SAMAD, Tunas Cipta Dewan Bahasa Dan Pustaka, Ogos 2010
| Unedited Version of Samad by Pena Alam |
Oleh : Pena Alam
Orked memerhatikan padang di hadapan. Bunyi mesin rumput mengisi ruang pendengarannya. Dia berdiri di jendela menyaksikan rumput rampai di luar yang tersusun rapi diratakan dari satu sudut ke satu sudut yang lain. Bunga-bunga pagar warna kuning matahari digunting sama saiz, digayakan sama bulat. Rumput pagar hijau pula bersegi-segi empat. Rapi sekali. Di bawahnya bunga-bunga Sanseveria berjalur kuning dan berbintik-bintik putih, semuanya ditanam sekelompok, mengikut jenis, teratur, malah padat. Setangkai dandelion pun tak mampu menyelitkan diri bertumbuh dicelah-celahnya kerana si tukang kebun berwajah gigih sabar yang sedang meratakan pucuk-pucuk rumput hijau dengan mesin rumput yang menderum-derum itu sudah tentu tak membenarkan itu berlaku. Langit yang cerah membiru membangkitkan lagi aura warna-warni landskap bunga-bunga yang ditanam sepanjang jalan bermula dari muka pagar utama hingga ke bahagian sayap laman taman-taman kotak fikir Orked. Rona pandangan seindah itu sayangnya tak pula senada gejolak jiwaku ketika ini, fikir Orked.
Dari sebelah arah yang dia tidak pasti, melayang-layanglah perlahan-lahan sebuah nyanyian sundawil masuk ke cupingan telinganya, sebuah puisi berirama melankolik yang dibawa angin penuh syahdu. Sundawil itu didengarnya seakan melantun-lantun seperti lembing terbang yang melanggar batu-batu besar lantas menjunam membelah udara dan kemudian meluncur jatuh, tepat mencucuk jantungnya. Dia terduduk di birai katil.
Suni wakau soborong, (bertumbuh rotan di seberang)
Rinilitan do tuai,( dililit juga si rotan lain)
Langadku id soborong, (Rinduku di seberang)
Amu ku nokosoribau (tidak mampu aku luahkan)
Irama puisi gemalai itu bersambung lagi, makin merdu, lembut dipuput angin petang, lalu masuk lagi ke celah-celah gegendang telinganya.
Orked, Orked..
Olundus ilo nabalu (indah sungguh si kinabalu)
Nolikupan do tawan (dilitupi oleh awan-gemawan)
Olundus ginawoku (betapa senang hatiku)
Amu nu norotian (tapi kau takkan memahaminya)
“Sundawil..oh sundawil, kenapa kau terngiang lagi di telinga ini.. sudah cukup deritaku tanggung,” rintih Orked sambil menekan sebak dadanya dengan dua tangan.
Dia merebahkan kepala makin erat ke birai jendela, seolah membiarkan lantunan sundawil itu menusuk lebih jauh ke dalam ke hatinya yang dinaungi kepiluan. Tubuhnya yang kurus kekurangan isi itu terhangguk-hangguk menahan sebak dan gelora perasaan yang melanda jiwanya.
Dia tersedak lagi oleh nostalgia semalam yang menyesakkan dadanya. Nostalgia di majlis persandingannya yang meriah gempita, disulami hiruk pikuk tawa para saudara mara jauh dekat dan rakan taulan yang memuji-muji keanggunan pengantin yang lengkap berpakaian sulayau untuk Orked dan loin untuk suaminya yang tampan. Sulayau yang indah dihiasi labuci berkilau-kilau itu gemerincing dan berkelenteng bunyinya oleh loceng kangkaling yang bergantungan indah menghiasi hujung kelepet sulayau separas lutut yang dipakainya, ketika dia dan suami yang dicintainya bersama-sama menarikan tarian sumayau sebagai tanda permulaan hidup mereka sebagai pasangan suami-isteri.
Satu-persatu babak majlis penuh gamat itu bertukar ganti di dalam bayangan kenangan yang menyeksakan zahir dan batinnya itu. Mula-mula bunyi derap-derap empat batang bambu panjang yang disusun berpasangan dan bersilang, kemudian dihentak-hentakkan mengikut irama paluan agung oleh anak-anak buahnya yang cantik-tampan dan tersenyum manis, ketika mereka suami isteri dengan penuh penghayatan dan keseimbangan badan, melompat dan mencacakkan hujung kaki di antara pasangan empat bambu panjang yang disusun bersilang itu, bersungguh-sungguh menarikan tarian magunatip.
Terbayang olehnya lagi, kenangan majlisnya yang diserikan paluan Agung itu turut diwarnai tarian sumazau dari suku Kadazan-Dusun di pihak suaminya, kemudian kelincahan tiupan sompoton, irama kesyahduan bungkau yang ditiup ibu mertuanya, di selangi babak petikan kulintangan yang gemersik merdu oleh mamai Manisoh pakcik kesayangan orked. Kenangan mereka menarikan tarian sumayau masyarakat murut timugon secara beramai-ramai oleh kedua belah pihak pengantin. Semua babak kenangan itu datang mengjengah kembali ingatan Orked, ditarikan, dimainkan penuh seni dalam jiwanya kini, bersilih ganti, sama seperti suasana majlis perkahwinannya yang sehingga kini dirasakannya masih segar dan digelarnya, sebuah gala muzikal romantis tradisional yang tiada cacat celanya.
