawan mulus di kalang tertinggi

pa'al
negeri malam
kk, 260909

Jumaat

dari laut..

apakah petanda
bunga karang, di laut, patah?

hanya pantai
serta lenguh badai samudra
yang tahu

pa'al
di laut, 250909

Selasa

malam yang larut

malam
semakin larut
entah mengapa
kurasakan ia.. baru saja bermula


pa'al
kk, 220909; 11.56pm

Isnin

catatan mengenai talasemia

Suatu petang, pa'al terima mesej dari wendy di kudat. Wendy, seorang anak lelaki kecil dari kudat tapi hatinya besar. Dia ada hati yang sangat besar untuk hidup. Wendy yang selalu berwajah pucat namun manis senyumnya. Wendy yang baik. Wendy yang talasemia.

Tahukah anda apakah dia penyakit talasemia?

Ini sedikit info tentang penyakit talasemia yang pa'al ambil dari blog sahabat pa'al, seorang wanita cantik dan baik hatinya, dalam blognya http://zie0309.blogspot.com. ( zie, promote blog ko ni..hehe)

Talasemia ialah sejenis penyakit anemia yang juga penyakit keturunan. Walaupun biasa terdapat di kawasan Mediteranean, penyakit ini juga didapati di India dan Asia Tenggara. Talasemia boleh diwarisi oleh anak jika kedua-dua ibu dan bapa mempunyai gen yang terlibat. Walaupun kedua-dua ibu bapa tidak menghidap anemia, kebarangkalian anak menghidapinya ialah satu per empat. Anak yang menghidap talasemia tidak boleh menghasilkan hemoglobin yang normal, iaitu bahan yang menghasilkan warna merah dalam sel darah merah dan merupakan bahan pembawa oksigen ke seluruh tubuh badan. Masalah ini ketara semasa anak menjangkau tiga bulan. Pada masa ini, tanda-tanda penyakit anemia mula muncul seperti kelesuan, sesak nafas dan pucat. Lama-kelamaan anak akan semakin kekurangan tenaga dan mengalami kesukaran menyusu. Bahagian abdomennya juga akan menjadi besar disebabkan pembesaran limpa dan hati.

Tanda-tanda

  • Kelesuan.

  • Bibir, lidah, tangan, kaki dan bahagian lain berwarna pucat.

  • Sesak nafas.

  • Hilang selera makan dan bengkak di bahagian abdomen.

Apakah yang boleh dilakukan?

Doktor akan mengambil contoh darah untuk diuji. Jika penyakit talasemia disyaki, anak akan dirujuk ke hospital untuk dilakukan ujian lanjutan. Jika anak disahkan menghidap penyakit ini, pemindahan darah biasanya diperlukan untuk mengelak anak daripada mengalami kesan buruk penyakit anemia.

Apabila anak sudah cukup besar, anak mungkin perlu menjalani pembedahan untuk membuang limpanya. Ini akan mengurangkan kekerapan pemindahan darah kerana kekerapan pemindahan darah akan menimbulkan masalah lain, iaitu ferum boleh berkumpul di dalam tubuh badan dan merosakkan hati, pankreas dan jantung. "Lebihan ferum" ini merupakan ancaman utama penyakit ini dan ramai pesakit menemui ajal mereka semasa remaja. Kini rawatan baru memberi masa depan yang lebih cerah bagi pesakit. Kanak-kanak yang menghidap talasemia kini menerima suntikan ubat yang dapat membantu tubuh badan membuang ferum. Dalam beberapa keadaan, rawatan ini dilakukan secara suntikan yang berterusan pada waktu malam. Anak yang menghidap talasemia harus boleh menjalani kehidupan yang normal.

Kegiatannya tidak perlu dihadkan tetapi dia memerlukan bantuan dan sokongan. Minta nasihat doktor dan cuba berhubung dengan keluarga lain yang juga ada anak yang menghidap talasemia.

Jika anda tergolong dalam kumpulan yang berkemungkinan besar menjadi pembawa penyakit ini, pastikan anda dan pasangan menjalani ujian darah sebelum anda membuat keputusan untuk mendapatkan anak. Ujian untuk memnetukan kemungkinan bayi dalam kandungan menghidap penyakit tersebut boleh dilakukan.

Stoppard, Miriam. Panduan Penjagaan Kanak-kanak. Tropical Press, 1998. ms 232.

Pa'al merenung mesej dari Wendy petang itu lama-lama. Makin lama makin terguris hati ini. Lalu Pa'al terbayangkan perasaan ibu bapa Wendy dan seluruh ibu bapa anak-anak talasemia yang lain, terutamanya yang jadi klien Pa'al masa di hospital dulu. Pa'al tarik nafas sedalamnya. Lalu Pa'al baca semula mesej Wendy.

"Si Reck sudah meninggal"

Dan terbayanglah wajah si Reck yang disebut Wendy tu. Recklik anak Talasemia yang sangat bergaya dan sporting, waktu kali terakhir Pa'al ambil gambar dia di Kudat dulu. Recklik adalah antara lebih 100 anak-anak Talasemia yang menjadi sahabat karib Pa'al, Zie, manuel, Nadia dan semua warga Hospital sebenarnya. Mobile campaign Derma Darah dibuat di Kudat dan di serata negara kita demi untuk mencari para penderma darah untuk memberi darah mereka secara percuma untuk menghidupkan nyawa-nyawa manusia lain termasuklah anak-anak Talasemia ini. Percuma pun, beberapa faedah tetap diberi oleh kementerian kesihatan untuk para penderma darah tetap sebagai penghargaan kepada mereka dan juga untuk galakkan lebih ramai orang datang menderma darah. Salut untuk semua Blood Donor! yang belum pernah mencuba, kenapa tidak, perempuan pun boleh. Asalkan sihat tubuh badan dan cukup berat badan.

Si Reck. Pa'al seakan tak percaya, dia yang pergi dahulu sebab sebenarnya ramai lagi anak-anak Talasemia yang lebih kronik daripada si Reck tu. Pa'al pun balas mesej Wendy, minta dia supaya banyak-banyak bersabar dan tanya bila funeral si Reck? Sayangnya, Pa'al tak sempat ke majlis pengebumian Reck. Sampai ke hari ini, mesej Wendy masih Pa'al simpan. Tak pernah delete. Dan selalu Pa'al terfikir berapa sangatlah orang-orang di luar sana yang tahu pasal Talasemia. Dan berapa ramai saja yang mahu tahu. Berminat jadi penderma darah? Atau sekurang-kurangnya berminat ingin tahu.

Tunggulah, doakan novel pertama Pa'al siap. Ada sesuatu tentang Talasemia yang ingin Pa'al kongsikan bersama sesiapa yang sudi di sana. Insyaallah.


