Di penghujung Mac, saya agak terpegun melihat jadual kehadiran kerja saya yang banyak lompang. Memang agak pemalas kamu itu bulan lalu; kata kertas putih yang ketat mukanya barangkali kerana wajahnya tidak dihiasi warna-warna dakwat selain hitam dan biru, berkotak-kotak bibirnya mencebik saya.
Tandatangan saya pula berlingkar-lingkar seperti cacing tersimpul di setiap hujung kotak, menandakan saya ada datang bertugas. Namun menurut kertas itu, saya pemalas. Mungkinlah, saya terima saja. Sebelum kerani kami membuat 'wrapped up' ke atas jadual, kertas putih itu mengangguk-angguk dan mohon maaf pada saya setelah ia mendapat tahu bahawa kebanyakan kotak di mana saya tidak mengikat leher cacing dengan ekornya, adalah waktu-waktu di mana saya berada di luar kawasan. Di mana saya dalam misi mendaki- mendaki langit ke langit dengan kuda besi. Kertas putih itu tersenyum mesra, mungkin kagum pada cerita-cerita kembara saya di langit, sebelum dia ditindih dan disimpan jadi khazanah tahun 2011 bersama saudara-saudaranya yang antaranya telah dicomoti semacam warna gincu bibir-merah; di situ kelihatan simpulan ular sawa - ketua pejabat saya telah mengikat kepala ular sawa dengan menggunakan ekornya ular itu sendiri pada kotak khas untuk ketua pejabat kami iaitu di kotak paling bawah, kertas jadual milik beberapa sahabat sepejabat. Kasihan ular sawa itu, ikatan itu tentunya tak akan terlepas sebelum saya dan beliau membuat penilaian SKT hujung tahun ini.
Sambil memerhatikan lebih banyak ular-ular tedung, selar, orok-orok dan ular lidi di ikat dan dikurung di dalam kotak-kotak kecil oleh ketua pejabat saya, teringat saya kepada salah sebuah pendakian ke langit di pantai timur Sabah, baru-baru ini. Saya melihat keindahan awan semasa cuaca tidak menentu ini sangat-sangat menarik. Saya teringat pula puisi-puisi yang saya tulis semasa kuda besi saya berlari tenang meredah belukar-belukar awan. Ketika itu, seorang penumpang kuda besi saya duduk di sebelah. Saya namakan dia Maryamah Karpov, kenapa?..anda kena baca, Cinta Di Dalam gelas, atau Maryamah Karpov. Cari watak Enong. Maryamah Karpov - airmukanya memang ceria dan dia sangat bergaya. Walaupun Enong tidak begitu - Maryamah ini begitu. Cuma.. anda memang kena baca cerita Enong dan pakaiannya pada kejuaraan catur 17 Agustus. Maryamah saya memakai pakaian serba hitam dan ketika saya baru mengangkat pen ingin mencatat keindahan awan yang muncul berpegangan tangan, romantis sekali- Maryamah menghulur silaturahim, dimulakan dengan sebuah cerita. Cerita tentang sampah sarap yang muncul dari lautan serta kekecewaan-kekecewaannya terhadap past, present dan future berkaitan hal yang sama - sampah-sarap. Saya meletakkan pen dan mendengar ceritanya - menarik.
