Ahad

Keputusan II

sebuah cerpen..sambungan entri APRIL 'keputusan'.... karya Pena Alam..


Sepuluh tahun kemudian..

Dadanya gemuruh. Rasa geram dan gelisah silih berganti, berpanjang-panjangan. Cuba dikawal namun perasaan itu makin menghambat dan menumpulkan setiap telahan positif yang cuba ditajamkan di kotak mindanya tika itu.

"Ini semua tak terjadi, ini semua tak benar, aahhh..." pekiknya di dalam hati, sewaktu menyelak langsir tingkap. Cuba melihat ke luar, menjemput supaya sedikit kehijauan dari pepohon di luar dapat masuk dan menyejukkan jiwanya yang kepanasan. Di luar, hujan mula menggila, setelah cuaca yang benar-benar panas tadi, bertukar mendung pekat, membuat terik mentari panas tadi meminta diri. Dia kecewa, kerana pepohon pun sibuk melayan cinta bersama alir air yang mengurut-urut urat daun, ke ranting-ranting, terus ke dahan-dahan kemudian ke pangkal pohon yang gagah lalu jatuh meresap ke tanah, dihirup akar untuknya bertahan hidup sampai seratus tahun lagi. Dia menutup langsir pada panahan kilat pertama yang terbit, beberapa saat selepas guruh berdentum di langit. Dia berjalan lagi, mundar mandir dalam ruang biliknya itu. Akhirnya dia duduk, dan menongkat dahi. Fikirnya bertambah kacau, tambah berserabut.

Ketukan penuh bertenaga pada daun pintunya membuat dia tersentak. Dia menekan dada dan menekup wajah, cuba mengembalikan jati diri, professionalime diri dan menepis rasa penuh peribadi yang membelenggu paginya selepas menatap beberapa dokumen yang tiba di atas mejanya sejak memulakan tugas pagi itu. Dengan suara lemah, dia mengarahkan supaya sesiapa yang berada di balik dinding dan pintu itu masuk saja. Dia tahu ketukan penuh energetik itu milik Sismi, setiausaha tempat itu. Hatinya bertambah gundah, namun dia dalam kawalan.

"Puan Aida. Budak-budak dan pengiring lagi bersukaria kalau puan ada bersama. " kata Sismi, dengan wajah ceria yang menyenangkan hati mengiringi nada serius sambil berguraunya, setelah beberapa ketika berbicara tentang sesuatu dengan wanita bernama Aida itu. Keakraban antara anggota di institusi itu membuat segala urusan mudah. Mereka saling menghormati.

"Saya akan pergi. Beritahu penyelaras, saya akan pergi bersama mereka." pantas saja jawapannnya yang datang bagai halilintar dimindanya yang membuat keputusan secara tiba-tiba. Namun keputusan itu baginya yang terbaik dan amat relevan dengan situasi perasaan yang mengganggu fikirannya sejak pagi itu. Ditangan Sismi ada sebatang pen dan beberapa dokumen di dalam fail yang dirangkul di dadanya. Dia menguntum senyum dan hatinya berbunga-bunga. Tak habis-habis ucapan terima kasih di ucapkan sebelum menutup daun pintu kerana tuan pengetua sudi menyertai 'rombongan berjalan-jalan' itu.

Aida memejam mata, kembali bersatu bersama kesunyian ruang biliknya yang dipenuhi kegusaran yang masih menghantui mindanya. Sekurang-kurangnya keputusan yang dibuat tadi, menghentikan sedikit gedolak perasaan itu. Sejak melihat nama 'A. Donovan dalam butir-butir biodata penjaga kepada klien baru institusinya itu, harinya bertukar hambar, kenangan sepuluh tahun lalu mula menjerut nafasnya. Membuatnya pusing dan sedikit marah. Kecewa dan sedih.

"Aku harus mengelak darinya. Aku tak sanggup melihat dia. Sebenarnya aku benci, benci walau hanya mendengar namanya. Benci yang ku pendam selama sepuluh tahun. Biar kebencian itu terpendam selamanya. Dan namanya mati dalam ingatan. Seharusnya ingatan padanya, tak lagi memberi erti pada ku. Tapi mengapa ingatan itu membuat aku serba tak kena, aku benci perasaan ini. Aku harus pergi sementara. Lari darinya. Dari A. Donovan yang akan bersama-sama para penjaga anak-anak di institusi ku dalam sessi suai kenal penghuni baru. A. Donovan, aku tak sudi melihat mu" demikian tempik hatinya, berperang dalam emosi sendiri.

Demi mengelak lelaki bernama A.Donovan, Aida berdiri di situ. Dikelilingi alam kehijauan hutan belantara yang segar. Mindanya benar tenang sedikit, walau nama lelaki itu sering melintasi benaknya berkali-kali, sejak kenangan akan nama itu sirna sepuluh tahun lalu. Nama yang membuat lehernya terasa seperti dijerut kembali. Cepat-cepat dia menepis rasa itu, lalu turun berkaki ayam, memijak rumput-rumput pagi yang masih berembun. Rumah peranginan di situ tersergam indah, begitu natural di dalam belantara yang dihiasi aliran anak sungai yang berair jernih. Burung-burung pagi bersiulan lembut, bersopan, seakan mengerti kehadiran anak-anak manis ke situ, yang masih lagi beradu dalam mimpi-mimpi indah mereka. Aida membawa langkah menuju hadapan, entah ke mana, melintasi beberapa chalet papan yang berbentuk klasik, seperti rumah imaginasinya ketika zaman kanak-kanak. Pandangan leretnya ke tepi-tepi jalan itu membuatnya lalai dan leka, sedikit lupa diri, sehingga tiba-tiba dia merasa sensasi kesakitan yang amat sangat pada dahi dan bahunya, bagai dipukul benda sekerasnya. Pandangannya kabur seketika. Dia menahan sakit dan tubuhnya sedikit terhuyung-hayang ke tanah. Namun sebuah tangan kejap kelelakian memeluknya, dan menahannya dari jatuh tersembam ke tanah. Serentak itu, sebuah benda kecil, berupa telefon bimbit jatuh berderai ke tanah.Pecah.

"Maaf..aduhh, maaf, saya tak sengaja.." Aida memegang dahinya, melepaskan diri dari pelukan singkat yang menyelamatkannya dari terjatuh tadi. Lalu dia duduk bertongkat lutut, mengambil telefon bimbit yang bercerai berai di atas jalan. Telefon bimbit milik lelaki berpakaian serba putih yang berdiri tercegat di hadapannya. Kebingungan dan rasa bersalah menguasai dirinya, kerana lalai dan akibatnya melanggar lelaki di hadapannya sehingga menyebabkan telefon bimbit si lelaki itu berkecai ke atas jalan.

"Atie! Atie Aida...!" pekik lelaki itu. Lalu dia jatuh di atas lututnya, di hadapan Aida, lantas memegang Aida. Aida terpaku memandang takdir pagi itu. Wajahnya bertukar pucat lesi. Inilah yang
cuba dijauhkannya sejak sepuluh tahun lalu. Namun ia terjadi juga akhirnya.

"Amri. Amri Donovan! Mengapa kau ada di sini?", Aida mendongak melihat lelaki itu. Jantungnya berdegup kencang dan nafasnya seakan terhenti. Buat seketika itu, mereka berpandangan. Amri memandang tepat ke mata Aida, Atie Aida. Jantungnya mungkin sudah terlepas dari dadanya. Dia memegang seeratnya bahu itu. Tak mahu melepasnya. Dia tahu, rindunya sudah meletus dan mengalir bagai air sungai yang pecah dari sebuah empangan rasa seluas dunia. Airmatanya tak mampu lagi ditahan. Mengalir, menitis dan membasahi pipi lelakinya. Terharu dengan pertemuan yang tak disangka pagi itu.

