Khamis

hari lahir trudy..












"Selamat hari lahir untuk puteri ku
..trudy elisabeth, 4 tahun hari ini.. dan aku tak bersamanya di sana. Sedih juga, kerana tugas terpaksa juga berjauhan, namun Doa dan harapan menggunung, moga semuanya sukses dan kami akan meraikannya bila aku kembali ke sana semula.. Lambat tak apa, asalkan dapat bersama juga akhirnya, kan.. :-) "

Selasa

Suntuk









waktu
menjatuh
ku rangkul
ia menjauh
lantas mencair
di celah jemari
di celah kuku

waktu itu
bagai dataran
bila ku jejak
jadi berbukit
lalu mengensot
terus lenyap

degup jadi hebat
peluh bermanik
berantai di kulit pipi
bukti gelisah resah
ingin berlari deras
tapi kaki terkunci
dalam kesingkatan
waktu melayang
semakin suntuk



Pena Alam
26 Mei 09

Ahad

kucing kampung..



































kucing kampung
menghuni kampung
sama orang kampung
rumah di kampung
disayang orang kampung
bertahun tak ke kampung
berkampung di kampung
merindu tanah kampung
membelai kucing kampung


pena alam
24 mei 09

Selasa

Pesta Kaamatan, Huminodun, Unduk Ngadau dan sanggul bulat ..dalam slanga urang-urang sabah..

..Nah Pesta Kaamatan datang lagi ni taun, tiap taun kaamatan bagi urang-urang Sabah ada makna tersendiri. Kaamatan itu lebih ada erti untuk urang yang tanam padi, yang inda menanam pun tumpang sambut juga..sebab sudah jadi budaya kami urang-urang di negeri di bawah bayu ni. Masa untuk balik kampung, ramai-ramai di kampung, becerita sampai pagi, moginum sampai ampai-ampai kamurang di merata alam, hehehe. Sabah, the land below the wind .. sedap betul lah nama negeri kita kan? Tapi lebih lagi sedap aman, kalau isu-isu yang makin meruncing macam kebanjiran pendatang tanpa izin dapat ditangani dengan bijak oleh pihak berkuasa, kan??..

Dalam Pesta kaamatan, mesti ada Unduk Ngadau dan Huminodun..
Siapa Huminodun? .. dan apa pula kaitan dia dengan Unduk Ngadau atau Ratu Cantik Pesta Kaamatan yang berlangsung tiap tahun ni? Korang pernah tahu ka? yang pernah ikut unduk ngadau pun rasanya ramai yang tidak tau ni..

Huminodun (bermaksud “yang berkorban”) merujuk kepada anak perempuan Dewa Kinoingan serta isterinya Suminundu yang telah mengorbankan dirinya kepada semangat bumi sebagai balasan untuk hasil tanaman yang lumayan untuk umat manusia. Satu ketika dulu, kaum kadazan dusun mengalami bencana kebuluran kerana tidak ada sumber makanan. Kinoingan berasa belas kasihan terhadap kesengsaraan kaum Kadazandusun dan telah mengorbankan Huminodun dan jasadnya disemadikan di bumi lalu tumbuhlah sebagai sejenis tumbuhan iaitu padi dan dari situlah suku kaum Kadazandusun mendapat sumber makanan. Dipercayai juga jelmaan semangat Huminodun telah hidup kembali sebagai Unduk Ngadau dari dalam Kaakanan, selepas tujuh hari dia dikorbankan. Jasa Huminodun diingati dalam perayaan Tadau Kaamatan yang diadakan setiap tahun bagi meraikan hari tuaian.

Jelasnya, unduk ngadau bukan medan untuk berlawan kecantikan kamurang jak, tapi temasuk juga kecerdasan otak dan tahap IQ di samping penampilan bentuk badan yang sesuai dengan tema sumandak yang belum kahwin. Selaras dengan imej Huminodun yang wajah dia juga secantik akal budi dia yang murni.


"Tadi dalam krita dari kk pi sini (kudat), sikit sa mati kepanasan. Gila betul. Tepaksa la sa kasi sanggul ni rambut. Skarang mau kasi urai pun nanti semak pula, ok ka juga ni sanggul sa? " kata Pengadil Unduk Ngadau di sebelah Pa'al yang diimport khas dari kk. Waktu tu kami suda duduk di meja pengadil. Acara Unduk Ngadau Kudat sedang rehat dan mau masuk pusingan ke dua sudah. Pa'al tengok bukan main cantik sanggul dia , macam pramugari kapal trebang pun. Susah percaya dia buat tu sanggul masa dalam perjalanan ke kudat yang adventure dan macam tu saja. Dan Pa'al pun beri komen yang jujur pada dia.


"Cantik. Macam sanggul pramugari bah. Terer juga puan buat, dalam kreta pula tu. "


Lepas tu kami sempat cakap pasal gambaran Huminodun dengan sanggulnya yang unik itu, yang diaplikasi di gaya rambut para peserta tu sehingga lah ke hari ini. Bukan di Kudat jak tapi peringkat Hongkod Koisaan pun stail sanggul ini ada juga yang pakai, wahhh.. pa'al betul kurang setuju. Come on...ini tahun 2009! rasanya kalau Huminodun menjelma di abad ini, dia pun akan setuju dengan Pa'al. Sanggul bulat itu kalau kita perhatikan betul-betul membuat para peserta kelihatan pendek, gemuk dan tagap. Aduhh ... Bukan tu jak, malah kami berdua sependapat sanggul bulat tu bikin peserta yang umur 18 tahun nampak macam 38. Alamak terlebih sudah Pa'al.. Tak percaya, cuba google gambar-gambar peserta Unduk Ngadau Sabah. Kebetulan kawan pengadil Pa'al tu memang judge Unduk Ngadau Sabah, petang tu dia bagi markah untuk keayuan dan kecantikkan, manakala Pa'al untuk Pakaian Tradisi dan bentuk badan.

Tapi macam mana pun, Pa'al rasa 'huminodun-huminodun' kita harus lebih kreatif dalam tatarias rambut. Sanggul bulat tu ..inda payah la, butul...macam tupi! Atukkkuiii ...cantik lagi sanggul si puan pengadil kami tu. Apa pun Pa'al memetik kata-kata seorang pendandan sanggul terkenal di indonesia, namanya Heri.


Menurut lelaki berusia 37 tahun yang berasal dari Bandung, Indonesia ini, sanggul yang betul cara dandanan, bersesuaian dengan bentuk muka dan gaya solekan tidak akan menjadikan seseorang wanita itu nampak tua.