Pa'al

220909, 1.07am


Ahad

satu syawal

carikan aku
makna satu syawal
bila takbir membisik

bunyinya terlalu merdu
buat dukaku meredup

izinkan aku
mengenal lima wajahmu
dalam seluruh kota imanmu

pa'al
1 syawal, 200909



Sabtu

tujuh kesempatan

satu
060908, 8.00pm

alpa, tak tersedar..

kesempatan itu harapan
yang terbit dari ehsan-Nya
untukku merenung bulan
menebus gunung khilaf
mengaku kebesaran-Nya

pa'al, kuching
9 sept 09

tujuh kesempatan

dua
070908, 4.30am

sebuah riwayat suci
ingin permisi disubuh dinihari
lalu aku memanggilnya bertahan
bertahan lagi sampai esok senja

jangan pergi, jangan .. tolonglah

pa'al

tujuh kesempatan

tiga, empat
8-11,0908 ; pelayaran terakhir

di sini,
kita bagai baru bertemu
lantang mengibar kasih
sedang rupanya
pelayaran ini
adalah yang terakhir bagimu

akukah yang terlambat?
atau masa yang terlalu cepat?


pa'al , mengenang rory

tujuh kesempatan

lima
120908, jumaat, 10.00pm

bangunlah ibu,
aku ingin pergi

kulit-kulitku sakit semua
jantungku ingin berhenti berdetik
aku tak mampu bernafas lagi

beritakanlah ibu
bahawa aku ingin pergi


pa'al, mengenang rory

tujuh kesempatan

enam
120908, jumaat, 12.00am

aduhai anak
mengapa dingin sekali tubuhmu
tak seperti hangatmu waktu kau tiba
matamu tak pernah lagi kau buka
hancur hati melihat kau lesu
tak mahu bernafas lagi

mengapa sekeras itu
hati kudusmu
ingin bertemu tuhan?


pa'al, mengenang rory

tujuh kesempatan

tujuh
5 ramadhan,120908, jumaat , 5.30am

sebuah perahu putih
menyusur lautan dengan layar kecil
di dalamnya tampak seorang gadis kecil
sayu tersenyum melambai lambungan
rerambutnya melayang dibelai bayu

katanya, di sini sudah layarku ibu
aku ingin berlari di syurga
membelai rama-rama manis
tiada lagi duka, tiada lagi sengsara

kesempatan ke tujuh, melambai pergi gadis kecilku

pergilah anak, berlayarlah ke cahaya itu
damailah dikau di sana, damailah dikau..

pa'al, pusara daniella
120909

Selasa

hujan manis

siang jadi malam
malam pun melarut
alir hujan turun gemerintik
mula titis-titis kecil menjatuh
berantai-rantai, tindih-bertindih
jadi laut-laut kecil, mengusap lantai lesu
manisnya dikau sang hujan yang turun malam
mahukah kau berjanji bersenandung lagi besok malam?
kata hujan : ya, jika bulan mungkir janji lagi pada langit

pa'al di kota hujan
kk 310809


Isnin

Laut

biru
membiru
menghempas denai pasir
ombak berombak
jadi samudera
memberat bumi
agar tak melayang
jadi planet paling jauh

pa'al
kk 310809

dekat

dekat
makin dekat
terasa lekat
di dinding hati
senyum pun tumbuh
di laman penuh bunga

Pa'al
kk, 310809

hikayat rindu

telah ku susun
huruf-huruf manis
di celah kerongkong
untuk kujambangkan
jadi hias bunga atas jendela
di tingkap jauharimu

Pena Alam
kota mimpi
31 ogos 09


Sabtu

Selamat menjalani ibadah puasa untuk semua sahabat pa'al..

Teringat ramadhan, terus teringat suasana beraya di kampung dulu. Teringat baju kurung merah jambu kain kapas yang pertama kali pa'al minta mak jahit untuk dipakai masa ronda-ronda, 'magayam' dari satu rumah ke satu rumah sahabat handai dan cikgu sekolah masa raya dulu. Hehehe.

Bahagianya raya. Pa'al ucapkan selamat berpuasa untuk semua sahabat di blog ini, semoga Ramadhan membawa keberkatan untuk semua.

salam sayang

pa'al

bertemu SIFU!

Hari ini hari bertuah. Bertuah sungguh. Bertuah sebab Pa'al dapat jumpa sifu, puan Azmah Nordin! Sifu datang ke 'sessi bersama penulis' anjuran DBP Sabah & Dawama. Pada pertemuan itu cik Ruhaini Matdarin yang baru saja memenangi Hadiah Sastera melalui novel Jendela Menghadap Jalan dan penulis yang sudah tak asing lagi, En. Hussin Haji Othman telah berkongsi pengalaman jerih payah menjadi penulis yang baik dan macam-macam lagi pengalaman berharga dikongsikan bersama kami. En. Hussin yang baik itu adalah suami kepada Sifu! Ternyata mereka memang sehati sejiwa, kerana sama-sama menulis dan kelihatan sangat ceria bahagia. Turut ada di sana adalah puteri Sifu yang juga seorang penulis. Ketiga-tiga beranak ini bagi Pa'al sangat istimewa kerana minat yang sama dalam menulis cerita rakyat. Tahniah!

Semasa sessi selama lebih sejam sahaja itu, ada juga para pelajar yang datang bersama cikgu mereka, termasuk beberapa kakitangan DBP yang lain, penulis-penulis baru/lama tapi sudah 'berkarat' sikit ( macam Pa'al) dan penulis yang sedang bergembira dengan hasil titik peluh menulis mereka ( fulus sudah masuk!) .

Daripada sessi pendek itu, Cik Ruhaini telah berkongsi dengan kami, bahawa kualiti dan nilai sastera itu lebih penting dari mengejar motif kewangan, dalam menghasilkan sesuatu karya. Penulis perlu banyak membaca dan tak kenal erti putus asa dalam menghasilkan sesuatu karya. En. Hussin pula menekankan perjuangan yang memberi kesan berpanjangan dalam jiwa pembaca. Kata beliau, 'imaginasi lebih baik daripada intelek' yang disampaikan dalam sebentuk kupasan yang ringkas dan sangat menarik. Beliau mahu penulis itu 'menyelam' di dasar cerita, dan berkembang di dalam cerita, aspirasikan ilham dalam keindahan bahasa melayu yang tinggi kualitinya, dan yang utamanya, hasilkan karya yang tinggi nilai kesusasteraannya, ada nilai perjuangan dan ada nilai warisan untuk tatapan generasi kini dan akan datang.