"Atieee..." katanya keras dalam deraian airmata dan nafas yang tertahan-tahan, separuh berbisik. "Benarkah ini kau, Atie??"

"Bukan. Atie Aida sudah mati. Mati. Kau tahu
kan, mati..?"

Atie Aida melepaskan genggaman kuat di bahu tadi, lalu berlari dalam derai airmata dan hatinya yang terlalu sebak. Kenangan seabad lalu menoreh kembali parut luka di hatinya yang sudah lama sembuh. Dia berlari dan terus berlari, hingga sampai ke hujung jalan belantara peranginan itu. Dia berhenti, dalam esak tangis berat dan airmatanya yang mengalir deras. Di hadapannya, tasik melebar seluas saujana, dan dia berdiri di situ, di pondok yang diciptakan di tepi tasik itu.

"Mengapa kau lari dari ku Atie? Aku tak akan biarkan kau melarikan diri lagi, seperti yang kau buat sepuluh tahun lalu. meninggalkan aku seorang diri di pantai itu. Aku hampir membunuh diri, selama sepuluh tahun ini, mencari kau Atie. Nyawa ku sudah tak berharga dan aku hilang punca. Aku hidup tanpa perasaan dan aku ingin kau tahu.."

"Kau ingin aku tahu apa, Amri? Bahawa kau sudah bahagia dan sudah berjaya melupakan aku kini? Ingatan padamu membuat aku sakit. Selama sepuluh tahun ini aku membenci gemersik cinta lelaki. Apa sudah terjadi kepada mu? Mana kebahagiaan yang kau dapat dari dia? Mengapa kau mengejar aku?".

"Aku sudah puas mengejar bayang-bayang mu, Atie. Aku hidup dengan kenangan akan dikau. Aku dan dia tak pernah bahagia. Kerana setiap detik pun, aku tak pernah melupakan nama mu. Kau yang ku mahukan, tapi kau tak pernah muncul dan tak pernah mencari ku semula. Aku mencari mu di serata alam. Tapi aku gagal ."

Atie Aida merenung tepat ke dada tasik, hatinya sedikit terusik akan kebenaran yang baru disedarinya. Dia tergamam, lidahnya kelu dan tekaknya terasa kering. Fikirannya buntu, namun hati sebaknya masih berdegil untuk cekal dan menafikan kebenaran yang baru didengarnya. Dia mula mengesat airmata, lalu perlahan duduk lemah di pangkin kayu dipondok itu. Memujuk hati agar berhenti menangis, lebih tabah dan menghentikan kepiluan yang mengatasi rasional dirinya. Amri menyertainya lalu duduk berhadapan. Pandangannya tak lepas dari Atie Aida. Dia merasakan kesugulan jiwa yang membebani dirinya mula mencair, demi melihat Atie Aida yang dicarinya selama sepuluh tahun ini.

“Aku di sini kerana aktiviti institusi ku. Institusi yang kau juga tahu. Kerana kau sepatutnya berada di sana dan bersuai kenal bersama penjaga penghuni baru, membawa A. Donovan Junior, seperti kata di borang itu. Aku tumpang simpati kerana kau mempunyai anak manis yang kurang upaya. Aku juga seharusnya di sana, bersama-sama mereka. Namun aku pengecut, aku melarikan diri ke belantara ini untuk ketenangan fikiran, demi terpandang nama mu. Aku melarikan diri dari mu, Amri. Tapi mengapa kau ada di sini?,” Dia melemparkan pandangan ke dada tasik.

“Aku di sini kerana akhirnya, Tuhan mendengar doa ku selama sepuluh tahun ini. Atie, aku mencari mu. Tapi aku tak pernah berhasil. Pagi ini, aku amat bersyukur kerana ia menemukan aku dengan mu. Atie, bolehkah aku merayu mu supaya kau sekurang-kurangnya berada di mata ku, kalau pun di hati mu tiada lagi ruang untukku?.”

Atie Aida tertawa hambar, menjeling tajam pada Amri, tawa itu penuh sinis. Dia melemparkan pandangan berat ke dada tasik semula.

“Apa pun maksud kata-kata mu itu, aku tak berminat. Rasa benci pada cinta lelaki sudah sebati dalam jiwa ku. Hati ku sudah mati untuk merasa kasihan. Jangan kau cuba meruntuhkan lagi kesantunan moral ku dengan kata-kata seperti itu. Sudah lah Amri, aku perlu kembali ke sana. Anak-anak kurang upaya yang manis dan tak pernah meminta apa-apa selain kasih sayang itu menunggu ku. Aku hanya membuang masa ku di sini, mengimbas kembali sejarah kita.” Katanya tegas, bingkas berdiri dan cuba berlalu. Amri turut berdiri. Terpaku di situ.

“Sejarah yang membuat aku tersiksa..” detik hati Atie Aida di dalam hati. Hatinya kembali sebak dan airmatanya menitis lagi. Amri sudah jauh dibelakang. Berdiri sepi di pondok itu. Belantara yang sepi itu seakan terdiam menyaksikan drama antara dua insan yang menghiasi pagi yang masih berembun itu. Tasik seluas itu menjadikan panorama pagi tambah syahdu. Seketika itu, langit mula bertukar mendung.

“Atie, kau penipu. Kau kata hati mu mati, tapi aku tahu kau masih mengingati ku, seperti aku. Aku masih cintakan kau Atie, dan aku tak pernah melupakan mu. Berhentilah membohongi hati mu. Institusi itu bukti kau punya banyak rasa kasihan . Kasihanilah aku Atie, terimalah aku kembali.” Jerit Amri, kedengaran dari kejauhan, mematikan langkah Atie.

Hatinya berdegup kencang. Airmatanya kembali mengalir dan dia benci mendengar suara itu. Suara yang pernah membuat hatinya bingit rindu. Suara yang telah juga menafikan cintanya sepuluh tahun lalu. Yang membuat hatinya kecewa, dia meneruskan langkah, lebih laju.

“Aku tak pernah mengahwini dia. Aku tak pernah kembali kepadanya. Aku tak dapat hidup dan membohongi jiwa ini Atie. Aku menunggu mu Atie. Kasihanilah aku. Aku terlalu cintakan kau, Atie.” Jerit itu kedengaran lagi. Atie tersentak, langkahnya mati lagi. Dia berdiri sepi. Terkedu mendengar kebenaran itu, dia sungguh tak percayakannya.

“A. Donovan Junior itu bukan anak ku. Aku tak pernah ada anak. Dia anak Adam Damian, abang ku yang mati dalam kemalangan. Tapi sungguh aku kasihkan anak itu seperti kalau aku ditakdirkan punya anak sendiri”, kata-kata dan suara Amri semakin mendekat di telinga Atie Aida. Dia berada di belakangnya. Dan mereka berjalan seiringan, meninggalkan pinggir belantara indah itu. Di antara dua hati itu, berbicara sendiri. Tanpa kata. Parut dalam, yang tertinggal di dalam jiwa mereka sejak perpisahan sepuluh tahun yang lalu itu, menjadikan keduanya berdiri di atas batas garisan yang halimunan. Menghalang mereka untuk mendekat rasa.

“Atie, aku dan rombongan anak-anak muda pemain hoki yang kubimbing ini akan berangkat malam ini. Kami akan kembali ke kota. Di sini hanya untuk menenangkan minda. Dua minggu lagi mereka akan bertempur. Aku amat bahagia melihat mu di sini, Atie. Maaf kerana aku terlalu lancang dengan kata-kataku tadi. Maaf kerana membuat kau menangis lagi. Tapi ketahuilah, aku sangat jujur dengan kata-kata ku itu, Atie.”