''Apabila membuat sanggul pada wanita yang memiliki wajah lebar, rambutnya tidak boleh dikusutkan kerana akan menjadikan wajah tampak lebih besar. Mungkin boleh dikusut sedikit sahaja di bahagian atas agar wajah nampak memanjang.

''Bagi yang berwajah kecil pula rambut boleh dikusutkan dan dibentuk menjadi sanggul yang bersesuaian dengan majlis yang akan dihadiri. Ini juga harus sepadan dengan solekan dan perhiasan yang diselitkan pada sanggul,'' ujar Heri.

Beliau yang berpengalaman selama 20 tahun membuat sanggul mempelajari teknik dan cara membuat sanggul di beberapa negara seperti Indonesia, Thailand dan Singapura. Katanya, beliau akan pulang ke Indonesia tiga kali setahun bagi menghadiri seminar sanggul atau memenuhi jemputan daripada persatuan jurusolek di sana.

''Jika di Malaysia, wanitanya menyukai semua jenis sanggul asalkan cantik, berbeza pula dengan di Indonesia. Mereka mempunyai 24 suku masyarakat yang berbeza seperti Sunda, Jawa, Padang, Batak, Jogja dan sebagainya. Justeru saya harus pandai membuat 24 jenis sanggul mengikut suku masyarakat yang berbeza. Jika salah, pasti dimarahi,'' tambah Heri.Beliau berkata, rambut umpama rangkaian bunga yang boleh didandan apa sahaja asalkan tahu asasnya.

Tapi, sebenarnya bagi pa'al tak dinafikan pertandingan Unduk Ngadau ini mungkin antara pertandingan ratu cantik tersusah di alam semesta ini, kerana apa???? Kerana peserta itu betul-betul bertanding dengan kecantikan semula jadi mereka, mereka memakai pakaian tradisi dan berkaki ayam. Ingat senang ka mau dapatkan chemistry dengan pakaian tradisi yang dipilih sendiri tu? Dan sebenarnya agak susah untuk nampak cantik sambil catwalk tanpa pakai high-heel yang dapat kasi tambah sikit ketinggian kita dan nampak lebih cantik? Cuba bandingkan dengan miss sabah atau miss universe..suma pakai kasut kan?..brapa inci? mesti 3 atau 4 inci, supaya punggung dapat tersembul sikit dan nampak lawa dan lebih langsing. Untuk itu, salute untuk para sumandak kita yang berani bertanding dalam unduk ngadau ni.


Apa pun, walau ada juga peserta yang tidak memakai sanggul bulat itu lagi, tapi ramai juga peserta yang masih sampai hati kasi sanggul rambut dorang gitu..moga ada perubahan gayalah di masa akan datang.. small matter, tetapi agak menggangu pandangan, kreatif itu kan baik? .. hehehe ...

Untuk urang-urang Sabah di mana pun korang berada, yang Pa'al kasihi...Kotobian Tadau Tagazo Do Kaamatan ... Selamat Menyambut Pesta Kaamatan dan Kaansayan Orou Mayo Do Kamatan!





Pena Alam ..120509

Ahad

mari dengar muzik..

jemput bertandang ke sini..
http://myspace.com/gabrielrobertrawantas

..dan dengarlah skejap luahan hati anak muda dalam karya tersendirinya..

pls find, life ..and when the angels weep..

timakasi :-)

Khamis

dan rindu pun menggunung..











Kedamaian itu
tersuluh di mata mu
kerinduan itu
merimbun di kota hati
bacalah tenungan hebat
yang tersembunyi
dalam celah mata
yang bergenangan
yang penuh cerita
sandiwara derita
kalau kau sudi
melamar pergi duka
dia kan di lambungan
menunggu kapal mu
datang memunggah janji
Bersama sukacita
ke pulau harapan
dalam tenang bahagia

Pena Alam
Kudat 2009

Rabu

Pusara Yu



















Pusara Yu

Kita pernah bertemu di sana
Di bawah birunya arus lautan
Di ma
na aku jatuh hati melihat mu
Pada gagahnya kau menongkah arus
Menggegarkan keinsanan ku yang g
ugup
Pada lincahnya gerak tangkas mu
Deras kepahlawanan raja lautan
mu
Membuat kau tak gentar walau sedetik
Kita bicara dengan cinta dari mata
Walau aku bertepuk sebelah tang
an
Hanya memuja keghairahan mu pada hidup
Namun pertemuan di sini meluluh hati
Bergelimpangan badan mu jadi hanyir
Mata mu putih angkara rakusnya rantaian itu
Kau hilang di sini pada saban tahun berganti
Seratus juta setiap tahun, berkali-kali
Siapa peduli berapa lagi tertinggal?
Siapa peduli cinta-cinta kami buat mu?
Mereka tak peduli, mereka tak kisah
Di pelabuhan itu kau ditinggal b
ongkang
Tanpa sirip-sirip lembut yang cuma seinci lebar
Dikerat dilapah mereka yang lapar gaji bulan
Badan mu sugul mati, terasa keji, minta dikebumi
Yang membunuh, yang meminta, yang menawar
Membuat kau terhina terbaring telanjang
Kebinasaan spesies mu makin mendatang
Dibaham generasi homo-sapie
ns yang gelojoh
Meratah kecil suku daerah gagah tubuh mu

Skala industri menjadi-jadi, harga dirinya tiada lagi
Mako, Thresher, Blue, Leopard, Hammerhead, White Tip
Mati dalam delikasi kejam kegilaan dunia
Dihirup-hirup kedai sup berbintang lima
Harga cebisan dirinya melambung tinggi-tinggi
Enaknya disanjung-sanjung u
ntuk dibunuh lagi
Kematian ini sia-sia, kematian ini suatu jenayah
Tradisi segenerasi yang menelan pupus
Sebuah hikayat sejarah haiwan hutan terumbu karang
Yang bakal hilang ditelan zaman

Pena Alam

Semporna-Kudat
99-09



Ahad

Keputusan II

sebuah cerpen..sambungan entri APRIL 'keputusan'.... karya Pena Alam..


Sepuluh tahun kemudian..

Dadanya gemuruh. Rasa geram dan gelisah silih berganti, berpanjang-panjangan. Cuba dikawal namun perasaan itu makin menghambat dan menumpulkan setiap telahan positif yang cuba ditajamkan di kotak mindanya tika itu.

