Selasa

Ulasan Cerpen "Samad"

Keanekaragaman Pengalaman Mencetuskan Kreativiti Bercerita 


Oleh Puan Siti Hajar Che Man, Tunas Cipta September 2010  mengenai cerpen "Samad" karya Pena Alam


Membaca cerpen "Samad" membuatkan bibir saya mengukir senyuman. Saya terkenangkan Sasterawan Negara A. Samad. Said. Saya harap Pak Samad pun akan membaca cerpen "Samad" ini kerana pengarangnya, Pena Alam mengabadikan watak Orked Mulya yang terlalu obsesi dengan seorang lelaki bernama Samad.


Watak Samad dianggap oleh Orked sebagai "wira yang menghidupkan negara jiwaku". Setelah saya meneliti inti pati dan olahan cerpen Samad ini, maka dapatlah saya nyatakan bahawa Pena Alam cuba bermain dengan idea-idea psikoanalisis. Maka ada unsur-unsur personaliti bahagi dua yang dibina untuk watak Orked Mulya, juga ada olahan yang cenderung kepada fikiran bawah sedar.


Menterjemahkan fikiran bawah sedar yang dialami oleh watak-watak tertentu untuk dihayati oleh pembaca bukanlah mudah untuk dilakukan. Hal ini kerana seseorang pengarang yang cekap, matang dan mahir sudah tentu bijak untuk mengawal jalan cerita, latar dan watak. Dua perkara ini amat penting dilaksanakan dengan sempurna supaya mesej yang hendak disampaikan itu dihayati oleh pembaca. Situasi itulah yang berjaya dicapai oleh Pena Alam.


Pengarang mencipta watak Orked Mulya dari suku Kadazan-Dusun yang telah berkahwin dalam perjalanan untuk menemui suaminya di Hotel Penchatar untuk berbulan madu di Gunung Penchatar dengan menaiki pesawat ringan milik suaminya. 


Olahan cerpen ini dipersembahkan dalam empat dimensi. Pertama, suasana pada hari perkahwinan Orked Mulya dan suaminya serta seluruh masyarakat murut Timugon.Kedua, suasana yang bersifat bawah sedar yang memaparkan pembaca kepada penemuan Orked Mulya dengan lelaki bernama Samad serta manuskrip yang dikarangnya. Ketiga, suasana di alam realiti yang menemukan pembaca dengan Profesor Budi dan dua pemuda yang membawa khabar tentang penemuan bangkai pesawat ringan yang jatuh terhempas. Peristiwa ini juga memaklumkan kepada pembaca bahawa Orked Mulya telah hilang ingatan tetapi begitu tekun menulis sehinggalah Orked menemui ajal. Dimensi keempat, lebih merujuk kepada latar Orked Mulya dalam keadaan personaliti bahagi dua dan halusinasi, dalam dunia khayalan yang hanya Orked mengetahuinya.


Ada ketika dapat dirasakan, jasadnya tiada tetapi rohnya ada. Orked umpama  manusia halimunan yang dapat membaca kesan dalam beberapa situasi. Situasi 1: ketika roh Orked "terjerumus masuk ke bilik kerja Profesor Budi", situasi 2: "Profesor Budi dan pemuda menjeling ke arah pintu yang bergerak seperti dipuput angin kencang"; situasi 3: Orked berdiri dan berlari menguak tombol pintu namun ia tidak dapat memegang tombol itu, dan situasi 4: "Orked menjerit dan menangis tetapi tiada siapa mendengar".


Maka pembaca dimaklumkan semasa dalam alam bawah sedar itulah Orked telah melihat suaminya Soulis yang telah memadu kasih dengan wanita lain. Peristiwa ini hanya diketahui oleh Orked dan pembaca sahaja tetapi tidak kepada Profesor Budi dan dua orang pemuda tersebut. Secara amnya, cerita iniagak kompleks, tetapi dimudahkan kefahaman kepada pembaca oleh pengarang kerana ada jalinan yang sempurna antara keanekaragaman dengan kreativiti. Latar realiti dan alam fikiran bawah sedar disatukan dengan kemas yang membolehkan pembaca turut mengalami satu proses yang disebut "the sense of place" yang dijelaskan oleh David Lodge,"after many pages of this sort of thing you might fall asleep from exhaustion, but not from boredom" (1998:60). 


inilah salah satu kesan yang dirasai oleh pembaca apabila tenggelam dalam halusinasi dan khayalan Orked. Pembaca dan Orked sama-sama menjelajah, merasai dan mengharungi situasi dan lokasi sama ada di alam nyata dan khayalan yang dilalui oleh Orked. Ini satu eksperimen yang berani dan dapat dipersembahkan dengan baik oleh Pena Alam. Syabas!


*        *        *


Setinggi-tinggi terima kasih dan salam tersayang buat sifu Pa'al, sifu Azmah Nordin yang telah membimbing Pa'al dalam menjadikan cerpen yang tersiar ini menjadi sebuah cerpen yang mendapat ulasan sebegini daripada pihak Tunas Cipta. 


Juga untuk sifu fenomena Pa'al, Abang Naddin! juga Mash, kalian senantiasa memberikan kepercayaan bahawa Pa'al boleh menulis lagi selepas 'lumpuh' pena selama 14 tahun.


terima kasih ibuku, terima kasih Allah swt. semoga ilham terus menghuni jiwa ini utk bermimpi, menulis, bersastera, terus hidup... aminn..




Pena Alam 
21092010;00:12

Isnin

Cerpen Samad

SAMAD, Tunas Cipta Dewan Bahasa Dan Pustaka, Ogos 2010 

Unedited Version of Samad by Pena Alam
















Oleh : Pena Alam

Orked memerhatikan padang di hadapan. Bunyi mesin rumput mengisi ruang pendengarannya. Dia berdiri di jendela menyaksikan rumput rampai di luar yang tersusun rapi diratakan dari satu sudut ke satu sudut yang lain. Bunga-bunga pagar warna kuning matahari digunting sama saiz, digayakan sama bulat. Rumput pagar hijau pula bersegi-segi empat. Rapi sekali. Di bawahnya bunga-bunga Sanseveria berjalur kuning dan berbintik-bintik putih, semuanya ditanam sekelompok, mengikut jenis, teratur, malah padat. Setangkai dandelion pun tak mampu menyelitkan diri bertumbuh dicelah-celahnya kerana si tukang kebun berwajah gigih sabar yang sedang meratakan pucuk-pucuk rumput hijau dengan mesin rumput yang menderum-derum itu sudah tentu tak membenarkan itu berlaku. Langit yang cerah membiru membangkitkan lagi aura warna-warni landskap bunga-bunga yang ditanam sepanjang jalan bermula dari muka pagar utama hingga ke bahagian sayap laman taman-taman kotak fikir Orked. Rona pandangan seindah itu sayangnya tak pula senada gejolak jiwaku ketika ini, fikir Orked.

Dari sebelah arah yang dia tidak pasti, melayang-layanglah perlahan-lahan sebuah nyanyian sundawil masuk ke cupingan telinganya, sebuah puisi berirama melankolik yang dibawa angin penuh syahdu. Sundawil itu didengarnya seakan melantun-lantun seperti lembing terbang yang melanggar batu-batu besar lantas menjunam membelah udara dan kemudian meluncur jatuh, tepat mencucuk jantungnya. Dia terduduk di birai katil.

Suni  wakau soborong, (bertumbuh rotan di seberang)
Rinilitan do tuai,( dililit juga si rotan lain)
Langadku id soborong, (Rinduku di seberang)
Amu ku  nokosoribau (tidak mampu aku luahkan)

Irama puisi gemalai itu bersambung lagi, makin merdu, lembut dipuput angin petang, lalu masuk lagi ke celah-celah gegendang telinganya.

Orked, Orked..

Olundus ilo nabalu (indah sungguh si kinabalu)
Nolikupan do tawan (dilitupi oleh awan-gemawan)
Olundus ginawoku (betapa senang hatiku)
Amu nu norotian (tapi kau takkan memahaminya)

“Sundawil..oh sundawil, kenapa kau terngiang lagi di telinga ini.. sudah cukup deritaku tanggung,” rintih Orked sambil menekan sebak dadanya dengan dua tangan.

Dia merebahkan kepala makin erat ke birai jendela, seolah membiarkan lantunan sundawil itu menusuk lebih jauh ke dalam ke hatinya yang dinaungi kepiluan. Tubuhnya yang kurus kekurangan isi itu terhangguk-hangguk menahan sebak dan gelora perasaan yang melanda jiwanya.

Dia tersedak lagi oleh nostalgia semalam yang menyesakkan dadanya. Nostalgia di majlis persandingannya yang meriah gempita, disulami hiruk pikuk tawa para saudara mara jauh dekat dan rakan taulan yang memuji-muji keanggunan pengantin yang lengkap berpakaian sulayau untuk Orked dan loin untuk suaminya yang tampan. Sulayau yang indah dihiasi labuci berkilau-kilau itu gemerincing dan berkelenteng bunyinya oleh loceng kangkaling yang bergantungan indah menghiasi hujung kelepet sulayau separas lutut yang dipakainya, ketika dia dan suami yang dicintainya bersama-sama menarikan tarian sumayau sebagai tanda permulaan hidup mereka sebagai pasangan suami-isteri.

Satu-persatu babak majlis penuh gamat itu bertukar ganti di dalam bayangan kenangan yang menyeksakan zahir dan batinnya itu. Mula-mula bunyi derap-derap empat batang bambu panjang yang disusun berpasangan dan bersilang, kemudian dihentak-hentakkan mengikut irama paluan agung oleh anak-anak buahnya yang cantik-tampan dan tersenyum manis, ketika mereka suami isteri dengan penuh penghayatan dan keseimbangan badan, melompat dan mencacakkan hujung kaki di antara pasangan empat bambu panjang yang disusun bersilang itu, bersungguh-sungguh menarikan tarian magunatip.

Terbayang olehnya lagi, kenangan majlisnya yang diserikan paluan Agung itu turut diwarnai tarian sumazau dari suku Kadazan-Dusun di pihak suaminya, kemudian kelincahan tiupan sompoton, irama kesyahduan bungkau yang ditiup ibu mertuanya, di selangi babak petikan kulintangan yang gemersik merdu oleh mamai Manisoh pakcik kesayangan orked. Kenangan mereka menarikan tarian sumayau masyarakat murut timugon secara beramai-ramai oleh kedua belah pihak pengantin. Semua babak kenangan itu datang mengjengah kembali ingatan Orked, ditarikan, dimainkan penuh seni dalam jiwanya kini, bersilih ganti, sama seperti suasana majlis perkahwinannya yang sehingga kini dirasakannya masih segar dan digelarnya, sebuah gala muzikal romantis tradisional yang tiada cacat celanya.