Atie Aida menghentikan keretanya. Antara meneruskan perjalanan itu atau berpatah kembali. Dia melihat mentari yang semakin menurunkan sinar di hadapannya. Melaui cermin pandang belakangnya, dia melihat garisan jalan yang panjang, berliku-liku dan menghilang di sebalik rimba yang mula menghitam. Hatinya jadi sayu dan dia ingin menangis. Terngiang-ngiang bait-bait kata Amri yang didengarnya dihujung jalan belantara peranginan itu, seminggu yang lalu. Kata-kata yang sekali lagi menggegarkan keinsanan seorang Atie Aida yang diragut seorang lelaki bernama Amri Donovan sepuluh tahun lalu. Namun di akhir pertemuan lalu di belantara itu, segugus kata-kata Amri Donovan yang melekat benar dalam kotak mindanya, membuatnya hampir sampai ke situ, ke suatu tempat yang tak pernah terfikirkan akan dijejakinya lagi. Ke pantai itu. Pantai yang menghiris hatinya sepuluh tahun lalu.

“Atie, aku tahu begitu sukar untuk kau memaafkanku. Aku telah melukakan perasaanmu dan kau tak perlu pun memaafkan aku. Aku tak layak dimaafkan.Tetapi, jika kau temui walau sekelumit pun rasa maaf dan kasih lagi pada ku, datanglah ke pantai itu. Pantai terakhir sewaktu kita bertemu sepuluh tahun yang lalu, pada hujung minggu depan dan aku akan menunggu mu di situ, sehingga senjakala meminta diri. Andai kata kau tak muncul, tahulah aku, bahawa harapan ku sudah tiada. Dan aku tak akan menyimpan harapan atau menggangu hidup mu lagi, Atie Aida.”

Atie Aida masih di situ, duduk di dalam kereta dan memandang ke depan. Ke arah mentari yang semakin menurunkan sinar itu. Burung-burung petang berkicau-kicauan di tepi jalan. Entah mengapa melodinya mula kedengaran manis dan menyegarkan sebuah hati Atie Aida yang sebelumnya sugul dan keliru. Dia merapatkan jari pada kunci kereta. Memejam mata rapat-rapat dan menghafal seluruh kata-kata Amri Donovan yang masih berlagu-lagu di mindanya. Kemudian membulatkan tekad. Kunci diputar dan seluruh enjin kereta menderum dan mula bergerak. Atie Aida menarik nafas sedalamnya, mencari kekuatan untuk menekan minyak, laju ke hadapan, sebelum mentari terbenam di garis alam di pantai yang ditinggalkannya sepuluh tahun lalu, menuju harapan kehidupan, sebuah cinta sejati yang didambakannya.

-Tamat-

ulasan ..Keputusan

Seorang yang pa'al kagumi mengulas tentang cerpen pa'al yg bertajuk 'keputusan', yang akhirnya dapat Pa'al siapkan walau temanya biasa-biasa saja. Sambil itu terselit kata-kata ini darinya;

"Alangkah pentingnya membuat keputusan dalam hidup insan. Setiap hari orang membuat keputusan untuk dirinya. Hidupnya. Sehingga tidak membuat keputusan pun sebenarnya satu keputusan walaupun keputusan yang lemah."

Waktu membaca kata-kata itu, kebetulan pa'al mengambil keputusan untuk malas-malas, menghabiskan hari, dengan baring-baring meluruskan tulang belakang di hujung minggu.

Pa'al suka sms itu, membuat diri tersenyum dan berfikir.


The biggest loser is me, i guess??


Untuk hidup, harus makan. Makan jangan terlebih. Makanlah bila perlu. Untuk hidup sihat, malas jangan dilayan.

Bagaimana pa'al hilang 10kg dalam masa 5 bulan?

Rejim senaman:
Isnin - Jumaat : Jogging + Jalan kaki : 500 meter x 10 laps atau aerobik di gymnasium rakyat saja .

Diet :
1. Sarapan pagi, mesti (makan apa saja..)
2. Makan tengahari (very small portion dan berhenti makan sebelum kenyang, kalau tak lapar, tak payahlah makan)

3. Makan malam sebelum jam 7pm (sepotong bread wholemeal kosong dan minuman favourite- nescafe 3 in 1)

4. No SUPPER and 'no in-between meal'



Booster : "Myself are my biggest challenge"

DISIPLIN. Keazaman yang kuat. Kalau ingin mencapai 10 laps sehari, mesti capai, jangan malas, jangan bagi alasan pada diri sendiri. Jangan malu untuk bersenam bersama orang lain. Paling penting jangan tidur di masa-masa ini - 4pm to 7pm, masa ini adalah masa untuk bersenam, buat apa saja yang keluarkan peluh, get out from your office!!!!... and breath deeply, biar matahari membakar kulit mu sedikit before it sets. Orang kurus pun kena bersenam untuk fit, kurus tak bermakna sihat.


Tak payah query, i did my stuff with my own determinations and it works for me, well, it does'nt mean it works for you or your body, i mean no harm, just to motivate and inspire you a bit. Loss 10kg.. from 63kg to 53kg in 5 months, i guess, i am the biggest 'loser', but i feel blessed!

Rabu

Burung..








B
ersiul sang burung,

menyambut seri pagi
menyapa tiap petang
bersantap serangga alam
aduhai sang burung,

jinak haluan rapat ke bumi

seharus kau terbang tertinggi

bukan serendah batu kelikir

kerna musuh mengintai
esok tinggal bulu dimakan kucing

Anekdot


Perut terasa berkeroncong.

Pelik kan, jiwa grunch, tapi kalau perut lapar, mesti teringat perut ni menyanyi lagu keroncong, siap dengan tajuk lagu, tapi penyanyinya aku tak tahu, tapi setelah mencarinya di google, namanya Henri Rotinsulu. Wah, klasik! aku suka. Lagunya 'rindu lukisan'. Mendayu-dayu, irama halwa telinga jam lima pagi, waktu zaman budak-budak dulu. Kisah bersama datuk, peminat lagu keroncong dan dondang sayang. Dia pesara polis dan jiwanya klasik. Pagi-pagi, jam lima di Sabah masih gelap gelita, dia sudah mandi, segak wangi dan duduk baring tenang, bersandarkan empuk kerusi kayu dan desir-desir embun pagi, meneruskan hubungan baiknya dengan secawan kopi pekat yang manis sedap. Sambil meneguk kopi, dia mendengar lagu-lagu klasiknya. Irama keroncong dan dondang sayang. Kucing-kucing pun masih malas-malas, tapi bangun dan datang duduk bersamanya di bawah kerusi malas kayu datuk. Gambaran itu sering menerjah minda ku, kerana aku rindu atuk dan kampung. Terutama sekali tika lapar datang, orang selalu mengatakan, lapar dan perut akan berkeroncong. Jadi aku pula, kalau lapar, perut berkeroncong mengingatkan aku pada datuk yang suka irama keroncong.