Orked menekup wajahnya dan tersedu bila babak waktu dia diarak keluar dari bilik tepi yang berhias di rumahnya menerjah khayalannya kembali, ketika deretan bunyi paluan agung sanang dan alipangon dipalu senada, lalu bunyi paluan itu makin kuat bertukar nada paluan igal ketika sang suami membawanya keluar dari rumah orang tuanya menandakan kemuncak upacara perkahwinan tradisi masyarakat Murut Timugon mereka telah dicapai. Apabila semua kenangan itu sirna perlahan-lahan dari kotak fikirnya, semua irama rancak paluan agung dan semua bunyi-bunyi peralatan muzik tradisi yang meriah dimainkan di majlis perkahwinannya seperti diperlahankan dan kemudian lenyap sama sekali daripada pendengarannya. Perlahan-lahan sundawil yang pernah dinyanyikan suaminya, di majlis dendangan lagu tradisi rakyat yang pertama kali membibitkan percintaan Orked dan suaminya mengambil alih dan membungkus seluruh pendengarannya kini. Orked menangis tersedu-sedu.
Haruman lemak nasi-nasi hangat yang dibungkus dengan daun ikik, yang asalnya ditanak dari beras kampung yang ditanam sendiri secara kecil-kecilan oleh keluarga Orked seakan kembali menyusup masuk ke dalam deria rasanya. Terbayang olehnya juga, haruman sup kerbau yang menyelerakan, menggelegak hebat, menanti dicedok ke dalam mangkuk, yang telah diadunrasakan para wanita di dalam kawah besar di kawasan dapur, tanda tradisi tumbangnya sang kerbau untuk jamuan dan santapan para tetamu yang datang ke majlis perkahwinannya waktu itu. Mengingatkan itu, Orked meraung sambil memegang birai jendela, perutnya terasa pedih kelaparan namun hatinya lebih perih hiba, terluka.
Dia tahu, setiap kali petang berangin sejuk itu datang, irama syahdu sundawil itu akan muncul entah dari mana, lalu melayang masuk ke gegendang telinganya dan seakan menyucuk-nyucuk jantung hatinya. Dengan mata terpejam rapat dan nafas yang bergetaran dia mengamati sundawil pendek yang dirasakannya cukup sempurna dan cukup kejam menjolok rimbun pepohon ingatannya, menjatuhkan buah-buah kenangan silamnya yang masak ranum, gugur satu persatu ke atas tanah kering jiwanya.
Namun, tanpa disedarinya, dia pula seakan menunggu kedatangan waktu itu, berulang dan berulang, setiap petang dan tanpa disedarinya lagi, penantiannya terhadap kesyahduan sundawil itu seumpama suatu yang dinantikannya, dia seperti ketagihan pada ‘tusukan lembing sundawil’ yang dirasakannya seperti lambang pergolakan derita zahir batin yang ditanggungnya saat itu.
Dahulu dia juga tahu makna bersukacita, namun kini air matanya sentiasa menitis, sama seperti setiap petang. Dia seperti sudah keletihan menangisi diri dan merasakan tunjang semangatnya kini kian ranap, setiap detik hari berlalu.
“Aku rasa kehilangan, tak dikenal,” katanya seakan mengulum suaranya dalam tangisan yang hampir menjadi. Dia menarik nafas dalam, meredakan tangisnya yang hampir meletus lagi.
“Hanya dia yang mengenal aku. Dialah cermin, kau pun tahu, kan ? Sudah berapa kali aku mengatakan ini kepadamu, Samad?.”
Samad mengangguk. Janggut putihnya bergerak-gerak mengikut tari angin yang menerjah masuk dari celah jendela. Wajahnya cengkung namun jernih. Bola matanya bersinar-sinar bagai suria yang menceriakan seluruh daerah kulit wajahnya yang berkedutan. Orked memerhatikan seluruh panorama wajah jernih Samad yang dihiasi rambut dan janggut halus berwarna putih kelabu itu. Bintik-bintik yang tumbuh menodai kulit wajahnya langsung tidak memberi kesan terhadap wajah bersih-jernihnya yang terbit dari dalam jiwanya yang sejernih aliran air yang menyusur turun dari puncak gunung Kinabalu, bisik hati Orked. Dalam esak tangisnya yang makin perlahan, dia memerhatikan Samad yang berdiam, merenungi keping-keping kertas putih yang diletakkannya di atas meja. Kertas-kertas putih lain bersusun dan terangkat-angkat akan diterbangkan angin kalau tidak ditahan sebelah tangan Samad yang kurus, penuh urat-urat timbul. Orked mengesat airmatanya lalu perlahan-lahan duduk lemah di atas lantai sambil matanya merenung sebuah manuskrip tunggal miliknya yang berselerakan di atas meja kayu.