"Ini semua tak terjadi, ini semua tak benar, aahhh..." pekiknya di dalam hati, sewaktu menyelak langsir tingkap. Cuba melihat ke luar, menjemput supaya sedikit kehijauan dari pepohon di luar dapat masuk dan menyejukkan jiwanya yang kepanasan. Di luar, hujan mula menggila, setelah cuaca yang benar-benar panas tadi, bertukar mendung pekat, membuat terik mentari panas tadi meminta diri. Dia kecewa, kerana pepohon pun sibuk melayan cinta bersama alir air yang mengurut-urut urat daun, ke ranting-ranting, terus ke dahan-dahan kemudian ke pangkal pohon yang gagah lalu jatuh meresap ke tanah, dihirup akar untuknya bertahan hidup sampai seratus tahun lagi. Dia menutup langsir pada panahan kilat pertama yang terbit, beberapa saat selepas guruh berdentum di langit. Dia berjalan lagi, mundar mandir dalam ruang biliknya itu. Akhirnya dia duduk, dan menongkat dahi. Fikirnya bertambah kacau, tambah berserabut.

Ketukan penuh bertenaga pada daun pintunya membuat dia tersentak. Dia menekan dada dan menekup wajah, cuba mengembalikan jati diri, professionalime diri dan menepis rasa penuh peribadi yang membelenggu paginya selepas menatap beberapa dokumen yang tiba di atas mejanya sejak memulakan tugas pagi itu. Dengan suara lemah, dia mengarahkan supaya sesiapa yang berada di balik dinding dan pintu itu masuk saja. Dia tahu ketukan penuh energetik itu milik Sismi, setiausaha tempat itu. Hatinya bertambah gundah, namun dia dalam kawalan.

"Puan Aida. Budak-budak dan pengiring lagi bersukaria kalau puan ada bersama. " kata Sismi, dengan wajah ceria yang menyenangkan hati mengiringi nada serius sambil berguraunya, setelah beberapa ketika berbicara tentang sesuatu dengan wanita bernama Aida itu. Keakraban antara anggota di institusi itu membuat segala urusan mudah. Mereka saling menghormati.

"Saya akan pergi. Beritahu penyelaras, saya akan pergi bersama mereka." pantas saja jawapannnya yang datang bagai halilintar dimindanya yang membuat keputusan secara tiba-tiba. Namun keputusan itu baginya yang terbaik dan amat relevan dengan situasi perasaan yang mengganggu fikirannya sejak pagi itu. Ditangan Sismi ada sebatang pen dan beberapa dokumen di dalam fail yang dirangkul di dadanya. Dia menguntum senyum dan hatinya berbunga-bunga. Tak habis-habis ucapan terima kasih di ucapkan sebelum menutup daun pintu kerana tuan pengetua sudi menyertai 'rombongan berjalan-jalan' itu.

Aida memejam mata, kembali bersatu bersama kesunyian ruang biliknya yang dipenuhi kegusaran yang masih menghantui mindanya. Sekurang-kurangnya keputusan yang dibuat tadi, menghentikan sedikit gedolak perasaan itu. Sejak melihat nama 'A. Donovan dalam butir-butir biodata penjaga kepada klien baru institusinya itu, harinya bertukar hambar, kenangan sepuluh tahun lalu mula menjerut nafasnya. Membuatnya pusing dan sedikit marah. Kecewa dan sedih.

"Aku harus mengelak darinya. Aku tak sanggup melihat dia. Sebenarnya aku benci, benci walau hanya mendengar namanya. Benci yang ku pendam selama sepuluh tahun. Biar kebencian itu terpendam selamanya. Dan namanya mati dalam ingatan. Seharusnya ingatan padanya, tak lagi memberi erti pada ku. Tapi mengapa ingatan itu membuat aku serba tak kena, aku benci perasaan ini. Aku harus pergi sementara. Lari darinya. Dari A. Donovan yang akan bersama-sama para penjaga anak-anak di institusi ku dalam sessi suai kenal penghuni baru. A. Donovan, aku tak sudi melihat mu" demikian tempik hatinya, berperang dalam emosi sendiri.

Demi mengelak lelaki bernama A.Donovan, Aida berdiri di situ. Dikelilingi alam kehijauan hutan belantara yang segar. Mindanya benar tenang sedikit, walau nama lelaki itu sering melintasi benaknya berkali-kali, sejak kenangan akan nama itu sirna sepuluh tahun lalu. Nama yang membuat lehernya terasa seperti dijerut kembali. Cepat-cepat dia menepis rasa itu, lalu turun berkaki ayam, memijak rumput-rumput pagi yang masih berembun. Rumah peranginan di situ tersergam indah, begitu natural di dalam belantara yang dihiasi aliran anak sungai yang berair jernih. Burung-burung pagi bersiulan lembut, bersopan, seakan mengerti kehadiran anak-anak manis ke situ, yang masih lagi beradu dalam mimpi-mimpi indah mereka. Aida membawa langkah menuju hadapan, entah ke mana, melintasi beberapa chalet papan yang berbentuk klasik, seperti rumah imaginasinya ketika zaman kanak-kanak. Pandangan leretnya ke tepi-tepi jalan itu membuatnya lalai dan leka, sedikit lupa diri, sehingga tiba-tiba dia merasa sensasi kesakitan yang amat sangat pada dahi dan bahunya, bagai dipukul benda sekerasnya. Pandangannya kabur seketika. Dia menahan sakit dan tubuhnya sedikit terhuyung-hayang ke tanah. Namun sebuah tangan kejap kelelakian memeluknya, dan menahannya dari jatuh tersembam ke tanah. Serentak itu, sebuah benda kecil, berupa telefon bimbit jatuh berderai ke tanah.Pecah.

"Maaf..aduhh, maaf, saya tak sengaja.." Aida memegang dahinya, melepaskan diri dari pelukan singkat yang menyelamatkannya dari terjatuh tadi. Lalu dia duduk bertongkat lutut, mengambil telefon bimbit yang bercerai berai di atas jalan. Telefon bimbit milik lelaki berpakaian serba putih yang berdiri tercegat di hadapannya. Kebingungan dan rasa bersalah menguasai dirinya, kerana lalai dan akibatnya melanggar lelaki di hadapannya sehingga menyebabkan telefon bimbit si lelaki itu berkecai ke atas jalan.

"Atie! Atie Aida...!" pekik lelaki itu. Lalu dia jatuh di atas lututnya, di hadapan Aida, lantas memegang Aida. Aida terpaku memandang takdir pagi itu. Wajahnya bertukar pucat lesi. Inilah yang
cuba dijauhkannya sejak sepuluh tahun lalu. Namun ia terjadi juga akhirnya.