Berbalik kepada kegembiraan Pa'al bertemu Sifu pula, ceritanya begini, Pa'al tak mengenali Sifu pada mulanya. Pa'al mengenali sifu hanya melalui Blog beliau, di mana Pa'al belajar menulis secara online sejak Jun lepas. Rupa-rupanya Sifu duduk di kerusi paling belakang bersama-sama penulis-penulis dan staff DBP, Pa'al sangat teruja bila tahu rupanya Sifu jadi datang. Sifu jugalah yang paling banyak bertanya kepada panel penulis di hadapan ( Cik Ruhaini dan Hubbynya, En. Husin, hehe). Baiknya Sifu yang tersohor itu, beliau hanya duduk di belakang dan kelihatan begitu simple dan sangat ceria. Sifu sempat memberikan kami alamat blognya iaitu http://azmahnordin.blogspot.com, supaya lebih ramai adik-adik boleh berguru dengannya. Pa'al tersenyum sebab Pa'al sudah pun jadi student Sifu di alam maya, hehe..Pa'al memperkenalkan diri pada Sifu sebelum kudapan dan dapat memeluk Sifu. Sifu sangat baik dan sporting. Kata-kata semangat dari Sifu takkan Pa'al lupakan sampai bila-bila (Biar Pa'al simpan kata-kata semangat itu , ya!!). Tak sempat bagitahu Sifu, bahawa Pa'al sepatutnya jumpa Sifu 14 tahun yang lalu dan berguru dengannya. Dalam 14 tahun yang terhilang dalam diri sendiri, hilang ilham, tiba-tiba Pa'al mendapatkannya kembali tahun lalu ( thanks be to god the almighty and MASH!). Akhirnya Pa'al dapat kembali sejalur cahaya untuk kembali menulis dan Pa'al bersyukur sebab Pa'al ada Sifu yang sudi membimbing, terharunya..!

Sifu, terimakasih yang tak terhingga! :-) .. Moga Sifu akan terus berkarya dan memberi inspirasi pada kami untuk teruskan minat dalam kesusasteraan melayu ini. Pa'al doakan kesejahteraan dan kesihatan yang baik untuk Sifu, suami dan keluarga!

Pa'al juga ingin mengucapkan terima kasih pada Ruhaini atas perkongsiannya, dan tak lupa pihak DBP sebab sudi menjemput kami datang pagi tadi. Terima kasih untuk semua!

God Bless.


Pa'al

Khamis

mudah?

"tiada yang mudah dalam hidup."
"mana ada yang mudah dalam hidup?"
"mau makan atau pegi tandas pun bukan mudah. Kena ada sedikit tenaga dan kemahuan juga."
"Fikirkkan yang susah itu mudah dilakukan, pasti semuanya dapat dilakukan dengan mudah"
"Eh, tadi kata memang tak ada yang mudah dalam hidup kan?"
"Betul. Tapi yang tak mudah itu boleh jadi mudah kalau kita fikirkannya jadi mudah. Mudah, kan?
"Ya, betul kata mu. Tapi cakap memang mudah. Sebelum sesuatu yang tak mudah tu jadi mudah, sempat juga kita jadi stress dan menjadi gila sebentar".

Kami, iaitu aku dan diri ku tertawa kecil bersama. Satu aku dan satu di dalam aku.

Bukan mudah jadi seorang yang mudah menerima segala batu jemala tanpa banyak soal, menerima dengan hati terbuka dan lapang dada walau pun terpaksa, yang kemudiannya akan pula dikritik dan direndahkan serta dibanding-banding dengan garam dunia yang sudah berkapal-kapal ditelan orang atas. Demi maruah jadi orang yang bermaruah, kita kunyah dan telan pahitnya hempedu hijau pekat yang dihidangkan atas meja kita dengan semangat waja. Kita panah hati kita dengan busur ikhlas dan yakin, bahawa laut itu luas dan dalam, dan pasti di dalamnya ada serelung mutiara paling mulia yang belum pernah ditemukan manusia untuk kita. Hanya untuk kita.

mudah-mudahan.

pa'al

Isnin

duka itu..

Duka
bagai
tertulis
tertanam
terbenam
terkarang
jadi erti derita
dalam sinopsis
cakrawala jiwa

telapak jari itu
bertongkat angin
jengket tumit itu
bertahan atas kerikil
namun tergelincir jatuh
atas licin batu sungai

di ceruk danau itu
kubilang helai rumput
lalu berkecil hati pada hujan
yang turun atas muka laut
bukan atas laut tanah hijau

Sejak bayu menghiris horizon
kukibar syukur dalam redha
ku elus gelung pelangi
yang terbit dalam gerimis
biar lebur semua dalam doa
di hikayat takdir selaut ikhlas


Pena Alam
Kota Kinabalu - Kota Mimpi
3 Ogos, 2009



Khamis

Pengantin Putih I

Benedection Recessional

(untuk abang Peter & Kak Jo)


Sambutlah jantung hati mu, abang

yang manis bibirnya gebu merah

hatinya putih subur penuh cinta

semanis kuntum cinta kalian

bersatulah kalian dalam damai

hingga alam berlari ke akhir garisan


Lihatlah pengantin mu abang

gemalai langkah santunnya

ke altar bukti janji sejati kalian

rambutnya wangi licin disanggul rapi

dibibirnya tersunggil senyum termanis

menzahir gempitanya hati sukacita

menyahut seru cinta yang kuasa


Lihat abang, putih gaun itu sesuci hatinya

yang girang menyahut tika dilamar mu

alam pun tenang berirama syahdu

merahmati naungan hari penyatuan mu

roh bapa kan sebak lalu menangis

bersyukur melihat abang jadi insan


Tataplah mata hati janji ikrar mu abang

jangan disiakan pengantin suci mu

dakaplah dia tika kau gembira

peluklah dia tika kau berduka

rindukan kasihnya bila jauh


Kasihilah dia sesungguhnya

siramilah indah kasih beradik kita

pada rumah mu yang tercipta

sempurnakan amanah itu

bila sang ayah serahkan dia

bebas dari kebergantungan

dapat ke dalam tangan mu

bersumpah mati abadi bersama

di benedictions recessional semulia ini

untuk kalian kenang akan manisnya

untuk kalian rayakan ulangtahunnya

di hayat-hayat seterusnya..


Pena Alam

Kudat-Kota Belud, march 2009

Rabu

gedung hati I




katakan maaf
kerna maaf itu manis
bila sedar tersasar
tika sesal tersedar

kadang hari itu
susila mencium cemar
lalu hati mu berkotak
lumpuh dalam denyut
jadi kau merangkak
mengejar matahari
yang makin laju
mencumbu senja

katakan maaf
kerna maaf itu suci
akui kau juga insan
bertali dosa jadi lupa
memetik aura bulan
mengemas bintang
lalu malam jadi kelam

katakan maaf
berikanlah maaf
lalu maafkan diri
bebaskan senyum
lepaskan lafaz lelah
cintailah segala cinta


Pena Alam
KualaLumpur
29 Julai, 2009

Ahad

kita berpuisi..

hai!

Mari menulis puisi. Bukan senang menulis puisi. Puisi adalah karya istimewa. Puisi adalah nyanyian dalam hati yang datang lalu berlari laju dalam aliran darah mu, membawa bersama letusan-letusan neuron tulus dari buah ilham yang datang tak mengira masa dan ketika lalu menghentam lembut serebrum akal mu, impaknya dashyat! lalu kita zahirkan ia ke jari-jemari kita, maka terciptalah bahasa-bahasa puitis tersusun mengalir dari bait ke bait, baris ke baris , dalam sebuah rangkuman erti yang mendalam. Puisi itu misteri. Puisi itu seharusnya misteri. Tak kisah apa peraturannya, yang penting puisi itu asli. Tulin. Paling mustahak, ia datang dari hati. Sebab apa yang datang dari hati sampai ke hati. Tulislah puisi. Kalau hati mu pandai bernyanyi, lagukanlah ia. Bagi Pa'al puisi yang cantik dan lembut adalah puisi yang tak menggunakan perkataan 'dan'.. puisi akan tampak keras dan pincang dengan perkataan itu. Selamat berpuisi!