“Orked, Aku tahu dia cerminmu. Tapi di sini? Di mana letaknya pilihan? Kerelaan dan keredhaan adalah kunci kepada tekanan batinmu. Di zahir juga.” bicara Samad tegas, menekan kata.
Dia dapat melihat bahawa Samad merenungnya dari kanta kaca mata bulat yang menyangkut di tulang hidungnya yang berkedut. Air muka Samad tenang. Samad melemparkan pandangan ke luar jendela melihat damai biru hari yang menghias pemandangan. Dia mengangguk-anggukkan kepalanya.
“Pemandangan senantiasa boleh terlepas seperti burung-burung bebas di langit bergunung, sementara resah di relung dada terkurung bersama tubuh yang makin cengkung tanpa zat,” bicara Samad tenang.
“Hahahahaha… memang aku terkurung di sini, Samad !,” pekik Orked tiba-tiba lalu berdiri.
Hilai tawanya tajam, memecah kesugulan tenang yang mengikat suasana antara dia dan Samad di dalam kamar dingin sedingin suasana dinihari pagi yang berkabus tebal itu. Samad yang tersentak, menggeleng-geleng kepala lalu menarik nafas, sambil menepuk-nepuk dadanya. Bunyi mesin rumput tiba-tiba terhenti, sepantas kilat, semua keindahan siang dan segala isinya yang kedengaran, berganti kegelapan malam yang pekat diiringi bunyi burung-burung gagak hitam bermata merah yang menggericau, bergaduhan sesama-sendiri di atas pokok-pokok kayu ara hitam yang keguguran daun ditiup angin kencang yang datang tiba-tiba.
Keindahan langit membiru tiba-tiba berganti kehitaman malam dalam deru angin kencang di luar dan masuk sedikit ke dalam kamar dingin mereka. Orked yang menghilai-hilai ketawa tadi, memeluk tubuhnya, menggelatuk kesejukan. Dia memerhatikan Samad yang berdiri tenang memerhatikan cahaya bulan yang tiba-tiba berarak galak menyusup masuk seperti kuku rogon yang kurus panjang, masuk perlahan-lahan ke celah palang-palang besi jendela kamar, menjalar dan mencengkam kejap suasana gelap yang tiba-tiba menyelubungi bilik itu. Hari bertukar malam, malam yang sunyi dan sepi. Kedengaran burung-burung hantu bersahut-sahutan sayup-sayup di kejauhan. Daun-daun pokok kayu ara berdesir-desir di atas bumbung kedengaran seperti bacaan mantera seorang bobolian. Orked melepaskan hilai tawanya lagi, berbaur bersama deru angin kencang yang kedengaran menderu-deru.
“ Terkurung… yaa, memang aku terkurung.. hahaha… ,” pekik Orked sekuat hati.
“Orkeedd…!,” bentak Samad perlahan, menekan suara.
“Hentikan semua ini, sebelum kau jadi… jadi, kurang siuman!!,” tegas Samad menelan air liur, seberat menyampaikan sebuah berita kematian pada seseorang, seberat itulah untuk Samad menyatakan dua perkataan di hujung ayatnya tadi.
“Kurang siuman?? Memang aku sudah tak siuman, Samad!,” pekik Orked, tubuhnya menggeletar, nafasnya makin laju dan dadanya berombak. Matanya bulat memandang Samad.
“Aku takut, Samad. Takut. Tiada siapa pun yang datang, selain kau.. tahukah kau??..aku amat takut….. Takut”
Seraya itu, berderailah sebuah tangisan paling hiba yang bergema di setiap sudut kamar suram dingin itu disulami deru angin kencang dan bunyi gagak- gagak hitam yang menggericau dengan suara garuk di atas pokok kayu ara hitam di atas bumbung. Dalam tangisnya, Orked menarik helai-helai gaun berwarna putihnya menutupi wajah sambil tersedu—sedu dan mengerang berat. Orked memejam rapat matanya dalam sendu lalu menggenggam kelopak gaun putih kembangnya yang berjurai-jurai menutupi sepasang kaki kurusnya. Dia terduduk lemah di atas lantai sambil cuba meredakan sedikit tangis yang bersarang di dadanya. Dia memujuk hati, terus cuba mengawal hibanya apabila Samad berdiri dan perlahan-lahan datang menghampirinya dengan wajah tenang.
Ketenangan air muka itulah sebenarnya yang menghidupkan dia selama ini, bisik hati Orked, namun segalanya tak pernah di luahkan. Kata-kata pujian itu bagai tersekat di celah kerongkongnya yang selalu kehausan kata-kata terhadap Samad yang budiman. Dalam sendu tangisnya, Orked merenung sepasang mata kecil Samad yang dihiasi sebaris kening putih, juga rambut serta janggutnya yang sehalus kapas putih yang menari-nari dibuai angin apabila samad duduk bertinggung di hadapannya. Baju melayu putih yang dipakainya kelihatan kelabu dalam suram warna malam. Haruman yang datang bersama Samad menerjah deria bau orked iaitu haruman pekat sejambak mawar merah yang pernah diberikan suaminya dulu. Orked terkesima.