"Amri. Amri Donovan! Mengapa kau ada di sini?", Aida mendongak melihat lelaki itu. Jantungnya berdegup kencang dan nafasnya seakan terhenti. Buat seketika itu, mereka berpandangan. Amri memandang tepat ke mata Aida, Atie Aida. Jantungnya mungkin sudah terlepas dari dadanya. Dia memegang seeratnya bahu itu. Tak mahu melepasnya. Dia tahu, rindunya sudah meletus dan mengalir bagai air sungai yang pecah dari sebuah empangan rasa seluas dunia. Airmatanya tak mampu lagi ditahan. Mengalir, menitis dan membasahi pipi lelakinya. Terharu dengan pertemuan yang tak disangka pagi itu.

"Atieee..." katanya keras dalam deraian airmata dan nafas yang tertahan-tahan, separuh berbisik. "Benarkah ini kau, Atie??"

"Bukan. Atie Aida sudah mati. Mati. Kau tahu
kan, mati..?"

Atie Aida melepaskan genggaman kuat di bahu tadi, lalu berlari dalam derai airmata dan hatinya yang terlalu sebak. Kenangan seabad lalu menoreh kembali parut luka di hatinya yang sudah lama sembuh. Dia berlari dan terus berlari, hingga sampai ke hujung jalan belantara peranginan itu. Dia berhenti, dalam esak tangis berat dan airmatanya yang mengalir deras. Di hadapannya, tasik melebar seluas saujana, dan dia berdiri di situ, di pondok yang diciptakan di tepi tasik itu.

"Mengapa kau lari dari ku Atie? Aku tak akan biarkan kau melarikan diri lagi, seperti yang kau buat sepuluh tahun lalu. meninggalkan aku seorang diri di pantai itu. Aku hampir membunuh diri, selama sepuluh tahun ini, mencari kau Atie. Nyawa ku sudah tak berharga dan aku hilang punca. Aku hidup tanpa perasaan dan aku ingin kau tahu.."

"Kau ingin aku tahu apa, Amri? Bahawa kau sudah bahagia dan sudah berjaya melupakan aku kini? Ingatan padamu membuat aku sakit. Selama sepuluh tahun ini aku membenci gemersik cinta lelaki. Apa sudah terjadi kepada mu? Mana kebahagiaan yang kau dapat dari dia? Mengapa kau mengejar aku?".

"Aku sudah puas mengejar bayang-bayang mu, Atie. Aku hidup dengan kenangan akan dikau. Aku dan dia tak pernah bahagia. Kerana setiap detik pun, aku tak pernah melupakan nama mu. Kau yang ku mahukan, tapi kau tak pernah muncul dan tak pernah mencari ku semula. Aku mencari mu di serata alam. Tapi aku gagal ."

Atie Aida merenung tepat ke dada tasik, hatinya sedikit terusik akan kebenaran yang baru disedarinya. Dia tergamam, lidahnya kelu dan tekaknya terasa kering. Fikirannya buntu, namun hati sebaknya masih berdegil untuk cekal dan menafikan kebenaran yang baru didengarnya. Dia mula mengesat airmata, lalu perlahan duduk lemah di pangkin kayu dipondok itu. Memujuk hati agar berhenti menangis, lebih tabah dan menghentikan kepiluan yang mengatasi rasional dirinya. Amri menyertainya lalu duduk berhadapan. Pandangannya tak lepas dari Atie Aida. Dia merasakan kesugulan jiwa yang membebani dirinya mula mencair, demi melihat Atie Aida yang dicarinya selama sepuluh tahun ini.

“Aku di sini kerana aktiviti institusi ku. Institusi yang kau juga tahu. Kerana kau sepatutnya berada di sana dan bersuai kenal bersama penjaga penghuni baru, membawa A. Donovan Junior, seperti kata di borang itu. Aku tumpang simpati kerana kau mempunyai anak manis yang kurang upaya. Aku juga seharusnya di sana, bersama-sama mereka. Namun aku pengecut, aku melarikan diri ke belantara ini untuk ketenangan fikiran, demi terpandang nama mu. Aku melarikan diri dari mu, Amri. Tapi mengapa kau ada di sini?,” Dia melemparkan pandangan ke dada tasik.

“Aku di sini kerana akhirnya, Tuhan mendengar doa ku selama sepuluh tahun ini. Atie, aku mencari mu. Tapi aku tak pernah berhasil. Pagi ini, aku amat bersyukur kerana ia menemukan aku dengan mu. Atie, bolehkah aku merayu mu supaya kau sekurang-kurangnya berada di mata ku, kalau pun di hati mu tiada lagi ruang untukku?.”

Atie Aida tertawa hambar, menjeling tajam pada Amri, tawa itu penuh sinis. Dia melemparkan pandangan berat ke dada tasik semula.

“Apa pun maksud kata-kata mu itu, aku tak berminat. Rasa benci pada cinta lelaki sudah sebati dalam jiwa ku. Hati ku sudah mati untuk merasa kasihan. Jangan kau cuba meruntuhkan lagi kesantunan moral ku dengan kata-kata seperti itu. Sudah lah Amri, aku perlu kembali ke sana. Anak-anak kurang upaya yang manis dan tak pernah meminta apa-apa selain kasih sayang itu menunggu ku. Aku hanya membuang masa ku di sini, mengimbas kembali sejarah kita.” Katanya tegas, bingkas berdiri dan cuba berlalu. Amri turut berdiri. Terpaku di situ.

“Sejarah yang membuat aku tersiksa..” detik hati Atie Aida di dalam hati. Hatinya kembali sebak dan airmatanya menitis lagi. Amri sudah jauh dibelakang. Berdiri sepi di pondok itu. Belantara yang sepi itu seakan terdiam menyaksikan drama antara dua insan yang menghiasi pagi yang masih berembun itu. Tasik seluas itu menjadikan panorama pagi tambah syahdu. Seketika itu, langit mula bertukar mendung.

“Atie, kau penipu. Kau kata hati mu mati, tapi aku tahu kau masih mengingati ku, seperti aku. Aku masih cintakan kau Atie, dan aku tak pernah melupakan mu. Berhentilah membohongi hati mu. Institusi itu bukti kau punya banyak rasa kasihan . Kasihanilah aku Atie, terimalah aku kembali.” Jerit Amri, kedengaran dari kejauhan, mematikan langkah Atie.

Hatinya berdegup kencang. Airmatanya kembali mengalir dan dia benci mendengar suara itu. Suara yang pernah membuat hatinya bingit rindu. Suara yang telah juga menafikan cintanya sepuluh tahun lalu. Yang membuat hatinya kecewa, dia meneruskan langkah, lebih laju.