Saya merenung mata Maryamah saya, ada sesuatu yang tidak beres pada hiasan matanya, mungkin maskara atau penggaris mata. Ah, tidak mengapalah. Dia bersungguh-sungguh berceloteh tentang sampah, yang mana kali ini datang dari pulau-pulau. Bagaimana jeti yang dibinakan mereka ( dia dan kawan-kawannya) sepatutnya membantu mengurangkan pembuangan sampah dan sepatutnya mendapat pulangan - apabila sampah diangkut operator pusat peranginan dari pulau-pulau ke tanah besar- mereka (operator-operator pusat peranginan) membawa bersama sampah-sarap dari pulau, dilonggokkan di jeti persendirian mereka; dan mereka tidak menggunakan jeti yang dibinakan khas oleh Maryamah dan kawan-kawan. Maryamah saya kesal kerana sampah-sampah itu dilonggokkan di jeti persendirian, dan tidak menggunakan jeti Maryamah dan kawan-kawannya. Mereka (Maryamah dan kawan-kawan) dipersalahkan kerana sampah-sampah dari pulau itu tidak diangkut dengan cepat. Kata Maryamah, jika mereka menggunakan jeti itu ( yang dibinakan oleh dia dan kawan-kawan), alangkah senangnya bagi mereka mengangkut sampah dari 1 tempat (macam one-stop), Maryamah dan kawan-kawannya juga akan dapat pulangan. Saya memerhatikan Maryamah, Sebenarnya saya kalut- di tangan, ingin menulis tentang keindahan awan, tapi Maryamah berapi-api menyebut perihal-perihal sampah sarap. Saya bertahan, silaturahim ini memang unik. Saya terus mendengar cerita Maryamah.
Ketika Pelayan kuda besi saya datang menghulurkan sebungkus kacang masin dan jus oren sebagai alas perut, saya berterimakasih. Maryamah dan saya makan makanan dari langit itu. Saya merenung pen dan buku catatan, berhasrat ingin mencatat cerita yang baru melintasi pandangan saya- Tentu sekali Maryamah yang sibuk dengan cerita sampah-sarap itu tidak melihatnya, kerana saya telah melihat awan hitam sedang bertinju dengan angin; baru saja dileraikan dengan kemenangan seri 3-3 oleh pengadilnya -Tuhan.Kenapa angka 3?Menurut penulis tersohor dari seberang itu- Tuhan menyukai angka ganjil. Entah mengapa, segera saya teringat tarikh Tsunami yang melanda negara Jepun baru-baru ini - 11 haribulan, bulan 3 tahun 2011. Subhanallah.
Maryamah merenung plastik kacang dengan teliti. Saya menjelingnya, namun saya menulis tentang pengadil- Kata saya, Dia mengajar kita tentang kemerdekaan dalam lukisan-lukisannya di langit, kerana itu tiada siapa pernah melihat Dia. Maryamah melipat plastik kacang. Saya ingin menulis lagi, namun Maryamah membisik di telinga saya-tahukah kau, kami (dia dan kawan-kawan) pernah menjuarai pertandingan Inovasi memerangkap sampah-sarap yang datang dari dua kampung setinggan di kiri dan kanan daerah kelahirannya itu. Saya mengangguk-angguk demi mendengar perancangan strategik, bahan-bahan, jumlah kakitangan serta peralatan-peralatan yang digunakan mereka (dia dan kawan-kawan) dalam usaha menjuarai pertandingan Inovasi itu, sesekali saya menonjolkan wajah kagum-tidak percaya pada Maryamah saya, lebih kepada sekadar memberi sokongan kepada keghairahan dia bercerita. Kerana saya percaya, manusia tanpa passion terhadap sesuatu adalah manusia yang paling membosankan. Mungkin juga kerana saya agak letih. Katanya, sebesar plastik kacang itupun sampahnya, tidak mampu menembusi pagar inovasi di muka lautan yang diciptakan mereka (dia dan kawan-kawannya). Saya menonjolkan air muka terkagum-kali ini yang betul-ikhlas. Maryamah terkejut, sempat melatah kecil dan terpaksa berhenti berbicara sebentar, kerana pinggangnya baru sahaja dicucuk oleh seorang penumpang kuda besi saya dari belakang.
"Ti, nah. (tangan yang menyucuk pinggang itu menghulurkan sebungkus kacang yang sudah dibuka - tidak kelihatan wajahnya). Habis sudah kacangmu Ti?(maksudnya-ambiklah kacang ni aku tidak mahu makan lagi/kerana tidak sedap/sudah kenyang etc, walahualam).
