Ahad

Orbituari









(sebuah karya untuk anak-anak dan cucu-cucu A.G)

Sebuah petak bersegi empat
bingkai muka memberimu khabar
kepergiannya ke kehidupan yang lain
diceriteralah di situ jurai keturunannya
cucu cicit rantai-berantai, beramai-ramai
melakar penuh nama-nama 
berbau amerika, sepanyol, british

Alkisah bingkai kononnya bukan murah
kuasanya melebar berita ke seluruh alam
agar dihidu saudara anjing, ipar duai 
ke ceruk bandar, ke pelusuk tanahair

Dulu, membeli susu tuanya pun siapa peduli
adakah ditabur bakti untuk dia tika hayatnya?
atau bakti sesudah jasad bertemu jodoh di tanah nisan
lepas satu, satu, zuriatnya berpangkat-pangkat
situa tersedu, berlinang-linang pada sebak dada terharu
anak yang dulu dilibas kerana malas sudah membalas

Seakan baru semalaman dia menukar lampinnya
kini, hidung itu jadi setinggi kinabalu menafikan azali
yang dulunya mandi berak makan beralas daun
di pagi yang bahagia memijak tahi ayam berkaki ayam
berlari-lari atas tanah yang menjual maruah si tua

Bingkai sayu itu,
refleksi tika umurnya baru tujuh belas
tanpa resah senyum kedutnya puas
menyabung nyawa memberi anaknya makan ilmu
melambung harap agar nanti tinggalnya beralas empuk teknologi
kakinya memijak lantai batu moden sejuk mahal
buatnya bermalas-malas membalas tegang urat ditengkuk
atau kejur tulang di belakang yang mula reput
namun, angan si tua tinggi lekat di awan
dasar tua dilupa zuriat !

Atap zink karat-berkaratnya merinding digetak siang
menghentam kepala dihias uban bila kakinya lurus
pada siang dia senyum tabah pada ketuharnya
tilam bantal jadi racun bara nan menghapus lena
lebih senang bersama anjing ramah yang banyak anak
teduh di bawah lembayung pohon yang anginnya damai
pada malam dia kedinginan, berkepompong ngeri
bertahan pada dingin kejam yang menyucuk sum-sum

Di Obituari ini senyumnya sedamai langit pagi
senyum tahun sembilan belas empat puluh lapan
kerana dulu siapa peduli senyumnya yang murah
ya, disitu, di bingkai itu senyumnya manis
tapi dia sepi bicara

Di obituari ini ada ratap tangis hebat
di obituari ini ada ratap tangis yang sesalnya kekal
pada hari-hari yang tertinggal jauh-jauh
nostalgia si tua menyisir rambutnya pukul lima pagi
menanak nasi buat bekal sayur kangkung
kenangan obituari satu halaman itu maha sakit
keampunan jadi buruan dendam yang tiada balas

Pahitnya pedih kasih orang tua yang rajuk
kecil hati, Sampai hati, sampai mati
meresapi si tanggang yang baru terhantuk
namun tiada gunanya…apa gunanya?
sesalnya membuat berantakan seluruh hidupnya
hanya bau hancing ketuhar situa jadi temanan
buat di tangis-tangis bila ada waktunya senggang

Dia sudah tenang di sana, bersama yang dipujanya
sudahlah berduka, doa perlu disedekah
Itupun jika kau mahu, jika kau tahu
sekurang-kurangnya obituari ini
kias kasih tak kesampaian terakhir yang terzahirkan

Pena Alam
Kota Kinabalu

Febuari 2008

Kadangkala, yang terbesar bagi kita adalah pula yang sekecil-kecilnya bagi insan lain, vice versa..

Puisi Kemerdekaan buat Pak Samad dan negaraku Malaysia : 'Tatkala aku ingin menulis tentang hari merdeka'...( sila klik pic Pak Samad)

Sayangi Alam!

Sayangi Alam!
Orang Utan juga diancam kepupusan ..

Sahabat lautan, sahabat kita ..penyu, tahukah anda penyu adalah haiwan yg diancam kepupusan? Penyu juga adalah haiwan yg diwartakan sbg spesies yg dilindungi kerajaan. Jadi adalah menjadi suatu kesalahan bg anda utk memelihara penyu di dalam akuarium, membunuhnya atau mengambil telurnya.. dan tahukah anda, penyu hanya akan bertelur semula selepas 3 atau 4 tahun selepas bertelur, maknanya jika anda makan telurnya, anda sama seperti pembunuh yg telah menelan segenerasi kehidupan sang penyu sama ada anda sedar atau tidak, setuju ataupun tidak..