“Aku tak pernah mengahwini dia. Aku tak pernah kembali kepadanya. Aku tak dapat hidup dan membohongi jiwa ini Atie. Aku menunggu mu Atie. Kasihanilah aku. Aku terlalu cintakan kau, Atie.” Jerit itu kedengaran lagi. Atie tersentak, langkahnya mati lagi. Dia berdiri sepi. Terkedu mendengar kebenaran itu, dia sungguh tak percayakannya.

“A. Donovan Junior itu bukan anak ku. Aku tak pernah ada anak. Dia anak Adam Damian, abang ku yang mati dalam kemalangan. Tapi sungguh aku kasihkan anak itu seperti kalau aku ditakdirkan punya anak sendiri”, kata-kata dan suara Amri semakin mendekat di telinga Atie Aida. Dia berada di belakangnya. Dan mereka berjalan seiringan, meninggalkan pinggir belantara indah itu. Di antara dua hati itu, berbicara sendiri. Tanpa kata. Parut dalam, yang tertinggal di dalam jiwa mereka sejak perpisahan sepuluh tahun yang lalu itu, menjadikan keduanya berdiri di atas batas garisan yang halimunan. Menghalang mereka untuk mendekat rasa.

“Atie, aku dan rombongan anak-anak muda pemain hoki yang kubimbing ini akan berangkat malam ini. Kami akan kembali ke kota. Di sini hanya untuk menenangkan minda. Dua minggu lagi mereka akan bertempur. Aku amat bahagia melihat mu di sini, Atie. Maaf kerana aku terlalu lancang dengan kata-kataku tadi. Maaf kerana membuat kau menangis lagi. Tapi ketahuilah, aku sangat jujur dengan kata-kata ku itu, Atie.”

Atie Aida menghentikan keretanya. Antara meneruskan perjalanan itu atau berpatah kembali. Dia melihat mentari yang semakin menurunkan sinar di hadapannya. Melaui cermin pandang belakangnya, dia melihat garisan jalan yang panjang, berliku-liku dan menghilang di sebalik rimba yang mula menghitam. Hatinya jadi sayu dan dia ingin menangis. Terngiang-ngiang bait-bait kata Amri yang didengarnya dihujung jalan belantara peranginan itu, seminggu yang lalu. Kata-kata yang sekali lagi menggegarkan keinsanan seorang Atie Aida yang diragut seorang lelaki bernama Amri Donovan sepuluh tahun lalu. Namun di akhir pertemuan lalu di belantara itu, segugus kata-kata Amri Donovan yang melekat benar dalam kotak mindanya, membuatnya hampir sampai ke situ, ke suatu tempat yang tak pernah terfikirkan akan dijejakinya lagi. Ke pantai itu. Pantai yang menghiris hatinya sepuluh tahun lalu.

“Atie, aku tahu begitu sukar untuk kau memaafkanku. Aku telah melukakan perasaanmu dan kau tak perlu pun memaafkan aku. Aku tak layak dimaafkan.Tetapi, jika kau temui walau sekelumit pun rasa maaf dan kasih lagi pada ku, datanglah ke pantai itu. Pantai terakhir sewaktu kita bertemu sepuluh tahun yang lalu, pada hujung minggu depan dan aku akan menunggu mu di situ, sehingga senjakala meminta diri. Andai kata kau tak muncul, tahulah aku, bahawa harapan ku sudah tiada. Dan aku tak akan menyimpan harapan atau menggangu hidup mu lagi, Atie Aida.”

Atie Aida masih di situ, duduk di dalam kereta dan memandang ke depan. Ke arah mentari yang semakin menurunkan sinar itu. Burung-burung petang berkicau-kicauan di tepi jalan. Entah mengapa melodinya mula kedengaran manis dan menyegarkan sebuah hati Atie Aida yang sebelumnya sugul dan keliru. Dia merapatkan jari pada kunci kereta. Memejam mata rapat-rapat dan menghafal seluruh kata-kata Amri Donovan yang masih berlagu-lagu di mindanya. Kemudian membulatkan tekad. Kunci diputar dan seluruh enjin kereta menderum dan mula bergerak. Atie Aida menarik nafas sedalamnya, mencari kekuatan untuk menekan minyak, laju ke hadapan, sebelum mentari terbenam di garis alam di pantai yang ditinggalkannya sepuluh tahun lalu, menuju harapan kehidupan, sebuah cinta sejati yang didambakannya.

-Tamat-

ulasan ..Keputusan

Seorang yang pa'al kagumi mengulas tentang cerpen pa'al yg bertajuk 'keputusan', yang akhirnya dapat Pa'al siapkan walau temanya biasa-biasa saja. Sambil itu terselit kata-kata ini darinya;

"Alangkah pentingnya membuat keputusan dalam hidup insan. Setiap hari orang membuat keputusan untuk dirinya. Hidupnya. Sehingga tidak membuat keputusan pun sebenarnya satu keputusan walaupun keputusan yang lemah."

Waktu membaca kata-kata itu, kebetulan pa'al mengambil keputusan untuk malas-malas, menghabiskan hari, dengan baring-baring meluruskan tulang belakang di hujung minggu.

Pa'al suka sms itu, membuat diri tersenyum dan berfikir.


The biggest loser is me, i guess??


Untuk hidup, harus makan. Makan jangan terlebih. Makanlah bila perlu. Untuk hidup sihat, malas jangan dilayan.

Bagaimana pa'al hilang 10kg dalam masa 5 bulan?

Rejim senaman:
Isnin - Jumaat : Jogging + Jalan kaki : 500 meter x 10 laps atau aerobik di gymnasium rakyat saja .

Diet :
1. Sarapan pagi, mesti (makan apa saja..)
2. Makan tengahari (very small portion dan berhenti makan sebelum kenyang, kalau tak lapar, tak payahlah makan)

3. Makan malam sebelum jam 7pm (sepotong bread wholemeal kosong dan minuman favourite- nescafe 3 in 1)

4. No SUPPER and 'no in-between meal'



Booster : "Myself are my biggest challenge"

DISIPLIN. Keazaman yang kuat. Kalau ingin mencapai 10 laps sehari, mesti capai, jangan malas, jangan bagi alasan pada diri sendiri. Jangan malu untuk bersenam bersama orang lain. Paling penting jangan tidur di masa-masa ini - 4pm to 7pm, masa ini adalah masa untuk bersenam, buat apa saja yang keluarkan peluh, get out from your office!!!!... and breath deeply, biar matahari membakar kulit mu sedikit before it sets. Orang kurus pun kena bersenam untuk fit, kurus tak bermakna sihat.