Orked menekup wajahnya dan tersedu bila babak waktu dia diarak keluar dari bilik tepi yang berhias di rumahnya menerjah khayalannya kembali, ketika deretan bunyi paluan agung sanang dan alipangon dipalu senada, lalu bunyi paluan itu makin kuat bertukar nada paluan igal ketika sang suami membawanya keluar dari rumah orang tuanya menandakan kemuncak upacara perkahwinan tradisi masyarakat Murut Timugon mereka telah dicapai. Apabila semua kenangan itu sirna perlahan-lahan dari kotak fikirnya, semua irama rancak paluan agung dan semua bunyi-bunyi peralatan muzik tradisi yang meriah dimainkan di majlis perkahwinannya seperti diperlahankan dan kemudian lenyap sama sekali daripada pendengarannya. Perlahan-lahan sundawil yang pernah dinyanyikan suaminya, di majlis dendangan lagu tradisi rakyat yang pertama kali membibitkan percintaan Orked dan suaminya mengambil alih dan membungkus seluruh pendengarannya kini.  Orked menangis tersedu-sedu.
  
Haruman lemak nasi-nasi hangat yang dibungkus dengan daun ikik, yang asalnya ditanak dari beras kampung yang ditanam sendiri secara kecil-kecilan oleh keluarga Orked seakan kembali menyusup masuk ke dalam deria rasanya. Terbayang olehnya juga, haruman sup kerbau yang menyelerakan, menggelegak hebat, menanti dicedok ke dalam mangkuk, yang telah diadunrasakan para wanita di dalam kawah besar di kawasan dapur, tanda tradisi tumbangnya sang kerbau untuk jamuan dan santapan para tetamu yang datang ke majlis perkahwinannya waktu itu. Mengingatkan itu, Orked meraung sambil memegang birai jendela, perutnya terasa pedih kelaparan namun hatinya lebih perih hiba, terluka.

Dia tahu, setiap kali petang berangin sejuk itu datang, irama syahdu sundawil itu akan muncul entah dari mana, lalu melayang masuk ke gegendang telinganya dan seakan menyucuk-nyucuk jantung hatinya. Dengan mata terpejam rapat dan nafas yang bergetaran dia mengamati sundawil pendek yang dirasakannya cukup sempurna dan cukup kejam menjolok rimbun pepohon ingatannya, menjatuhkan buah-buah kenangan silamnya yang masak ranum, gugur satu persatu ke atas tanah kering jiwanya.

Namun, tanpa disedarinya, dia pula seakan menunggu kedatangan waktu itu, berulang dan berulang, setiap petang dan tanpa disedarinya lagi, penantiannya terhadap kesyahduan sundawil itu seumpama suatu yang dinantikannya, dia seperti ketagihan pada ‘tusukan lembing sundawil’ yang dirasakannya seperti lambang pergolakan derita zahir batin yang ditanggungnya saat itu.

Dahulu dia juga tahu makna bersukacita, namun kini air matanya sentiasa menitis, sama seperti setiap petang. Dia seperti sudah keletihan menangisi diri dan merasakan tunjang semangatnya kini kian ranap, setiap detik hari berlalu.

“Aku rasa kehilangan, tak dikenal,” katanya seakan mengulum suaranya dalam tangisan yang hampir menjadi. Dia menarik nafas dalam, meredakan tangisnya yang hampir meletus lagi.

“Hanya dia yang mengenal aku. Dialah cermin, kau pun tahu, kan? Sudah berapa kali aku mengatakan ini kepadamu, Samad?.”

Samad mengangguk. Janggut putihnya bergerak-gerak mengikut tari angin yang menerjah masuk dari celah jendela. Wajahnya cengkung namun jernih. Bola matanya bersinar-sinar bagai suria yang menceriakan seluruh daerah kulit wajahnya yang berkedutan. Orked memerhatikan seluruh panorama wajah jernih Samad yang dihiasi rambut dan janggut halus berwarna putih kelabu itu. Bintik-bintik yang tumbuh menodai kulit wajahnya langsung tidak memberi kesan terhadap wajah bersih-jernihnya yang terbit dari dalam jiwanya yang sejernih aliran air yang menyusur turun dari puncak gunung Kinabalu, bisik hati Orked. Dalam esak tangisnya yang makin perlahan, dia memerhatikan Samad yang berdiam, merenungi keping-keping kertas putih yang diletakkannya di atas meja. Kertas-kertas putih lain bersusun dan terangkat-angkat akan diterbangkan angin kalau tidak ditahan sebelah tangan Samad yang kurus, penuh urat-urat timbul. Orked mengesat airmatanya lalu perlahan-lahan duduk lemah di atas lantai sambil matanya merenung sebuah manuskrip tunggal miliknya yang berselerakan di atas meja kayu.  

“Orked, Aku tahu dia cerminmu. Tapi di sini? Di mana letaknya pilihan? Kerelaan dan keredhaan adalah kunci kepada tekanan batinmu. Di zahir juga.” bicara Samad tegas, menekan kata.

Dia dapat melihat bahawa Samad merenungnya dari kanta kaca mata bulat yang menyangkut di tulang hidungnya yang berkedut. Air muka Samad tenang. Samad melemparkan pandangan ke luar jendela melihat damai biru hari yang menghias pemandangan. Dia mengangguk-anggukkan kepalanya.

“Pemandangan senantiasa boleh terlepas seperti burung-burung bebas di langit bergunung, sementara resah di relung dada terkurung bersama tubuh yang makin cengkung tanpa zat,” bicara Samad tenang.

“Hahahahaha… memang aku terkurung di sini, Samad !,” pekik Orked tiba-tiba lalu berdiri.

Hilai tawanya tajam, memecah kesugulan tenang yang mengikat suasana antara dia dan Samad di dalam kamar dingin sedingin suasana dinihari pagi yang berkabus tebal itu. Samad yang tersentak, menggeleng-geleng kepala lalu menarik nafas, sambil menepuk-nepuk dadanya. Bunyi mesin rumput tiba-tiba terhenti, sepantas kilat, semua keindahan siang dan segala isinya yang kedengaran, berganti kegelapan malam yang pekat diiringi bunyi burung-burung gagak hitam bermata merah yang menggericau, bergaduhan sesama-sendiri di atas pokok-pokok kayu ara hitam yang keguguran daun ditiup angin kencang yang datang tiba-tiba.

Keindahan langit membiru tiba-tiba berganti kehitaman malam dalam deru angin kencang di luar dan masuk sedikit ke dalam kamar dingin mereka. Orked yang menghilai-hilai ketawa tadi, memeluk tubuhnya, menggelatuk kesejukan. Dia memerhatikan Samad yang berdiri tenang memerhatikan cahaya bulan yang tiba-tiba berarak galak menyusup masuk seperti kuku rogon yang kurus panjang, masuk perlahan-lahan ke celah palang-palang besi jendela kamar, menjalar dan mencengkam kejap suasana gelap yang tiba-tiba menyelubungi bilik itu. Hari bertukar malam, malam yang sunyi dan sepi. Kedengaran burung-burung hantu bersahut-sahutan sayup-sayup di kejauhan. Daun-daun pokok kayu ara berdesir-desir di atas bumbung kedengaran seperti bacaan mantera seorang bobolian. Orked melepaskan hilai tawanya lagi, berbaur bersama deru angin kencang yang kedengaran menderu-deru.

“ Terkurung… yaa, memang aku terkurung.. hahaha… ,” pekik Orked sekuat hati.

“Orkeedd…!,” bentak Samad perlahan, menekan suara.

“Hentikan semua ini, sebelum kau jadi… jadi, kurang siuman!!,” tegas Samad menelan air liur, seberat menyampaikan sebuah berita kematian pada seseorang, seberat itulah untuk Samad menyatakan dua perkataan di hujung ayatnya tadi.

“Kurang siuman?? Memang aku sudah tak siuman, Samad!,” pekik Orked, tubuhnya menggeletar, nafasnya makin laju dan dadanya berombak. Matanya bulat memandang Samad.

“Aku takut, Samad. Takut. Tiada siapa pun yang datang, selain kau.. tahukah kau??..aku amat takut….. Takut”

Seraya itu, berderailah sebuah tangisan paling hiba yang bergema di setiap sudut kamar suram dingin itu disulami deru angin kencang dan bunyi gagak- gagak hitam yang menggericau dengan suara garuk di atas pokok kayu ara hitam di atas bumbung. Dalam tangisnya, Orked menarik helai-helai gaun berwarna putihnya menutupi wajah sambil tersedu—sedu dan mengerang berat. Orked memejam rapat matanya dalam sendu lalu menggenggam kelopak gaun putih kembangnya yang berjurai-jurai menutupi sepasang kaki kurusnya. Dia terduduk lemah di atas lantai sambil cuba meredakan sedikit tangis yang bersarang di dadanya. Dia memujuk hati, terus cuba mengawal hibanya apabila Samad berdiri dan perlahan-lahan datang menghampirinya dengan wajah tenang.

Ketenangan air muka itulah sebenarnya yang menghidupkan dia selama ini, bisik hati Orked, namun segalanya tak pernah di luahkan. Kata-kata pujian itu bagai tersekat di celah kerongkongnya yang selalu kehausan kata-kata terhadap Samad yang budiman. Dalam sendu tangisnya, Orked merenung sepasang mata kecil Samad yang dihiasi sebaris kening putih, juga rambut serta janggutnya yang sehalus kapas putih yang menari-nari dibuai angin apabila samad duduk bertinggung di hadapannya. Baju melayu putih yang dipakainya kelihatan kelabu dalam suram warna malam. Haruman yang datang bersama Samad menerjah deria bau orked iaitu haruman pekat sejambak mawar merah yang pernah diberikan suaminya dulu. Orked terkesima.

“Moga burung-burung sungai akan kembali ke sungai, burung hutan akan  menemui sarang-sarangnya di hutan dan para katak kembali menangisi hujan agar bumi kering kembali bernyawa, moga susunan asal alam dan segala mahkluknya akan kembali aman…,” bicara Samad perlahan, lalu dia tertunduk, memejamkan matanya.

Buah bicara Samad yang perlahan namun kedengaran jelas di telinga Orked mengejutkannya lalu mematikan kenangan akan sejambak mawar merah yang dihulurkan suaminya dahulu. Orked mengangguk-angguk, terasa olehnya kata-kata Samad dapat menembusi harapan dan kepercayaan di dalam hatinya.

“Ini dunia. Tempat segala-galanya tak sempurna. Pagi, petang, siang, malam, segala-gala tak sempurna,” sambung Samad lagi dalam nada kesal, menggeleng-gelengkan kepala perlahan.

Orked terdiam, kemudian mulutnya mula terkumat-kamit, mengulangi kata-kata Samad, membisik kata-kata itu pada dirinya sendiri berulang-ulang, seolah-olah ingin menghafal seluruh baris-baris ayat yang diucapkan Samad. Mulutnya terus terkumat-kamit dan matanya mengekori Samad yang tekun mengamati gaun putihnya yang melunjur di atas tanah dihadapannya. Gaunnya yang dihiasi daun-daun kering, dan ditempeli tanah-tanah yang sudah mengeras. Orked memeluk tubuh, terus mengucapkan kata-kata yang dilafazkan samad tadi berulangkali dengan khusyuk.