“Moga burung-burung sungai akan kembali ke sungai, burung hutan akan menemui sarang-sarangnya di hutan dan para katak kembali menangisi hujan agar bumi kering kembali bernyawa, moga susunan asal alam dan segala mahkluknya akan kembali aman…,” bicara Samad perlahan, lalu dia tertunduk, memejamkan matanya.
Buah bicara Samad yang perlahan namun kedengaran jelas di telinga Orked mengejutkannya lalu mematikan kenangan akan sejambak mawar merah yang dihulurkan suaminya dahulu. Orked mengangguk-angguk, terasa olehnya kata-kata Samad dapat menembusi harapan dan kepercayaan di dalam hatinya.
“Ini dunia. Tempat segala-galanya tak sempurna. Pagi, petang, siang, malam, segala-gala tak sempurna,” sambung Samad lagi dalam nada kesal, menggeleng-gelengkan kepala perlahan.
Orked terdiam, kemudian mulutnya mula terkumat-kamit, mengulangi kata-kata Samad, membisik kata-kata itu pada dirinya sendiri berulang-ulang, seolah-olah ingin menghafal seluruh baris-baris ayat yang diucapkan Samad. Mulutnya terus terkumat-kamit dan matanya mengekori Samad yang tekun mengamati gaun putihnya yang melunjur di atas tanah dihadapannya. Gaunnya yang dihiasi daun-daun kering, dan ditempeli tanah-tanah yang sudah mengeras. Orked memeluk tubuh, terus mengucapkan kata-kata yang dilafazkan samad tadi berulangkali dengan khusyuk.
Dari ekor matanya, di memerhatikan Samad tekun merenung gaun putih yang dilengkapi manik dan bunga mawar kecil keemasan yang menghiasi seluruh kelopak gaun putihnya. Orked masih ingat, gaun cantik itu dahulunya melurut ke bahagian pinggulnya yang dirasakannya mungkin agak hebat berpotongan gambus waktu itu, ada kemungkinan pinggul itu diwarisi daripada ibunda, kata Orked di dalam hati. Gaun itu dilihatnya masih berbunga-bunga mawar besar yang berpusat di kanan bahagian pinggangnya, lalu corak bunga mawar berwarna keemasan muda itu seakan mengalir ke bawah gaun lalu digayakan terbelah di tengah sampailah ke hujung gaun yang dulunya mewah, hebat itu. Seluruh suasana bilik sunyi senyap. Gagak-gagak masih menggericau hebat, di atas pokok kayu ara hitam di luar. Samad merenung lantai kehitaman dan Orked sugul memeluk lututnya, memandang kosong pada Samad sambil mulutnya terus terkumat-kamit.
“Mungkin kau boleh menulis begini, Orked. Tentang sepenuhnya ceritamu, di sini. Jangan berhenti. Ceritakan duka resah yang bahagia untuk mereka,” Kata samad tiba-tiba, membelah suasana sunyi, membuat orked menyeka airmatanya.
Orked segera berlari menuju meja kayunya bagai dirasuk hantu, sekuat halilintar membelah angkasa, motivasinya meletus hebat ke udara kering di dalam bilik itu, lalu dalam dengus nafasnya yang turun naik, dia menyusun daun-daun terap hutan kering bersaiz besar yang berbulu-bulu halus itu di atas meja. Tangan kurusnya bergerunyut menggeletar, mengejar beberapa helai daun yang menari-nari lalu jatuh ke bawah meja kayu. Dia terbongkok-bongkok dalam kepayahan. Hujung gaunnya tersangkut pada duri-duri pokok kerukup yang berbuah lebat kemerahan ketika berlari kebingungan tadi. Gaun itu terkoyak, lalu beberapa sambungan bunga mawar besar yang mengalir di kelopak gaunnya terputus dan terkulai. Samad beristighfar, memejam mata dan menarik nafas dalam, sambil merenung Orked. Menggeleng kepalanya . Raut wajahnya yang tenang disuluhkan cahaya rembulan dari luar jendela memperlihatkan seluas-luasnya perasaan belas yang tak terhingga terhadap insan di hadapannya itu.
Orked memandang Samad sambil diiringi ketawa bahagianya. Sebelah tangannya memeluk helaian-helaian daun terap hutan yang kering itu, manakala sebelahnya lagi dilayang-layangkan ke udara, pada Samad. Samad mengangguk sambil mengetap bibir menahan benteng sungai simpatinya yang kian kebanjiran airmata.
“Samad!... lihat Samad. Lihat ini manuskripku yang ke sekian kalinya!.. hahahahaha!, aku berjaya menyiapkannya. Mari Samad, bacalah, bacalah..” laung Orked pada Samad yang berdiri tegak, tenang, namun sugul di hujung bilik itu. Samad mengangguk lagi, merenungnya dalam linangan airmata.
Orked meletakkan helai-helai daun terap kering itu di atas meja kayu. Menyusunnya dengan jari-jemari kurusnya yang menggeletar. Makin disusunnya daun-daun kering itu, makin bertaburan di atas meja dan kemudian berjatuhan melayang-layang pula ke atas daerah tanah yang gelap kehitaman kerana tak tercapai sinarnya oleh fatamorgana rembulan kuning di luar.