Pena Alam
BH Kota Kinabalu
19 Julai, 2009

Rabu

warkah buat bapa..



Pak,
julai tiba lagi
dalam sepi
dalam rindu
tanpa dikau


mendung itu

enam belas tahun lalu

masih bebas datang

lalu bebas pergi
bersemboyan
bersyair pilu
di lubuk rasa

pak,
pergi mu masih pagi
tinggal embun kering
seraya titis airmata
jatuh di pilar nisan mu
pada tiap julai datang

sejak pergi mu
aku jadi menghitung
warna-warna sang pelangi
yang tak sempat kau ertikan
satu persatu adanya

sejak kau pergi
aku mula menghitung
jejak langkah kita
yang tertinggal jauh
dalam rasa duka
dalam sukacita
dalam keterasingan

pak,
dapat kiranya kau lihat
dari tingkap syurga itu
bahwa kami patuh
walau kadang jatuh
kami bangkit bangga
bagai wira antenom
menangkis sumpit alam

pak,
ku bawa semangat mu
dalam damai dewasa ku
dalam tiap helai waktu
sedalam laut, seluas langit
cinta padamu tak bisa diukur
sampai selamanya


Pena Alam
Kota Kinabalu
15 Julai, 2009

rrbasutan 1 sept 1945 - 27 julai 1993

(Utusan Borneo, Ahad, 25 Julai 2009)

Isnin

sebiji bola dengan gigi paling besar..

.
.
..
.oh.
..ibu..
...dalam girang...
...berlari daku dalam riang...
...lalu dari mata ku melihat ke mata mu ...
....mengharap senyum senang terukir di bibir ......
.....mengharap kasih mu mendakap daku di rangkul.....
.....lalu membelai rambut halus ku, mencium dahi sayang......
.......membuat dikau tersayu terharu tertitis airmata tersyukur......
....bila suara molek manja ku bertutur kasih asuh mu kali pertama....

di sini
hari
ini
oh
ibu
ini
bo
la
d
e
n
g
an
gigi
paling
besar
:-)
.
.
.
.
Pena Alam
Kota Kinabalu
14 Julai, 2009


monolog malam isnin..

bagaimana aku harus menulis
kalau di dua tangan ku ada dua batu besar?


pena alam
13 julai 2009
kota kinabalu

Khamis

kisah Mabul, Sipadan dan Pena Alam

Siapa tak mengenali Sipadan? Mungkin ada yang belum pernah menjejakkan kaki ke Pulau Sipadan, walau pun orang Sabah sendiri. Rasanya, walaupun orang Semporna sendiri pun ramai lagi yang belum pernah ke Sipadan. Walau begitu, rasanya kebanyakkan warga Sabah tahu kewujudan Sipadan walau pun belum pernah lagi ke situ. Saya juga, sebelum menjejakkan kaki ke Sipadan pernah dengar tentangnya, dan rasa kagum dengan cerita-cerita menakjubkan tentang Sipadan daripada cerita orang lain. 'Sipadan yang seperti 'cendawan' dan 'Sipadan yang cantik unik', 'lautan sipadan yang magik' dan sebagainya. Pada masa itu langsung tidak terfikir bahawa satu hari nanti Pa'al akan jadi 'pemuja lautan' dengan menjadi penyelam scuba.

Pulau Mabul terletak hanya dua puluh minit dari Sipadan dengan menggunakan bot laju atau lebih kurang empat puluh lima minit perjalanan dengan bot laju dari pekan Semporna. Saya ada sedikit pengalaman bekerja di sebuah pusat peranginan yang terletak di Pulau Mabul untuk dikongsikan bersama anda. Pusat peranginan itu sangat unik. Asalnya ia merupakan sebuah pelantar minyak yang hodoh, namun telah diubahsuai sehingga menjadi sebuah pusat peranginan yang selesa dan serba lengkap dengan fasiliti sebuah pusat peranginan terutamanya untuk percutian scuba, enam tiangnya tersembul dari dasar laut sedalam 18 meter bersamaan 60 kaki dan terletak hanya lebih kurang tiga minit perjalanan bot laju dari pantai Pulau Mabul. Ia merupakan satu-satunya 'offshore resort' di kawasan tersebut. Sebelum bekerja di situ, saya tidak minat dengan cerita-cerita lautan, membayangkan lautan itu berbau hanyir, penuh ikan-ikan yang akan dimakan oleh sekalian manusia, tidak lebih daripada itu.



Berada dikelilingi sekalian teman-teman yang menggilai sukan air scuba diving ini, memberi motivasi yang kuat untuk saya menjadi salah seorang daripada mereka. Akhirnya saya menjadi wanita pertama dan termuda di pusat peranginan itu yang pertama mendapat lesen menyelam scuba. Lesen pertama 'PADI Open Water diver yang membenarkan anda menyelam pada kedalaman 18m / 60 ft pada waktu siang sahaja. PADI adalah singkatan kepada Proffesional Association of Diving Instructor. Beberapa bulan selepas itu, saya teruskan minat scuba dengan mengambil lesen PADI Advanced Open Water diver, yang mana dengan adanya lesen ini saya bolehlah menyelam pada kedalaman sehingga 40m / 100ft dan bonusnya..boleh menyelam pada sebelah malam (night divie)! Agak lama memegang lesen AOW ini sebelum ke peringkat seterusnya. Saya memang mencintai lautan sejak pertama kali mencuba-cuba peralatan scuba dan merasa thrill menyelam scuba ini melalui 'discover scuba' yang dijalankan secara percuma oleh pusat peranginan di mana saya bekerja waktu itu. Selepas itu, saya tidak lagi menoleh ke belakang untuk menyesal kerana 'terjebak' dalam sukan ini. Ia menjadi kegilaan dan telah menjadi dunia si Pa'al ..Kita temui kedamaian hakiki di sini, di dasar lautan! Saya budak kampung yang hanya mengenal sungai, kini telah dapat menghayati dunia bawah lautan yang indah dan tenang, menghormati keupayaan diri dan paling penting jadi seseorang yang sangat menghargai alam dan lautan serta segala isinya.