Dari ekor matanya, di memerhatikan Samad tekun merenung gaun putih yang dilengkapi manik dan bunga mawar kecil keemasan yang menghiasi seluruh kelopak gaun putihnya. Orked masih ingat, gaun cantik itu dahulunya melurut ke bahagian pinggulnya yang dirasakannya mungkin agak hebat berpotongan gambus waktu itu, ada kemungkinan pinggul itu diwarisi daripada ibunda, kata Orked di dalam hati. Gaun itu dilihatnya masih berbunga-bunga mawar besar yang berpusat di kanan bahagian pinggangnya, lalu corak bunga mawar berwarna keemasan muda itu seakan mengalir  ke bawah gaun lalu digayakan terbelah di tengah sampailah ke hujung gaun yang dulunya mewah, hebat itu. Seluruh suasana bilik sunyi senyap. Gagak-gagak masih menggericau hebat, di atas pokok kayu ara hitam di luar. Samad merenung lantai kehitaman dan Orked sugul memeluk lututnya, memandang kosong pada Samad sambil mulutnya terus terkumat-kamit.

“Mungkin kau boleh menulis begini, Orked. Tentang sepenuhnya ceritamu, di sini. Jangan berhenti. Ceritakan duka resah yang bahagia untuk mereka,” Kata samad tiba-tiba, membelah suasana sunyi, membuat orked menyeka airmatanya.

Orked segera berlari menuju meja kayunya bagai dirasuk hantu, sekuat halilintar membelah angkasa, motivasinya meletus hebat ke udara kering di dalam bilik itu, lalu dalam dengus nafasnya yang turun naik, dia menyusun daun-daun terap hutan kering bersaiz besar yang berbulu-bulu halus itu di atas meja. Tangan kurusnya bergerunyut menggeletar, mengejar beberapa helai daun yang menari-nari lalu jatuh ke bawah meja kayu. Dia terbongkok-bongkok dalam kepayahan. Hujung gaunnya tersangkut pada duri-duri pokok kerukup yang berbuah lebat kemerahan ketika berlari kebingungan tadi. Gaun itu terkoyak, lalu beberapa sambungan bunga mawar besar yang mengalir di kelopak gaunnya terputus dan terkulai. Samad beristighfar, memejam mata dan menarik nafas dalam, sambil merenung Orked. Menggeleng kepalanya . Raut wajahnya yang tenang disuluhkan cahaya rembulan dari luar jendela memperlihatkan seluas-luasnya perasaan belas yang tak terhingga terhadap insan di hadapannya itu.

Orked memandang Samad sambil diiringi ketawa bahagianya. Sebelah tangannya memeluk helaian-helaian daun terap hutan yang kering itu, manakala sebelahnya lagi  dilayang-layangkan ke udara, pada Samad. Samad mengangguk sambil mengetap bibir menahan benteng sungai simpatinya yang kian kebanjiran airmata.

“Samad!... lihat Samad. Lihat ini manuskripku yang ke sekian kalinya!.. hahahahaha!, aku berjaya menyiapkannya. Mari Samad, bacalah, bacalah..” laung Orked pada Samad yang berdiri tegak, tenang, namun sugul di hujung bilik itu. Samad mengangguk lagi, merenungnya dalam linangan airmata.

Orked meletakkan helai-helai daun terap kering itu di atas meja kayu. Menyusunnya dengan jari-jemari kurusnya yang menggeletar. Makin disusunnya daun-daun kering itu, makin bertaburan di atas meja dan kemudian berjatuhan melayang-layang pula ke atas daerah tanah yang gelap kehitaman kerana tak tercapai sinarnya oleh fatamorgana rembulan kuning di luar.

“Ohh ohh, nanti dulu Samad, nanti.. aku rasa, aku belum cukup menulis tentang perasaan protagonisnya. Perasaannya bila dia menerima berita kematian! Yaa… kematian, kematian seseorang.. orang yang.. yang dicintainya. Ini belum cukup pilu, belum cukupp pilu, Samad..” bicara Orked kebingungan, nafasnya turun-naik, terus menyusun daun-daun kering di atas meja kayu.

Orked menghilai tangisnya ke udara, pekat tangisnya membuat samad tertunduk dan beristighfar lagi. Tangis berat itu seketika kemudian bertukar jadi derai tawa kecil, perlahan. Kemudian, Orked mula berjalan mundar-mandir, sambil sebelah tangannya mengurut-urut urat di dahinya yang dahulu licin, kini penuh debu dan bias-bias tanah. Sebelah tangannya mengendong daun-daun terap hutan kering dan sesekali digunakan untuk menarik-narik gaun kembang tanpa disedarinya, dipijak dan makin koyak rabak bila tersangkut pada ranting-ranting kering rumpunan pokok kerukup mati yang berduri halus, di kiri dan kanan laluannya yang bertanah kering. Debu-debu tanah pun berterbangan naik ke segenap ruang kamar.  

Orked masih berjalan mundar-mandir, makin laju dengan mulut terkumat-kamit. Lama-lama langkahnya makin perlahan. Samad masih berdiri di hujung bilik, merenungnya dalam belas, namun tak mampu berbuat apa-apa. Semakin lama, Orked makin keletihan, lalu pandangannya mula kabur. Dia terhuyung hayang, lalu akhirnya melayang rebah ke atas tanah. Sejalur cahaya bulan menerangi wajahnya yang pucat lesi. Dia terbaring lesu ketika Samad berlari perlahan menghampirinya.

“Mungkin inilah saatnya, Samad..,” bisik orked dalam nada pasrah, dia terlalu lemah. Setitik airmatanya muncul mengalir dari sudut matanya, lalu jatuh di atas tanah kering.

“Bertahanlah Orked.. bertahanlah.” balas Samad menggenggam jemari Orked yang dingin dan bergetar.

“Samad, kau wira yang menghidupkan negara jiwaku.. aku penat hidup, Samad.. aku ingin mati, kalau kau tak muncul waktu itu.. mungkin aku sudah lama mati.. entah mengapa, aku masih di sini, bernafas… “ bisik Orked sayu, lemah.

Samad menggenggam jari-jemari Orked dengan kuat, akhirnya setitik airmata hangat dari tebing mata sepetnya jatuh lembut, menitik atas kulit pipi Orked yang cengkung pucat. Orked cuba tersenyum lemah, keterharuan Samad pada nasibnya terasa sampai benar ke hati kudusnya yang kehilangan kudrat itu.

“Manuskrip kamu..siapkannya, Orked. Menulis itu resah yang bahagia, duka yang indah..” bisik samad kedengaran lembut namun tegas, masuk ke dalam telinga dan jiwa Orked.

“Terima kasih Samad …,“ bisik Orked, sambil memeluk erat manuskrip tulisannya, iaitu helai-helai daun terap kering, sekuat tenaga yang masih tersisa, dengan sebelah tangan, seperti memeluk kata-kata harapan samad agar tidak keciciran diterbangkan angin kencang yang mula masuk lagi ke dalam ruang kamar kering dingin sedingin angin pagi itu.

Bait-bait ayat Samad yang kedengaran jelas itu makin lama makin menghilang, tenggelam dalam derita keletihan dan narkosis bola matanya yang sudah tidak mampu dibuka lagi. Nafasnya mula perlahan, jantungnya berdegup lemah, semangatnya seperti sudah tercabut dari jasadnya yang terbaring lesu itu. Dari celah pandangan matanya yang kabur, dia seakan melihat kelibat tompulanggoi-langgoi berkaki panjang mengangkatnya yang longlai. Desir-desir daun pokok kayu ara hitam dan ricauan gagak-gagak bermata hitam makin galak. Samad hilang dari pandangannya, namun namanya tinggal melekat berbunga-bunga dihatinya, sedang tubuh badannya mula kematian kudrat dan semangat. Suara-suara bertempik, bersorak-sorakan dan bunyi derap-derap langkah cepat, berlari-lari ke sana ke mari kedengaran timbul dan tenggelam di cupingan telinganya.

“Puan..puan… puan Orked Mulya!!” bisik seorang lelaki sambil memegang erat dan menggoncangkan bahu Orked perlahan, dia bukan Samad.

“Dia masih hidupp!!!” laung si pemuda yang lain, menekan suara, gemuruh dan dalam nada terkejut dan dirasuk kekaguman yang bukan kepalang, pada kumpulan lampu suluh dan spot light yang menyuluh-nyuluh di dalam gelita.

Di antara pandangan kaburnya, dia seperti dapat melihat cahaya-cahaya itu berselerakan ke merata tempat di dalam kehitaman malam itu, semakin lama semakin mara dan akhirnya menerangi seluruh kawasan hutan tebal di bawah naungan dua pokok kayu ara tua yang ukur lilitnya sekurang-kurangnya sebesar sepuluh pemeluk orang dewasa. Akhirnya kawasan naungan pokok kayu ara itu jadi  terang-benderang.

“Subhanallah.. subhanalahhh…. maha suci Allah!!,” pekik mereka, ada yang bertangis-tangisan, berpelukan, berjabat tangan sesama sendiri. Seluruh daerah pandangannya yang kabur, mula diterangi suluhan hebat daripada beberapa buah benda terapung di atas, yang menyuluh-nyuluh kamar dingin keringnya yang sudah kehilangan dinding dan bumbungnya itu. Dia dapat mendengar jelas ricau gagak-gagak hitam serta ungka monyet yang berteriakan hiruk-pikuk sayup-sayup apabila seluruh kawasan itu tiba-tiba menjadi terang-benderang. Suluhan-suluhan hebat itu menyuluhnya yang lesu terbaring tidak berdaya di situ.

Dia seolah-olah melihat sekumpulan manusia menghampirinya lalu menekap hidungnya dengan seberkas alat yang membuat angin sedingin dinihari masuk melalui celah hidung dan mulutnya, lalu mula menggemburkan darah merahnya yang mula putus asa untuk mengalir di seluruh tubuhnya sebentar tadi, dengan zat baru, dengan drastik, tepat-tepat sebelum titik nafasnya terhenti buat selama-lamanya sebentar tadi. Terasa pula di pangkal jemari kurusnya yang dingin ditebuk sesuatu yang sangat tajam dan berhenti tepat di pembuluh uratnya lalu mengalirlah bendalir dengan segala khasiat yang sudah lama tidak menghuni tubuh-badannya yang kurus kering dibaluti gaun pengantin putihnya yang koyak rabak itu.

*        *         *

Orked melonjak kegembiraan, dia terasa sihat, dia dapat tersenyum semula dan seperti dapat berterbangan ke sana dan kemari hanya dengan memikirkan apa saja tempat yang diingininya. Semalam dia ke Villa Seri Penchatar dan melihat suaminya di sana. Dia dapat bernafas sepuas-puasnya, tiada lagi angin kering berhabuk tanah, tiada lagi gagak-gagak hitam menggericau, tiada lagi kamar mengurungnya, tiada lagi derita, tiada lagi tangisnya, katanya, berlagu-lagu di dalam hati, sewaktu berjalan laju ke arah Universiti Penchatar di mana dia akan menemui Samad sebentar nanti.