Rupanya nama Maryamah karpov saya adalah Siti dan insan yang menyucuk pingggangnya dari belakang tempat duduk kuda besi saya itu adalah kawannya. Entah mengapa mereka tidak duduk bersama, fikir saya. Maryamah menyambung lagi, menceritakan bahawa mereka (dia dan kawan-kawan, termasuk kawan yang menyucuk pinggangnya itu) mendapat pujian bagus daripada Datuk M-kerana inovasi canggih itu-sehingga menjadi juara. Saya mengangguk-angguk sambil memikirkan tentang catatan-catatan pendaki langit saya, tentang awan dan samudera langit, yang tertunda- kerana Maryamah kelihatan sangat perlu menghabiskan cerita-cerita menariknya tentang sampah-sarap; kepada saya.
"Maryamah, saya kira- pengadil cerita saya tentang pertinjuan awan hitam dengan angin dan pertandingan inovasimu- adalah sama..." kata saya di dalam hati, yang belum sempatpun saya suarakan, kerana Maryamah yang tadi memuja-muji - kini sedang mengutuk Datuk M. Saya buru-buru menggosok hidung kerana tersedak angin. Saya teringat cerita Ikal tentang Pamanda dan selangkangnya, bagaimana dia menganiaya sebuah mesin pengisar kopi yang dinamakan Ikal sebagai Yamuna di dalam Cinta Di Dalam Gelas lagi. Saya tersengih. Maryamah makan kacang yang diberikan kawannya dan saya menutup buku catatan saya setelah menyelitkan pen di celahnya. Kata Maryamah, Datuk M marah-marah, naik angin pada mereka (dia dan kawan-kawan) kerana sampah-sarap masih datang dari lautan luas dan mencemari daerah kecil mereka yang terkenal dan didatangi pelancong dari luar negara itu. Maryamah dan kawan-kawannya mati akal dengan method kedatangan sampah yang satu ini kerana ia terlalu bersifat semulajadi. Kasihan Maryamah (dan kawan-kawannya). Memang betul daerah kelahirannya terkenal, terutamanya kerana setitik pulau pertikaian yang secara sah telah menjadi milik Malaysia selama-lamanya beberapa tahun sudah.
Setelah kuda besi saya meringkik-mengumumkan kami akan mendarat sebentar lagi - Maryamah mencatatkan nombor telefonnya dan menjemput saya datang ke pesta perahu di daerahnya yang akan berlangsung pada awal bulan April ini. Katanya- pasti meriah! Tidak rugi datang cik! dan aneh- selepas itu Maryamah saya membisu. Dia memejamkan matanya, lalu tidur. Saya menarik nafas dan lega! 'Kalau saya tahu, awal-awal lagi saya minta nombor telefonnya!' Catat saya di dalam buku catatan - dalam bahasa Murut Timugon, di hujungnya saya catat lagi - 'well, just in case'-dalam kurungan.. saya catat juga - titik bertindih dengan huruf p dihujung. Hanya saya memahami catatan itu.
Ketika kuda besi saya hampir mencecah bumi, saya memikirkan cerita-cerita Maryamah Karpov saya. Sampah sarap dan keghairahannya melihat dunia tanpa sampah. Obsesinya pada usaha menghapuskan sampah di daerah kecilnya yang penuh dengan cabaran-cabaran. Kemiskinan selalu datang bersama sampah-sarap- kata Maryamah. Sampah-sarap dibuang ke laut lepas, dan lepas itu sampah akan dikembalikan kepada kita oleh lautan. Hebat falsafah Maryamah fikir saya, walaupun agak klise tapi dia sangat jujur. Lautan memang hebat, fikir saya dan Maryamah Karpov saya itu memang wanita yang sangat unik - keramahan yang luar biasa dan obsesi yang bukan main-main. Dia juga mempunyai wajah yang sangat bersahabat - selepas dipandang 3 kali.