Tak payah query, i did my stuff with my own determinations and it works for me, well, it does'nt mean it works for you or your body, i mean no harm, just to motivate and inspire you a bit. Loss 10kg.. from 63kg to 53kg in 5 months, i guess, i am the biggest 'loser', but i feel blessed!

Rabu

Burung..








B
ersiul sang burung,

menyambut seri pagi
menyapa tiap petang
bersantap serangga alam
aduhai sang burung,

jinak haluan rapat ke bumi

seharus kau terbang tertinggi

bukan serendah batu kelikir

kerna musuh mengintai
esok tinggal bulu dimakan kucing

Anekdot


Perut terasa berkeroncong.

Pelik kan, jiwa grunch, tapi kalau perut lapar, mesti teringat perut ni menyanyi lagu keroncong, siap dengan tajuk lagu, tapi penyanyinya aku tak tahu, tapi setelah mencarinya di google, namanya Henri Rotinsulu. Wah, klasik! aku suka. Lagunya 'rindu lukisan'. Mendayu-dayu, irama halwa telinga jam lima pagi, waktu zaman budak-budak dulu. Kisah bersama datuk, peminat lagu keroncong dan dondang sayang. Dia pesara polis dan jiwanya klasik. Pagi-pagi, jam lima di Sabah masih gelap gelita, dia sudah mandi, segak wangi dan duduk baring tenang, bersandarkan empuk kerusi kayu dan desir-desir embun pagi, meneruskan hubungan baiknya dengan secawan kopi pekat yang manis sedap. Sambil meneguk kopi, dia mendengar lagu-lagu klasiknya. Irama keroncong dan dondang sayang. Kucing-kucing pun masih malas-malas, tapi bangun dan datang duduk bersamanya di bawah kerusi malas kayu datuk. Gambaran itu sering menerjah minda ku, kerana aku rindu atuk dan kampung. Terutama sekali tika lapar datang, orang selalu mengatakan, lapar dan perut akan berkeroncong. Jadi aku pula, kalau lapar, perut berkeroncong mengingatkan aku pada datuk yang suka irama keroncong.

Jauh mata fikir ku melayang, hanya kerana perut yang lapar. Sebenarnya bukan cuma lapar, mungkin aku kebuluran pagi ini. Kurasakan paras glukos dalam darah benar-benar sudah turun kerana mungkin semalam aku malas makan. Sambil berjalan laju, sempat juga aku terpandang seorang lelaki yang berdiri di luar wad itu, wad di mana para wanita-wanita hebat menzahirkan kasih pada sang suami dengan melahirkan zuriat ke bumi yang banyak pancaroba ini. Lelaki itu seperti cacing kepanasan cuma dia tak melupur. Tapi dapat ku lihat jiwanya kacau, mungkin takut terjadi apa-apa pada isteri yang sedang bertarung di medan 'perang' di dalam sana. Peluhnya menitis-nitis di celah anak rambut di tepi telinga. Aku tersenyum, entah, rasa lucu pula bila melihat lelaki-lelaki yang berdiri-diri di luar wad itu, bagi ku mereka patut berada di dalam dan bertarung bersama. Dan aku mendoakan agar semua selamat baginya, di dalam hati. Langkah ku teruskan, perut makin sakit. Sakit lapar.

Beberapa langkah, kakak kolar biru dengan troli kuning menghentikan langkah ku dengan ucap selamat pagi. Aku membalas ucap riang itu dan melemparkan senyuman. Masih mampu tersenyum, walau kelaparan berada di tahap kemuncak. Dia mengatakan 'seorang wanita berbaju kuning yang mendukung anak itu, mencari ku' dan seraya itu, jari telunjuknya menghala ke arah wanita yang berjalan jauh menuju ke pejabat ku nun jauh di sana. Aku memutuskan, selepas makan nanti kami akan bertemu, dan sebelum itu dia pasti menemukan tempat duduk selesa dengan kipas-kipas nyaman di lobi unit di sana, sementara menunggu ku. Aku mengiyakan dan mengucapkan terima kasih pada kakak itu. Sebelum berlalu, sempat dia berbisik pada ku. " wanita itu, giginya tinggal dua, tapi sampai hati dia memanggil ku makcik". Lalu kami berdua tertawa kecil. Aku merasa betul-betul lucu, tumpang simpati juga dengan kakak itu kerana tentu dia merasakan dirinya tua dari semalam. Aku hanya tersenyum, mendoakan agar harinya akan baik-baik saja dan berlalu.

Di persimpangan jalan ke tempat makan yang hanya tinggal beberapa langkah, sahabat menunggu ku dengan senyum manisnya. Tudung hitamnya yang lembut menari-nari dibuai angin. Dengan pantasnya, aku mengimbas kembali cerita berbagai rasa yang ku alami tadi. Memori akan datuk dan Henri Rotinsulu, lelaki itu dan isterinya yang sedang 'berperang' serta kakak kolar biru dan wanita bergigi dua. Semuanya menyeri kotak fikir ku yang sebenarnya dipenuhi jamuan makanan grandiose yang kuidamkan kerana terlalu lapar. Kerana langkah yang banyak disinggahi peristiwa jamuan mata bagi ku tadi, aku hanya makan sedikit. Hilang juga lapar. Aku pun kurang pasti, aku hilang selera kerana terlalu lapar atau selera ku sudah 'dibawa lari' kerana klimaks lapar ku sudah berlalu melihat troli kuning kakak kolar biru tadi. Yang pastinya, wanita berbaju kuning itu sedang menunggu ku. Wanita yang hanya bergigi dua itu. Aku pun mengayuh langkah dengan perut kenyang, menuju destinasi. Dan lagu 'rindu lukisan' Henri Rotinsulu yang klasik itu, terngiang-ngiang di telinga, sepanjang jalan. Kali ini bukan kerana lapar tapi kerana rindu. Lukisan kaamatan yang akan menggamatkan senandung hari-hari orang Sabah di bulan Mei. Mungkin aku perlu balik kampung, mengubat rindu, berjumpa Kopral Kassim dan duduk bersamanya pukul lima pagi di cerun rumah sambil mendengar koleksi lagu-lagu keroncongnya yang syahdu.

Selasa

Wasted sunsets..