Pulau Mabul sebenarnya tak kurang hebatnya berbanding Sipadan. Baru-baru ini, Pulau Mabul mula terkenal dengan jolokan 'the best muck diving' di dunia. Di sini, kecekapan menyelam sangat penting kerana kita perlu cekap berenang menggunakan fins, jika tidak, tahap penglihatan akan dikaburi pasir akibat kayuhan fins yang tidak terkawal daripada kaki anda. Terumbu karang di sini kurang menyerlah berbanding Sipadan kerana aktiviti pengeboman ikan oleh nelayan di sini telah memusnahkan kawasan terumbu karang yang asli. Sehingga kini, tumpuan menyelam scuba di Pulau Mabul adalah untuk melihat haiwan-haiwan laut mikro, seperti Blue Ring Octopus yang hebat (boleh membunuh), flamboyant cuttlefish, Kuda Laut( yang paling Pa'al suka!), Frog fishes yang comel dan pandai bertukar-tukar warna, berbagai jenis scorpionfish, Clown Fish, moray eel, snake eels, ikan-ikan gobi yang melihat-lihat dari tingkap terumbu, Rhobust Ghospipefish, nudibranch ( Saya amat suka dengan sea slugs ini !) 


Bercakap tentang moray eel, ingatan saya singgah pada dua ekor moray eel yang kami gelarkan 'Elvis' dan 'Priscilla' yang tinggal di bawah tukun tiruan di dasar laut di mana terletaknya enam tiang pusat peranginan di mana saya bekerja itu. Kedua-duanya merupakan eel yang sangat besar! kepala Elvis sahaja sebesar baldi, manakala Priscilla agak kecil sedikit. Saya masih ingat bagaimana excitednya kami turun ke dasar laut resort kami itu semata-mata untuk bertemu Elvis dan Priscilla untuk memberi mereka makan. Keduanya, terutama Elvis agak 'jinak' dan sudah biasa dengan kehadiran para penyelam scuba di sana. Apabila kawan saya seorang Divemaster mengetuk besi yang dilonggokkan di mana Elvis tinggal, dia akan menyembul keluarkan kepalanya yang sangat besar dengan mulut yang terkumat-kamit. Kami yang gembira, akan memberinya makan sepotong-demi sepotong ikan sehinggalah dia bosan dan masuk kembali ke dalam tukun. Saya masih ingat, beberapa kali melihat Elvis keluar dari sarangnya, terdiam kami demi melihat bahawa dia sangat besar dan panjang! Kerana sebelum ini, saya cuma terjumpa beberapa moray eel yang kecil-kecil sahaja. Yang paling menyentuh hati adalah, kami pernah juga melihat Elvis dan Priscilla keluar berenang berdua, romantik betul ikan belut laut berdua ini, dan mereka kelihatan seperti sedang menari dengan pakaian yang melayang-layang ditiup angin, sangat cantik. Elvis berwarna coklat kuning dan berbintik sedikit.

Pertama kali menjejakkan kaki ke pulau Sipadan adalah beberapa minggu selepas bekerja di pulau Mabul, sebelum saya jadi penyelam scuba. Kenangan yang tak akan pernah dilupakan adalah selepas saya qualified sebagai OW diver, saya melakukan selaman sebenar yang pertama di Pulau Sipadan. Lokasinya adalah di Barracuda Point. Pertama kali membuka mata di bawah air, dengan panorama alam bawah lautannya yang cukup membuat saya terdiam, terkagum. Biru, luas, sejuk.... dan semuanya sangat mengharukan. Arus air yang agak kuat pada masa itu telah membuat kami seakan terbang di angkasa tanpa graviti, dan arus kuat ini telah menjemput beribu-ribu ikan barracuda dan jacks dalam kawanannya datang berenang-renang dan bermain dengan arus air yang deras gagah itu, betul-betul di atas kepala kami. Mereka membuat formasi membulat dan tak menghiraukan kami yang ada di situ, seakan sudah biasa dengan manusia. Terasa seperti mahu saja menangis kegembiraan, terharu bila tengok ikan-ikan sebesar-besarnya itu lalu-lalang depan mata begitu saja, buat pertama kalinya. Ada juga terselit penyu hijau( green turtle) yang sebesar meja bulat berlalu dengan maha selamba di depan mata kami. Bayangkan..

Di atas pulau Sipadan itu sendiri pada ketika itu cukup 'meriah' dengan kehadiran chalet-chalet pusat-pusat peranginan. Pada hari ini, chalet-chalet itu sudah dipindahkan ke Pulau Mabul dan di pekan Semporna atas arahan kerajaan Malaysia yang ingin memelihara keaslian dan keindahan Pulau Sipadan untuk tatapan generasi depan. Tindakan bijak ini dilakukan sangat mendapat sambutan sangat baik daripada banyak penyelam skuba seperti saya! Saya tidak ingat, adakah keputusan ini diambil setelah Malaysia menang perbicaraan 'ala2' perebutan pulau Sipadan ini (melawan Indonesia) yang dijalankan Mahkamah Antarabangsa. Sebagai pencinta alam semulajadi saya sangat bersyukur dengan keputusan memindahkan semua pusat penyelam yang hanya merosakkan keindahan dan 'moral' Pulau Sipadan ini pada jangka masa panjang.


Kini, yang tinggal di atas pulau Sipadan hanyalah, pondok penguatkuasa yang menjaga pulau tersebut. Berbalik kepada cerita Pulau Sipadan, pada masa dahulu, di sepanjang pantai Pulau Sipadan, kita boleh singgah minum di bar-bar yang dibuka kepada para pelancong yang menginap di pusat peranginan tersebut. Pulau Sipadan pada dasarnya, di atas, agak biasa-biasa dan kecil sahaja, dalam 20 minit kita boleh menghabiskan satu pusingan dengan berjalan kaki, kalau berlari boleh buat pusingan dalam 15 minit sahaja, hehe. Kadang-kadang kita akan terserempak dengan umang-umang yang meminjam cengkerang tumpang bersaiz sangat besar, sedang menebuk buah kelapa di atas pokok kelapa, 




Apa yang membuat Sipadan sangat magik bagi saya adalah bukan kerana suasana pulaunya yang sama seperti mana-mana pulau peranginan di dunia ini, namun magisnya adalah kerana dunia bawah lautannya yang dipenuhi pelbagai jenis haiwan marin dalam berbagai jenis, spesies, saiz dan bentuk. Di sini kita berpeluang melihat penyu jantan dan betina, seperti yang saya katakan tadi, ada yang sebesar meja bulat kedai kopi dan ada juga penyu kurang upaya, kerana hilang sebelah kaki dan ada yang bahagian cengkerangnya kelihatan seperti dikelar kerana terkena kipas enjin bot dan sebagainya.


Kadang-kadang pula, dalam kawanan ikan barracuda atau jack, kita dapat lihat ada ikan tersebut yang berenang dengan mata kail dan tali pancing (tangsi) menyangkut di bibirnyanya! Di sini, macam-macam ada. Paling seronok dapat melihat ikan jerung dalam berbagai jenis, seperti White Tip Shark, Leopard Sharks, Grey Reef dan kalau bertuah dapat bertemu Hammerhead yang hebat! Kalau anda bernasib baik juga, akan terlihat Manta Rays yang kelihatan seperti drakula dengan warna putih hitam mengerbang sayapnya, dalam kawanan. Si Pa'al belum pernah sebertuah ini dengan Manta. Mungkin suatu hari...



