Selasa

Catatan hujung tahun : Marathon di tahun 2012!

Salam!

"Home, is where the heart is?"...  bagi saya: Home, is where my mum is. Kenapa? Anda kena teruskan membaca tulisan di bawah ini.

Hai, lama sudah saya tidak menulis di teratak Pa'al ni. Sebelum menutup lembaran 2011, saya teringat kisah semalam. Semalam yang dimaksudkan adalah benar-benar kisah semalam, bukan metafora bagi kisah-kisah sebelum hari ini. Hehe. Semalam maksudnya, 29 Disember, 2011.

Ok, Semalam, buat pertama kali saya sekeluarga menyaksikan aksi julung kali adik lelaki bongsu saya membuat persembahan di atas pentas kecil, di dalam sebuah majlis santai bernama #TwtUpKK (More than just a tweet), lokasinya adalah di sebuah tempat bernama Party Play, Lintas Plaza, Kota Kinabalu.

Sesampainya kami di sana, saya dapati rupa-rupanya acara tersebut adalah 'gathering' untuk tweeter-tweeter seantero Kota Kinabalu (Guba dipanggil untuk menyanyikan beberapa buah lagu), patutlah pengujungnya agak ramai daripada kalangan remaja dewasa dan sudah tentunya sudah ada pekerjaan (kalau bukan penganggur berduit) dan rata-rata memiliki 'smart phone' untuk 'tweeting' dan sebagainya(lah).

Guba sedang nyanyi nih..
Sementara menunggu-nunggu Guba membuat persembahan, saya mengisi pinggan mak dengan ceaser salad (itu saja menu yg ada, yang lain mak tak makan) dan saya ambik sedikit pizza dan makaroni keju dan kemudian kami (termasuk abang dan kakak) makan sambil berbual, sambil dihiburkan dengan nyanyian dua orang lelaki yang nada suaranya hanya mencapai kod tidak sumbang tatkala lagu yang dinyanyikan mencapai titik korus. Saya memaafkan anak muda itu kerana saya tahu, lebih cepat penyanyi-penyanyi itu berganti menyanyi, maka giliran adik saya akan sampai tanpa disedari.

ehsan: www.ahbing.com
Nasib baik kami dilahirkan dalam masyarakat yang sangat-sangat majmuk dan begitu fleksibel dengan apa juga. Untuk ini, saya tabik spring mak kami yang cukup sporting. Sporting kerana, ruangan 'Guba Reserved' yang terlalu malap, bunyi muzik yang berdentam-dentum serta kesemua pitcher dan cawan kacanya terlukis harimau belang walaupun isinya adalah air limau ais.

Meja khas kami
Respek juga untuk yang duduk di sekeliling meja kami, kerana mengawal diri daripada terkial-kial menari mengikut rentak muzik, mungkin kerana melihat ibu Guba ada duduk di sana bersama 'pengawal-pengawalnya' (kami) yang kelihatan seperti geng motor (sebabnya kena tengok gambar kami) Hahahaha. Rasanya kalau mak kami fussy, belum sampai lima minit berada di sana, kami akan beredar kerana majlis itu agak bingit. Tabik untuk ibu-ibu kita yang sangat memahami (Tiba-tiba saya melihat diri saya di dalam mak!) dan memikirkan apakah maksudnya deja-vu itu.

Guba & mom selepas show..nangis lagi. hehe
Mak dan kakak saya dirundung emosi ketika Guba mula memetik gitarnya dan menyanyikan 'Alright'. Menitis-nitis airmata mereka, tatkala nyanyian Guba di sambung dengan lagu baru bertajuk 'Hilang', kemudian 'Sunday Morning' dan akhirnya lagu yang masih menduduki carta pertama di Hitzkk (Hitz.fm) yang bertajuk 'You & Me'. Saya memandang sekeliling, penontonnya bersorak-sorak, gadis-gadis memandang dengan pandangan 'tajam', macam-macam, lalu saya terfikir, apa agaknya yang adik saya mahukan dengan menyanyi, agaknya? 

Ehsan: Laguna Music
Kalau arwah bapa masih ada, tentu dia akan berada di sini walaupun sedang sakit, kerana saya tahu, bapa akan menyokong usaha anak-anaknya asalkan mereka jujur dengan minat mereka, tidak mengabaikan pelajaran dan paling penting ingat orang tuanya, tentunya bapa akan menarik nafas bangga seperti mak, seperti kami semua. Saya masih ingat, bagaimana si Guba ini pernah menolak apabila kami olok-olok memintanya menyertai sebuah program realiti TV lama dulu, dia juga pernah menolak sebuah program realiti yang pada mulanya disertainya kerana program itu berkaitan dengan 'composing' sesebuah lagu. Setelah menjadi peserta top 10 dia menolak kerana satu sebab: Susunan program dan undang-undang program yang bercanggah dengan pendiriannya: Walaupun penganjur menyindirnya : Awak sudah begitu baguskah? Dia menjawab; Tidak, tapi saya percaya saya boleh buat lebih baik daripada apa yang kamu fikirkan, bukan dengan cara ini". 