“Ohh ohh, nanti dulu Samad, nanti.. aku rasa, aku belum cukup menulis tentang perasaan protagonisnya. Perasaannya bila dia menerima berita kematian! Yaa… kematian, kematian seseorang.. orang yang.. yang dicintainya. Ini belum cukup pilu, belum cukupp pilu, Samad..” bicara Orked kebingungan, nafasnya turun-naik, terus menyusun daun-daun kering di atas meja kayu.
Orked menghilai tangisnya ke udara, pekat tangisnya membuat samad tertunduk dan beristighfar lagi. Tangis berat itu seketika kemudian bertukar jadi derai tawa kecil, perlahan. Kemudian, Orked mula berjalan mundar-mandir, sambil sebelah tangannya mengurut-urut urat di dahinya yang dahulu licin, kini penuh debu dan bias-bias tanah. Sebelah tangannya mengendong daun-daun terap hutan kering dan sesekali digunakan untuk menarik-narik gaun kembang tanpa disedarinya, dipijak dan makin koyak rabak bila tersangkut pada ranting-ranting kering rumpunan pokok kerukup mati yang berduri halus, di kiri dan kanan laluannya yang bertanah kering. Debu-debu tanah pun berterbangan naik ke segenap ruang kamar.
Orked masih berjalan mundar-mandir, makin laju dengan mulut terkumat-kamit. Lama-lama langkahnya makin perlahan. Samad masih berdiri di hujung bilik, merenungnya dalam belas, namun tak mampu berbuat apa-apa. Semakin lama, Orked makin keletihan, lalu pandangannya mula kabur. Dia terhuyung hayang, lalu akhirnya melayang rebah ke atas tanah. Sejalur cahaya bulan menerangi wajahnya yang pucat lesi. Dia terbaring lesu ketika Samad berlari perlahan menghampirinya.
“Mungkin inilah saatnya, Samad..,” bisik orked dalam nada pasrah, dia terlalu lemah. Setitik airmatanya muncul mengalir dari sudut matanya, lalu jatuh di atas tanah kering.
“Bertahanlah Orked.. bertahanlah.” balas Samad menggenggam jemari Orked yang dingin dan bergetar.
“Samad, kau wira yang menghidupkan negara jiwaku.. aku penat hidup, Samad.. aku ingin mati, kalau kau tak muncul waktu itu.. mungkin aku sudah lama mati.. entah mengapa, aku masih di sini, bernafas… “ bisik Orked sayu, lemah.
Samad menggenggam jari-jemari Orked dengan kuat, akhirnya setitik airmata hangat dari tebing mata sepetnya jatuh lembut, menitik atas kulit pipi Orked yang cengkung pucat. Orked cuba tersenyum lemah, keterharuan Samad pada nasibnya terasa sampai benar ke hati kudusnya yang kehilangan kudrat itu.
“Manuskrip kamu..siapkannya, Orked. Menulis itu resah yang bahagia, duka yang indah..” bisik samad kedengaran lembut namun tegas, masuk ke dalam telinga dan jiwa Orked.
“Terima kasih Samad …,“ bisik Orked, sambil memeluk erat manuskrip tulisannya, iaitu helai-helai daun terap kering, sekuat tenaga yang masih tersisa, dengan sebelah tangan, seperti memeluk kata-kata harapan samad agar tidak keciciran diterbangkan angin kencang yang mula masuk lagi ke dalam ruang kamar kering dingin sedingin angin pagi itu.
Bait-bait ayat Samad yang kedengaran jelas itu makin lama makin menghilang, tenggelam dalam derita keletihan dan narkosis bola matanya yang sudah tidak mampu dibuka lagi. Nafasnya mula perlahan, jantungnya berdegup lemah, semangatnya seperti sudah tercabut dari jasadnya yang terbaring lesu itu. Dari celah pandangan matanya yang kabur, dia seakan melihat kelibat tompulanggoi-langgoi berkaki panjang mengangkatnya yang longlai. Desir-desir daun pokok kayu ara hitam dan ricauan gagak-gagak bermata hitam makin galak. Samad hilang dari pandangannya, namun namanya tinggal melekat berbunga-bunga dihatinya, sedang tubuh badannya mula kematian kudrat dan semangat. Suara-suara bertempik, bersorak-sorakan dan bunyi derap-derap langkah cepat, berlari-lari ke sana ke mari kedengaran timbul dan tenggelam di cupingan telinganya.
“Puan..puan… puan Orked Mulya!!” bisik seorang lelaki sambil memegang erat dan menggoncangkan bahu Orked perlahan, dia bukan Samad.
“Dia masih hidupp!!!” laung si pemuda yang lain, menekan suara, gemuruh dan dalam nada terkejut dan dirasuk kekaguman yang bukan kepalang, pada kumpulan lampu suluh dan spot light yang menyuluh-nyuluh di dalam gelita.
Di antara pandangan kaburnya, dia seperti dapat melihat cahaya-cahaya itu berselerakan ke merata tempat di dalam kehitaman malam itu, semakin lama semakin mara dan akhirnya menerangi seluruh kawasan hutan tebal di bawah naungan dua pokok kayu ara tua yang ukur lilitnya sekurang-kurangnya sebesar sepuluh pemeluk orang dewasa. Akhirnya kawasan naungan pokok kayu ara itu jadi terang-benderang.