Kalau dipandang dari sudut keratan rentas geografinya, Sipadan kelihatan seperti cendawan. Kalau anda berenang atau sedang menyelam scuba, manalah anda nampak bentuknya dari kejauhan, seperti kata-kata kebanyakkan orang. Di bahagian perairan yang cetek, kita sangat bertuah kerana sekiranya anda cuma mahu ingin snokerling sahaja pun, anda sudah boleh melihat ikan jerung yang manis sedang berenang-renang riang!


Setiap ceruk perairan sekitar Pulau ini telah 'ditandakan' dengan nama-nama khas. Dalam dunia selam scuba ini dinamakan 'dive site'. Antara Dive site yang terkenal di Sipadan termasuklah Drop Off, Barracuda Point, Turtle Cavern, South Points, Hanging Garden, di samping beberapa site lain seperti Lobster Lair ( yang kami gelarkan Lobster Liar, hehehe, kerana kecewa bila tak jumpa pun Lobster di sana ketika menyelam), Coral Garden, Whitetip Avenue, Turtle Patch, Staghorn Crest dan Sipadan Midreef.

Turtle cavern atau gua penyu melengkapkan keajaiban alam bawah lautan Pulau Sipadan ini. Terletak 18 m dari permukaan laut, gua bawah laut yang gelap ini hanya memuatkan lorong kecil untuk menelusurinya. Juga merupakan destinasi terakhir pengembaraan hidup seekor penyu laut yang datang ke sini untuk mati. Para penyelam scuba menggelarkan gua ini moseleum bagi sang penyu. Namun begitu, dipercayai juga, bahawa penyu-penyu ini berkemungkinan sesat dan tak menjumpai jalan keluar dari gua ini, lalu mereka mati di sini. Di dalamnya banyak rangka-rangka penyu. Saya belum pernah menyelam ke dalam gua ini lagi, kerana perlu mendapatkan lesen untuk melakukan cavern dive. Di dalam Setiap aktiviti selam scuba, anda harus mendapatkan lesen terlebih dahulu. Lesen tersebut adalah lesen seumur hidup, kecuali jika anda memilih untuk menjadi proffesional diver, menyelam sebagai kerjaya dan punca pendapatan, maka anda harus memperbaharui lesen anda setiap tahun.

Sebelum berhenti kerja dan bertukar angin ke bidang perhotelan pula, saya sempat mengambil Kursus Rescue Diver dan sebelum itu mengambil lesen sebagai Nitrox Diver. Kursus Rescue Diver adalah sangat menarik dan mencabar sekali! Nanti saya ceritakan lagi pengalaman Pa'al sebagai Rescue Diver pula di post yang akan datang. Ini merupakan pengalaman peribadi saya di dalam dunia Scuba dan sekiranya teman-teman ada sebarang pertanyaan tentang scuba, silalah tanya, susah-susah google saja la info tu!

Thanks!

Pa'al
Kota Kinabalu
10 Julai,2009

Ahad

bernafas hingga hari ini..

syukur pada Allah. hari ini aku bernafas lagi di bumi-Nya. Trima kasih untuk ibu dan mendiang bapa, tanpa mereka siapa la pa'al..

Jumaat

MJ ..may his soul rest in peace

See full size image
June 25th, 2009
terngiang-ngiang lagu ini di kuping ku..."Heal The World"

Pulang

sugul berdiri
di pusara mu

di horizon malam
terpenjara bulan
dalam mata ku
merenung nesan granit
dalam nafas berat

duka tak kenal titik
kematian menunggu
menjemput jiwa-jiwa
dalam riuh dalam tenang

lama berdiam
lalu aku harus pergi
dengan dua tangan
masuk di dua kocek
menghela nafas

senyum ku melambai
mengiya takdir
aku pasti kembali
menjadi warga mu
bila tiba waktu ku

Pena Alam
26 Jun, 2009
Kota Kinabalu

air tangan ku..








Gulai lemak pisang


bahan-bahan:
  • 10 biji pisang emas muda (siat kulit luar saja jangan sampai ke isinya, belah dua atau potong serong, rendam dalam air bergaram)
  • 10 biji cili padi ( ditumbuk, boleh kurangkan atau tambah cili padi tu, ikut 'ketahanan' lidah)
  • 2 biji cili merah (buang biji - ditumbuk)
  • sebesar ibu jari kunyit hidup ( ditumbuk)
  • 10 biji bawang merah (ditumbuk)
  • segenggam ikan bilis ( ditumbuk)
  • 2 batang serai ( dititik)
  • setengah biji santan kelapa segar
  • asam keping
  • garam dan perasa
cara memasak:
  1. Mula-mula tumbuk cili padi bersama cili merah dengan sedikit garam, masukkan ikan bilis dan tumbuk sekejap. jangan sampai terlalu hancur
  2. Celurkan sekejap, pisang muda yang telah dibersihkan dengan air mendidih sampai lembut sedikit. Toskan airnya.
  3. Sediakan periuk, masukkan asam keping, serai, santan dan bahan-bahan yang sudah ditumbuk. Kacau selalu supaya tak berketul dan kecilkan api. Masukkan pisang dan gaul lagi, hati-hati jangan sampai pecah minyak.
  4. Bubuhlah bahan perasa

cuba lah .. mana la tau sedap.. huh! pa'al loved this very much!


keroncong hujan

Pagi itu hujan turun mencurah-curah.. aku memang menggilai suasana alam lepas hujan berhenti. Sebab alam lebih mesra dan segar selepas disimbah hujan. Bayu lembut dan rahmat yang dibawanya selalu mendinginkan sebentar alam buana yang kepanasan. Indahnya alam yang kehujanan, lagu keroncong yang manis ini mungkin setuju dengan ku..













dpd Adibah Noor

Mega mendung di angkasa
hembusan bayu dingin terasa
grimis berderai di merata
bagai mutiara

Rahmat di bawa bersama
limpahannya meresap di jiwa
adakala bahgia terasa
meskipun duka nestapa

Tika hujan turun sayu
mendayu lagu keroncong
merdu irama di alun
bersenandung

Hujan membasahi bumi
melahirkan keluhuran budi
mengerat perpaduan suci
kasih sayang abadi

Rabu

sahabat di tirai besi

siapa kata
kasih sahabat
tak bisa terjalin
terhalang benua
terhalang tembok
tersisih lidah bahasa

aku katakan
antara kau aku
semua jadi kita
sama mewarna
putih hari-hari
jadi banyak cerita

aku juga katakan
bahawa manis kata
ramah tulus hati
itulah jambatan
hubung dua hati
jadi sekuat akrab

di tirai besi ini
kau beritakan
awan hitam melarik
menutup telaga mu
lalu kau melafaz ingin
menjirus haus tekak mu
dengan air dari awan putih

aku katakan pada mu
walau sehitam air tersentuh
masuk terselit di lelangit mu
tertanam tertulis di dahi mu
tangan ini sedia berjabat
menggengam jari mu
meminpin bahu mu

aku menantikan mu
agar dapat sama menari
di bawah cahaya rembulan
bila kau temui merpati mu
dalam lembaran terbaru
sejarah jangan terulang
wahai sahabat ku di tirai besi


