Jika selama ini kita selalu mendengar lagenda Huminodun yang telah dikorbankan oleh kedua orang tuanya untuk keselamatan dunia, kali ini menurut versi yang diceritakan oleh Datuk Jintol Mogunting ini, agak berbeza penceritaan yang ditulis beliau. Datuk Jintol merupakan anak kepada bekas Ketua Anak Negeri, Mogunting Bin Botinjam. Seorang berbangsa Kadazan dan merupakan anak jati Sabah yang banyak mendengar kisah-kisah lagenda cerita rakyat Sabah yang diwariskan turun-temurun kepada beliau. Cerita ini turut diperolehi beliau daripada nenek moyangnya. Ceritanya berbunyi begini :
Pada suatu masa dahulu, terdapat sepasang anak, seorang lelaki dan seorang perempuan. Kedua-dua anak tersebut berasal daripada batu. Batu-batu itu terapung di tengah-tengah ruang angkasa. Tidak berapa lama kemudian batu tersebut terbelah dua, menyebabkan kedua-dua anak tersebut lahirlah ke dunia. Yang lelaki bernama Huminodun dan yang perempuan bernama Suminundu.
Apabila kedua-duanya sudah dewasa, mereka jatuh cinta lalu berkahwin dan mereka dikurniakan seorang anak perempuan. Mereka kemudiannya menamakan anak perempuan tersebut dengan nama Hinokizan. Keduanya amat menyayangi Hinokizan. Hinokizan lahir dengan wajah sempurna, comel dan sihat. Huminodun dan Suminundu sangat gembira dan bangga kerana memiliki anak sedemikian.
Sejak Hinokizan lahir menyerikan kehidupan kedua Huminodun dan Suminundu, mereka bekerja keras dan bertungkus-lumus mencari nafkah keluarga bagi membesarkan Hinokizan dan untuk kehidupan mereka sekeluarga. Setiap hari, Huminodun keluar memburu binatang ke dalam belantara berdekatan kediaman mereka. Suminundu pula menguruskan rumah, ke hutan mencari kayu-kayu, mencari benih-benih tumbuhan untuk ditanam dan sesekali menebas semak-samun di sekitar rumah untuk dijadikan kawasan tananam bagi menanam benih-benih tanaman yang diperolehinya.
Pada suatu hari, pergilah Huminodun berburu ke dalam belantara. Tinggallah Huminodun dan Hinokizan di rumah. Huminodun telah pergi dengan lama sekali sehinggakan Suminundu kesusahan, tiada bekalan makanan yang cukup untuk mereka dua beranak. Pada masa tersebut, tanaman tidak menjadi kerana kemarau dan bencana yang tidak diketahui puncanya kepada masyarakat ketika itu. Dengan rasa berat hati, suatu ketika Suminundu membawa Hinokizan ke sebuah kawasan tanaman yang telah dibersihkannya bersama seuncang biji-biji benih untuk di tanam. Suminundu kemudiannya telah menanam kesemua biji-biji benih tersebut di kawasan tapak semaian yang telah dibersihkannya sebelum itu.
Suminundu dan Hinokizan duduk menikmati suasana hutan yang damai, walaupun cuaca agak panas membahang ketika itu. Angin damai masih bertiup, menyebabkan Hinokizan si anak gadisnya yang manja itu tertidur di atas rumput. Suminundu mencari kutu-kutu yang terdapat di rambut Hinokizan. Setelah anak gadisnya itu tertidur, Suminundu mencari kekuatan di dalam dirinya untuk melakukan sesuatu yang amat dashyat untuk sebuah tujuan yang disimpannya di dalam hati. Suminundu mengeluarkan sebilah parang dan telah mengerat tubuh badan anaknya, darah memancut ke seluruh kawasan di mana Suminundu telah menanam kesemua biji benih yang dibawanya tadi. Suminundu merasa amat sedih namun dia melakukan sedemikian kerana makanan yang ada hanya untuk seorang sahaja dan dia sesungguhnya tidak mampu menyara kehidupan dia dan anaknya kerana Huminodun yang belum pulang-pulang itu.