“Subhanallah.. subhanalahhh…. maha suci Allah!!,” pekik mereka, ada yang bertangis-tangisan, berpelukan, berjabat tangan sesama sendiri. Seluruh daerah pandangannya yang kabur, mula diterangi suluhan hebat daripada beberapa buah benda terapung di atas, yang menyuluh-nyuluh kamar dingin keringnya yang sudah kehilangan dinding dan bumbungnya itu. Dia dapat mendengar jelas ricau gagak-gagak hitam serta ungka monyet yang berteriakan hiruk-pikuk sayup-sayup apabila seluruh kawasan itu tiba-tiba menjadi terang-benderang. Suluhan-suluhan hebat itu menyuluhnya yang lesu terbaring tidak berdaya di situ.
Dia seolah-olah melihat sekumpulan manusia menghampirinya lalu menekap hidungnya dengan seberkas alat yang membuat angin sedingin dinihari masuk melalui celah hidung dan mulutnya, lalu mula menggemburkan darah merahnya yang mula putus asa untuk mengalir di seluruh tubuhnya sebentar tadi, dengan zat baru, dengan drastik, tepat-tepat sebelum titik nafasnya terhenti buat selama-lamanya sebentar tadi. Terasa pula di pangkal jemari kurusnya yang dingin ditebuk sesuatu yang sangat tajam dan berhenti tepat di pembuluh uratnya lalu mengalirlah bendalir dengan segala khasiat yang sudah lama tidak menghuni tubuh-badannya yang kurus kering dibaluti gaun pengantin putihnya yang koyak rabak itu.
* * *
Orked melonjak kegembiraan, dia terasa sihat, dia dapat tersenyum semula dan seperti dapat berterbangan ke sana dan kemari hanya dengan memikirkan apa saja tempat yang diingininya. Semalam dia ke Villa Seri Penchatar dan melihat suaminya di sana . Dia dapat bernafas sepuas-puasnya, tiada lagi angin kering berhabuk tanah, tiada lagi gagak-gagak hitam menggericau, tiada lagi kamar mengurungnya, tiada lagi derita, tiada lagi tangisnya, katanya, berlagu-lagu di dalam hati, sewaktu berjalan laju ke arah Universiti Penchatar di mana dia akan menemui Samad sebentar nanti.
Terlihat saja kelibat Prof. Budi yang dikenalinya sejak lama dulu, segera Orked berlari-lari anak cuba mendapatkannya. Namun apabila terlihat Prof. Budi bergegas berjalan bersama seorang pemuda bercermin mata tebal sambil mengendong buku-buku tebal, dengan segera Orked memperlahankan langkah, lalu mengekori kedua orang lelaki tersebut jauh di belakang perlahan-lahan, bercadang membuat kejutan manja pada Prof. Budi sebentar nanti. Perbualan antara Prof. Budi dan pemuda itu jelas kedengaran di telinga orked yang membuntuti mereka dengan senyuman manis.
“Sewaktu Prof bercuti menjelajah eropah, waktu itu, ada sebuah keajaiban berlaku pada seorang penulis kita. Semua akhbar di seluruh negara menyiarkan tajuk utama tentang keajaiban yang menimpanya waktu itu.” Kata pemuda itu kepada Prof. Budi.
“Haa, Siapa..?,” bisik hati Orked, tertanya-tanya.
“Waktu itu, para pemberita seakan mendapat tiket percuma melancong ke hutan hujan tropika dara banjaran rimba raya, yang belum pernah diterokai manusia. Mendedahkan kawasan hutan tebal di mana dia dijumpai di antara naungan dua pokok ara tua dan bangkai-bangkai pesawat ringan yang digunakannya untuk berjumpa suami yang baru dikahwininya untuk berbulan madu di atas gunung Penchatar,” kata pemuda itu lagi bersungguh-sungguh.
“Gunung Penchatar? Suami?.. Siapa, siapaaa??..,” bentak Orked di dalam hati, mahu saja dilaungkan pertanyaan itu kepada pemuda bercermin mata itu, namun dia terus mengekori mereka di belakang dalam diam. Dilihatnya Proff. Budi mengerutkan dahi namun mulutnya terkunci.
“Prof. pasti mengenalinya! Dia seorang peminat sejati sasterawan negara S. Samad, dia juga penulis wanita muda berbakat, penulis kreatif yang sering mengetengahkan unsur-unsur etnik budayanya dalam tulisan. Selepas sembilan bulan hilang, dia dijumpai semula di tengah-tengah kepekatan rimba raya negeri Penchatar! Selepas pesawat ringan yang dinaiki terhempas dalam penerbangan peribadi menuju lokasi bulan madu di mana suaminya, sedang menunggu dengan penuh harapan di atas puncak gunung, di Hotel Penchatar, Prof!,” cerita si pemuda lagi sebelum mereka menghilang di sebalik daun pintu bilik yang tertera nama Proffesor Madya. Dr. M. Budiman.