Jauh mata fikir ku melayang, hanya kerana perut yang lapar. Sebenarnya bukan cuma lapar, mungkin aku kebuluran pagi ini. Kurasakan paras glukos dalam darah benar-benar sudah turun kerana mungkin semalam aku malas makan. Sambil berjalan laju, sempat juga aku terpandang seorang lelaki yang berdiri di luar wad itu, wad di mana para wanita-wanita hebat menzahirkan kasih pada sang suami dengan melahirkan zuriat ke bumi yang banyak pancaroba ini. Lelaki itu seperti cacing kepanasan cuma dia tak melupur. Tapi dapat ku lihat jiwanya kacau, mungkin takut terjadi apa-apa pada isteri yang sedang bertarung di medan 'perang' di dalam sana. Peluhnya menitis-nitis di celah anak rambut di tepi telinga. Aku tersenyum, entah, rasa lucu pula bila melihat lelaki-lelaki yang berdiri-diri di luar wad itu, bagi ku mereka patut berada di dalam dan bertarung bersama. Dan aku mendoakan agar semua selamat baginya, di dalam hati. Langkah ku teruskan, perut makin sakit. Sakit lapar.

Beberapa langkah, kakak kolar biru dengan troli kuning menghentikan langkah ku dengan ucap selamat pagi. Aku membalas ucap riang itu dan melemparkan senyuman. Masih mampu tersenyum, walau kelaparan berada di tahap kemuncak. Dia mengatakan 'seorang wanita berbaju kuning yang mendukung anak itu, mencari ku' dan seraya itu, jari telunjuknya menghala ke arah wanita yang berjalan jauh menuju ke pejabat ku nun jauh di sana. Aku memutuskan, selepas makan nanti kami akan bertemu, dan sebelum itu dia pasti menemukan tempat duduk selesa dengan kipas-kipas nyaman di lobi unit di sana, sementara menunggu ku. Aku mengiyakan dan mengucapkan terima kasih pada kakak itu. Sebelum berlalu, sempat dia berbisik pada ku. " wanita itu, giginya tinggal dua, tapi sampai hati dia memanggil ku makcik". Lalu kami berdua tertawa kecil. Aku merasa betul-betul lucu, tumpang simpati juga dengan kakak itu kerana tentu dia merasakan dirinya tua dari semalam. Aku hanya tersenyum, mendoakan agar harinya akan baik-baik saja dan berlalu.

Di persimpangan jalan ke tempat makan yang hanya tinggal beberapa langkah, sahabat menunggu ku dengan senyum manisnya. Tudung hitamnya yang lembut menari-nari dibuai angin. Dengan pantasnya, aku mengimbas kembali cerita berbagai rasa yang ku alami tadi. Memori akan datuk dan Henri Rotinsulu, lelaki itu dan isterinya yang sedang 'berperang' serta kakak kolar biru dan wanita bergigi dua. Semuanya menyeri kotak fikir ku yang sebenarnya dipenuhi jamuan makanan grandiose yang kuidamkan kerana terlalu lapar. Kerana langkah yang banyak disinggahi peristiwa jamuan mata bagi ku tadi, aku hanya makan sedikit. Hilang juga lapar. Aku pun kurang pasti, aku hilang selera kerana terlalu lapar atau selera ku sudah 'dibawa lari' kerana klimaks lapar ku sudah berlalu melihat troli kuning kakak kolar biru tadi. Yang pastinya, wanita berbaju kuning itu sedang menunggu ku. Wanita yang hanya bergigi dua itu. Aku pun mengayuh langkah dengan perut kenyang, menuju destinasi. Dan lagu 'rindu lukisan' Henri Rotinsulu yang klasik itu, terngiang-ngiang di telinga, sepanjang jalan. Kali ini bukan kerana lapar tapi kerana rindu. Lukisan kaamatan yang akan menggamatkan senandung hari-hari orang Sabah di bulan Mei. Mungkin aku perlu balik kampung, mengubat rindu, berjumpa Kopral Kassim dan duduk bersamanya pukul lima pagi di cerun rumah sambil mendengar koleksi lagu-lagu keroncongnya yang syahdu.

Selasa

Wasted sunsets..















Wasted Sunsets

for Nad, Ju and Ryati

When i'm gone
remember me
u know theres one wonderful sunsets
in every end of the days
u know theres one beautiful moment
at the climax of every sunsets
i'll be far but closer to your hearts
i knew i'll be missing layers of episodes
stories of the setting sunny days
but for sure i'll be here for the rising sun
catching memories, blessing the silents
i love you all with my heart and soul
let the miracle of friendship dwells
within our hearts and minds forever
this friendship is God's most precious gift
let us cherish the moment we'ved had before..


Friendship forever..

Pena Alam; 21apr09;1649hrs

Ahad

nyanyian dari dapur II..

Malam ni malas pula hendak makan. Teringat kata-kata seorang sahabat ku, "makanlah, makan untuk hidup. Bukan hidup untuk makan". Betul juga tu. Kadang-kadang kita makan tanpa sebab, tak lapar pun makan juga. Apa kata, lepas ni kita makan apabila perut bagi signal 'lapar' saja. Dalam kesibukan kerja, periksa-periksalah di mana BMI anda. BMI ialah body mass index, perkiraan mengenai kandungan lemak dalam badan mu berdasarkan ketinggian dan berat badan. Macamana nak periksa BMI, silakan ke google.

Sementara tu, untuk BMI yang lebih sihat, ini sedikit cadangan makan malam yang kira sihat juga ni. cuba lah. Masa menyediakannya cuma dalam 10 minit sahaja.





















Bahan-bahan :

capsicum, lobak merah, tomato (buang biji), mayonis
(boleh juga letak epal atau buah-buahan lain yang ada dalam peti sejuk mu)

Cara Buat:
  • potong semua sayuran.
  • letakkan potongan sayuran dalam mangkuk besar.
  • Masukkan mayonis , gaul rata. Taburkan sedikit garam.
  • Makan bersama sekeping roti wholemeal bakar dan teh tanpa gula

S
enang bukan? cubalah..










Sabtu

Anak Manis..












































Manisnya mereka walau tak senyum. Lihat ke mata-mata mereka. Tanya hati mu, apa katanya. Bagi ku, aku terlihat sebuah cinta manis, lahiriah yang tulus dalam hati-hati lelaki kecil yang belum disentap arus dunia. Lihat ke wajah mereka. Bagi ku anak-anak kecil ini sangat manis. Senyum yang tersurat dan yang tersirat, sama saja maksudnya, tulus. Mereka lambang hati murni dan murni itu mereka.

Foto-foto ini aku rakamkan ketika bertugas di luar, ketika sessi lawatan ke rumah (home visit) , ketika menziarahi pusara dan ketika berkongsi duka bersama ahli keluarga seorang pesakit Thallasaemia yang meninggal dunia. Untuk sampai ke rumah mereka, ada kepayahannya. Jalan yang dianaktirikan; bukit-bukau yang tersipu-sipu malu kerana ditelanjangkan, sungai keruh yang batuk-batuk, bernafas sesak kerana banyak dedak; pohon-pohon kertas yang mendongak ke langit, yang tersenyum bangga kerana akarnya keras menjajah tanah pusaka peribumi yang hanya mencangkul setempat kerana cita-citanya tak tinggi.

Tugas membawa aku ke sana. Sesampainya di situ, cukuplah aku katakan, kalau ada derita yang tak pernah kau bayangkan. Hidup memang sukar di sana. Ada yang tak pernah memamah biskut, si manis ini tak tahu rasanya biskut manis. Ada bapa mereka yang sirna di balik kabus kedaifan hidup bersama tulang empat kerat demi membeli sedikit papan untuk di buat tangga rumah. Ada yang bermanja dipangku ayahnya, sedang ayah itu deritanya banyak, kerana nyawanya hampir berada di akhir garisan, hanya menunggu masa, sebab mustahil ada insan yang sanggup menyerah ginjal sihat pada si ayah ini. Paling melankolik, semasa lawatan hiba ke rumah seorang remaja perempuan yang baru beberapa hari menyambut hari lahir yang ke 21, yang kukatakan Thalasaemia itu. Dia telah pergi selamanya, menghentikan keletihan dan kepatuhannya terhadap transfusi darah yang harus dilakukannya saban bulan, demi untuk bernafas lagi esoknya. Adiknya, si manis itu, duduk termanggu di tepi kotak perbaringannya dengan wajah sugul. Dia masih kecil, namun jiwanya sudah besar kerana dia tahu, kakaknya sudah pergi dan tak akan kembali lagi untuk mengubat rindu.