Respek diri, hargai diri!
Saya tahu, apa yang membuatkan jejaka tinggi lampai bernama Guba itu duduk melalak di atas pentas adalah kerana minatnya yang mendalam di dalam bidang muzik, bukan sekadar nyanyian, tetapi dia menghargai muzik dan rasa gembira, mendapat kepuasan apabila mereka (penonton) dapat dihiburkan dengan muziknya. Dia mahu diterima kerana bakatnya dan ingin membuat sesuatu yang disukainya. Dahulu, dia menyanyi berkurung di dalam bilik, di dalam bilik air. Rupa-rupanya lagu-lagu itulah yang saya dengar melalui radio sekarang. Yang pastinya, lagu-lagunya sudah mula mendapat tempat di arus perdana, menapak demi menapak, akhirnya dia akan mencapai impiannya, jadi yang terbaik untuk Guba. Ingatlah mak kita, kerana Home is where our Mom is. Why, because she is all we have. 

Tahun 2011 banyak menyedarkan saya betapa pendeknya hayat seorang manusia. Tahun ini sahaja, satu persatu ahli keluarga terdekat pergi meninggalkan kami selama-lamanya, ke negeri akhirat. Saya percaya, hanya cinta sejati sahaja akan membawa seseorang itu sehingga mengikut pasangan dikasihinya sampai ke liang lahad. Itu kata-kata di dalam tayangan gambar yang sebenarnya berasas, kerana mendiang datuk dan nenek kami yang pergi selamanya dengan cuma berselang kurang 40 hari. Diikuti dengan seorang anaknya kemudian.  Tahun ini juga, Trudy kehilangan dua batang gigi kacipnya. Neneknya mengajar supaya menimbus gigi tersebut di dalam tanah pasu bunga, menanam dengan tanaman herba, caranya mengajar anak kecil supaya menyayangi dan mengabdikan diri pada alam sekitar. Bukan meletakkannya di bawah bantal untuk menunggu hadiah dari pari-pari gigi di kala pagi. Lelem pula semakin budiman dengan tuturkata seperti : Mak, sudah makan? Mak, saya rindu mak; atau mak, tidurlah. Mak, saya mahu bercakap dengan bebeh (nenek). etcetera-etcetera. Kesemua yang kami buat adalah dilingkungi kasih-sayang mak. Seperti yang saya katakan tadi : Home, is where my mom is.

Tahun hadapan, 2012 yang berbaki sehari lagi ini menyediakan kemungkinan yang sukar diduga, tentunya banyak kejutan dan kegembiraan serta cabaran-cabaran yang bakal kita hadapi kelak. 2011 akan kita tinggalkan dengan segala macam kenangannya, yang pastinya segala cabaran mendatang pada tahun 2011  sudahpun berjaya kita lepasi, bukan?! Kalau belum, lihat saja di mana anda sekarang? Di penghujung tahun 2011. Buktinya kita semua boleh, walau apapun dugaannya.  Buat rakan-rakan penulis, teruskan menulis dan menghasilkan karya-karya terbaik sebagai pencapaian untuk diri sendiri. Memecut di litar pertandingan ada baiknya untuk mendapat nama dan sebagainya, namun yang paling penting adalah membuktikan diri dengan karya terbaik. Mengejar nama tidak sama dengan memburu impian. Saya akan bermarathon di tahun 2012, bukan memecut barangkali, kerana marathon akan membuat saya sempat berfikir tanpa perlu berhenti, tidak membuang masa dan hasilnya 'kesihatan' walaupun bukan kejayaan besar. namun, berkat bersabar, siapa tahu kejayaan akan muncul sebagai pemangkin semangat. Apa-apapun akhirnya, saya telah menemui sesuatu yang sangat menggembirakan di penghujung tahun ini, iaitu ; sebab untuk terus hidup.

Saya ingin mengucapkan Selamat tahun baru 2012 buat semua sahabat Pa'al dan semua pengunjung Teratak Pa'al, teruskan hidup sihat berkualiti! Jaga diri dan semoga persahabatan kita kekal selamanya.

..Home is where my mom is.

Wasalam,

Pa'al
kk

2 ulasan:

  1. Salam ziarah Saudara Pena Alam. Sebuah perkongsian yang menarik. Teruskan menulis! Sudilah jengah ke blog saya untuk bertukar-tukar pendapat. Harap tinggalkan jejak.

    BalasPadam
  2. Salam saudara,

    Terima kasih kerana sudi singgah.. Insyaalah, saya akan berkunjung ke blog saudara.

    terima kasih & Selamat tahun baru 2012!

    BalasPadam


Puisi Kemerdekaan buat Pak Samad dan negaraku Malaysia : 'Tatkala aku ingin menulis tentang hari merdeka'...( sila klik pic Pak Samad)

Sayangi Alam!

Sayangi Alam!
Orang Utan juga diancam kepupusan ..

Sahabat lautan, sahabat kita ..penyu, tahukah anda penyu adalah haiwan yg diancam kepupusan? Penyu juga adalah haiwan yg diwartakan sbg spesies yg dilindungi kerajaan. Jadi adalah menjadi suatu kesalahan bg anda utk memelihara penyu di dalam akuarium, membunuhnya atau mengambil telurnya.. dan tahukah anda, penyu hanya akan bertelur semula selepas 3 atau 4 tahun selepas bertelur, maknanya jika anda makan telurnya, anda sama seperti pembunuh yg telah menelan segenerasi kehidupan sang penyu sama ada anda sedar atau tidak, setuju ataupun tidak..