Orked mula tak sabar. Dadanya tiba-tiba berombak dan nafasnya mula kencang, seperti ada sesuatu yang bersangkutan dengannya daripada buah butir isi perbualan si pemuda dan Prof. budi itu tadi. Perlahan-lahan, dia menekap telinga melalui celah pintu bilik yang terbuka.
“Haa.. Siapa?! Orkeddd??.... Orked Mulya?? Tak mungkinn..!!!” laung Prof. Budi. Suaranya kedengaran seperti dapat memecahkan daun pintu di mana Orked berdiri.
“Akuuu??...aku?.. di puncak Gunung Penchatar?? Kenapa Prof. Budi menyebut namaku??... tanya Orked di dalam hati yang berkecamuk, berdebar-debar.
“Ya dia! Orked Mulya ditemui pasukan pencari yang mendapat maklumat daripada kumpulan pemburu yang menjumpai bangkai berkecai pesawat peribadi yang membawanya, waktu itu Orked memakai baju gaun pengantinnya, dia memanggil-manggil nama Samad, sasterawan negara itu ketika diselamatkan. Kemudian Orked menjerit-jerit meminta pen dan kertas. Bermula saat itu dengan bersungguh-sungguh dia tak henti-henti menulis sesuatu di atas kertas-kertas itu, terus dan terus menulis, namun sayangnya …sayangnya..” si pemuda tak mampu menghabiskan kata-katanya.
“Sayangnya, apaa..??..,” Laung Prof. Budi pada si pemuda itu.
“Orked Mulya, hilang ingatan, Prof. Dia kehilangan segala-gala kecuali nyawanya, sewaktu jatuh terhempas dari pesawat ringan peribadi suaminya. Suaminya yang menunggu di Hotel Penchatar di atas gunung itu sudah berputus asa dan menyangka Orked sudah mati. Orked pula tak mengenali sesiapapun lagi, tapi… tapi dia tak henti-henti menyebut-nyebut nama itu… nama Samad.”
“Huh…,” keluh Orked di balik muka pintu.
“Memang aku tak mahu mengingati Soulis. Semalam aku ke villa itu, villa Seri Penchatar yang kami bina untuk hari-hari bahagia kami selepas berkahwin itu kononnya, namun aku telah .. aku telah melihat dia bersama cinta barunya sedang memadu kasih. Soulis telah melupakan aku! Ahh … lelaki, memang lelaki begitu.. sampai hati, “ keluh Orked lagi, tertunduk memandang lantai, dia menahan tangis.
“Ohhh…” keluh panjang Prof. Budi, membuat orked tersentak. Prof. Budi duduk menopang dahi penuh kesal dan menjemput si pemuda duduk. Mereka duduk berhadapan.
Orked memerhatikan mereka dari celah daun pintu dengan penuh sabar walaupun ingin rasanya dia menerpa masuk dan memegang tangan Prof. Budi yang juga teman rapatnya, teman sekampung, juga satu-satunya insan yang dipercayainya akan dapat mendengar keluh-kesahnya tentang Soulis dan segala-galanya, seperti tujuan asal dia ingin datang ke Universiti Penchatar kali itu. Namun semacam ada sesuatu yang tak diketahuinya menghalang dia daripada masuk dan menggangu perbualan pemuda dan Prof. Budi itu.
“Dalam masa yang singkat, Orked Mulya menulis dan terus menulis ketika di dalam rawatan selepas ditemui. Suaminya yang melepuh dalam derita pencarian selama sembilan bulan itu datang melawatnya namun dia tak mengenalinya lagi. “ sambung si pemuda.
“Melepuh?? Aku tak percaya! Ohh Patutlahh... tapii ..tapi ..” keluh Orked di dalam hati. Dia semakin tidak sabar.
“Dia terus menulis, beratus-ratusan kertas, berlembar-lembar sampai melupakan makan dan dia tak pernah bercakap dengan sesiapa kecuali menyebut nama Samad. Dia berhalusinasi bertemu Samad sewaktu di dalam hutan. Ketakutan dan kelaparan, keletihan menjadikannya trauma namun dia tetap hidup di dalam kesiksaan-kesiksaan itu. Bagaimana atau apa yang menghidupkannya di hutan rimba raya itu masih tidak diketahui.. sehingga kini,” sambung si pemuda, panjang lebar.
“Samad! .. Samad yang menghidupkan aku di hutan itu. Samad, tapi.. “ bisik Orked perlahan, dia cuba memegang dan menguak daun pintu, namun hasratnya dibatalkan apabila dia melihat Professor dan pemuda itu hening, masing-masing merenung meja, terdiam, walaupun dia sudah tidak sabar ingin menerpa masuk dan menerangkan perkara sebenar pada Prof. Budi.
“Lalu dia menghasilkan senaskah manuskrip daripada tulisan tak henti-hentinya itu, Prof. Manuskrip itu dihantar keluarga Orked Mulya kepada S. Samad di ibu kota . Orkid meninggal dunia tidak lama kemudian akibat komplikasi paru-paru.”