Seminggu kemudian, Suminundu kembali ke kawasan di mana dia telah mengerat Hinokizan atas dasar kerinduan dan rasa sunyi kerana dia kini tinggal seorang diri di rumahnya. Huminodun belum juga pulang. Apa yang dilihatnya amat mengejutkan, kerana seluruh kawasan tersebut telah bertukar menjadi sebuah kawasan yang dipenuhi dengan tanam-tanaman yang sangat subur. Di situ bertumbuhlah tanaman seperti padi, jagung dan ubat-ubatan yang subur. Suminundu sangat gembira dan bersyukur kepada Kinoingan dan mengucapkan terima kasih kepada Hinokizan. dia percaya tanam-tanaman tersebut adalah jelmaan daripada darah, tulang, kepala dan bahagian-bahagian tubuh badan Hinokizan yang lainnya. Suminundu membawa semua hasil tanaman tersebut kembali ke rumahnya dan memasaknya sedikit demi sedikit.
Tidak beberapa lama kemudian, Huminodun tiba-tiba muncul di muka pintu, mengejutkan Suminundu. Suminundu menerpa dan menceritakan segala-gala yang telah berlaku kepada mereka, iaitu dia dan Hinokizan. Huminodun tidak menyalahkan Suminundu, namun dia amat sedih atas kehilangan anaknya yang sangat dikasihi dan dirindui itu. Hasil buruannya diserahkan kepada isterinya dan kemudian Huminodun mengajak Suminundu untuk ke tempat kawasan di mana anak mereka telah menjelma menjadi tumh-tumbuhan itu. Huminodun mengalirkan airmata dan terus menebas sekitar kawasan tersebut sambil berduka. Dia merindukan satu-satunya anak mereka itu. Suminundu turut berduka dan merasa sangat sayu di dalam hatinya.
Tiba-tiba kedengaran satu suara yang sangat lembut menerpa mengikut hembusan angin yang bertiup di sekitar kawasan di mana mereka sedang berada itu. Setelah diamati Huminodun dengan teliti, dia tahu dan pasti bahawa suara yang didengarinya itu adalah milik anak mereka, Honikizan. Hinokizan menyeru Huminodun dengan suara lembut meminta dia mendengar dengan teliti. Katanya;
"Pak, saya ialah Hinokizan. Saya dapat melihat bapa namun kalian tidak dapat melihat saya kerana saya telah menjadi tumbuh-tumbuhan di sini. Ambillah tujuh tangkai padi yang paling tinggi dan selepas itu ikatlah kesemua tujuh tangkai padi itu dan carilah buluh kecil, belah dihujungnya dan selitkan tujuh tangkai pagi itu di antara belahan buluh di hujungnya. Apabila kesemua padi sudah dituai, bawalah kembali tujuh tangkai padi itu dan simpanlah ia dengan selamat. Masukkan ia ke dalam sebuah tajau besar. Selepas tiga puluh hari saya akan lahir ke dunia menemui bapa dan mak kerana saya sangat merindukan bapa dan mak. Ingatlah kata-kata saya ini, jangan sedikitpun tersilap, pak. Jika tersilap, bapa dan mak tidak akan dapat berjumpa dengan saya lagi. Ingatlah pak... " kata suara itu lalu lenyap.