 Terlihat saja kelibat Prof. Budi yang dikenalinya sejak lama dulu,  segera Orked berlari-lari anak cuba mendapatkannya. Namun apabila terlihat Prof. Budi bergegas berjalan bersama seorang pemuda bercermin mata tebal sambil mengendong buku-buku tebal, dengan segera Orked memperlahankan langkah, lalu mengekori kedua orang lelaki tersebut jauh di belakang perlahan-lahan, bercadang membuat kejutan manja pada Prof. Budi sebentar nanti. Perbualan antara Prof. Budi dan pemuda itu jelas kedengaran di telinga orked yang membuntuti mereka dengan senyuman manis.

 “Sewaktu Prof bercuti menjelajah eropah, waktu itu, ada sebuah keajaiban berlaku pada seorang penulis kita. Semua akhbar di seluruh negara menyiarkan tajuk utama tentang keajaiban yang menimpanya waktu itu.” Kata pemuda itu kepada Prof. Budi.

“Haa, Siapa..?,” bisik hati Orked, tertanya-tanya.

 “Waktu itu, para pemberita seakan mendapat tiket percuma melancong ke hutan hujan tropika dara banjaran rimba raya, yang belum pernah diterokai manusia. Mendedahkan kawasan hutan tebal di mana dia dijumpai di antara naungan dua pokok ara tua dan bangkai-bangkai pesawat ringan yang digunakannya untuk berjumpa suami yang baru dikahwininya untuk berbulan madu di atas gunung Penchatar,” kata pemuda itu lagi bersungguh-sungguh.

“Gunung Penchatar? Suami?.. Siapa, siapaaa??..,” bentak Orked di dalam hati, mahu saja dilaungkan pertanyaan itu kepada pemuda bercermin mata itu, namun dia terus mengekori mereka di belakang dalam diam. Dilihatnya Proff. Budi mengerutkan dahi namun mulutnya terkunci.

 “Prof. pasti mengenalinya! Dia seorang peminat sejati sasterawan negara S. Samad, dia juga penulis wanita muda berbakat, penulis kreatif yang sering mengetengahkan unsur-unsur etnik budayanya dalam tulisan. Selepas sembilan bulan hilang, dia dijumpai semula di tengah-tengah kepekatan rimba raya negeri Penchatar! Selepas pesawat ringan yang dinaiki terhempas dalam penerbangan peribadi menuju lokasi bulan madu di mana suaminya, sedang menunggu dengan penuh harapan di atas puncak gunung, di Hotel Penchatar, Prof!,” cerita si pemuda lagi sebelum mereka menghilang di sebalik daun pintu bilik yang tertera nama Proffesor Madya. Dr. M. Budiman.

Orked mula tak sabar. Dadanya tiba-tiba berombak dan nafasnya mula kencang, seperti ada sesuatu yang bersangkutan dengannya daripada buah butir isi perbualan si pemuda dan Prof. budi itu tadi. Perlahan-lahan, dia menekap telinga melalui celah pintu bilik yang terbuka.  

“Haa.. Siapa?! Orkeddd??.... Orked Mulya?? Tak mungkinn..!!!” laung Prof. Budi. Suaranya kedengaran seperti dapat memecahkan daun pintu di mana Orked berdiri.

“Akuuu??...aku?.. di puncak Gunung Penchatar?? Kenapa Prof. Budi menyebut namaku??... tanya Orked di dalam hati yang berkecamuk, berdebar-debar.

“Ya dia! Orked Mulya ditemui pasukan pencari yang mendapat maklumat daripada kumpulan pemburu yang menjumpai bangkai berkecai pesawat peribadi yang membawanya, waktu itu Orked memakai baju gaun pengantinnya, dia memanggil-manggil nama Samad, sasterawan negara itu ketika diselamatkan. Kemudian Orked menjerit-jerit meminta pen dan kertas. Bermula saat itu dengan bersungguh-sungguh dia tak henti-henti menulis sesuatu di atas kertas-kertas itu, terus dan terus menulis, namun sayangnya …sayangnya..” si pemuda tak mampu menghabiskan kata-katanya.

“Sayangnya, apaa..??..,” Laung Prof. Budi pada si pemuda itu.
  
“Orked Mulya, hilang ingatan, Prof. Dia kehilangan segala-gala kecuali nyawanya, sewaktu jatuh terhempas dari pesawat ringan peribadi suaminya. Suaminya yang menunggu di Hotel Penchatar di atas gunung itu sudah berputus asa dan menyangka Orked sudah mati. Orked pula tak mengenali sesiapapun lagi, tapi… tapi dia tak henti-henti menyebut-nyebut nama itu… nama Samad.”

“Huh…,” keluh Orked di balik muka pintu.

“Memang aku tak mahu mengingati Soulis. Semalam aku ke villa itu, villa Seri Penchatar yang kami bina untuk hari-hari bahagia kami selepas berkahwin itu kononnya, namun aku telah .. aku telah melihat dia bersama cinta barunya sedang memadu kasih. Soulis telah melupakan aku! Ahh … lelaki, memang lelaki begitu.. sampai hati, “ keluh Orked lagi, tertunduk memandang lantai, dia menahan tangis.

“Ohhh…” keluh panjang Prof. Budi, membuat orked tersentak. Prof. Budi duduk menopang dahi penuh kesal dan menjemput si pemuda duduk. Mereka duduk berhadapan.

Orked memerhatikan mereka dari celah daun pintu dengan penuh sabar walaupun ingin rasanya dia menerpa masuk dan memegang tangan Prof. Budi yang juga teman rapatnya, teman sekampung, juga satu-satunya insan yang dipercayainya akan dapat mendengar keluh-kesahnya tentang Soulis dan segala-galanya, seperti tujuan asal dia ingin datang ke Universiti Penchatar kali itu. Namun semacam ada sesuatu yang tak diketahuinya menghalang dia daripada masuk dan menggangu perbualan pemuda dan Prof. Budi itu.

“Dalam masa yang singkat, Orked Mulya menulis dan terus menulis ketika di dalam rawatan selepas ditemui. Suaminya yang melepuh dalam derita pencarian selama sembilan bulan itu datang melawatnya namun dia tak mengenalinya lagi. “ sambung si pemuda.

“Melepuh?? Aku tak percaya! Ohh Patutlahh... tapii ..tapi ..” keluh Orked di dalam hati. Dia semakin tidak sabar.

“Dia terus menulis, beratus-ratusan kertas, berlembar-lembar sampai melupakan makan dan dia tak pernah bercakap dengan sesiapa kecuali menyebut nama Samad. Dia berhalusinasi bertemu Samad sewaktu di dalam hutan. Ketakutan dan kelaparan, keletihan menjadikannya trauma namun dia tetap hidup di dalam kesiksaan-kesiksaan itu. Bagaimana atau apa yang menghidupkannya di hutan rimba raya itu masih tidak diketahui.. sehingga kini,” sambung si pemuda, panjang lebar.

“Samad! .. Samad yang menghidupkan aku di hutan itu. Samad, tapi.. “ bisik Orked perlahan, dia cuba memegang dan menguak daun pintu, namun hasratnya dibatalkan apabila dia melihat Professor dan pemuda itu hening, masing-masing merenung meja, terdiam, walaupun dia sudah tidak sabar ingin menerpa masuk dan menerangkan perkara sebenar pada Prof. Budi.

“Lalu dia menghasilkan senaskah manuskrip daripada tulisan tak henti-hentinya itu, Prof. Manuskrip itu dihantar keluarga Orked Mulya kepada S. Samad di ibu kota. Orkid meninggal dunia tidak lama kemudian akibat komplikasi paru-paru.”

“Apaaa!? Aku meninggal??... tidakk, aku ada! Aku ada di sini Budi! Aku masihh hi..” Orked tak mampu menyambung kata-katanya apabila dia tiba-tiba terjerumus masuk ke dalam bilik kerja Prof. budi tanpa membuka pintu.  Orked terkejut dan memerhatikan seluruh tubuhnya yang rupanya menghablur dan dia seperti di awang-awangan. Prof. Budi dan pemuda menjeling ke arah pintu yang bergerak seperti dipuput angin kencang sebentar tadi. Orked berdiri dan berlari menguak tombol pintu namun dia tak mampu memegang tombol itu walau berkali-kali dicubanya. Suaranya tenggelam dalam ruang bilik di mana dilihatnta Prof. Budi teresak-esak menangis. Si pemuda tertunduk lesu.

Orked menjerit-jerit memanggil nama Prof. Budi yang tersengguk-sengguk dalam tangis itu, namun suaranya tak didengari Prof. Budi. Orked menangis dalam tangisan hiba, berlari-lari ke serata kamar Prof. Budi. Dilihatnya Prof. Budi dan si pemuda berdiam, hening, seakan melayan pertanyaan-pertanyaan yang terbit daripada misteri ceritanya, cerita Orked Mulya yang jawapannya mungkin ada tersembunyi bersama warga alam rimba raya puncak gunung dara Penchantar.  

Orked menjerit-jerit dalam tangisnya, namun tiada sesiapa mendengar suaranya di dalam kamar itu. Dia memerhatikan kedua-dua lelaki itu melontarkan pandangan keluar jendela pejabat Sekolah Pengajian Seni Kreatif, Universiti Penchatar, merenungi kain rentang putih berwarna-warni yang mengalu-alukan kedatangan para karyawan sastera datang ke Karnival Kesusasteraan Penchatar kali ke dua puluh lima tahun itu.

“Pemandangan senantiasa boleh terlepas seperti burung-burung bebas di langit bergunung, sementara resah di relung dada terkurung bersama tubuh yang makin cengkung tanpa zat,” kedengaran olehnya si pemuda membisikkan rangkai kata itu perlahan-lahan dan pandangan mereka terus terlepas ke luar jendela.

Orked menghampiri sudut meja apabila si pemuda menyerahkan sebuah buku tebal ke atas tangan Prof. Budi yang kesedihan. Sebuah novel berjudul ‘Samad’ karangan Orked Mulya diletakkan Prof. Budi kemudian ke atas meja. Dia menopang dahi dengan dua tangan, airmatanya menitis laju, sayu hatinya memandang novel sepi itu. Orked menekup mulutnya, tak percaya melihat karyanya.

Orked meluru keluar dalam derai airmata kesedihan, keterharuan,  menembusi dinding kamar Prof. Budi lalu berhenti dan merenung kain rentang putih yang menghiasi pintu gerbang menuju Universiti penchatar yang dihiasi sepanduk-sepanduk penuh warna-warni dengan rahang terbuka, terkesima, lalu terjelepuk duduk di atas rumput bermuda Cynadon dactylon di laman Fakulti Sastera Universiti penchatar itu.

“ Karnival Mengenang Allahyarham Sasterawan Negara Penchantar, S. Samad,” bunyi ayat yang tertera di sebuah sepanduk lain.