Cukuplah juga kalau aku katakan bahawa aku terharu melihat kebahagiaan yang terbit bersinar di sebalik kemiskinan material yang membelenggu kehidupan anak-anak ini. Anak-anak yang tak pernah kenal kemewahan. Mereka hidup bahagia bersama hijau rumput di padang sawah, gembira melihat kerbau meratah daun di tepi anak sungai, bersukacita mengusik sang berudu yang hidup berasak di celah rekahan-rekahan jalan, menyanyi seriang, seiring siulan burung-burung liar yang kedengaran dari rimbunan rimba di tepi bukit dan bersukaria menyambut gerimis yang menitis ke kulit wajah mereka yang halus. Mereka tak meminta lebih. Hanya cukup makan dan kasih tak bersempadan dari ibu ayah, adik-beradik serta teratak usang yang tersergam bahagia di tempat itu.

Aduhai anak-anak manis ku..kalaulah aku miliki gunung akan ku bina jambatan kukuh mendaki puncak tertinggi itu, agar mereka bisa tinggal di atas sana dan melihat saujana kehidupan yang terbentang luas di depan. Namun aku tahu, di hadapan mereka pula ada sumur ladang yang melebar seluas alam dan membuka banyak jalan untuk mereka terus melangkah. Melangkah menuju kedewasaan lalu menjadi lelaki sejati yang tetap manis dan terpuji.



Khamis

selamat tinggal ...Bilik Nombor 13

15hb Apr, 2009

Sedar tak sedar sudah tujuh tahun aku bertugas di sini. Wahh..lama juga ya. Dan bilik ini banyak kenangan. Macam-macam jenis manusia kutemui. Ingat tak cerita di tv itu? 'Bilik Nombor 13'. Saya tak tahu ceritanya, kononnya cerita seram bersiri. Saya tak tahu, sebab saya tak tengok cerita yang dibuat macam tu. Tak cukup menakutkan bagi saya. Yang pastinya, di sini tiada hantu. Cuma aku, hati ku, senyuman, kasih sayang dan professionalisme mengiringi tugas.

Di sini daerah pertemuan antara yang merawat dan dirawat. Mungkin sebuah perjalanan menuju keinsafan, akan benarnya konotasi 'kesihatan tak boleh dijual beli dengan wang ringgit'. Wang boleh membeli ubat, namun ia tak boleh membeli kesihatan mu. Di sini, di tempat ini adalah pertindihan antara sains dan keajaiban, doa dan harapan, persimpangan antara kehidupan dan kematian. Mungkin juga titik mana roh bercerai jasad, yang bersedia dan yang merintih. Di antara peristiwa itu, ada aku. Terselit di celahan cerita derita tiga malam atau sepurnama berduka makan nasi tanpa cukup garam. Aku meneman, melayan cerita lalu menghulur hati bersama ilmu di dada untuk melihat kau tersenyum sedikit.

Perjuangan tetap sama. Esok atau lusa menjanjikan lukisan pengalaman rasa yang berbeza-beza. Di sini atau di tempat baru. Tatkala, aku menekan kunci tombol, untuk menguncikan pintu Bilik 13 buat kali penghabisan, aku merenung sejenak bilik kosong itu, sebak datang meruntun mengisi dada, teringatkan satu cerita. Tentang aku dan daniella. Aku dan dia pernah di sini, di bilik ini. Kami berdua di sini, melayan waktu bersama, kerana di luar dia takut. Banyak mata-mata melihat dengan berbagai rasa. Terkadang rasa itu menerbit lara di hati ini. Hati tipikal manusia ku ini. Yang tahu sedih merajuk, kontemplatif. Daniella ku yang cerebral palsy, anakku yang baik. Anak ku yang mulia, sesuci awan putih di langit. Ya, di sini lah aku memberinya susu, ketika menunggunya di rawat kerana dia sakit. Tika demam menggangu tidurnya. Tika kejang otot memicit-micit tulang-tulang kecilnya yang keliru. Kini dia sudah tiada. Tinggal kenangannya bersama ku di sini. Selama tujuh tahun melayari kebahagiaan bekerja di bilik ini, kenangan bersama Daniella antara yang paling terkesan di jiwa. Sebak di dada makin pekat.

Aku menghela nafas sedalamnya. Memohon hati agar jangan beremosi. Aku menarik tombol pintu. Dan pintu itu terkunci. Timbul pula perasaan sukacita dan aku tersenyum puas. Aku pernah bekerja di sini dan aku bangga. "Its been an honour working with you, small room!" hati ku bertempik. Lantas langkah ku kayuh, penuh semangat, menuju destinasi.

"selamat tinggal kenangan, selamat tinggal Bilik Nombor 13"


Rabu

Gema rembulan

Wahai Sang rembulan
Sembunyi di balik awan kelabu
Malam pun jadi rupawan di tabir mu
Tiuplah nestapa ku jadi kunang-kunang
Yang mengucup kudup-kudup di hening mu
Bisikkan anginan malam mu yang gemersik
Membuat resah melambai permisi sekejap
Agar tegang di ubun-ubun bisa mengendur
Membiar gemalai asmara jadi masyuk
Atau biar ku tidur sendiri sampai pulas

Di siang ku berpacu kudrat empat kerat
Melafaz kemanusiaan keinsanan nan luhur
Urutlah lenguh saraf di betis bahu ku
Dari sentuh cahya kuning yang menyusup
Dari celah tingkap tidur ku yang melebar
Aku ingin lena, berbaring malas puas
Selamat malam alam, ketemu lagi , esok..
Selamat tidur rembulan ku

pa'al 12:49 ; apr,14th 09



Selasa

Nyanyian dari dapur..

Saya tak pandai masak. Tapi bolehlah kalau mencampur-adukkan bahan-bahan mengikut citra dan rasa yang ada dalam jiwa. Ibarat letak gula di atas hujung lidah. Terasa apa ya? Manis. Dan manis itu bahagia.

Hidup ini tak perlu terlalu banyak itu ini. Fleksibel. Ada citarasa, paling penting. Macam masak, mudah saja. Cemplung saja bahan-bahan yang seirama rasa, pasti akan jadi bahan makanan yang boleh di makan, kan?

Ini spagethi saya. Jadi saya masak ikut desakan perut lapar yang meracau minta makan. Tak ada resepi. Resepi ada dalam kepala. Jadi, Bila ke pasar, minta la capsicum, lobak dan tomato. Balik ke rumah, potong-potong bahan-bahan itu ikut suka. panaskan air, letak sedikit minyak. setelah didih, masukkan spagethi. Sesudah kembang, toskan. Siap satu bahagian.

