Memaparkan catatan dengan label Anak manis... Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Anak manis... Papar semua catatan

Sabtu

Anak Manis..












































Manisnya mereka walau tak senyum. Lihat ke mata-mata mereka. Tanya hati mu, apa katanya. Bagi ku, aku terlihat sebuah cinta manis, lahiriah yang tulus dalam hati-hati lelaki kecil yang belum disentap arus dunia. Lihat ke wajah mereka. Bagi ku anak-anak kecil ini sangat manis. Senyum yang tersurat dan yang tersirat, sama saja maksudnya, tulus. Mereka lambang hati murni dan murni itu mereka.

Foto-foto ini aku rakamkan ketika bertugas di luar, ketika sessi lawatan ke rumah (home visit) , ketika menziarahi pusara dan ketika berkongsi duka bersama ahli keluarga seorang pesakit Thallasaemia yang meninggal dunia. Untuk sampai ke rumah mereka, ada kepayahannya. Jalan yang dianaktirikan; bukit-bukau yang tersipu-sipu malu kerana ditelanjangkan, sungai keruh yang batuk-batuk, bernafas sesak kerana banyak dedak; pohon-pohon kertas yang mendongak ke langit, yang tersenyum bangga kerana akarnya keras menjajah tanah pusaka peribumi yang hanya mencangkul setempat kerana cita-citanya tak tinggi.

Tugas membawa aku ke sana. Sesampainya di situ, cukuplah aku katakan, kalau ada derita yang tak pernah kau bayangkan. Hidup memang sukar di sana. Ada yang tak pernah memamah biskut, si manis ini tak tahu rasanya biskut manis. Ada bapa mereka yang sirna di balik kabus kedaifan hidup bersama tulang empat kerat demi membeli sedikit papan untuk di buat tangga rumah. Ada yang bermanja dipangku ayahnya, sedang ayah itu deritanya banyak, kerana nyawanya hampir berada di akhir garisan, hanya menunggu masa, sebab mustahil ada insan yang sanggup menyerah ginjal sihat pada si ayah ini. Paling melankolik, semasa lawatan hiba ke rumah seorang remaja perempuan yang baru beberapa hari menyambut hari lahir yang ke 21, yang kukatakan Thalasaemia itu. Dia telah pergi selamanya, menghentikan keletihan dan kepatuhannya terhadap transfusi darah yang harus dilakukannya saban bulan, demi untuk bernafas lagi esoknya. Adiknya, si manis itu, duduk termanggu di tepi kotak perbaringannya dengan wajah sugul. Dia masih kecil, namun jiwanya sudah besar kerana dia tahu, kakaknya sudah pergi dan tak akan kembali lagi untuk mengubat rindu.

Cukuplah juga kalau aku katakan bahawa aku terharu melihat kebahagiaan yang terbit bersinar di sebalik kemiskinan material yang membelenggu kehidupan anak-anak ini. Anak-anak yang tak pernah kenal kemewahan. Mereka hidup bahagia bersama hijau rumput di padang sawah, gembira melihat kerbau meratah daun di tepi anak sungai, bersukacita mengusik sang berudu yang hidup berasak di celah rekahan-rekahan jalan, menyanyi seriang, seiring siulan burung-burung liar yang kedengaran dari rimbunan rimba di tepi bukit dan bersukaria menyambut gerimis yang menitis ke kulit wajah mereka yang halus. Mereka tak meminta lebih. Hanya cukup makan dan kasih tak bersempadan dari ibu ayah, adik-beradik serta teratak usang yang tersergam bahagia di tempat itu.

Aduhai anak-anak manis ku..kalaulah aku miliki gunung akan ku bina jambatan kukuh mendaki puncak tertinggi itu, agar mereka bisa tinggal di atas sana dan melihat saujana kehidupan yang terbentang luas di depan. Namun aku tahu, di hadapan mereka pula ada sumur ladang yang melebar seluas alam dan membuka banyak jalan untuk mereka terus melangkah. Melangkah menuju kedewasaan lalu menjadi lelaki sejati yang tetap manis dan terpuji.




Puisi Kemerdekaan buat Pak Samad dan negaraku Malaysia : 'Tatkala aku ingin menulis tentang hari merdeka'...( sila klik pic Pak Samad)

Sayangi Alam!

Sayangi Alam!
Orang Utan juga diancam kepupusan ..

Sahabat lautan, sahabat kita ..penyu, tahukah anda penyu adalah haiwan yg diancam kepupusan? Penyu juga adalah haiwan yg diwartakan sbg spesies yg dilindungi kerajaan. Jadi adalah menjadi suatu kesalahan bg anda utk memelihara penyu di dalam akuarium, membunuhnya atau mengambil telurnya.. dan tahukah anda, penyu hanya akan bertelur semula selepas 3 atau 4 tahun selepas bertelur, maknanya jika anda makan telurnya, anda sama seperti pembunuh yg telah menelan segenerasi kehidupan sang penyu sama ada anda sedar atau tidak, setuju ataupun tidak..