“Tahniah, Orked..tahniah!! Manuskrip kamu siap akhirnya!,” suara Samad yang seakan dapat didengarnya bersulam deruman bunyi mesin rumput yang meratakan pucuk-pucuk rumput bermuda di serata taman Universiti penchatar. Dapat dilihatnya bunga-bunga pagar warna kuning matahari tersusun, digunting sama saiz, digayakan sama bulat, sekali lagi. Rumput pagar hijau yang bersegi-segi empat, yang rapi sekali. Di bawahnya bunga-bunga Sanseveria berjalur kuning dan berbintik-bintik putih, semuanya ditanam sekelompok, mengikut jenis, teratur, padat. Orked bediri sepi di situ, apabila kedengaran irama merdu nyanyian sundawil yang gemalai, menerobos gegendang telinganya.

Glosari :

  1. sulayau - pakaian wanita tradisi masyarakat Murut Timugon
  2. loin - pakaian para lelaki tradisi masyarakat Murut Timugon
  3. Kankaling -loceng yang dipasang dihujung kelepet skirt (sulaya) yang menghasilkan bunyi- bunyi nyaring
  4. sumayau / magunatip - tarian tradisi masyarakat Murut
  5. Agung – gong
  6. kulintangan - sebuah alat muzik dibuat daripada bambu yang dipotong silinder, mempunyai 5 utas tali untuk dipetik, alat muzik tradisi masyarakat murut Timugon
  7. agung sanang / alipangon - jenis gong kecil
  8. igal-teknik memukul gong dengan cara semakin kuat dan laju dalam majlis perkahwinan tradisi masyarakat Murut Timugon
  9. ikik - sejenis daun yang digunakan untuk membungkus nasi dalam majlis-majlis tertentu masyarakat murut
  10. Sundawil - sejenis pantun masyarakat Dusun yang disampaikan bagi meluahkan perasaan
  11. Kerukup - Flacourtia jangomas 

Sabtu

Selamat Hari Raya Aidilfitri, maaf zahir dan batin



Untuk semua yang mengikuti perkembangan tulisan-tulisan pa'al...terimakasih atas sokongan anda semua. pa'al berjanji akan terus berkarya selagi ilham ini senantiasa bersama jasad dan jiwa ini. Syukur alhamdulilah untuk sebuah ramadhan pertama yang terindah!

Salam Aidilfitri, salam sayang dari Pa'al ..

Puisi Di Palang Besi












Lepaskan,
derita yang membadai
serta pilu-pilu pekat di rongga dada
hantar bisik puisi paling tulus itu ke langit
biar karang awan serta laut raut cakerawala
meniup mengiring pesan kasih paling agungmu
sampai berdendang ke seluruh buana syurga

Moga Dia kanmendengar
lalu menghunjam luap api silammu
dengan sayap cinta, dalam titis gerimis
meruntun helai hayat bumi kemarau itu
penuh restu atas benih jujur keinsananmu
yang kanberkecambah, membelantara alam


Pa'al
Kota Kinabalu
0458, 21082010

Isnin

Kek Untuk Lyndon

Oleh : Pena Alam, Utusan Borneo, 16 Ogos 2009


       











       Sekujur raksasa kuning berbulu pisau bentan dan separuh berkematu persis kulit gajah itu sudah galak menatap mata ku. Lidahnya keluar, terhayun ke kiri dan ke kanan. Matanya yang sepet berwarna biru intan itu berdenyut-denyut dan memandang tepat ke dalam anak mataku. Sesekali dia menggeleng-geleng kepalanya laksana peninju dunia yang menaikkan semangat juang diri sendiri, juga sebagai serangan psikologi pada lawan di hadapan. Ya, mata raksasa yang kelihatan seperti dubuk di gurun afrika kacukan harimau kumbang di hutan Malaya ini galak terbeliak dan fokus betul-betul ke arah ku. Dengan gaya serikandi berbadan sasa aku melemparkan senyuman leret yang lebih kepada memperkecil-kecilkan binatang yang mendengus-dengus di hadapanku ini, sebuah serangan psikologi yang kurasakan cukup membuat binatang hodoh dan berbau ini naik angin.

Dugaan ku tepat bila dia mendebur ke arahku diiringi derap langkah yang menggegar bumi. Batu-batu kerikil yang sengaja dihimpunkan berbukit-bukit di tengah gelanggang ini berhancuran jadi pasir dan berterbangan ke langit ketika dia berlari menghambur diri ke arahku. Aku pun mara berlari sepantas cahaya ke arahnya. Sorakan ratusan , malah ribuan para penonton bergempita di angkasa. Teriakan burung-burung helang raksasa di langit yang biasanya memecah gegedang telinga pun tenggelam ditelan keriuhan ini. Aku dan binatang ini mara bertempik, aku menuju dia, dan dia menuju aku, sebaik binatang hodoh itu menganga mulutnya ketika kami berada mata ke mata, aku meloncat ke sisinya dengan gerakan tic tac parkour menggunakan sisi badannya yang bersisik untuk berpijak sepantas kilat. Gerakan sepantas itu kusempurnakan dengan menujah badan ke udara dengan tendangan rama-rama bersama pedang yang terhunus di tangan.

Dalam rangkulan dendam yang membengis pada binatang yang baru menelan sebuah kampung ini, aku lancarkan serangan tak terduga sepantas cahaya dari lengan kananku yang berotot tegap. Sebuah torehan dalam aku layangkan, tepat di pipi kanannya yang terdedah, berjaya menyemarakkan semangat keperwiraanku dan cukup meyakinkan bahawa aku akan memenangi pertarungan ini. Aku mendarat ke tanah, dengan loncatan kong vault diakhiri dengan gulingan roulade yang berfungsi menyerap hentakan badanku ke lantai bumi. Hunus Pedang Serori kulabuhkan menikam lantai tanah gelanggang yang gersang berbatu ini. Sebiji kerikil berdecing bila pedang Sesoriku tercucuk ke atasnya, lalu terbelah dua. Si Dubuk membalas serangan dengan memuntahkan segerombolan angin panas dari rongga mulutnya. Gerombolan angin itu muncul dalam bayangan naga lapan kepala yang meluncur laju bersedia untuk menelan, menuju arahku dengan raungan bergempita di langit. Gempita yang lebih dashyat daripada laungan ribuan penonton yang membanjiri gelanggang seluas colleseum di Kota Rome itu. Angin naga itu melebur pabila pedang seroriku mencincang naga berkepala lapan itu sehingga jadi kabus yang pudar dan menghilang. Lembaga hodoh itu sirna dek pedangku. Pedang yang lahir dari cairan tujuh jisim urat besi dari perut bumi dan ditempa dari pembuat pedang terulung di alam maya ini, di puncak persada gunung Zoolointan.

Hirisan tanpa bayang membuat darah hijau hancing menitis-nitis dari celahan luka ngeri itu. Melihat rekahan luka itu membuat aku bersemangat, ya demi mendapat perhatian sang putera Zoolointan yang sedang duduk bersemayam di atas astaka emas di sebuah sudut gelanggang nun di atas. Aku seperti pernah melihat dia, tapi aku tak ingat di mana. Butiran peluh sudah menyusup dicelah rambut dan membasahi baju serba hitamku yang tebal melekat di kulitku. Aku tak menunggu masa lagi, si Dubuk harimau Kumbang ini harus aku tumbangkan secepatnya, lalu aku bertempik sekuat hati dan mara ke arahnya dengan derap langkah lintang tanpa bayang yang kuhentakkan ke tanah. Habuk tanah kering berterbangan ke langit waktu ku lihat dia juga lari mara ke arah ku. Pedang Serori kuhunus ke udara dalam larian sederasnya itu, menanti lehernya yang berbulu lembut itu terdedah untuk aku hiris dan benamkan seluruh daerah pedang ini tepat ke pembuluh darah utama di tengkuknya sebagai penamat pertarungan. Debur nafasnya, kudengar mendengus-dengus lagi dari jauh, semakin mara dan hampir di kulit ku. Tak kusedar bila ekornya melayang ke udara lalu mendarat berat, tepat ke pipi ku, membuat pandanganku kabur. Aku jadi cuai lantaran amarah dan terlebih yakin. Aku silap langkah. Akibatnya, membuat aku berteriak sekuat hatinya kerana dia juga berjaya mendaratkan dua taring putihnya menusuk ke isi peha kanan ku.

“Binnnatangggg..,” tempikku dalam amarah dan kesakitan yang maha dasyat.

Sorakan gamat dan menyesakkan dada menjadi ngeri bila binatang sebesar itu menghayun badanku melantun ke udara. Dengan sisa tenaga yang tertinggal, aku cuba menghunuskan pedangku untuk membenamkannya tepat di pembuluh sarafnya yang kulihat berdenyut-denyut kerana kepalanya berada di peha ku itu, sedang bersungguh-sungguh menggigitku tanpa belas. Belum sempat aku melayangkan pedang Seroriku, pipiku ditampar dengan satu kuasa yang berlainan sekali. Makin lama, semakin hilang kesakitan yang datang dari gigitan celaka si Dubuk Harimau Kumbang itu pula, lalu digantikan dengan kesakitan yang datang dari kuasa yang menghentak-hentak pipi ku di kedua belah. Seraya itu baik si Dubuk dan Kota ala Colloseum Rome serta gelanggang ala-gladioator itu mula hilang dari pandanganku, berganti sejalur cahaya yang masuk menusuk ruang mata ku yang mula terbuka. Sekelip mata, semuanya hilang, termasuk suara-suara gempita ribuan para penonton yang mengelilingi kami dalam gelanggang pertarungan itu tadi, kerana aku sudah terbangun dari mimpi ku. Mimpi yang sunguh magis itu. Kuasa yang berlainan itu datang dari tamparan-tamparan kecil dikedua belah pipiku oleh teman sebilikku, Jett, kerana aku mengigau dalam tidur dan kerana alarm telefon bimbitku sudah menjerit-jerit dua kali pusingan tanpa aku menyedarinya.

“ Kamu mimpi apaan nih?” bicara Jett, geram, dalam loghat Indonesianya. Kulihat Jett teman sebilikku sejak setahun ini, si gadis dari Kota metropolitan Jakarta itu berkerut-kerut dahinya. Aku menggaru-garu kepala dengan fikiran yang berkecamuk, sedikit mamai. Aku duduk di birai katil sambil tertawa kecil. Peluh benar-benar bermanik di dahi dan badan ku. Nampaknya rohku benar-benar bertarung di alam maya tadi, kataku di dalam hati. Dalam lemah dan rambut kusut masai aku menggaru kepala, terasa jasadku masih belum kembali sepenuhnya ke alam realiti.

“Kamu mimpi bertarung gila-gilaan lagi, apa?” sambung Jett lagi. 