Untuk sos, goreng bawang besar dengan sedikit bawang putih. Masukkan cincangan daging ayam. Kemudian, masuk sayuran, goreng sekejap. Saya sukakan perencah sos spagethi yang siap sedia, tinggal tambahkan air secawan, kacau rata. Masukkan dalam tumisan. Untuk rasa Italiano yang lebih hebat , saya tambah rahsianya, thyme dan oregano. Paling akhir, masukkan tomato puree. Tambah garam, dan gula kerana tomato puree agak masam, kanak-kanak kurang sukakan rasa itu. Mereka bahagia dengan sedikit manis dalam makanan dan banyak manis dalam kehidupan, kan? Semua bahan ini, ada di pasaran atau di pasar, tak perlu ke Itali. I can cook for you.. :-P

Sediakan pinggan, letakkan spagethi dan tuang sos di atas. Yang pastinya, nyanyian dari dapur anda pasti sampai ke hati dan jiwa yang sudi menjamahnya. Ya, begitulah spagethi saya. Masak macam bersastera dan melukis. Ada instrumen, tinggal mengaya-gerakkan instrumen itu, guna imaginasi dan kreativiti. Apa-apa pun, selamat makan... :-)






















































































Ahad

Keputusan



















Petang itu bakal menentukan segalanya. Antara pendirian dan pilihan. Persoalan yang menjadi tanda tanya oleh hatinya yang kosong sepi setelah sekian lamanya. Sejauh mana janji-janji yang diciptakan dua hati sebelumnya bakal menjadi kenyataan atau sebaliknya. Dua insan yang saling bercinta itu duduk berhadapan di atas kerusi alam, batang pohon yang menghiasi dada pantai. Debur ombak kedengaran kuat, berhempasan di atas pantai berbatu-batu itu. Sebuah perahu kayu menghiasi panorama pantai indah petang itu.

"Apa keputusan mu?" katanya memberanikan diri. Bersuara memecah kebuntuan. Hatinya seakan tak sabar menunggu jawaban dari insan di hadapannya. Dialah harapannya, kehidupannya dan cinta agungnya. Dia memandang tepat ke matanya, lalu menyelak anak rambut yang berterbangan mengikut arah bayu yang meniup. Entah mengapa, dia merasa sebak melihat awan mendung yang berarak di wajah si dia itu. Hatinya penuh tanda tanya. Namun dia sedar antara tanda tanya dan mendung hitam di wajah kekasih itu, dia lebih merasa sebak dan hatinya berduka tanpa sebab. Atau mungkinkah telahan jiwa itu ada benarnya. Dia resah, tubuhnya bergetar.

Dia menundukkan kepala, demi terpandangkan renungan sayu dari mata yang selama ini bertakhta di hatinya. Tak mampu membalas renungan tajam penuh tanda tanya si dia dihadapannya. Dia tak sanggup meluahkan kata-kata. Sepatah saja, pasti keegoannya akan jatuh mencair dan hilang bersama butiran pasir putih yang bersinar-sinar di suluhkan mentari petang itu. Dahulu dia tak pedulikan itu semua. Ego lelakinya akan diletak jauh-jauh di belakang, demi menyahut dan membuktikan cinta dan kasih sayang tulusnya pada si dia di hadapannya itu. Namun kali ini, dia harus berani. Memungut kembali sisa keegoan untuk berani dan berkata-kata, memusnahkan rasa hati yang bersarang dan menghuni kota hati lelakinya yang paling terdalam.

"Kau cinta sejati ku atie."

Si gadis mengangkat wajahnya. Seakan luruh jantungnya mendengar ungkapan itu kali ini. Nadanya terlalu melankolik. Rasa gusarnya bertambah, dia merasa bertambah sebak dan sedih mendengar ungkapan yang kedengaran berlainan benar dari selalu. Dia tak gembira mendengar itu, tapi dadanya berdebar-debar. Dia menarik nafas sedalamnya, menahan diri.

"Aku harus memilih. Orang tuanya meminta kami bersama. Orang tua aku juga memaksa kami bersama. Dia..dia redha dengan keputusan ku. Orang tua kami meminta kami bersama. Bersama demi kebahagiaan masa depan yang sudah tercipta, lama sebelum kau tiba dalam hidup ku. Orang tuanya meminta kami terus bersama, kerana kononya, kami tidak pernah terpisah sebelum ini. Dan mereka tak ingin melihat kami bercerai-berai, mereka merayu atie..mereka merayu. merayu supaya aku jangan tinggalkan dia."

Kata-katanya mati di situ. Keegoan lelakinya yang timbul sebentar, jatuh terhempas ke bumi. Dia bersujud menangis, semahunya. Terlalu berat ingin dilafazkan kata-kata itu tadi. Namun semuanya sudah jelas. Dia sudah memilih. Yang pastinya, dia kecewa dengan keputusannya sendiri.

Si gadis bingkas berdiri. Demikianlah benar, kerisauan yang membebani hatinya sejak beberapa waktu sebelum itu ada asasnya. Dia sudah tak mampu lagi menahan diri. Airmatanya menitis laju. Hatinya terlalu sebak. Rajuk menyapa hati yang sebak. Rajuk yang tak mungkin akan dapat dipujuk lagi sampai hujung nyawanya. Dia menekup wajah dengan jemarinya. Hibanya bersilih ganti dengan rajuk hati yang maha hebat dan paling terdalam, yang menghiris-hiris dan membelah-belah hatinya yang penuh cinta agung untuk lelaki itu sejak sekian lamanya.

Tiada kata terucap di antara ke duanya. Hanya esak tangis mengisi sisa petang yang mulai beransur pergi. Mentari semakin terbenam, menerbitkan senja yang menyinari muka laut menyusur ke pantai yang berpasir putih. Cahaya senja yang berkilauan berpusu-pusu menyelinap di celahan batu-batu pantai yang kelam, seakan ingin mencuri-curi pandang lalu tumpang terluka menyaksikan detik-detik akhir sebuah hikayat cinta di antara kedua insan itu.

"Aku terlalu cintakan kau, atie. Kau pun tahu kan?"

"Sudah. Diam. Tak perlu kau ulangkan kata-kata tamak kau itu. Cukuplah menyiksa jiwa ini. Kau tak layak lagi untuk hati ini. Aku perlu pergi. "

"Ampunkan aku, atie. Percayalah, jiwa ku juga mati bersama kepergianmu. Aku tak ingin memilih dia tapi aku terpaksa, aku terpaksa atie..."Dia memeluk erat kaki si gadis, dan tangisnya makin berat. Si gadis mengalirkan airmata lagi. Sebak dadanya makin hebat. Namun tangisan merayu itu harus dihentikan kerana dia ada prinsipnya. Dia menarik nafas dalam lalu mengutip kembali butiran sisa-sisa moralnya bersama kekuatan yang tertinggal untuk berkata-kata.

"Bangkitlah sayang. Lihat ke mata ku. Dengarlah kata-kata ku buat kali terakhirnya" kata si gadis, lalu menggengam jemari lelaki yang masih dicintainya itu. Menarik tangannya untuk berdiri bertentang mata.

"Kau tahu keputusan ku juga. Mungkin ini memang jalan takdir ku. Mengagumi tanpa dicintai. Tak mengapa bagi ku. Asalkan kau bahagia dalam hidup mu. Apalah ertinya lagi aku menunggumu, kalau kau sudah pun memilih. Tak mengapalah, mencintaimu pun adalah bahagia untuku. Tapi kau harus memilih kerana kau tak akan memiliki kesemuanya, tak mungkin. Aku akan melupakan mu. Selamat tinggal untuk mu..."

Si gadis mengesat airmatanya. Merapatkan tubuh pada lelaki yang bakal menjadi sejarah dalam hidupnya itu, lalu memeluknya seerat-eratnya, tak membenarkan lelaki itu untuk berkata sepatah pun lagi. Tubuh mereka bergetaran dalam kesayuan. Si gadis menangkat wajah dan meletakkan jemarinya di kedua belah pipi cintanya itu, lalu mengucup bibir itu sepuas-puasnya melepas rindu, untuk kali terakhirnya.