Wasted Sunsets

for Nad, Ju and Ryati

When i'm gone
remember me
u know theres one wonderful sunsets
in every end of the days
u know theres one beautiful moment
at the climax of every sunsets
i'll be far but closer to your hearts
i knew i'll be missing layers of episodes
stories of the setting sunny days
but for sure i'll be here for the rising sun
catching memories, blessing the silents
i love you all with my heart and soul
let the miracle of friendship dwells
within our hearts and minds forever
this friendship is God's most precious gift
let us cherish the moment we'ved had before..


Friendship forever..

Pena Alam; 21apr09;1649hrs

Ahad

nyanyian dari dapur II..

Malam ni malas pula hendak makan. Teringat kata-kata seorang sahabat ku, "makanlah, makan untuk hidup. Bukan hidup untuk makan". Betul juga tu. Kadang-kadang kita makan tanpa sebab, tak lapar pun makan juga. Apa kata, lepas ni kita makan apabila perut bagi signal 'lapar' saja. Dalam kesibukan kerja, periksa-periksalah di mana BMI anda. BMI ialah body mass index, perkiraan mengenai kandungan lemak dalam badan mu berdasarkan ketinggian dan berat badan. Macamana nak periksa BMI, silakan ke google.

Sementara tu, untuk BMI yang lebih sihat, ini sedikit cadangan makan malam yang kira sihat juga ni. cuba lah. Masa menyediakannya cuma dalam 10 minit sahaja.





















Bahan-bahan :

capsicum, lobak merah, tomato (buang biji), mayonis
(boleh juga letak epal atau buah-buahan lain yang ada dalam peti sejuk mu)

Cara Buat:
  • potong semua sayuran.
  • letakkan potongan sayuran dalam mangkuk besar.
  • Masukkan mayonis , gaul rata. Taburkan sedikit garam.
  • Makan bersama sekeping roti wholemeal bakar dan teh tanpa gula

S
enang bukan? cubalah..










Sabtu

Anak Manis..












































Manisnya mereka walau tak senyum. Lihat ke mata-mata mereka. Tanya hati mu, apa katanya. Bagi ku, aku terlihat sebuah cinta manis, lahiriah yang tulus dalam hati-hati lelaki kecil yang belum disentap arus dunia. Lihat ke wajah mereka. Bagi ku anak-anak kecil ini sangat manis. Senyum yang tersurat dan yang tersirat, sama saja maksudnya, tulus. Mereka lambang hati murni dan murni itu mereka.

Foto-foto ini aku rakamkan ketika bertugas di luar, ketika sessi lawatan ke rumah (home visit) , ketika menziarahi pusara dan ketika berkongsi duka bersama ahli keluarga seorang pesakit Thallasaemia yang meninggal dunia. Untuk sampai ke rumah mereka, ada kepayahannya. Jalan yang dianaktirikan; bukit-bukau yang tersipu-sipu malu kerana ditelanjangkan, sungai keruh yang batuk-batuk, bernafas sesak kerana banyak dedak; pohon-pohon kertas yang mendongak ke langit, yang tersenyum bangga kerana akarnya keras menjajah tanah pusaka peribumi yang hanya mencangkul setempat kerana cita-citanya tak tinggi.

Tugas membawa aku ke sana. Sesampainya di situ, cukuplah aku katakan, kalau ada derita yang tak pernah kau bayangkan. Hidup memang sukar di sana. Ada yang tak pernah memamah biskut, si manis ini tak tahu rasanya biskut manis. Ada bapa mereka yang sirna di balik kabus kedaifan hidup bersama tulang empat kerat demi membeli sedikit papan untuk di buat tangga rumah. Ada yang bermanja dipangku ayahnya, sedang ayah itu deritanya banyak, kerana nyawanya hampir berada di akhir garisan, hanya menunggu masa, sebab mustahil ada insan yang sanggup menyerah ginjal sihat pada si ayah ini. Paling melankolik, semasa lawatan hiba ke rumah seorang remaja perempuan yang baru beberapa hari menyambut hari lahir yang ke 21, yang kukatakan Thalasaemia itu. Dia telah pergi selamanya, menghentikan keletihan dan kepatuhannya terhadap transfusi darah yang harus dilakukannya saban bulan, demi untuk bernafas lagi esoknya. Adiknya, si manis itu, duduk termanggu di tepi kotak perbaringannya dengan wajah sugul. Dia masih kecil, namun jiwanya sudah besar kerana dia tahu, kakaknya sudah pergi dan tak akan kembali lagi untuk mengubat rindu.

Cukuplah juga kalau aku katakan bahawa aku terharu melihat kebahagiaan yang terbit bersinar di sebalik kemiskinan material yang membelenggu kehidupan anak-anak ini. Anak-anak yang tak pernah kenal kemewahan. Mereka hidup bahagia bersama hijau rumput di padang sawah, gembira melihat kerbau meratah daun di tepi anak sungai, bersukacita mengusik sang berudu yang hidup berasak di celah rekahan-rekahan jalan, menyanyi seriang, seiring siulan burung-burung liar yang kedengaran dari rimbunan rimba di tepi bukit dan bersukaria menyambut gerimis yang menitis ke kulit wajah mereka yang halus. Mereka tak meminta lebih. Hanya cukup makan dan kasih tak bersempadan dari ibu ayah, adik-beradik serta teratak usang yang tersergam bahagia di tempat itu.

Aduhai anak-anak manis ku..kalaulah aku miliki gunung akan ku bina jambatan kukuh mendaki puncak tertinggi itu, agar mereka bisa tinggal di atas sana dan melihat saujana kehidupan yang terbentang luas di depan. Namun aku tahu, di hadapan mereka pula ada sumur ladang yang melebar seluas alam dan membuka banyak jalan untuk mereka terus melangkah. Melangkah menuju kedewasaan lalu menjadi lelaki sejati yang tetap manis dan terpuji.



Khamis

selamat tinggal ...Bilik Nombor 13

15hb Apr, 2009

Sedar tak sedar sudah tujuh tahun aku bertugas di sini. Wahh..lama juga ya. Dan bilik ini banyak kenangan. Macam-macam jenis manusia kutemui. Ingat tak cerita di tv itu? 'Bilik Nombor 13'. Saya tak tahu ceritanya, kononnya cerita seram bersiri. Saya tak tahu, sebab saya tak tengok cerita yang dibuat macam tu. Tak cukup menakutkan bagi saya. Yang pastinya, di sini tiada hantu. Cuma aku, hati ku, senyuman, kasih sayang dan professionalisme mengiringi tugas.