“Binatangnya apa kali ini?” sambungnya lagi, sambil menghumbankan bantal padaku. Aku menyambut bantal yang dihumban deras itu dan tergelak kecil, lalu memerhatikannya berlalu ke luar dengan mata yang masih berat. Bantal gebu itu tadi kepeluk erat dan aku berkhayal sebentar. Letih badanku kerana seminggu bekerja keras di pejabat, dan letih itu ternyata reda sedikit bila aku dapat tidur lama dari kebiasaan. Lima jam sehari tidur bagiku sudah cukup, mungkin agak terlebih sedikit. Biasanya cuma empat atau tiga jam sehari kerana komitmen paduku pada novel ke sepuluhku yang temanya ala-magis-magis begitu, yang ilhamnya kali ini datang mencurah-curah bila para insan normal kepalanya di muka bumi ini sudah mula melelapkan mata. Khayalanku tersentap lagi dengan bunyi ‘alarm’ dari telefon bimbitku di bawah bantal. Tadi mimpi bertarung dengan makhluk ala-ala dubuk kacukan harimau kumbang yang hampir aku tewaskan direntap oleh Jett, kini dengan alarm itu pula.

Ku lihat Jett sudah masuk kembali ke dalam bilik. Tangannya di telefon bimbit yang melekat ke cuping telinga. Dia sedang berbicara di telefon. Mendengar bicara pekat keindonesiaannya sambil disulam senyum meleret-leret yang terbit dari air mukanya, kukira itu Anton, buah hatinya menelefonnya dari Jakarta. Jett melabuhkan badannya di atas katil sebelahku sambil berbica terus di telefonnya, masih dengan suara manja dan senyum meleretnya. Aku menghumbannya dengan bantal yang kupeluk tadi lalu berdiri sebaik mencapai telefon bimbitku yang berteriak-teriak menyanyi ‘surfing bird’ dari Silverchair yang sengaja kujadikan alarm itu. Dia tertawa kecil sambil melayangkan penumbuknya di udara. Terus bercakap di telefon. Aku tahu, ‘kejadian’ bergayut itu akan berlarutan sampai lebih setengah jam dan mungkin sampai sejam atau lebih. Aku menatap skrin telefon bimbitku dengan mata berat dan nafsu semangat yang masih terpenjara dalam kemalasan. Mata ku bertumpu pada serangkai kata yang timbul berdenyut-denyut di paparan skrin telefon bimbit ku yang bergetaran itu.

“ Kek untuk Lyndon”

Seperti disambar beribu-ribu tan kejutan elektrik di badan, aku terkesima dan panik sebentar. Terkejut dan jadi binggung seketika. Aduhh, fikirku, bodoh betul aku kerana terlupa. Entah bagaimana aku boleh terlupa akan hari ini, entah bagaimana aku boleh terlupa mengunci alarm telefonku sehari lebih awal kerana hari itu adalah hari lahir jantung hati ku. Bintang sebutir yang menyalakan jutaan nadi di cakrawala hatiku dan rembulan malam yang menyeri hidupku sejak akhir-akhir ini. Igauan dan kerinduan padanya yang menemanku saban malam walau aku sesungguhnya sibuk dengan komitmen pada novelku yang tarikh akhir penghantaran manuskripnya semakin hampir ke muka pintu. Aku tahu aku sangat sibuk, dengan novel dan kerja hakikiku di pusat kebajikan itu. Kalau bukan kerana Jett yang tak putus asa menyarankan aku untuk membuka pintu hati ini untuk berfantasi semula dan kemudian dalam realitinya menerokai bagaimana rasanya dicinta dan mencintai makhluk adam yang bergelar lelaki ini semula, mungkin aku masih lagi solo dan tak berpunya sehingga ke hari ini. Sesungguhnya aku tak punya masa yang banyak untuk rasa itu. Namun harus aku akui yang aku sangat menyukainya, buat pertama kali setelah putus cinta lima tahun yang lalu. Hakikatnya, Lyndon itu baik hatinya namun jiwa kami bertentangan sedikit, dia di langit dengan dunia korporatnya dan aku, di bumi dengan dunia seniku dan pusat kebajikan tempatku bekerja.


Aku segera berlari mencapai tuala dan menuju bilik mandi rumah sewa kami itu. Mataku kembali segar dan muncul semangat baru seperti watak aku yang gagah perkasa berotot sasa ketika berhadapan dengan raksaksa dubuk kacukan harimau kumbang dalam mimpiku yang dileburkan oleh Jett sekejap tadi. Hakikatnya aku kurus taklah cukup berotot, rambutku yang tebal hitam ini pun taklah sepanjang watak aku di dalam mimpi itu, cuma separas bahu. Berseluar pendek dan baju ketat tak berlengan itu pun jauh sekali daripada perwatakanku yang cukup selesa dengan t-shirt dan seluar jeans. Hatiku kecewa bila tombol pintu bilik mandi yang kuputar itu mengeras, berkunci dari dalam. Tentunya ada orang di dalam. Aduhh..getus hati ku lagi, kecewa, benar-benar kecewa. Siapalah yang mandi awal betul di pagi sabtu ini, Aku ingin segera keluar ke pasar raya berdekatan, sekurang-kurangnya yang ada di sekitar Villa Kayangan kami ini. Belum sempat aku mengeluh berat, pintu tombol dipusing dan seorang jejaka keluar. Tuala putihnya melingkar di pinggangnya. Dia terkejut lalu tersipu-sipu.

“Maaflah, menggangu konsentrasi. Hehe.. sebenarnya, saya ingin cepat. Harus keluar lepas ni,” kataku pada lelaki bernama Erwin itu.

Aku mengenalinya kerana dia juga tinggal menyewa di rumah yang sama dengan kami, berlainan bilik, di Villa Kayangan setinggi dua puluh tingkat itu. Sambil berkata-kata aku terlihat akan sesuatu di tubuhnya yang tak kuperasankan pernah ada di tubuh teman serumahku ini. Perutnya! Enam ketul otot yang terbit daripada perutnya yang kempis itu. Inilah kali pertama kami terserempak di bilik air. Selalunya kami akan bertembung cuma waktu hendak keluar bekerja atau ketika berada dalam lif untuk naik ke rumah sewa kami ini.

“wow, hebat juga dia ni”, kataku di dalam hati. 

“Oh, tak mengapa. Saya mandi tak lama pun. Maaf ya. Silakan.” Katanya ringkas, diiringi senyuman.

Rambutnya yang basah itu membuatnya kelihatan berlainan sekali dari selalu. Wajahnya bercahaya dan segar. Dan aku dapat mencium haruman sabun yang sangat menyegarkan darinya. Aku memang mengagumi sesiapa sahaja yang menjaga kesihatan dan kecergasan diri. Enam ketul otot itu bukan mudah diperolehi kalau bukan dengan usaha keras dan latihan jasmani yang konsisten. Huh, aku mengaguminya, kata hatiku! Aku kira dia juga perasan akan mataku yang tertumpu pada perutnya yang berketul-ketul itu tadi. Ya, aku terpukau dengan kemaskulinannya, namun segera kusembunyikan perasaan teruja itu dan merasa malu pula. Tak senonoh betul aku ini, bisik hati kecilku. Ketika kami berlalu tadi kami sempat ‘menari Tango’ di hadapan pintu bilik air itu. Dia cuba keluar ke kiri, dan aku pula cuba masuk ke dalam bilik air itu dari kiri juga, bila dia ke kanan, aku pula ke kanan, dan kemudian di ke kiri lalu aku juga ke kiri. Akhirnya sebelum kami menari joget atau sumazau di hadapan bilik air itu, aku berhenti dan tak bergerak. Begitu juga dia, kami lantas berpandangan, lalu tertawa memecah kebuntuan, sebelum dia berlalu ke biliknya dan aku masuk ke dalam bilik air dengan wajah tebal, malu dan rasa bodoh dengan apa yang berlaku tadi.

Sampai di pasar raya di bawah Villa Kayangan kami, aku masih terfikirkan ‘tarian Tango’ yang memalukan itu. Aku tergelak kecil bila mengingatnya. Namun sekarang misi ini harus kuteruskan. Seperti di alarm di telefon bimbitku, ‘kek untuk Lydon’. Jadi misi aku ialah misi untuk mencari bahan-bahan untuk membuat kek. Ya, kek. Kek untuk Lydon, jejaka putih manis yang berjaya memikat hatiku setelah kecewa lima tahun lalu. Sudah hampir lima bulan aku mengishtiharkan bahawa aku ini sudah berpunya. Persahabatan akrab itu jadi sebuah tali percintaan hebat bagiku walau kami jarang bertemu atau membuang masa memadu kasih di taman-taman bunga, jauh sekali untuk berdua-duan di tempat gelap. Aku terlalu dewasa untuk memikirkan bahawa cinta itu harus ada cumbu-cumbuan berat atau raba-rabaan, kurasakan aku sedikit ortodoks kerana pendirian ini. Kali ini aku akan buktikan akulah kekasih terbaik untuknya, aku ingin memberi kejutan dengan memberinya kek hari lahir. Kek hasil air tanganku. Sebenarnya aku sudah teringat akan hari lahirnya ini sejak isnin minggu lepas dan pada waktu itu aku bertekad tidak akan menghubunginya selama seminggu hingga tarikh hari lahirnya ini tiba. Hati teringat dan rindu, namun kesibukan membantuku melupakannya sebentar, sehingga aku benar-benar terlupa hari ini. Nasib baik alarm hari lahirnya telah kusimpankan sejak hari pertama kami keluar bersama.

Bahan-bahan semuanya sudah lengkap kuperolehi. Lalu aku beratur panjang untuk membayar harga tepung gandum, bahan utamanya iaitu serbuk koko, gula halus, telur dan beberapa bahan lain yang ada di dalam senarai resepiku. Yang penting, topping kek harus ada, kataku di dalam hati. Kerana topping daripada coklat masakan yang dicairkan ini akan menjadikan kek itu tampak seperti hasil tangan seorang pastry chef, seorang professional. Dan ketika wajah jurujual itu memberitahuku bahawa harga semua barang adalah ringgit Malaysia tiga puluh sembilan dan sembilan puluh sen sahaja, barulah aku perasan bahawa ketika turun tadi aku tak membawa dompet. Bukan itu sahaja bala yang menimpa, aku turut tak menjumpai barang sesen pun duit di dalam poketku untuk menelefon Jett supaya turun membantu. Dan selalu aku memang tak membawa telefon bimbitku atau beg kalau keluar, paling banyak duit cukup-cukup untuk membeli barang kerana gaya hidup ku yang suka berlari. Berlari ala parkour. Bebas dari mengepit beg tangan atau apa juga.

“Aduhhh makk, rasanya wang saya tertinggal di rumah, cik”, kata ku dengan nada berbisik, mohon sedikit simpati supaya juruwang itu mahu percaya bahawa aku betul-betul terlupa membawa wang. Dadaku berdebar dalam tenang. Juruwang membeliakkan mata. Riak wajahnya seperti memberitahuku bahawa aku salah seorang lagi pelanggan yang telah menyusahkan hidupnya pagi itu.

“Jadi?” tanyanya, agak kurang ajar. Dia memeluk tubuh dan menunjukkan wajah menyampah denganku, matanya tepat ke mataku persis ingin menyerang, seperti raksaksa dubuk kacukan harimau kumbang di dalam mimpiku.