"Oh Senja, betapa aku membenci mu kini. Aku tak akan pernah lagi melihat mu, kerana kau mengingatkan aku pada deritanya jiwa yang ditinggalkan. Aku tak akan pernah lagi kembali ke sini menagih cinta terindah mu, lelaki. Aku cintakan kau, tapi aku lebih mencintai diri, kedamaian dengan tak memilih untuk meneruskan cinta kita. Tak mungkin aku memilih jalan itu untuk bersama mu," kata hatinya, sewaktu berlari dalam deru airmata pilu yang berderaian, menuju kereta. Dia menekan minyak dan berlalu cepat dari pantai yang menyakitkan itu. Dari cermin tepinya, dia melihat Amri berlari-lari mengejar jejaknya yang mula hilang bersama malam yang mulai kabut, sekabut harapan cinta sejati yang didambakannya.

silverchair vs menjaring matahari & cinta sebening embun


Malam ini, ketika melayari kota internet seperti malam-malam sebelumnya..tak sengaja pula, entah macam mana aku terdengarkan lagu ini. Tak pernah aku meminati penyanyinya kerna dulu, bagi ku lagu-lagunya terlalu tua bagi ku (maaf kepada peminat-peminatnya ya..). Lagi satu, mungkin aku tak menyukainya kerana bahagian tingkap jauhari ku yang tertutup agak keras, rebel, 'jahat', sensitif, menyebabkan citarasa muzik ku pula lebih menjurus irama yang lain, tak perlu kusebutkan apa irama itu (hehe..), cukuplah kalau aku katakan aku tak pernah tak mendengar silverchair setiap kali berdepan pc ini :-) dan rasanya sebab aku tak mendengar lagu-lagu penyanyi ini kerana rasanya aku tak layak, kerana setelah ku kaji dengan memuat turun lagu-lagunya, kesemuanya penuh bahasa puitis dan penuh makna mendalam. Seperti adanya lagu 'menjaring matahari' ini, bahasanya amat puitis..dan muzik intronya, yang pastinya menangkap matahari yang menyelimuti hati-hati yang tersayu mendengarnya. Begitu juga dengan 'Cinta Sebening Embun' ini. Penyanyi ini punya muzik-muzik intro yang sangat hebat dengan bahasa puitis terindah. Cuba-cuba lah cari dua lagu ini, dengar dan lihat apa pendapat kalian pula.. terpulang..



Menjaring matahari
ebiet g. ade

Kabur ...sengajakah engkau mewakili fikiran ku
Pekat....hitam berarak menyelimuti matahari
Aku dan semua yang ada di sekelilingku
Merangkak menggapai dalam gelap
Mendung..benarkah petanda akan segera turun hujan
Deras..agar semua basah yang ada di muka numi
Siramilah juga jiwa kami semua
Yang tengah dirundung kegalauan
Roda zaman menggilas kita terseret tertatih-tatih
Sungguh hidup terus diburu, berpacu dengan waktu
Tak ada yg dapat menolong selain yang di sana
Tak ada yang dapat membantu selain yang di sana

Dialah Tuhan..Dialah Tuhan




Cinta Sebening Embun
ebiet g. ade

Pernahkah kau cuba menerka?
apa yang tersembunyi di sudut hati
Derita di mata, derita dalam jiwa
Kenapa tak engkau pedulikan?

Sepasang kepodan terbang melambung
Menukik bawah seberkas pelangi
Gelora cinta, gelora dalam dada
Kenapa tak pernah engkau hiraukan?

Selama musim belum berkulir
Masih ada waktu saling membuka diri
Sejauh batas pengertian , pintu pun tersibar
Cinta mengalir sebening embun

Kasih pun mulai deras mengalir

Cemerlang.. sebening embun
Pernahkah kau cuba membaca?
Sorot mata dalam menyimpan rindu
Sejuta impian, sejuta harapan
Kenapakah mesti engkau abaikan?


Rabu

'kota ini menelan ku..'

Kota ini bagai karma.
Menghukum ku untuk terus berlari mengejar rakusnya masa. Kadang-kadang aku keliru dan terlali dengan arus masa , haruskah masa itu berada di hadapan ku atau seiringan langkah ku yang kadang-kadang tak memijak bumi ini. Yang ku tahu, di kota ini, segalanya harus bingkas dan jangan lalai, kerana kelalaian itu akan menampar mu tanpa belas tika kau ketinggalan, membuat mu merasakan sebuah amarah terpuncak, lalu kau berkecil hati pada alam yang tak berperi kemanusiaan. Tak secebis pun memberi mu peluang, untuk berpeluk tubuh atau menghayati tiang-tiang neon yang megah menyuluh arah mu dan tegas berdiri di tepian jalan itu, berbarisan padu menghiasi derap langkah kita yang seharusnya laju. Bunyian unggas kota yang menyesakkan dada, mula bertempik mengalunkan suara di pagi itu, sang jentera yang membangunkan metropolitan. Menabur janji pada esok dan lusa, serta tahun-tahun mendatang, bahawa akan ada lagi bangunan setinggi awan, bukan sekadar mencakar-cakar langit dan awan gemawannya, tapi tegak di situ, berdiri di gigi langit. Derap langkahku, ku hayun seluasnya agar setiap saat langkah ku buka, membayangkan destinasi ku yang makin hampir. Di dada ku tatkala ini hanya satu, ingin mendaki hierarki tertinggi, keagungan hidup, kesenangan hidup, agar manusia-manusia tercintaku bisa makan dan bangun dari tidur dengan perut kenyang dan hati senang.

Destinasi ku makin hampir. Bangunan tertinggi dan cita ku yang melampaui tingginya harta dunia ciptaan manusia di hadapan ku ini. Tatkala ingin meneruskan langkah, bahu ku di sentuh, di picit lemah. Sang pengemis dengan wajah sayu, menghulurkan tangan. Jemarinya bergetar. Bertahunan hidup di metropolitan yang tiada jiwa kesantunan, kemanusiaan ini, buat pertama kalinya aku berhenti untuk merenung alur-alur kedut di wajah seorang sang pengemis. Aku dan dia bertentang mata. Sekali ini, aku berdiri sepi. Memandang tepat ke matanya, siapakah yang mengemis? bisik hati ku. Diakah pengemis yang membutuhkan material, atau aku juga pengemis, yang membutuhkan kemanusiaan. Sebenarnya kata hati ku mengiyakan, kami sama. Mengemis di bumi Tuhan. Cuma topeng dipakai berlainan, kerana aku dan dia dibatasi kemampuan dan ketaksempurnaan yang lahir dari fitrah manusia dan hukum alam ini. Atau mungkin di antara aku dan dia ini, di antaranya ada yang lebih beruntung. Keberuntungan yang sangat subjektif. Kerana dia beruntung tanpa perlu berkejaran setiap dinihari, kemudian perlu pulang keletihan tatkala matahari jatuh. Dia bisa makan dengan simpati dari insan lain. Keberuntungan aku, dapat pada manusia-manusia yang kucintai, tak pula ku tahu, sejauh manakah cinta mereka pada ku. Adakah sekuat cinta ku pada mereka, atau hanya pada material yang kuberi hasil keringat jujur, menahan makan agar mereka bisa dapat lebih setiap kali perlu.