Setelah saya fikirkan, cerita tentang Maryamah saya lebih menarik dan menginspirasikan daripada cerita seorang pelukis hebat yang juga seorang peluncur air profesional yang baru saja menemui pusat luncur air baru mereka (si pelukis/peluncur dan kawan-kawan) di utara sabah. (Katanya, jangan bagitahu orang lain lokasi itu duluan, ya) Ketika saya ajak-ajak ayam beliau (pelukis/ peluncur itu) untuk sama-sama melakukan 'Awareness Campaign'- memungut sampah di sepanjang pesisir pantai indah di hujung tanah borneo ini sebagai aktiviti Good Citizen, katanya- Kau tahukah, berapa banyak sampah-sarap ada di sana?..berapa banyak kayu-kayu besar ada di atas pantai itu, berapa banyak itu dan ini... bla..bla..bla. Mengecewakan, tapi tidak mengapalah. Biasalah tuan, mana ada pantai tidak dihiasi sampah. Saya teringat teori sampah-sarap Maryamah Karpov saya tentang lautan yang mengembalikan sampah-sarap kepada pantai - dunia.
Saya terbayangkan Maryamah atau Kak Siti dan keghairahannya terhadap dunia bersih-tanpa sampah-sarap. Obsesinya- luar biasa. Lalu segera pula saya teringat kembali sebuah kembara dasar lautan saya dahulu - memungut sampah di dasar lautan bersama mereka (saya dan kawan-kawan) dalam Projek penyelam-penyelam skuba lulusan PADI secara sendiri-sendiri- secara suka-suka, yang tidak dibiayai sesiapapun. Sebuah kembara yang tidak memerlukan pulangan dan pengadil, namun kepuasan yang timbul terlalu luar biasa. Menakjubkan. Saya masih jelas perasaan itu. Di dalam hati, saya berharap Maryamah akan terus kekal dengan obsesinya dan sahabat peluncur air saya akan dapat meneruskan keghairahannya terhadap ombak di utara, sekurang-kurangnya saya berharap dia dan kawan-kawannya tidak menambah sampah-sarap yang sedia ada.
Tanpa sebab, dengan penuh yakin saya telah mengikat leher seekor naga panjang, tersimpul di kepala dengan ekornya ketat-ketat, tak mungkin akan lerai sehingga menjelang Tahun baru cina akan datang pun. Buku catatan pendaki langit-melihat dari mata burung- itu saya tutup kerana saya dan kuda besi sudah sampai ke destinasi. Kuda besi saya kemudiannya, saya sewakan kepada pendaki-pendaki langit lain secara percuma. Maryamah sudah menaiki teksi bersama kawan yang menyucuk pinggangnya tadi, laju, harus cepat pulang, katanya - urusan masih banyak di pejabat - sampah-sarap harus dihapuskan menjelang pesta perahu April ini.
Saya gembira kerana semasa mendaki langit, saya sempat berulang-alik naik ke langit dan turun menyusur pelangi terus ke dasar lautan, dan kemudian meloncat ke daratan - ke bumi, sebelum kembali menjadi pendaki langit yang melihat dari langit ke langit, membayangkan dunia tanpa sampah-sarap, tanpa sempadan. Terbayang wajah kertas putih yang mengendong cacing-cacing tersimpul, yang meronta-ronta, dikurung di dalam kotak-kotak kecil di atas dadanya, sekurang-kurangnya dia terhibur dengan cerita kembara saya. Kembara seorang pendaki langit. Saya menaip- titik bertindih dengan penutup kurungan, kemudian titik bertindih dengan huruf P dihujung.
Sekian.
Pena Alam
Kota Kinabalu
01042011
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Sayangi Alam!
Orang Utan juga diancam kepupusan ..
Sahabat lautan, sahabat kita ..penyu, tahukah anda penyu adalah haiwan yg diancam kepupusan? Penyu juga adalah haiwan yg diwartakan sbg spesies yg dilindungi kerajaan. Jadi adalah menjadi suatu kesalahan bg anda utk memelihara penyu di dalam akuarium, membunuhnya atau mengambil telurnya.. dan tahukah anda, penyu hanya akan bertelur semula selepas 3 atau 4 tahun selepas bertelur, maknanya jika anda makan telurnya, anda sama seperti pembunuh yg telah menelan segenerasi kehidupan sang penyu sama ada anda sedar atau tidak, setuju ataupun tidak..
Tiada ulasan:
Catat Ulasan