Pena Alam
bukit ledang, kuala lumpur
3 june, 2009

pagsisisi

Bagung umaga
bagung buhay
pero bakit ganito
ang aking ginagawa
ay walang pag-babago
walang pag kakaiba

Dito sa loob ng tahanan
mga kasamay di kilala
iba-ibang lahi, ia-ibang salita
di nagkaka intindihan
di nagkakunawaan
pero sama-sama
sa hirap at ginhawa

sa araw-araw na lumipas
isa lang aking nadarama
lungkot at pagkasabik
sa pamilyang aking iniwan
sa aking bangsa

ewan kuba bakit
pamusok sa aking isipan
aking sariling bansa
ay aking nilisan
marahil maghanap
ng trabaho para malibang
at mabigyan ang aking pamilya
ng magandang kinabukasan

Heto nga at nangyari na
ang diko inaasahan
ako ay napunta sa lugar
na walang katahimikan
ng aking puso at isipan

Pero sa araw-araw
na ginawa ng bathala
ako ay naghihintay
na magkaroon ng himala

At laging nananalangin sakaniya
na bigyan ako ng pag-asa
na makapiling muli
ang aking pamilya
na iniwan ko sa aking
sarilin bansa


by maricel I. Abad
june 3rd, 09
rpwkl, bukit ledang, kuala lumpur

(maricel, i'm honoured .. to write n posted ur poem here, by the time u read this, u might be somewhere out there, having a good time in FREEDOM, i wish u all the best..in life ahead n future undertakings.. do remember me!)



Isnin

kaamatan yang hilang

Terduduk sayu
pada serangkum nostalgia
diperbaringan mu di sini
merenung rentet pelangi
yang terbit di pucuk akasia
dalam gerimis siang ini

Bunyi gong itu menggamit rindu
pada senyum keibuan mu
tika kaamatan singgah lagi
di halaman kampung kita
tika meranum emas buah padi
di belantara saujana sawah

Di sini di pusara mu
terimbas lagenda bangsa kita
Menyambut runduk tadau
setiap mei tiba penghujung
si gadis dimahkota matahari
dialah huminodun mengorban diri
demi sesuap nasi semangat bumi

Merundung sayu suminundu
juga dewa kinoringan di takhta
bila gadis mulianya tinggal nama
bersemadi jasad tumbuhlah tuaian
dari kakanan bangkit di hari ketujuh
jadi pedoman batas tingkah
hati luhur itu mengubat bencana

Tersayu kami akan dikau
keringat mu basah tak pernah hirau
mencurah emas padi dari basung
girang kita minsirid atas kulobon
bangga melihat tangkop terisi
menjulang syukur pada rezeki
kurniaan tuhan sepanjang tahun


Kini hanya ada hening ini
tersulam di wibawa pusara mu
yang membuat jiwa ini rebah
menyoroti ilham kenangan kita
yang tersejat oleh batas masa
sepi dalam gempita sumazau
melayan sendu dalam episod
epilog sebuah kaamatan yang hilang


Pena Alam
pesta menuai 2009
kolupis-bukit ledang, kuala lumpur

Khamis

hari lahir trudy..












"Selamat hari lahir untuk puteri ku
..trudy elisabeth, 4 tahun hari ini.. dan aku tak bersamanya di sana. Sedih juga, kerana tugas terpaksa juga berjauhan, namun Doa dan harapan menggunung, moga semuanya sukses dan kami akan meraikannya bila aku kembali ke sana semula.. Lambat tak apa, asalkan dapat bersama juga akhirnya, kan.. :-) "

Selasa

Suntuk









waktu
menjatuh
ku rangkul
ia menjauh
lantas mencair
di celah jemari
di celah kuku

waktu itu
bagai dataran
bila ku jejak
jadi berbukit
lalu mengensot
terus lenyap

degup jadi hebat
peluh bermanik
berantai di kulit pipi
bukti gelisah resah
ingin berlari deras
tapi kaki terkunci
dalam kesingkatan
waktu melayang
semakin suntuk



Pena Alam
26 Mei 09

Ahad

kucing kampung..



































kucing kampung
menghuni kampung
sama orang kampung
rumah di kampung
disayang orang kampung
bertahun tak ke kampung
berkampung di kampung
merindu tanah kampung
membelai kucing kampung


pena alam
24 mei 09

Selasa

Pesta Kaamatan, Huminodun, Unduk Ngadau dan sanggul bulat ..dalam slanga urang-urang sabah..

..Nah Pesta Kaamatan datang lagi ni taun, tiap taun kaamatan bagi urang-urang Sabah ada makna tersendiri. Kaamatan itu lebih ada erti untuk urang yang tanam padi, yang inda menanam pun tumpang sambut juga..sebab sudah jadi budaya kami urang-urang di negeri di bawah bayu ni. Masa untuk balik kampung, ramai-ramai di kampung, becerita sampai pagi, moginum sampai ampai-ampai kamurang di merata alam, hehehe. Sabah, the land below the wind .. sedap betul lah nama negeri kita kan? Tapi lebih lagi sedap aman, kalau isu-isu yang makin meruncing macam kebanjiran pendatang tanpa izin dapat ditangani dengan bijak oleh pihak berkuasa, kan??..

Dalam Pesta kaamatan, mesti ada Unduk Ngadau dan Huminodun..
Siapa Huminodun? .. dan apa pula kaitan dia dengan Unduk Ngadau atau Ratu Cantik Pesta Kaamatan yang berlangsung tiap tahun ni? Korang pernah tahu ka? yang pernah ikut unduk ngadau pun rasanya ramai yang tidak tau ni..

Huminodun (bermaksud “yang berkorban”) merujuk kepada anak perempuan Dewa Kinoingan serta isterinya Suminundu yang telah mengorbankan dirinya kepada semangat bumi sebagai balasan untuk hasil tanaman yang lumayan untuk umat manusia. Satu ketika dulu, kaum kadazan dusun mengalami bencana kebuluran kerana tidak ada sumber makanan. Kinoingan berasa belas kasihan terhadap kesengsaraan kaum Kadazandusun dan telah mengorbankan Huminodun dan jasadnya disemadikan di bumi lalu tumbuhlah sebagai sejenis tumbuhan iaitu padi dan dari situlah suku kaum Kadazandusun mendapat sumber makanan. Dipercayai juga jelmaan semangat Huminodun telah hidup kembali sebagai Unduk Ngadau dari dalam Kaakanan, selepas tujuh hari dia dikorbankan. Jasa Huminodun diingati dalam perayaan Tadau Kaamatan yang diadakan setiap tahun bagi meraikan hari tuaian.