Aku dan sang pengemis masih bertentangan mata. Garisan kedut itu sekali lagi membingitkan semula semangat keinsananku. Menerbit rindu pada dua jasad yang bertanggungjawab melahirkan aku ke dunia ini. Ketuaan sang pengemis dan ketuaan ibu ayahku. Mereka sama. Cuma dia di sini, hidupnya 'ceria'. Jalannya mampu sampai ke serata kota yang kadang bengis, terkadang memberinya hiburan, dalam dunianya yang banyak kecelaruan, namun dia bahagia di alamnya. Ibu ayah pula di alam yang lain, penuh kehijauan dan kesuburan. Lalang di tepian jalan, tak segagah tiang neon, dia meliang-liuk, membuai dan menghiasi derap langkah yang berbatu-batu. Harum pasir di tebing sungai yang banyak anak ikan itu, terkadang terhidu olehmu semasa berjalan mengambil angin sebelum matahari terbenam di ufuk timur itu. aku menelan pahitnya air liur ku. Tekak ku terasa kering. Ku kesat titis peluh yang berantaian di pipi. Dia mengghulurkan tangan lagi. Dan aku mahu menyeluk saku, ingin memberi. Lantas hati ku berdetik, akulah si pemberi selama ini. Tak ku ingat bila pula mereka memberi ku sesuatu. Aku bukan meminta, jauh sekali merayu untuk diberi sesuatu. namun sekecil-kecilnya pemberian itu bagiku, bisa membuat hatiku gempita, merasa dihargai, merasa disayangi seperti layaknya seorang manusia. Aku mengeluarkan sejumlah keikhlasan milik ku.

"Nah, terimalah. Aku memberimu bukan kerana kau sang pengemis, tapi kerna aku mahu kau menerima dan diberi sesuatu atas dasar kau juga manusia yang punya perasaan".

Sang pengemis beredar, senyum tersunggil di pipinya yang hitam berkerak. Dia berlalu kerna suda mendapat keberuntungannya dari ku walau dia terlupa memberi ucap terima kasih, dia semakin menjauh. Tak mengapalah, senyum itu suatu makna terima kasih dan aku menerimanya. Aku berdiri lagi di situ, melihatnya dan ironi yang datang mejengah benak ku sebentar tadi. Suara metropolitan kembali memenuhi arus pendengaranku. Aku mendongak, melihat langit yang kelam. Kemudian tunduk, melihat jalan penuh kemodenan itu. Manusia-manusia berkejaran laju bagai semut-semut di atas jalan, di kota raya itu. Aku sebahagian dari kota ini. Dan kota ini sebahagian dari sandiwara alam, sementara sangkakala belum ditiup bila sampai masanya. Aku berjalan terus, masih sempat menangkap waktu yang tersiakan bersama sang pengemis tadi. Di dada ku kini, penuh azam. Ingin bersatu kembali di alam subur menghijau, di mana aku bisa menghirup kembali damainya angin hutan, nikmatnya titis hujan yang menyentuh hujung lidah ku yang sudah lama kelu atau pada nyamannya mendengar bicara unggas-unggas hutan sambil memejam mata, tersenyum. Ya, aku ingin kembali ke sana. Aku pasti kembali ke sana. suatu waktu nanti. Bila tiba masa dan ketikanya.

Derap langkah ku atur. Perlahan-lahan aku kembali kerdil semula dan kota ini terus menelan ku, bersama semut-semut manusia yang mula menghilang satu persatu ke dalam dunia masing-masing.

(...tatkala kita memberi, adakah kita juga diberi? kerutinan menjadikan kita alpa pada sesuatu yang semakin pudar kerana ketakseimbangan itu meneroka rongga kosong dalam hati manusia biasa yang penuh pengharapan. hargailah kebaikan, hormatilah kesantunan, cintailah cinta, kasihilah kemanusiaan kerna di situ adanya nilai manusia terhebat, walau masih sekerdilnya di sisi yang Esa..)

Sea Slugs ..




Nembrotha Pupureolineata
(Nudibranch)

Penghuni dasar lautan
Kenit pada kasarnya mata
Tanduknya lembut bercabang dua
Ekornya kemerahan tiga cabangnya
Tubuhnya Indah lembut gemalai
Tiada gentar pada gilanya arus
Atau ramahnya tenang arus yang suam
pada kejamnya tajam karang-karangan
Dia berkuasa dalam lembut lemah
Sungguhlah unik wahai Nembrotha
Penghuni lautan luas terbilang


Isnin

Kidung Senja, anneke gronloh dan gloria estefan...









































"Bulan menyinari di angkasa, menembus kegelapan cuaca, tak terbanding segalanya disuluhkan nyata, semalaman menyinari ke segenap maya, andingnya lah menciptakan hati, si pemuda dan pemuda peri, di segenap sudut , ke seluruh negeri, sang rembulan menyerikan bumi.."terngiang-ngiang olehku klasiknya irama anneke gronloh yang memvariasikan himpunan muzik kegemaran ku yang berbagai-bagai.
Aku memang pencinta muzik. muzik adalah luahan jiwa dan aku suka begitu. dulu sebelum kehilangan skill (hehe..) aku boleh meluahkan rasa di atas kertas lukisan dengan water colour painting, atas buku dengan lukisan ala-ala kartunis konon atau pada dinding membuat coretan, dengan lukisan mural. sekarang aku cuma cool-cool dengan skill terpendam itu..mungkin masih ada kalau digilapkan, entahlah.
Petang yang bahagia itu, burung-burung berterbangan sebebas-bebasnya, menghiasi awan gemawan yang mula gelap kerna waktu siang sudah hampir ke penghujungnya. sebagai pemuja senja.. sebenarnya pemuja senja dan samudera.. sekali lagi aku duduk di situ, ingin merakam wajah senja yang akan berdansa sebentar lagi, di atas muka rimba air ini dengan warna kuning kemerahan, perak bersinar-sinar dan berbagai lagi warna aura misteri sang senja yang tak mampu dilafaz melalui kata-kata tak berseni.

"Cómo duele el día nublado, cómo el tiempo es tan pesado, sí, porque a diario pienso en ti. Qué bien grita el silencio, qué bien duelen los recuerdos, sí, porque todo habla de ti...Qué delicia tu sensualidad, qué locura cuando te sentía muy de cerca y ahora que estás lejos, hasta el universo ha muerto, Cómo fue que tú dejaste de querer? y olvidaste del ayer de nuestras miradas de nuestra piel no te duele así perder? creo que fue perfecto y acordado fiel lo que me queda por decir, es cómo duele perderte... "..ku nyanyikan Como Duele Perderte dendangan Gloria Estefan yang indah romantis..irama spanish penuh gelora asmara, sesedap angin pantai yang meniup halus rambutmu, yang maknanya melambang rindunya aku pada senja yang menawan jiwa, merayunya agar jangan pergi lagi malam ini, namun harapan itu begitu saja, dia tetap akan pergi lagi . Hadirnya sekejap cuma, meninggalkan hari yang gelap bersuluhkan bulan yang akan naik, jika dia sudi, hari ini, malam ini. Tak mengapalah, esok kan masih ada...

catatan pa'al...tentang senja..

Puisi Kemerdekaan buat Pak Samad dan negaraku Malaysia : 'Tatkala aku ingin menulis tentang hari merdeka'...( sila klik pic Pak Samad)

Sayangi Alam!

Sayangi Alam!
Orang Utan juga diancam kepupusan ..

Sahabat lautan, sahabat kita ..penyu, tahukah anda penyu adalah haiwan yg diancam kepupusan? Penyu juga adalah haiwan yg diwartakan sbg spesies yg dilindungi kerajaan. Jadi adalah menjadi suatu kesalahan bg anda utk memelihara penyu di dalam akuarium, membunuhnya atau mengambil telurnya.. dan tahukah anda, penyu hanya akan bertelur semula selepas 3 atau 4 tahun selepas bertelur, maknanya jika anda makan telurnya, anda sama seperti pembunuh yg telah menelan segenerasi kehidupan sang penyu sama ada anda sedar atau tidak, setuju ataupun tidak..