“Apaaa!? Aku meninggal??... tidakk, aku ada! Aku ada di sini Budi! Aku masihh hi..” Orked tak mampu menyambung kata-katanya apabila dia tiba-tiba terjerumus masuk ke dalam bilik kerja Prof. budi tanpa membuka pintu. Orked terkejut dan memerhatikan seluruh tubuhnya yang rupanya menghablur dan dia seperti di awang-awangan. Prof. Budi dan pemuda menjeling ke arah pintu yang bergerak seperti dipuput angin kencang sebentar tadi. Orked berdiri dan berlari menguak tombol pintu namun dia tak mampu memegang tombol itu walau berkali-kali dicubanya. Suaranya tenggelam dalam ruang bilik di mana dilihatnta Prof. Budi teresak-esak menangis. Si pemuda tertunduk lesu.
Orked menjerit-jerit memanggil nama Prof. Budi yang tersengguk-sengguk dalam tangis itu, namun suaranya tak didengari Prof. Budi. Orked menangis dalam tangisan hiba, berlari-lari ke serata kamar Prof. Budi. Dilihatnya Prof. Budi dan si pemuda berdiam, hening, seakan melayan pertanyaan-pertanyaan yang terbit daripada misteri ceritanya, cerita Orked Mulya yang jawapannya mungkin ada tersembunyi bersama warga alam rimba raya puncak gunung dara Penchantar.
Orked menjerit-jerit dalam tangisnya, namun tiada sesiapa mendengar suaranya di dalam kamar itu. Dia memerhatikan kedua-dua lelaki itu melontarkan pandangan keluar jendela pejabat Sekolah Pengajian Seni Kreatif, Universiti Penchatar, merenungi kain rentang putih berwarna-warni yang mengalu-alukan kedatangan para karyawan sastera datang ke Karnival Kesusasteraan Penchatar kali ke dua puluh lima tahun itu.
“Pemandangan senantiasa boleh terlepas seperti burung-burung bebas di langit bergunung, sementara resah di relung dada terkurung bersama tubuh yang makin cengkung tanpa zat,” kedengaran olehnya si pemuda membisikkan rangkai kata itu perlahan-lahan dan pandangan mereka terus terlepas ke luar jendela.
Orked menghampiri sudut meja apabila si pemuda menyerahkan sebuah buku tebal ke atas tangan Prof. Budi yang kesedihan. Sebuah novel berjudul ‘Samad’ karangan Orked Mulya diletakkan Prof. Budi kemudian ke atas meja. Dia menopang dahi dengan dua tangan, airmatanya menitis laju, sayu hatinya memandang novel sepi itu. Orked menekup mulutnya, tak percaya melihat karyanya.
Orked meluru keluar dalam derai airmata kesedihan, keterharuan, menembusi dinding kamar Prof. Budi lalu berhenti dan merenung kain rentang putih yang menghiasi pintu gerbang menuju Universiti penchatar yang dihiasi sepanduk-sepanduk penuh warna-warni dengan rahang terbuka, terkesima, lalu terjelepuk duduk di atas rumput bermuda Cynadon dactylon di laman Fakulti Sastera Universiti penchatar itu.
“ Karnival Mengenang Allahyarham Sasterawan Negara Penchantar, S. Samad,” bunyi ayat yang tertera di sebuah sepanduk lain.
“Tahniah, Orked..tahniah!! Manuskrip kamu siap akhirnya!,” suara Samad yang seakan dapat didengarnya bersulam deruman bunyi mesin rumput yang meratakan pucuk-pucuk rumput bermuda di serata taman Universiti penchatar. Dapat dilihatnya bunga-bunga pagar warna kuning matahari tersusun, digunting sama saiz, digayakan sama bulat, sekali lagi. Rumput pagar hijau yang bersegi-segi empat, yang rapi sekali. Di bawahnya bunga-bunga Sanseveria berjalur kuning dan berbintik-bintik putih, semuanya ditanam sekelompok, mengikut jenis, teratur, padat. Orked bediri sepi di situ, apabila kedengaran irama merdu nyanyian sundawil yang gemalai, menerobos gegendang telinganya.
Glosari :
- sulayau - pakaian wanita tradisi masyarakat Murut Timugon
- loin - pakaian para lelaki tradisi masyarakat Murut Timugon
- Kankaling -loceng yang dipasang dihujung kelepet skirt (sulaya) yang menghasilkan bunyi- bunyi nyaring
- sumayau / magunatip - tarian tradisi masyarakat Murut
- Agung – gong
- kulintangan - sebuah alat muzik dibuat daripada bambu yang dipotong silinder, mempunyai 5 utas tali untuk dipetik, alat muzik tradisi masyarakat murut Timugon
- agung sanang / alipangon - jenis gong kecil
- igal-teknik memukul gong dengan cara semakin kuat dan laju dalam majlis perkahwinan tradisi masyarakat Murut Timugon
- ikik - sejenis daun yang digunakan untuk membungkus nasi dalam majlis-majlis tertentu masyarakat murut
- Sundawil - sejenis pantun masyarakat Dusun yang disampaikan bagi meluahkan perasaan
- Kerukup - Flacourtia jangomas
Tiada ulasan:
Catat Ulasan