Aku hanya tersengih, malu, bila jurujual terlebih berat badan itu, sudah mula marah-marah dan menyuruh aku menunggu di tepi kaunter. Kulit wajahku terasa setebal marker novel karya Robin Cook yang sempat kuhabiskan minggu lepas. Pelanggan-pelanggan lain memandangku dengan seribu satu macam lapisan raut wajah yang tak sanggup aku ertikan. Inilah ertinya ‘malu’, malu bagai bisul yang tumbuh di kulit punggung, sakit dan gatal, membuat kita buru-buru ingin memicitnya dan mengeluarkan mata nanah yang jadi petanda gunung berapi kecil yang menghalang kita untuk duduk senang itu akan meletus dan membaik. Namun ia amat sukar dilangkau kerana kita tak punya mata di belakang. Ahh, alangkah sayangnya masaku yang terbuang begitu sahaja.
Aku mula berlari pantas menuju ke lobi apartment untuk mengambil wang, selepas bertolak ansur dan berdolak-dalih dengan dengan juruwang tadi. Yang aku tahu, aku ingin lari dari pelanggan lain yang panjang beratur tadi, pertama kerana aku malu dan kedua kerana jam sudah menunjukkan angka sebelas. Maknanya aku tak punya banyak masa. Aku ingin menghantar kek coklat gebu bertatah badam keping dan lilin mewakili tiga puluh dua usia si cahaya bulanku itu ke rumahnya, agak-agak pada waktu makan malamnya, sekitar jam tujuh dan mungkin merayakan hari lahirnya di sana sebentar. Cukup untuk menyatakan yang aku amat bahagia dengan kehadirannya dalam hidupku yang dulu kosong seperti langit biru tiada berawan, kata hatiku, bermonolog sendiri sambil memecut ke arah lobi yang letaknya kurang lima meter di hadapan. Kanak-kanak makin ramai di kawasan taman permainan ini. Berkejaran, berketawaan dan ada juga yang meraung-raung menangis dan dipujuk ibu-ibu mereka. Kurang sekali ku lihat para bapa berada di sana meneman anak-anak bersukacita di hujung minggu. Berbeza pada hari biasa, kanak-kanak akan ke sekolah di waktu-waktu begini.

“Wahh..kena tukar haluan ni, bisik hati ku, lalu sepantas kilat aku melompat melintasi deretan bunga balung ayam yang gebu gembur separas pinggang, menghiasi sempadan taman permainan dan jalan keluar menuju ke pasar raya di mana air mukaku jatuh mencair di atas lantai dekat meja juruwang itu tadi.

Aku meneruskan larian ke arah jalan pintas yang ku pasti kurang meriah berbanding taman permainan ini. Ya, jalan pintas melalui kolam renang. Kolam renang yang lambat dibuka itu mungkin tak sesibuk taman permainan kecuali sebelah petang. Aku meneruskan larian tak henti dari tadi, sambil membayangkan bahawa aku adalah traceuses, pelari bebas dalam free running atau parkour yang sangat popular di Perancis. Falsafah David Belle lelaki Perancis yang mengasaskan Parkour melekat di ingatanku. Kata David, Parkour adalah disiplin fizikal dari Perancis yang memerlukan seseorang perlu mara melepasi sebarang halangan dari tempat permulaan ke tempat tujuan sepantas dan secekap yang boleh dengan menggunakan keupayaan tubuh badannya semata-mata seperti melompat , memanjat , merangkak , berguling ataupun pergerakan-pergerakan parkour yang lebih spesifik. Bagiku, Parkour di negara ini belum meluas sedangkan Ia bagus untuk mempromosi aktiviti yang membutuhkan kekuatan, pola pikir yang cepat, konsentrasi tinggi dan fleksibiliti tubuh yang sangat bagus. Dalam fikiran yang menerawang tentang David Belle aku membuat kong vault apabila melalui sebuah tembok pengantara kolam renang dan padang seluas seratus meter jauhnya dari taman permainan tadi. Aku mendarat dengan selamat dan mula memperlahankan langkah kerana lobi sudah hampir bila gegendang telingaku menangkap suatu suara melolong.

“Tolongggg..tolonggg…tolonngggg…” pekik satu suara, ketika aku melalui jalan susur ke lobi merentasi deretan bunga dan kolam renang yang di batasi tembok tinggi. Suara itu makin menikam jantungku. Seperti suara itu memohon pertolongan dari ku. Aku tak menjumpai pintu masuk lalu aku berlari ke arah tembok, membuat planche seperti dalam parkour dan dengan dua tangan aku bergayut di atas tembok dan menujah badanku ke atas tembok dengan gaya cat leap. Dari atas tembok aku melihat seorang wanita sedang berteriakan meminta tolong dan menarik rambutnya ke atas, sedang seorang kanak-kanak sedang perlahan-lahan mendarat ke dalam kolam renang yang dalam. Hatiku berdebar kencang kerana kulihat kanak-kanak itu seperti sudah tidak bernyawa. Di sekeliling kolam renang tersebut tiada manusia lain yang mungkin dapat membantunya. Aku dengan segera melakukan pendaratan saut de fond diakhiri dengan aksi berguling roulade bagi memindahkan momentum dan energi lompatanku dari tembok tinggi itu. Wanita itu melihatku lalu berteriak sekali lagi meminta tolong, kali ini pada ku. Ketika itu, dari jauh, kulihat beberapa orang lelaki berlari-lari ke arah kolam renang itu.

“Bertenang, puan, tolong telefon ambulans atau sesiapa di sini telefon ambulans” pekik ku cemas dengan nafas turun naik ketika berada di gigi kolam. Setelah menarik nafas panjang aku segera terjun ke dalam kolam renang yang tertera 7M di dasarnya itu. Dalam kebiruan suasana air kolam yang sejuk, aku terlihat kanak-kanak lelaki berseluar pendek tanpa baju persis daun perlahan-lahan jatuh melayang ke dasar kolam. Aku berkayuh lebih laju dan segera menyelitkan kedua tanganku di celah ketiak anak kecil yang longlai itu. Dengan sekali tujahan kakiku dari dasar kolam serta beberapa kali mendayung tangan, aku membawa jasad anak kecil yang longlai itu ke muka air. Ketika menyembul di permukaan kolam, aku berteriak kecil dan seorang lelaki yang juga sudah berada di dalam kolam membantuku berenang dan membawa kanak-kanak itu ke tebing kolam. Orang ramai mula membanjiri kolam tersebut dan yang jelas kedengaran adalah suara si wanita yang berteriak-teriak yang kukira ibu anak kecil ini.

“Tolong beri laluan” pekikku kepada orang ramai yang berkerumunan menonton tragedi itu. Kanak-kanak itu kami, iaitu aku dan lelaki itu baringkan di tepi kolam. Wanita atau si ibu tadi menjerit histeria dan menangis-nangis sambil ditenteramkan orang ramai di situ. Aku tak dapat memastikan apa yang diucapnya dalam nada tinggi itu. Yang aku tahu, tanganku sudah membuka ruang pernafasan anak kecil itu dengan meninggikan dagunya, kudekatkan telingaku ke hidung dan mulutnya, malangnya tubuh kecil yang sejuk itu tak memberi respon.

“Dia tak bernafas! CPR”, pekikku. Sebenarnya aku cuba mengingatkan diri sendiri agar mindaku dapat memerah langkah seterusnya, mengimbas kelas praktikal asas pertolongan cemas yang kupelajari beberapa bulan yang lalu di pusat kebajikan tempatku bekerja. Orang ramai dan wanita itu tadi menjerit mendengar anak kecil itu tak bernafas dan aku tak pasti lagi apa yang Aku mula memberinya dua nafas di mulutnya dan memulakan tiga puluh kiraan tekanan di tengah dadanya, lalu aku memberinya dua nafas lagi dan kemudian tekanan di tengah dada semula.

“Come on…tolonglah adikkk…tolong bernafasss!”,pekikku pada anak kecil itu. Si lelaki di hadapanku memandangku dengan penuh harapan. Aku membawa telinga ke hidung dan mulutnya semula, masih tiada respon lalu aku memberi anak itu dua nafas kembali dan menekan dadanya, kemudian dua nafas semula dan..tiba-tiba..anak itu terbatuk, dan air tersembur keluar dari mulut dan hidungnya. Dia menangis dan menggigil kesejukan.

“Ibuu..”, katanya lemas dan terbatuk semula. Air keluar lagi dari mulutnya. Wanita yang menjerit-jerit tadi segera memeluk anak lelaki yang kukira baru berumur empat tahun itu. Si Ibu itu bertangisan disertai orang ramai yang mula bertepuk sorak. Aku terduduk dan lidahku kelu, dadaku sebak dan aku tak dapat berkata-kata. Aku tak putus-putus bersyukur pada tuhan kerana mengembalikan nyawa anak kecil ini. Orang ramai datang memelukku satu persatu, kemudian si ibu itu tadi memelukku seeratnya, dia memegang kedua belah pipiku dalam getar dan tangisan, lalu dia mengucapkan sesuatu.

“Terima kasihhh..”, katanya dalam titis airmata. Aku hanya mengangguk, tak dapat berkata apa, aku juga menitiskan airmata, tarharu dan saat itu aku terdengar siren ambulans yang semakin mendekat di kolam renang itu.

Aku memegang kepala anak kecil yang hampir tak bernyawa tadi, merenung ke matanya dan dia juga merenungku dengan bibirnya terketar-ketar, kesejukan. Lelaki yang terjun ke dalam kolam bersamaku tadi datang dan menyelimuti anak kecil itu dengan sehelai tuala gebu berwarna putih. Barulah aku perasan bahawa lelaki itu adalah Erwin. Kami berpandangan dan tak dapat berkata apa. Dia menyelimuti aku dengan sehelai tuala putih juga, dan dia tersenyum. Dapat kulihat enam ketul otot diperutnya yang kempis itu, sekali lagi. Aku mengangguk tanda terima kasih dan entah mengapa tiba-tiba aku seakan dapat mendengar gesekan biola irama sepanyol, muzik tango di cuping telingaku, bertiup sayup-sayup. 

Orang ramai masih datang dan menjabat tanganku, ada yang sampai mencium pipiku dan memelukku sambil menangis, terharu barangkali. Aku yang lemah longlai kerana kehabisan tenaga hanya terduduk dan mengangguk, cuba tersenyum dalam kelelahan. Aku menarik nafas panjang dan tak habis-habis bersyukur ketika ibu dan anak kecil yang sempat menjeling dan melambaiku ketika masuk ke dalam ambulans itu berlalu bersama orang ramai yang mula beredar. Terik mentari mula berdiri di atas kepalaku. Akhirnya tinggal aku dan Erwin di situ, mengayuh langkah longlai menuju ke rumah sewa kami di atas Villa Kayangan. Di hadapanku kemudian aku terlihat Jett berlari ke arahku dengan wajah cemas dan airmata berderaian, dia memelukku. Aku menenangkannya dan akhirnya kami bertiga berjalan bersama, dengan Jett memeluk pinggangku masih dalam derail airmata, terharu dan bersyukur kerana aku juga masih hidup. Dalam nada langkah yang sama, aku, Jett dan Erwin naik ke Villa Kayangan kami. Di Sepanjang jalan, aku ceritakan kepada mereka bagaimana aku boleh berada di sana, dan aku tambah mengagumi Erwin bila dia mengatakan dia juga seorang peminat parkour. Muzik Tango itu makin jelas di cupinganku, mengiringi derap langkah kami, entah mengapa.