Jelasnya, unduk ngadau bukan medan untuk berlawan kecantikan kamurang jak, tapi temasuk juga kecerdasan otak dan tahap IQ di samping penampilan bentuk badan yang sesuai dengan tema sumandak yang belum kahwin. Selaras dengan imej Huminodun yang wajah dia juga secantik akal budi dia yang murni.


"Tadi dalam krita dari kk pi sini (kudat), sikit sa mati kepanasan. Gila betul. Tepaksa la sa kasi sanggul ni rambut. Skarang mau kasi urai pun nanti semak pula, ok ka juga ni sanggul sa? " kata Pengadil Unduk Ngadau di sebelah Pa'al yang diimport khas dari kk. Waktu tu kami suda duduk di meja pengadil. Acara Unduk Ngadau Kudat sedang rehat dan mau masuk pusingan ke dua sudah. Pa'al tengok bukan main cantik sanggul dia , macam pramugari kapal trebang pun. Susah percaya dia buat tu sanggul masa dalam perjalanan ke kudat yang adventure dan macam tu saja. Dan Pa'al pun beri komen yang jujur pada dia.


"Cantik. Macam sanggul pramugari bah. Terer juga puan buat, dalam kreta pula tu. "


Lepas tu kami sempat cakap pasal gambaran Huminodun dengan sanggulnya yang unik itu, yang diaplikasi di gaya rambut para peserta tu sehingga lah ke hari ini. Bukan di Kudat jak tapi peringkat Hongkod Koisaan pun stail sanggul ini ada juga yang pakai, wahhh.. pa'al betul kurang setuju. Come on...ini tahun 2009! rasanya kalau Huminodun menjelma di abad ini, dia pun akan setuju dengan Pa'al. Sanggul bulat itu kalau kita perhatikan betul-betul membuat para peserta kelihatan pendek, gemuk dan tagap. Aduhh ... Bukan tu jak, malah kami berdua sependapat sanggul bulat tu bikin peserta yang umur 18 tahun nampak macam 38. Alamak terlebih sudah Pa'al.. Tak percaya, cuba google gambar-gambar peserta Unduk Ngadau Sabah. Kebetulan kawan pengadil Pa'al tu memang judge Unduk Ngadau Sabah, petang tu dia bagi markah untuk keayuan dan kecantikkan, manakala Pa'al untuk Pakaian Tradisi dan bentuk badan.

Tapi macam mana pun, Pa'al rasa 'huminodun-huminodun' kita harus lebih kreatif dalam tatarias rambut. Sanggul bulat tu ..inda payah la, butul...macam tupi! Atukkkuiii ...cantik lagi sanggul si puan pengadil kami tu. Apa pun Pa'al memetik kata-kata seorang pendandan sanggul terkenal di indonesia, namanya Heri.


Menurut lelaki berusia 37 tahun yang berasal dari Bandung, Indonesia ini, sanggul yang betul cara dandanan, bersesuaian dengan bentuk muka dan gaya solekan tidak akan menjadikan seseorang wanita itu nampak tua.

''Apabila membuat sanggul pada wanita yang memiliki wajah lebar, rambutnya tidak boleh dikusutkan kerana akan menjadikan wajah tampak lebih besar. Mungkin boleh dikusut sedikit sahaja di bahagian atas agar wajah nampak memanjang.

''Bagi yang berwajah kecil pula rambut boleh dikusutkan dan dibentuk menjadi sanggul yang bersesuaian dengan majlis yang akan dihadiri. Ini juga harus sepadan dengan solekan dan perhiasan yang diselitkan pada sanggul,'' ujar Heri.

Beliau yang berpengalaman selama 20 tahun membuat sanggul mempelajari teknik dan cara membuat sanggul di beberapa negara seperti Indonesia, Thailand dan Singapura. Katanya, beliau akan pulang ke Indonesia tiga kali setahun bagi menghadiri seminar sanggul atau memenuhi jemputan daripada persatuan jurusolek di sana.

''Jika di Malaysia, wanitanya menyukai semua jenis sanggul asalkan cantik, berbeza pula dengan di Indonesia. Mereka mempunyai 24 suku masyarakat yang berbeza seperti Sunda, Jawa, Padang, Batak, Jogja dan sebagainya. Justeru saya harus pandai membuat 24 jenis sanggul mengikut suku masyarakat yang berbeza. Jika salah, pasti dimarahi,'' tambah Heri.Beliau berkata, rambut umpama rangkaian bunga yang boleh didandan apa sahaja asalkan tahu asasnya.

Tapi, sebenarnya bagi pa'al tak dinafikan pertandingan Unduk Ngadau ini mungkin antara pertandingan ratu cantik tersusah di alam semesta ini, kerana apa???? Kerana peserta itu betul-betul bertanding dengan kecantikan semula jadi mereka, mereka memakai pakaian tradisi dan berkaki ayam. Ingat senang ka mau dapatkan chemistry dengan pakaian tradisi yang dipilih sendiri tu? Dan sebenarnya agak susah untuk nampak cantik sambil catwalk tanpa pakai high-heel yang dapat kasi tambah sikit ketinggian kita dan nampak lebih cantik? Cuba bandingkan dengan miss sabah atau miss universe..suma pakai kasut kan?..brapa inci? mesti 3 atau 4 inci, supaya punggung dapat tersembul sikit dan nampak lawa dan lebih langsing. Untuk itu, salute untuk para sumandak kita yang berani bertanding dalam unduk ngadau ni.


Apa pun, walau ada juga peserta yang tidak memakai sanggul bulat itu lagi, tapi ramai juga peserta yang masih sampai hati kasi sanggul rambut dorang gitu..moga ada perubahan gayalah di masa akan datang.. small matter, tetapi agak menggangu pandangan, kreatif itu kan baik? .. hehehe ...

Untuk urang-urang Sabah di mana pun korang berada, yang Pa'al kasihi...Kotobian Tadau Tagazo Do Kaamatan ... Selamat Menyambut Pesta Kaamatan dan Kaansayan Orou Mayo Do Kamatan!





Pena Alam ..120509


Puisi Kemerdekaan buat Pak Samad dan negaraku Malaysia : 'Tatkala aku ingin menulis tentang hari merdeka'...( sila klik pic Pak Samad)

Sayangi Alam!

Sayangi Alam!
Orang Utan juga diancam kepupusan ..

Sahabat lautan, sahabat kita ..penyu, tahukah anda penyu adalah haiwan yg diancam kepupusan? Penyu juga adalah haiwan yg diwartakan sbg spesies yg dilindungi kerajaan. Jadi adalah menjadi suatu kesalahan bg anda utk memelihara penyu di dalam akuarium, membunuhnya atau mengambil telurnya.. dan tahukah anda, penyu hanya akan bertelur semula selepas 3 atau 4 tahun selepas bertelur, maknanya jika anda makan telurnya, anda sama seperti pembunuh yg telah menelan segenerasi kehidupan sang penyu sama ada anda sedar atau tidak, setuju ataupun tidak..