Di sini daerah pertemuan antara yang merawat dan dirawat. Mungkin sebuah perjalanan menuju keinsafan, akan benarnya konotasi 'kesihatan tak boleh dijual beli dengan wang ringgit'. Wang boleh membeli ubat, namun ia tak boleh membeli kesihatan mu. Di sini, di tempat ini adalah pertindihan antara sains dan keajaiban, doa dan harapan, persimpangan antara kehidupan dan kematian. Mungkin juga titik mana roh bercerai jasad, yang bersedia dan yang merintih. Di antara peristiwa itu, ada aku. Terselit di celahan cerita derita tiga malam atau sepurnama berduka makan nasi tanpa cukup garam. Aku meneman, melayan cerita lalu menghulur hati bersama ilmu di dada untuk melihat kau tersenyum sedikit.

Perjuangan tetap sama. Esok atau lusa menjanjikan lukisan pengalaman rasa yang berbeza-beza. Di sini atau di tempat baru. Tatkala, aku menekan kunci tombol, untuk menguncikan pintu Bilik 13 buat kali penghabisan, aku merenung sejenak bilik kosong itu, sebak datang meruntun mengisi dada, teringatkan satu cerita. Tentang aku dan daniella. Aku dan dia pernah di sini, di bilik ini. Kami berdua di sini, melayan waktu bersama, kerana di luar dia takut. Banyak mata-mata melihat dengan berbagai rasa. Terkadang rasa itu menerbit lara di hati ini. Hati tipikal manusia ku ini. Yang tahu sedih merajuk, kontemplatif. Daniella ku yang cerebral palsy, anakku yang baik. Anak ku yang mulia, sesuci awan putih di langit. Ya, di sini lah aku memberinya susu, ketika menunggunya di rawat kerana dia sakit. Tika demam menggangu tidurnya. Tika kejang otot memicit-micit tulang-tulang kecilnya yang keliru. Kini dia sudah tiada. Tinggal kenangannya bersama ku di sini. Selama tujuh tahun melayari kebahagiaan bekerja di bilik ini, kenangan bersama Daniella antara yang paling terkesan di jiwa. Sebak di dada makin pekat.

Aku menghela nafas sedalamnya. Memohon hati agar jangan beremosi. Aku menarik tombol pintu. Dan pintu itu terkunci. Timbul pula perasaan sukacita dan aku tersenyum puas. Aku pernah bekerja di sini dan aku bangga. "Its been an honour working with you, small room!" hati ku bertempik. Lantas langkah ku kayuh, penuh semangat, menuju destinasi.

"selamat tinggal kenangan, selamat tinggal Bilik Nombor 13"


Rabu

Gema rembulan

Wahai Sang rembulan
Sembunyi di balik awan kelabu
Malam pun jadi rupawan di tabir mu
Tiuplah nestapa ku jadi kunang-kunang
Yang mengucup kudup-kudup di hening mu
Bisikkan anginan malam mu yang gemersik
Membuat resah melambai permisi sekejap
Agar tegang di ubun-ubun bisa mengendur
Membiar gemalai asmara jadi masyuk
Atau biar ku tidur sendiri sampai pulas

Di siang ku berpacu kudrat empat kerat
Melafaz kemanusiaan keinsanan nan luhur
Urutlah lenguh saraf di betis bahu ku
Dari sentuh cahya kuning yang menyusup
Dari celah tingkap tidur ku yang melebar
Aku ingin lena, berbaring malas puas
Selamat malam alam, ketemu lagi , esok..
Selamat tidur rembulan ku

pa'al 12:49 ; apr,14th 09



Selasa

Nyanyian dari dapur..

Saya tak pandai masak. Tapi bolehlah kalau mencampur-adukkan bahan-bahan mengikut citra dan rasa yang ada dalam jiwa. Ibarat letak gula di atas hujung lidah. Terasa apa ya? Manis. Dan manis itu bahagia.

Hidup ini tak perlu terlalu banyak itu ini. Fleksibel. Ada citarasa, paling penting. Macam masak, mudah saja. Cemplung saja bahan-bahan yang seirama rasa, pasti akan jadi bahan makanan yang boleh di makan, kan?

Ini spagethi saya. Jadi saya masak ikut desakan perut lapar yang meracau minta makan. Tak ada resepi. Resepi ada dalam kepala. Jadi, Bila ke pasar, minta la capsicum, lobak dan tomato. Balik ke rumah, potong-potong bahan-bahan itu ikut suka. panaskan air, letak sedikit minyak. setelah didih, masukkan spagethi. Sesudah kembang, toskan. Siap satu bahagian.

Untuk sos, goreng bawang besar dengan sedikit bawang putih. Masukkan cincangan daging ayam. Kemudian, masuk sayuran, goreng sekejap. Saya sukakan perencah sos spagethi yang siap sedia, tinggal tambahkan air secawan, kacau rata. Masukkan dalam tumisan. Untuk rasa Italiano yang lebih hebat , saya tambah rahsianya, thyme dan oregano. Paling akhir, masukkan tomato puree. Tambah garam, dan gula kerana tomato puree agak masam, kanak-kanak kurang sukakan rasa itu. Mereka bahagia dengan sedikit manis dalam makanan dan banyak manis dalam kehidupan, kan? Semua bahan ini, ada di pasaran atau di pasar, tak perlu ke Itali. I can cook for you.. :-P

Sediakan pinggan, letakkan spagethi dan tuang sos di atas. Yang pastinya, nyanyian dari dapur anda pasti sampai ke hati dan jiwa yang sudi menjamahnya. Ya, begitulah spagethi saya. Masak macam bersastera dan melukis. Ada instrumen, tinggal mengaya-gerakkan instrumen itu, guna imaginasi dan kreativiti. Apa-apa pun, selamat makan... :-)























































































Puisi Kemerdekaan buat Pak Samad dan negaraku Malaysia : 'Tatkala aku ingin menulis tentang hari merdeka'...( sila klik pic Pak Samad)

Sayangi Alam!

Sayangi Alam!
Orang Utan juga diancam kepupusan ..

Sahabat lautan, sahabat kita ..penyu, tahukah anda penyu adalah haiwan yg diancam kepupusan? Penyu juga adalah haiwan yg diwartakan sbg spesies yg dilindungi kerajaan. Jadi adalah menjadi suatu kesalahan bg anda utk memelihara penyu di dalam akuarium, membunuhnya atau mengambil telurnya.. dan tahukah anda, penyu hanya akan bertelur semula selepas 3 atau 4 tahun selepas bertelur, maknanya jika anda makan telurnya, anda sama seperti pembunuh yg telah menelan segenerasi kehidupan sang penyu sama ada anda sedar atau tidak, setuju ataupun tidak..