*          *           *

Kek Coklat tanpa mentega. Begitulah nama kek untuk Lyndon yang kubuat. Itupun setelah dimarahi Jett kerana aku berdegil dan beriya-iya ingin meneruskan niat membuat kek itu walaupun selepas tragedi menjadi hero yang meragut banyak tenaga fizikal dan jasmaniku tadi. Dia memberiku syarat bahawa aku harus membiarkan dia turun dan membeli bahan-bahan untuk kek coklat buah hatiku itu. Erwin pula, menawarkan untuk menghantarku bersama kek ke rumah Lydon yang terletak di pinggir bandar, sejam dari Villa Kayangan kami ini. Jett dan Erwin hanya duduk memerhatikanku sambil bersembang di dapur ketika aku memukul dua biji telur sehingga kembang dan kemudian memasukkan gula ke dalamnya. Aku pukul lagi adunan itu. Kemudian aku masukkan secawan minyak masak ke dalamnya. Bahan-bahan yang perlu diayak bersama iaitu tepung gandum, serbuk koko, serbuk penaik dan sodium bikarbonat, aku masukkan sedikit demi sedikit berselang seli dengan bahan cecair yang sudah kugaul sebati, iaitu susu segar perisa coklat, esen vanilla dan setengah cawan air. 

Irama tango itu masih terngiang-ngiang di telingaku ketika aku memasukkan adunan kek coklatku ke dalam ketuhar yang sudah ku panaskan pada suhu setinggi 170 darjah celcius sejak tadi. Ketuhar milik tuan rumah ini amat jarang kami gunakan kerana faktor kemalasan untuk menggunakannya. Setelah itu, kami bertiga duduk bersama di atas sofa di ruang tamu sementara menunggu kek coklatku menaik dan mengembang seperti kembang bahagianya hatiku ingin bertemu Lyndon yang sudah seminggu tak kutemui. Jett buatkan aku secawan kopi susu panas kegemaranku. Dua orang penghuni lain yang merupakan suami isteri masuk ke dalam rumah sewa kami. Setelah bertegur sapa dengan kami, mereka menghilang dibalik bilik tidur dan tak keluar-keluar lagi.

“saya kagum dengan keberanian kamu, Tru.” Tiba-tiba Erwin memecahkan kesunyian yang terbit antara aku dan dia di ruang tamu itu, selepas Jett meminta diri untuk berbual dengan Anton di telefon bimbitnya. 

“Saya sendiri pun tak yakin anak itu akan kembali bernafas”, sambungnya lagi. Matanya ditumpukan kepada ku yang agak tegang sedikit kerana masih belum biasa dengan kehadirannya. Aku tersenyum dan meggelengkan kepala.

“Saya juga. Saya ingat anak itu tak akan hidup kerana nadinya memang sudah tiada dan dia langsung tak bernafas. Kadang-kadang kecuaian macam nilah yang menyebabkan kematian. Entah macamana si ibu boleh tertidur di bangku kolam sedangkan si anak kecil sedang berenang-renang. Ya, kanak-kanak mana tahu kolam tujuh meter itu terlalu dalam baginya. Tentu dia ingat kolam itu cetek sama seperti yang diletakkan si ibu sebelum dia terlelap.” Panjang lebar aku menjawab, meluahkan isi hatiku yang terpendam.

“Kuasa tuhan, kan”, kata Erwin. “Dia masih ingin anak kecil itu hidup dan memberi pengajaran berharga bagi si ibu, kau dan aku serta semua insan yang menonton tragedi tadi.” 

Aku mengiyakan kata-kata Erwin, lalu beberapa detik selepas itu, ketuhar pun berbunyi menandakan kek coklat untuk Lydonku sudah masak. Aku segera melompat dan menyudahkan toping kek coklat sesudah kek itu sejuk sedikit. Aku dan Jett mengamati kek coklatku yang mendebar rasa dan kelihatan anggun itu, sebelum aku memasukkannya ke kotak berwarna merah hati yang dipenuhi corak hati di sana sini itu. Hatiku berbunga-bunga dan aku sampai membiarkan kek itu berada diatas ribaku ketika berada di dalam kereta Erwin yang memecut laju meninggalkan Villa Kayangan. Jam sudah menunjukkan jam sembilan dua puluh lima ketika aku dan Erwin sampai di pertengahan lebuh raya menuju rumah Lyndon.

“Tak sabar, ya?” usik Erwin kepadaku sambil tersenyum. Dari tadi aku cuma berbual sedikit dengannya. Aku tak sedar aku telah tertidur selama lebih kurang lima belas minit selepas kereta Erwin berlepas dari Villa Kayangan tadi. Tidurku dibangunkan oleh alunan irama instrumental sepanyol iaitu tango yang lembut gemalai. Hati ku berdebar. Lagu ini juga yang kerap-kali beralun di cupinganku, sejak terserempak dengan Erwin di bilik mandi, ketika di pasar raya dan dimarahi juruwang yang naik angin denganku, serta ketika membuat CPR untuk anak manis yang namanya ‘Florind’, yang baru kuketahui melalui siaran berita TV sebentar tadi. Kata pembaca berita di TV itu ‘seorang pelari Parkour selamatkan nyawa anak kecil dengan CPR’. Dan begitu ramai rakyat villa kayangan yang memberi pengakuan tentang tragedi yang mereka saksikan tadi, walau tak seorangpun yang mengenaliku, mereka menggelarku sebagai ‘wanita berani yang memanjat tembok’. Aku rasa terharu dan bersyukur, jauh sekali berbangga, walau sekelumit rasa bangga bila parkour akhirnya disebut oleh stesen TV itu. Mungkin selepas ini, akan ada banyak cerita mengenainya, untuk diinspirasikan oleh generasi muda, fikirku dan nada Tango itu masih menggesek-gesek biola cupinganku, lembut dan menusuk-nusuk di hati. 

“Terima kasih kerana sudi menghantar saya, Erwin. Maaf saya tertidur tadi” balasku. Panjang betul hari ini,” sambungku lagi. Gesekan biola tango itu menusuk ke dalam hatiku, seperti tusukan pedang Serori yang masih tak sempat aku benamkan ke tengkuk raksaksa dubuk kacukan harimau kumbang yang baru aku mimpikan lagi sebentar tadi. 

“Ya. Moga Lyndonmu itu akan meraikan hari lahirnya bersama kamu dengan penuh kesyukuran,” kata Erwin dengan pandangannya tepat ke arah pemanduannya. 

Aku tersenyum mendengarkan kata-kata Erwin itu sambil memerhatikan kotak merah hati yang terisi kek untuknya, untuk Lyndon itu. Hatiku semakin berdebar kencang ketika sampai di halaman rumahnya yang tersergam indah itu. Inilah kali pertama aku datang ke rumah Lyndon sejak kami berpacaran hampir lima bulan yang lalu. Terbayang di mataku senyuman manis Lyndon dalam keterharuan, sukacita kerana kek untuknya itu dan segala ceritera yang terjadi semasa aku ingin menghidupkan impian ini bersamanya, lalu aku mula merangka ayat-ayat manis penuh cinta untuknya yang sudah kuhafal sejak berada di bilik air tadi.
“Selamat hari ulang tahun, Don. Ini kek hari lahir yang kubuat untukmu. Moga kau tahu bahawa kehadiranmu dalam hidupku membuat hidupku jadi sempurna”, hafal ku ketika membawa kotak kek coklat itu ke muka pintu rumah Lyndon. 

Erwin berjanji menungguku berhampiran pokok kayu jauh sedikit dari halaman banglo indah milik keluarga Lyndon ini. Kalau aku lambat pun, dia akan tunggu dan mungkin tidur-tidur sekejap di keretanya, katanya tadi. Membuatku terharu dan ingin menangis berterima kasih. Aku membetul-betulkan gaun putihhku yang separas lutut itu ketika pintu rumah Lyndon dibuka.
“Selamat malam, puan. Saya Trudy, kawan Don. Ah, Don ada di rumah tak, puan”, Tanyaku sopan. Kek Coklat Lyndon kupegang di kedua belah tanganku di hadapan. 

“Oh, kawan Don. Makcik ingatkan orang jual kek tadi. Makcik ni ibu Lyndon” Balas wanita pertengahan umur itu. Wajahnya ceria dan memang Lyndonku itu seiras wajah ibunya.

“Ahhh..sayang sekali, Lyndon sudah berlepas ke Singapura jam tiga petang semalam kerana ingin menyambut hari lahirnya bersama teman-temannya di sana. 

Kotak kek coklat Lyndon yang kupegang jatuh ke lantai beranda rumahnya. Kotak kek koyak lalu terbuka dan kek untuk Lyndonku itu terbelah dua. Lilin melambangkan tiga puluh dua usianya bergolek-golek dan jatuh di anak tangga terakhir beranda rumah Lyndon ini. Duniaku rasa gelap dan aku seakan tak bisa bernafas. Terasa raksaksa dubuk kacukan harimau kumbang Malaya itu sudah menewaskanku, membawaku longlai masuk ke dalam kolam membiru, jauh dan jauh ke dasarnya. Ketika itu aku melihat Putera Zoolointan datang berenang membawa pedang pahlawan tujuh kota yang di takluk ayahandanya, ya aku pernah melihat sang Putera Zoolointan sebelum ini, juga di dasar kolam membiru, iaitu semalam. Tiba-tiba irama sepanyol Tango yang romantik itu terngiang-ngiang di telingaku, semakin jelas.

TAMAT.

Puisi Kemerdekaan buat Pak Samad dan negaraku Malaysia : 'Tatkala aku ingin menulis tentang hari merdeka'...( sila klik pic Pak Samad)

Sayangi Alam!

Sayangi Alam!
Orang Utan juga diancam kepupusan ..

Sahabat lautan, sahabat kita ..penyu, tahukah anda penyu adalah haiwan yg diancam kepupusan? Penyu juga adalah haiwan yg diwartakan sbg spesies yg dilindungi kerajaan. Jadi adalah menjadi suatu kesalahan bg anda utk memelihara penyu di dalam akuarium, membunuhnya atau mengambil telurnya.. dan tahukah anda, penyu hanya akan bertelur semula selepas 3 atau 4 tahun selepas bertelur, maknanya jika anda makan telurnya, anda sama seperti pembunuh yg telah menelan segenerasi kehidupan sang penyu sama ada anda sedar atau tidak, setuju ataupun tidak..