Huminodun menceritakan pesanan Hinokizan kepada isterinya. Sumindun merasa sangat gembira dan bersyukur kerana anaknya tidak menaruh dendam padanya. Maka kedua mereka menuruti kehendak anak mereka itu dengan penuh berhati-hati. Setelah genap tiga puluh hari, Suminundu dan Huminodun berkumpul di tepi tajau. Mereka menunggu dengan penuh kesabaran. Kira-kira waktu matahari hampir terbenam di sebelah barat , maka terdengarlah oleh mereka bunyi-bunyi aneh daripada tajau itu. Tiba-tiba Hinokizan keluar daripada tajau dengan berpakaian aneh, lengkap dan penuh wibawa seorang Bobohizan. Hinokizan turut membawa bersamanya peralatan-peralatan keramat seperti gong, sesevion, hinibu dan macam-macam lagi. Suminundu dan Hinokizan menerpa dan memeluk anaknya. Mereka sekeluarga amat gembira dan berpelukan melepaskan kerinduan.
Mereka berpesta dan bersuka ria sepanjang hari. Hinokizan mengeluarkan peralatan-peralatan lain yang berupa alat muzik dan menunjukkan kemahiran yang diperolehinya dengan bermain alat-alat muzik tersebut. Mereka menari-nari sehingga terciptalah tarian Sumazau. Hinokizan turut memaklumkan kedua orang tuanya tentang upacara-upacara mogondi, momuinait, magavau, humabot, bobohizan, magang dan moginakan yang dilimpahkan Kinoingan kepadanya sewaktu di dalam kehidupan roh di dunia lain. Hinokizan juga turut mengajarkan cara-cara membuat ubat-ubatan daripada akar-akar kayu dan tumbuhan-tumbuhan hijau yang terdapat di sekeliling mereka bagi mengubati orang sakit. Hinokizan menunjukkan kepada kedua orang tuanya berkenaan cara pengubatan Monohindong dan Mogsisingkod yang dilakukannya sebagai Bobohizan. Huminodun dan Suminundu merasa amat gembira dan bangga dengan kebolehan luar biasa yang telah dikurniakan Kinoingan kepada anak mereka itu.
sekian.
Demikianlah sebuah cerita pendek yang saya petik daripada artikel yang ditulis oleh Datuk Jintol. Versi ini mungkin berlainan daripada yang biasa kita dengar selama ini. Huminodun yang diceritakan umum merupakan seorang gadis yang dikaitkan dengan unduk ngadau, perlambangan bagi kecantikan seorang wanita suci pada waktu matahari berada pada keadaan paling terang, namun di dalam alkisah yang diperolehi penulis lagenda Hinokizan ini, Huminodun merupakan seorang lelaki dan bapa kepada watak utama iaitu Hinokizan. Hinokizan merupakan anak yang dilahirkan semula daripada tujuh tangkai padi dan kononnya merupakan Bobohizan pertama yang dikurniakan kinoingan kepada dunia dan rakyat jelata yang dilanda bencana alam. Demikianlah cerita rakyat dari sebuah versi yang agak berlainan daripada versi yang kita selalu dengar seperti di buku-buku dan juga versi cerita Huminodun yang dinyatakan pihak Muzium Negeri Sabah sendiri. Cerita rakyat adalah milik sejagat. Oleh kerana cerita ini bersifat disampaikan secara verbal melalui keturunan demi keturunan, mahupun dari mulut ke mulut, maka kebenarannya adalah tidak diketahui oleh sesiapapun. Kecualilah Cerita Rakyat ini pernah dibukukan pada zaman dahulukala ataupun tertulis secara batu bersurat dan sebagainya, maka kita haruslah menganggap bahawa cerita rakyat ini sebagai khazanah bangsa yang harus dijaga dan dipelihara di dalam jiwa kita, anak-anak sabah. Bagi saya apapun cerita rakyat tersebut, apa yang harus diambilkira oleh para pembaca adalah nilai-nilai murni, nilai kebudayaan dan citra tempatan yang tersirat dan tersurat di sebalik cerita tersebut.
Semoga semuanya terhibur dengan cerita ini dan Pa'al ucapkan Kotobian Om Kounsikaan Tadau Tagayo Do Kaamatan Nayatan Pogon Sabah 2011!
Wassalam.
Ikhlas,
Pena Alam
31052011;0908
Tiada ulasan:
Catat Ulasan